Wednesday, 31 December 2008

MASIH ADA TUHAN

(ketabahanmu Palestin, menjadi nadi keteguhan umat)

Pada ketika langit yang luas kau rasa sempit
Oleh tugu-tugu kemanusiaan yang merekah
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada pembelaan

Pada ketika merpati-merpati menjadi ababil
Oleh sumbang seruling meniup semangat hidup
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada kekuatan

Pada ketika matahari dan bulan gerhana bersama
Oleh wajah siang dan malam yang makin serupa
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada keajaiban

Pada ketika sapa angin syurga meribut gila
Oleh putaran bumi yang terhenti kaku
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada kesabaran

Pada ketika sekangkang tanah bertukar debu
Oleh pemuka-pemuka iblis yang berjiwa hantu
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada kemenangan

1 Januari 2009 (10.40 am)
Playford Road, London.

RALIT DI TAMAN DUNIA

(pulanglah)

Singgah sekejap di taman ini
Bukanlah langsung mahu bermukim
Atau menjadi ia milik sendiri
Sebab salam yang kita hulurkan
Telah dijawab oleh akhirat

Di taman bernama dunia
Aku dan kau sama-sama ralit
Menghambat burung kebebasan
Padahal nanti ia pulang jua
Menyangkar diri pada Mahsyar

Aku kutip batu-batu laknat
Untuk dilempar pada tiang agama
Banyak tiang kulihat runtuh
Dan aku kutip lagi batu baru
Kau pula melompat ceria
Menyorak untuk kemusnahan
Mengilai untuk kemurkaan

Kau memanggil-manggil namaku
Katamu ada buaian maksiat
Aku hanya tahu menurut
Aku duduk di atasnya, selesa
Dan kau menolak buaian itu
Sehingga kadang terlupa
Kita sedang bermain bola iman
Disepak dan disepak lagi
Dan lagi

Cukuplah
Aku sudah terlebih penat bermain di sini
Setiap kenangan yang kita bina
Akan aku jadikan puntung arang
Agar boleh dibakar selonggok dosa
Yang kita bawa bersama
Yang kita rahsiakan dari Penjaga

31 Disember 2008 (11.20 am)
Playford Road, London.

Tuesday, 30 December 2008

BIAR KAMI MENJADI IZRAIL

(wahai para pemuja syaitan, bersedialah untuk digempur Izrail)

Telah kau toreh hati-hati lembut kami
Menjadi patung batu yang hitam bengis
Kaku terpasak pada bumi para wali
Kau gantung senapang dendam yang berdarah
Konon kamilah pembunuh kemanusiaan
Sedang lama sudah lidah dan tangan dipasung
Dirantai pada gegak puisi syaitan
Siulan anak-anakmu
Untuk esok dan esok lagi

Butakah matamu pada wajah neraka yang gila?
Hingga tidak dapat kau lihat air mata yang tiada henti
Tulikah kau akan raungan para malaikat
Yang meminta keamanan dari Tuhan mereka
Ya, supaya kau disumbat sampai ke perut bumi
Atau nanti kami sendiri yang memanggang lehermu di neraka

Kalaulah boleh kami kebilkan mata-matamu yang buta
Agar melihat penat Izrail yang ke hulu ke hilir
Memisah roh dari jasad dalam hibanya sendiri
Yakinlah kau tidak mahu menjadi dirimu sekarang
Mencabut nyawa sebanyak kaki melangkah
Lebih banyak dari peluru yang kau kirim
Atau mungkin tidak pernah kau kenal siapa Izrail itu?

Biar kami yang menjadi Izrail untukmu
Mengerat urat dan nadi yang lebih berdosa
Mengajar tentang gelisah ngilu hidup seorang
Mengkhabar akan Tuhan yang sedang menanti
Untuk dihumban manusia sepertimu ke lubuk neraka
Lebih keras seksanya dari yang telah kau lakukan
Matilah, tangisan darahmu sedang kami nanti

30 Disember 2008 (11.20 am)
Playford Road, London.

Sunday, 14 December 2008

RINDU, AYAH!

Ayah. Saat ini aku sangat rindu padamu. Entah mengapa setiap laku seperti mengingatkan aku padamu. Ketika aku memerlukan tempat untuk bercerita, engkau tiada di samping. Sedangkan aku perlu gagah untuk menadah cerita-cerita duka dari manusia lain, namun aku juga punya cerita yang lebih perit. Kalaulah mereka semua sepertimu, memahami dan menyokong, pasti sahaja mahu aku kongsikan semua yang telah aku lalui. Tapi mereka tidak sepertimu, ayah, yang mampu ceria dalam air mataku dan tahu bila aku jatuh. Jatuh yang sendiri.

Ayah, semalam telah aku alami suatu yang menyeksakan, tapi tak tahu pada siapa harus aku beritakan. Mereka seperti memahami tetapi sebenarnya tidak. Aku yakin bukanlah mereka sepertimu, bahkan ada yang ketawa bila semangatku turut goyah. Tak mungkin akan aku ceritakan pada manusia-manusia seperti itu. Aku seolah-olah hilang sekarang, ayah. Cepatlah pulang agar dapat aku luahkan segala kejadian dahsyat yang aku simpan sekian lama. Rindu, ayah!

Friday, 12 December 2008

MELAKAR CINTA DI PINTU SYURGA

(moga terlakarlah cintaku padaMu)

Berdirinya aku di daerah zulumat
Mengutip titis doa di malam rahmat
Bersama renai kasih yang menguyur
Ingin melakar cinta di syurga

Sesungguhnya cinta yang kugalas dulu
Hanya cinta semusim wangi sekejap
Harumnya takkan sampai ke penghujung
Indah mekarnya hanya di kuntum

Sedangkan tamanMu amat indah
Tiap penghuninya dikurniai rahmat
Datang berbekal amalan
Tanpa sepalit noda

Setelah kian lama mengatur jejak langkah
Makin fasih mentafsir liku hidup
Diri terlepas bebas dan leka tanpa batas
Bagai menabur benih sang hilalang

Bendang terbentang
Hampa padinya
Dimusnahi bena
Aku yang terpedaya

Hijrahkan aku dengan hati putih
Kembali berpaut pada akar budi
Pasrah bersujud di bawah naungan
Langit kesedaran

Moga terlakar cintaku di pintu syurga

Sebuah lagu oleh kumpulan Far East dan Nasir Wahab yang sangat dalam maknanya.

12 Disember 2008 (3.00 pm)
Playford Road, London.

Monday, 8 December 2008

ANTARA DUA KORBAN

(memilih hidup yang susah)

Dilayan tetamu rasa
Jasad di rumah nanti terabai
Mana mungkin boleh ditatap kedua
Sebab bukanlah aku seperti Ibrahim

Menziarah mahligai sayang
Tercicir mimpi di simpang
Entah mampu dipegang kedua
Sebab bukanlah aku seperti Muhammad

Antara rasa dan jasad
Tuhan, tak dapat aku sembelih kedua
Kerna tanpa hidupnya jasad
Di mana mahu kuletak rasa?

Antara sayang dan mimpi
Benarkah harus aku korbankan satu?
Sedang luluh jiwa ditipu sayang
Dan mimpi telah aku jagakan

8 Disember 2008 (2.50 pm)
Playford Road, London.

Thursday, 4 December 2008

KEMANUSIAAN

(sebuah sajak tulisan Allahyarham Usman Awang, antara sajak terawal yang dideklamasikan untuk ujian lisan Malay A1)

Telah mereka saksikan sejak pertama cair merah tumpah
putera Adam membunuh-terbunuh dalam pertarungan menang kalah
dan kematian demi kematian dinyanyikan di mana-mana
dan dilanjutkan sehingga segala tanah jadi pusara

Jika kita menyesali kematian atas seorang
dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain
maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran
sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan

Dan sekarang tiap kota menangis dan mengucap kata
kerana sewajarnyalah kemanusiaan itu berdenyut dan terasa
tapi tak seorang pun akan menangis untuk pembunuhan yang bakal tiba
atau akan berkata : mari kita padamkan segala api sengketa

Siapa yang merasa dan kehilangan kesayangannya, menangislah
dunia telah didandankan; kehidupan adalah kematian yang berdarah

Sajak di atas sebenarnya tidak lengkap, mohon siapa juga yang punya versi penuhnya dapat emelkan kepada saya. Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga nilai-nilai kemanusiaan yang sering diulang putar oleh beliau terus dihayati kita bersama

5 Disember 2008 (8.00 am)
Playfrod Road, London.

KEMARAU ILHAM

(entah kenapa di musim hujan, idea tidak pula banjir)





Gambar 1 ; Pemegang panji-panji (nuqaba' 06/07)
Gambar 2 ; Panglima-panglima (BERKAT)

4 Disember 2008 (2.00 pm)
Playford Road, London.

Saturday, 29 November 2008

DI MANAKAN KUCARI GANTI?

(mengutip keping-keping kenangan)

Banyak betul kenangan 2 tahun berada di Kolej Mara Banting. Masa yang singkat tapi pengalaman yang padat dengan teman-teman yang rapat!

Geng Klate. Dalam grup ini, pastinya ramai yang sudah boleh kenal kami jika melihat kelibat dari jauh. Bukan kerana semuanya sama handsome, tapi seolah-olah ada bau Kelantan di situ. Setiap petang ada sahaja aktiviti bersama (timang bola, minum air nyiur, skuasy, tenis, berinternet di concourse, volleyball, jogging, bola sepak). Bahkan kalau bukan kerana kelas yang berasingan, kami mungkin ke sana ke mari bersama juga;


-Pok Jak ;Minggu-minggu awal kami seiring bersama. Solat Subuh di Surau An-Nur seperti menjadi wajib, bahkan terkadang ziarah 5 minit juga selangkah. Berkongsi bilik yang sempit, teman yang seorang ini seperti study sepanjang masa, tidak mustahillah keputusannya sentiasa maintain. Hari akhir aku bergelar teman sebiliknya, dia menghadiahkan matan hadis 40 karangan Imam Nawawi (mungkin dibeli di Masjid Sri Petaling?). Kini beliau di UCD, Ireland.


-Kimi Ballack ;Dulunya seingat aku, akulah orang yang bertanggungjawab menenggelamkan beliau ke dalam kancah bola sepak. Waktu itu dia yang mudah kepenatan hingga hampir pitam, namun akhir hidupnya di KMB menjadi seorang jaguh bola ternama! Kami juga pertama kalinya bermain tenis di KMB, kadang-kadang volleyball. Rasanya laluan hidup aku di Banting adalah sangat serupa dengannya (berjumpa cikgu untuk nasihat, prestasi akademik, dll). Kini beliau di PRMC, Malaysia.


-Fajar Bomoh Colgate ;Teman yang ini menganggap semua makhluk faham bahasa Kelantannya, tapi gelagatnya memang menggelikan hati. Sentiasa risau dengan studynya namun seorang yang optimis, kadang-kadang jiwang juga. Dialah penggemar untuk memusnahkan jeragat yang tumbuh di belakang badanku. Banyak kali kelihatan berkaki ayam berjalan-jalan di sekitar blok, seorang yang sungguh hampir hilang rasa malunya. Kini beliau di Tulsa, US.


-Payid ;Pernah kami disatukan dalam grup di UTP, dan jodoh kami kuat apabila diletakkan sekelas di KMB! Banyak projek-projek kelas kami lakukan bersama, pernah mengalahkan team yang aku anggap hebat (mencipta botol air). Tidur lewat bersama-sama dek menyiapkan kad raya istimewa untuk mentor kesayangan kami. Ketua kelas yang berkaliber, memahami dan tempat segala masalah aku kongsikan, pernah juga beberapa kali menangis di depannya. Kini beliau di Bangalore, India.


-Amin Cool; Paling aku ingat adalah projeknya melakukan eksperimen tentang semut untuk subjek Biologi, dan akulah yang menemaninya ke tengah-tengah ladang kelapa sawit untuk mencari pelbagai jenis semut. Hasil kajian yang berbaloi, dia mendapat A untuk projek itu. Teman bermain skuasy dan tenis kadangkala, timang bola di belakang blok hingga terpecahkan cermin tingkap asrama. Memang apa sahaja yang dibuatnya sangat tenang wajahnya. Kini beliau di Olomouc, Czech Rep.


-Bali 100; Teman sejak dari sekolah menengah lagi. Seorang yang sangat relax namun dia maintain cemerlang. Sering gusarkan dirinya yang dirasakan tidak sempurna tapi rasanya dialah antara yang hebat kedua-duanya sekali, study dan sukan. Selalu sahaja datang lepak-lepak di bilikku walaupun kami tidaklah seblok. Sudah namanya pun bijak, apa-apa yang dibuatnya semuanya last minute tapi hasilnya lebih dariku! Kini beliau di Auckland, New Zealand.

Sungguh ukhuwah itu sangat indah, dan mustahil akan kutemu teman-teman sepermainan seperti kalian lagi. Bersama-sama mengharungi pahit maung di KMB, aku tidak akan menyesali 2 tahun yang dihabiskan di tengah-tengah ladang kelapa sawit tersebut. Kata orang patah tumbuh hilang berganti, tapi yang berganti takkan sesekali sama dengan yang telah hilang. Ya Tuhan, betapa aku merindui saat-saat kami bersama. Kalau tiada kesempatan lagi untuk kita bersua di bumi Allah ini, inshAllah akan kita berjumpa di syurga yang tiada perpisahan.

29 November 2008 (9.00 pm)
Playford Road, London.

Friday, 28 November 2008

MEMPERKOSA ISLAM

(wahai para pejuang Islam, cukuplah mengandungkan agama tanpa rela- kalaulah benar setiap kezaliman itu berpunca dari tangan-tangan kita)

Pada hari kita membilang detik kemenangan
Kau tegar tidak mahu berubah
Tajam hati yang konon bijaksana
Kau ganti dengan senapang dan peluru
Membedil sekecil-kecil jasad
Hingga si ibu hanya tahu darah dan dendam

Islam menjadi pelacur-pelacur jalanan
Yang bebas kau usung ke sana ke mari
Engkaulah sebenarnya penderhaka syurga
Mendesak nafsu menjadi raja

Wahai syaitan-syaitan yang bergelar mujahidin!
Bodohlah engkau kalau mahu berjuang
Mengejar keredhaan Tuhan
Padahal jasadmu sedang menjadi saksi
Kerakusan engkau memperkosa agama

Bukan rela Islam beranak syaitan
Meraba menjadi biasa
Merogol serasa tak berdosa
Dan dia sebenarnya sedang merintih
Kalau pemiliknya sendiri yang curang
Mengaku berasal dari syurga
Tapi akhirnya menjadi pemerkosa

28 November 2008 (12.00 pm)
Playford Road, London

Saturday, 22 November 2008

HADIAH DARI TUHAN

(sayu)

Pada detik ini, mungkin ayah bonda sudah pun memenuhi segala keperluan sepanjang berada di Tanah Haram nanti. Bermula dari urusan pasport dan visa hinggalah persalinan ihram, semua pasti disusun rapi. Juga hati yang terabdi.

Adik-beradik yang lain sedang membilang jam untuk meniupkan semangat, sambil di hati pun sebak mengundang. Pun aku hanya mampu mengucap selamat jalan tanpa menatap wajah mereka, rindu dan sayu makin gagah mendera.

Benar banyak dugaan yang terpaksa ditempuh ayah bonda sebelum diundang olehNya. Hal anak-anak yang menduga ketenangan iman mana mungkin boleh jiwa bertenang, namun keduanya kuat untuk terus menemani putus asa kami.

Ya Allah, jangan ucapan selamat tinggal ini menjadi yang terakhir dariku buat ayah bonda. Selamatkan, sayangi dan bantu cukupkanlah segala keperluan mereka seadanya mereka bertamu di mahligaiMu itu. Inilah hadiah dariMu buat mereka.

Semoga berjumpa lagi ma ayah!

22 November 2008 (5.50 pm)
Playford Road, London.

Thursday, 20 November 2008

MAHU BERJUANG?

(dakwah itu perjuangan antara mendapat syurga atau neraka, teguhkan hati-hati kami di jalanMu Ya Allah)

Kau kata mahu berjuang
Lupakan semua masa rehat
Mungkinkah selalu penat
Atau kau sebenarnya liat?

Kau kata mahu berjuang
Sedia tempuh segala cabaran
Bila keluarga mula menghalang
Akan kau berlaku curang?

Kau kata mahu berjuang
Sanggup bergadai pelajaran
Tapi bila kau kecundang
Semangat pun turut hilang?

Kau kata mahu berjuang
Rela bercerai dengan kawan
Baru disimbah kutukan
Terus kau menjadi segan?

Kau kata mahu berjuang
Ke mana-mana tanpa halangan
Kenapa setiap kali diundang
Semuanya kau beri alasan?



20 November 2008 (1.20 pm)
Playford Road, London.

Sunday, 16 November 2008

POTRET JAHILIYAH

(dengan rendah hatinya didedikasikan buat diri sendiri, teman-teman jua Pali, Epi, Iman, Acip dan Amri yang semuanya telah menyertai program Sayonara Jahiliyah 2008)

Membelek lembaran semalam
Ada sesal terukir di wajah yang berdosa
Ada insaf terbit dari hati yang gelita
Gelisah engkau pada jahiliyah yang terlakar
Menjadi potret indah untuk kau banggakan saban hari

Jahiliyah demi jahiliyah
Yang terlukis oleh tanganmu sendiri
Kelmarin seperti tidak mahu berhenti
Asyikmu pada warna-warna dosa
Sedang suram hati makin hitam
Bergelap dalam cahaya Islam

Hari ini
Tahulah engkau sebenarnya mencorak dosa
Untuk persembahan buat Pencipta
Bila sampai detik kembali padaNya
Tanyalah iman yang masih tersisa
Mahukah Dia merestu potretmu itu?
Atau hanya memandangmu sepi
Bahkan terhina di bawah murka

Pada lembaran hidup yang seterusnya
Sedarlah warna Islam bukan untuk hiasan tepi
Kerana itulah yang mencantikkan potret amal
Dan warna jahiliyah usah lagi ada
Yang nanti akhirnya tetap sama
Seperti lembaran-lembaran semalam

Ketika lembaran Islam mula kau tatap
Akan ia menebal menyimpan potret redha
Buat ingatan ketika engkau kehilangan
Semangat sebagai seorang Muslim
Buat inspirasi untuk kau teguh berdiri
Dalam getir jahiliyah yang tak tersangka

-maaf, tidak berkesempatan memberikan tulisan ini pada kalian-

16 Noember 2008 (1.40 pm)
Playford Road, London.

Thursday, 13 November 2008

I NEED A HELP

(malu juga bila teringatkan peristiwa di tube station, aku seperti tak punya jiwa)

Menjeling seorang tua
Sedang membilang anak tangga
Besar beg di kiri kanannya
Dengan rasa kosong
Tak pula aku menolong
Dek sombong yang pegun
Walau ia semacam memohon

"You want a help?"
Berdesing kata serasa mencucuk jiwa
Dari seorang yang juga wanita
Kaki deras menyusun langkah
Tapi tetap rapi tutur katanya

"You want a help?"
Lagi suara seperti memotong nadiku
Gelita rasa dalam cerah pagi
Rupanya dari lain wanita
Terus aku berlalu pergi

"I need a help!"
Ya Tuhan
Si tua itukah yang perlu dibantu?
Atau akukah mesti membantu diri?
Agar lebih menjadi perasa
Agar lebih berasa Muslim

14 November 2008 (1.40 am)
Playford Road, London.

Saturday, 8 November 2008

MENJADI AYAH

(dedikasi buat ayahanda tercinta, Hj Abdullah Yaacob sempena ulangtahun kelahirannya pada 30 Oktober lalu)

Menjadi seorang ayah
Mengira-ngira wang di saku
Untuk belanja sembilan anak
Seperti tiada untuknya sendiri
Alasan, dalam bank ada lagi

Menjadi seorang ayah
Tawa tangis setia didengar
Senda gurau seperti teman
Dialah tempat usik-mengusik
Walau jiwanya kadang tercarik

Menjadi seorang ayah
Bertanya khabar diberi semangat
Sakit demamnya tidak diingat
Yang penting anaknya sihat
Dan rindunya pun pasti terubat

SELAMAT HARI LAHIR, AYAH!

8 November 2008 (2.00 pm)
Playford Road, London.

Thursday, 6 November 2008

BUKAN AKU TAK CINTA

Pada senja yang mahu pergi ini, ingin sekali aku mengadu padaMu Ya Allah. Kalau ruang yang sebentar ini mampu aku mendekatiMu, pasti aku cuba sedayaku. Betapa baru kutahu sangatlah Engkau jauh dariku, atau mungkin aku yang sebenarnya terlalu jauh dariMu. Bukan aku tak cinta Ya Allah, tapi hati ini masih tidak teguh merinduiMu, masih banyak dosa yang aku dampingi. Ingin sekali aku terus memujaMu Tuhan, agar aku tahu hanya Engkau tempat selayaknya untukku mengharap. Tapi lihatlah hati ini wahai Tuhan, Engkau lebih mengetahui tentang bolak-baliknya yang kencang.

Kenapa payah benar untuk hati ini berpaut kukuh pada ketelusan cintaMu Ya Allah, sedang tidak pula Engkau jemu untuk menghampiriku. Sering aku cuba untuk terus berasa disayangi olehMu, namun sukarnya Engkau jua yang tahu. Acap kali gelisah menerpa saat meratap di pangkuMu, bimbang kalau esak tangisku hanya sekejap cuma apa lagi takut tersungkur di bawah laknatMu.

Ruang yang sempit ini bukanlah layak bagiku untuk menyambung episod noda, andai kusedar betapa Engkau menyimpan rindu padaku, mungkin? Tolong Ya Allah, tolonglah mencintaiku seadanya aku di bumiMu ini, agar tidak risau hati ini untuk mencintai yang lain. Bukan tidak mahu aku merinduiMu, tapi hati yang gelap bolehkah lagi disinari cahaya kasih sayang dariMu? Kalau senja ini yang terakhir bagiku, maka celakalah aku andai cintaMu tiada padaku Tuhan.

6 November 2008 (4.20 pm)
London

Sunday, 2 November 2008

MENELAN DERITA

(semoga Tuhan bersamamu)

Telah kami lihat
Kau membelah derita, seorang
Pilu tangismu semalam
Masih lagi mengesak
Dalam gegak dunia

Kami mahu menyapa
Kerana agung tekunmu
Menelan hirisan kedana
Pedih yang perit
Kau kenyang dengannya
Walau tak berair bahagia

Oh si fakir
Mahukah kami bersedih denganmu?
Yang tak kenal nikmat harta
Padahal yang sedang kau mamah
Adalah hidangan syurga

2 November 2008 (8.20 am)
Playford Road, London.

Wednesday, 29 October 2008

BANYAK

Entah bilakan semua ini akan berakhir
Atau sekurang-kurangnya beransur perlahan
Cubaan yang mencurah-curah
Serasa seperti air yang mengalir deras
Seperti tidak tahu aku sudah kuyup
Bahkan mendekati lemas

-terlalu banyak perkara yang menyulitkan terpaksa ditempuh belakangan ini, mohon doa kalian agar diberi kekuatan

29 Oktober 2008
Finsbury Park

Monday, 29 September 2008

PERGINYA SEBUAH RAMADAN

Menangisi pemergianmu Ramadan
Hatiku memendam sayang yang dalam
Sarat dibebani bibit haru
Sayangkan pertemuan pertama kita
Sayangkan kebersamaan kau dan aku

Saat Syawal menjengah ini
Kau sayup mengundur diri
Seakan tidak pernah engkau senyum padaku
Padahal engkau mahu mesra di samping
Cuma aku yang masih samar

Hanya pada senja yang terakhir
Di dekatmu mahu kulabuhkan cinta
Aku ingin sekali menatapmu
Kerana hati ini enggan damai
Dalam ribut rindu yang membadai

Belum pun sempat aku mengucap salam
Engkau kulihat menjauhi
Seperti dosaku padamu seluas langit
Ampunkan aku duhai Ramadan
Kalau nanti kau memencil diri

Hari Akhir Menyulam Cinta Ramadan

Tuesday, 23 September 2008

SUKARNYA TUHAN

(beri kekuatan, Ya Allah)

Pada saat ini, Tuhan Maha Tahu betapa resah jiwa yang sekian lama terpenjuru kini dipersembah. Tiada lagi rasanya kudrat untuk ketawa, kalau ada pun cuma senyum pahit yang tercipta saban hari. Kesukaran yang membelenggu segenap ruang keamanan yang tersangka milik sendiri, kini direnggut kencang.

Sungguh betapa hanyasanya Tuhan sahaja yang mengerti tentang setiap titis air mata adalah kerana keperitan yang amat dahsyat.Dan Dia jugalah yang menemani longlai langkah kaki waktu berpijak pada lorong-lorong gelap sunyi yang beranjau. TanpaNya mustahillah bicaramu masih manis seperti membutakan akan kejerihan.

Antara tanggungjawab dan kepuasan hati, aku rebah. Antara kasih dan impian, pastinya akanku luputkan cita-cita. Tuhan, moga masihku mampu meratap sendiri di pangkuMu, kala seluruh alam memulauku.

Malam-malam Lailatul Qadr

Monday, 1 September 2008

SATU RAMADHAN, SERIBU HIBURAN, SIFAR AMALAN

Musafir yang satu ini
Jauh benar ia mengembara
Melewati agungnya kota maksiat
Lantas usah kita hairan
Kalau tibanya dalam cemar

Debu pasir yang mewarnai
Putih persalinan menjadi kelam
Jangan ditanya kenapa begitu
Nanti kita pula dipaksa merasa
Sesal perit yang akan dilupakan

Musafir Ramadhan
Saat ini sedang bertamu
Di ruang kecil milik kau dan aku
Mujurlah hadir ia seorang
Katamu senang mahu dilayan
Tapi kalau ia merajuk
Aku tak tahu memujuk

Kita sering buntu
Tentang Ramadhan yang ini
Bagaimana harus diperlaku
Pantas dipalu gendang hiburan
Padahal kita jua sama memahami
Betapa sekilas cuma ia singgah
Di desa dosa yang kita bina

Aduhai iman
Pada kegentingan yang meraung ini
Silalah kau bertarung
Dengan seribu macam kejahilan
Kerana lelah sudah kami kendong
Amalan yang tak putus sifarnya

2 September 2008 (1.00 am)
Tanah Tempat Bermain

Tuesday, 12 August 2008

PANGGILAN DARI MA

Hari ini satu lagi sejarah tertulis.
Seingat aku kali pertama ketika di Banting dulu.
Sejak itu, aku tekad untuk cuba hindar darinya.
Tapi baru beberapa jam lepas, ia berulang kembali.
Hanya sebak yang mampu mentafsir segala rasa.

Panggilan dari seorang bonda.
Yang cukup lama tidak mendengar suara anaknya.
Yang tak tahu bagaimana mahu menghubungi anak di Eropah.
Yang kreditnya hanya tahu dihabiskan untuk menelefon.
Yang sunyi tanpa suami dan anak-anak di sisi.

Betul kata saudara mara.
Anak yang ramai pun nanti seorang demi seorang.
Meninggalkan rumah, meninggalkan orang tua.
Meninggalkan cebis kenangan untuk diingat ibu ayah.
Meninggalkan kasih yang besar di hati mereka.
Meninggalkan sepi buat ibu ayah di hari tua.

Mana letaknya taraf seorang yang hanya bergelar anak?
Sehingga berani membiarkan ibu menanggung sendu.
Kalau ibu pula yang terpaksa menjejak kehilangan anaknya.
Kalau ibu yang tak tahu tentang apa yang dipanggil internet.
Kalau ibu berusaha mencari jawapan untuk apa ia menelefon.

Bila ditanya khabar, katanya macam biasa.
Bila diceritakan derita, katanya tak apa.
Kerana di hati bonda cuma ada satu.
Rindu.

12 Ogos 2008 (7.45 pm)
Finsbury Park London

Saturday, 9 August 2008

BILA IMAN PUN PUDAR

(pulihkan iman kami, Ya Rabb)

Bila iman pun pudar
Dalam lena atau sedar
Hilang cahaya penyinar
Tuhan makin terhindar

Bila iman pun pudar
Amal banyak mungkar
Tiap suruhan diingkar
Semua larangan dikelar

Bila iman pun pudar
Fikir dunia yang cemar
Tiada henti ia berlegar
Tiada penat kita mengejar

Bila iman pun pudar
Ukhuwah mula tercalar
Tazkirah mahu dicabar
Usrah berwajah hambar

Bila iman pun pudar
Malaikat lari bertebar
Dosa kecil menjadi besar
Pintu syurga dilihat samar

Bila iman pun pudar
Syaitan datang melamar
Mengkhabar maksiat tegar
Jahiliah kembali segar

Bila iman pun pudar
Hati sangatlah gusar
Meniti arah yang tersasar
Mencari Maha Penyabar

9 Ogos 2008 (12.30 pm)
Finsbury Park London

Friday, 8 August 2008

MAHKAMAH

Bertandang ke mahkamah dunia
Umpama melawat saudara sendiri
Mungkinkah tidak akan wujud
Sehari yang sunyi dari bicara

Banyak manusia ternanti
Untuk dipanggil satu persatu
Langsung sudah lenyap gentar
Bangga pula yang dikejar
Dikerumun kawan lawan

Kenapa mahu kita ganjil
Kalau tilam pun tahu bersuara
Padahal sengaja benak lupa
Tentang mahkamah Tuhan
Tentang mani dan bulu ari
Yang tahu sejarah penzina

Kalau yang berdosa itu
Hari ini membayar puluh ribu
Untuk menikam keadilan
Nanti tiba jua di mahsyar
Yang buta mengira wang
Apa lagi mahu beralasan?

Aduhai manusia
Bermain-mainlah kau sekejap
Di mahkamah dunia yang bodoh
Sementara waktumu ada

Esok lusa
Usah kau harap lagi
Pada kemaafan Tuhan
Penguasa segala kezaliman
Pemilik mahkamah agung

8 Ogos 2008 (6.30 pm)
Finsbury Park London

Tuesday, 5 August 2008

MALU AYAH

(ayah kami pemalunya kasih)

Dua tiga hari ini entah mengapa semacam rasanya.
Selepas mimpi tentang ayah yang berlalu tanpa menoleh.
Mengejarnya seperti menghambat malaikat.
Esak tangis pun tak mampu memanggilnya pulang.
Dan bila jagaku, benar aku betul-betul menangis.

Mungkin rindu pada ayah yang mendakap erat.
Mungkin juga ayah yang sarat menakung rindu padaku.
Hampir setahun tiada menatap uban putih di kepalanya.
Tapi tak mungkin dilafaz rindu pada anak-anak.
Sebab ayah kami pemalu. Sangat.

Ayah malu menengking kami yang dewasa.
Sebab bimbang kami merajuk lama.
Ayah malu menyuruh kami membuat itu ini.
Sebab tak mahu kami terdesak.
Ayah malu menatap lama wajah anak-anak.
Sebab nanti dia yang merindu.
Ayah malu mengucap sayang yang dalam.
Sebab akhir hidupnya sendiri jua.

5 Ogos 2008 (11.00 pm)
Finsbury Park London

Saturday, 2 August 2008

MEMILIH NERAKA

(tiada pilihan lainkah, Tuhan?)

Menatap langit mendung
Suram
Hati mahu gerimis
Agar jernih hitam
Pekat likat dosa
Pada iman yang gusar

Memilih neraka dingin
Seperti menyuluh bintang
Di dasar laut
Tak akan ketemu
Sudahnya penat
Sesal pula melekat

Jahat benarkah membelai zina
Hingga kini tiada syurga mahu terbentang
Besar sangatkah dosa hingga memaksa
Untukku memilih neraka antara neraka?

2 Ogos 2008 (9.35 pm)
Finsbury Park London

Wednesday, 30 July 2008

KAU DAN DIA

(janganlah aku jadi sepertimu)

Hari ini
Aku lihat kau makan ayam berkuah
Dibuang cebis isi yang kau benci
Sedang semalam engkau simpati
Pada dia yang meratah tulang

Hari ini
Aku lihat kau pakai kasut baru
Sederet yang lain masih elok
Sedang semalam engkau simpati
Pada dia yang beralas kudis

Hari ini
Aku lihat kau hafal cerita artis
Lebihnya dari ayat Quran pendek
Sedang semalam engkau simpati
Pada dia yang hanya tahu alif ba

Hari ini
Aku lihat kau masuk panggung
Tidak cukup dengan TV di rumah
Sedang semalam engkau simpati
Pada dia yang menonton ajal

Hari ini
Aku lihat kau bermegah-megah
Dengan semua harta Tuhan
Sedang semalam engkau simpati
Pada dia yang tak bermewah

31 Julai 2008 (12.50 am)
Finsbury Park London

Monday, 28 July 2008

INGIN

Tuhan
Kami ingin jadi hamba yang taat
Tapi sungai dosa masih likat

Tuhan
Kami ingin jadi hamba yang reda
Tapi batu hati masih padu

28 Julai 2008 (3.20 pm)
Finsbury Park London

PERCAYA

(padaMu aku bentangkan harap)

Kau beriku nikmat bahagia
Aku percaya
Nanti ada derita

Kau beriku tatap derita
Aku percaya
Nanti ada harap

Kau beriku ruang berharap
Aku percaya
Nanti ada hadirMu

Kau beriku rasa hadirMu
Aku percaya
Bahagia telah kembali

28 Julai 2008 (3.00 pm)
Finsbury Park London

Wednesday, 23 July 2008

IKLAN


Antologi Bahasa Bumi

hasil kerja tangan 50 orang penulis yang sedang menuntut di luar negara di bawah payung Grup Karyawan Luar Negara, menghimpunkan 100 puisi bertemakan kesejagatan dan 2 puisi saya turut termuat di dalamnya. Dapatkan segera!!!


Juga didatangkan bersama Antologi Cerpen Mengemis Di Kota Larangan


dan Kumpulan Puisi Menggeledah Nurani Fahd Razy


23 Julai 2008 (11.oo pm)
Finsbury Park London

Saturday, 19 July 2008

KAU BERTANYA

(kalaulah boleh aku ceritakan semua)

Kau tanya
Khabar baruku
Aku kata
Sihat

Kau tanya
Cerita hari ini
Aku kata
Sama

Kau tanya
Kawan serumah
Aku kata
Baik

Kau tanya
Bila pulang
Aku kata
Entah

Kau kata
Aku sombong
Aku kata
Memang

Kau ingin tahu
Semua yang kulalu
Aku cuma tak mahu
Kau tambah sendu

19 Julai 2008 (8.00 pm)
Finsbury Park London

Friday, 18 July 2008

SEPULUH SEN

(besar harganya)

Sepuluh sen
Aku biar sepi
Aku letak tepi
Aku bagi pengemis

Sepuluh sen
Aku mencari
Aku mengintai
Aku kini mengemis

18 Julai 2008 (11.10 pm)
Finsbury Park London

Sunday, 13 July 2008

TENTANG NERAKA

(belum sampai ke neraka sudah terasa bahangnya)

Singgah sebentar
Di lembah neraka
Ada sahaja yang bertanya
Mana syurga?

Aku senyum
Butakah kau
Syurga di situ
Di atas pentas itu

Aku harus pergi
Sebab kalau lama
Aku pula hangit

13 Julai 2008 (11.45 pm)
Finsbury Park London

IBU BERANAK LIMA

(sangat merindui untuk menatap wajah ibu)

Seorang ibu
Lima anaknya
Mengah berlari
Mengejar tube
Mujur sempat
Aku yang melihat
Sayu

Anak pertama
Lelaki
Kurus
Tinggi
Berkaca mata
Membaca buku

Anak kedua
Perempuan
Putih
Berpeluh
Botol air
Di tangan

Anak ketiga
Lelaki
Diam
Masam
Aku pandang
Dia jeling

Anak keempat
Perempuan
Mulus
Indah
Berseluar panjang
Senyum padaku

Anak kelima
Lelaki
Bersandar
Ditegur ibu
Jangan begitu
Nanti jatuh

Dan wajah si ibu
Ada senyum bahagia
Sedang kedutnya pun penat
Menanti suami
Yang telah tiada

12 Julai 2008 (11.30 pm)
Finsbury Park

Saturday, 12 July 2008

SEPURNAMA DI BUMI ANBIA

(terima kasih teman-teman)

Hari ini genaplah 30 hari saya berpijak di bumi anbia. Suatu kembara yang meruntun jiwa.



Merancang untuk tidak pulang ke Malaysia adalah sesuatu yang memeritkan tatkala melihat seorang demi seorang teman meninggalkan Eropah. Itulah sebuah keputusan yang jarang diizinkan oleh hati pengembara ilmu, namun demi pengalaman yang tak ternilai, saya nekad.



Dan bumi Mesir kini sangat dekat di hati. Sukar rasanya mahu menghilangkan kenangan di tanah para wali ini. Entah mengapa saya begitu merindui gelagat masyarakat Mesir, walaupun ia merupakan pilihan terakhir buat mereka yang pernah bertamu di sini.



Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-kata yang pernah saya dengar, "Orang yang minum air Sungai Nil pasti akan kembali untuk merasainya lagi." Tidak mustahil sekiranya saya kembali lagi ke Mesir sekadar untuk menziarah teman-teman baru, kerana setiap mereka bagaikan punya keramat untuk saya ingati.



Ziarah makam bersama Pak Lang dan Ust Salehin suatu yang mengharukan kerana kami berkesempatan untuk bertamu di makam Imam Syafie, Imam Waki', Sayyeda Zeinab, Imam Al-Jaafari dan sebagainya. Terima kasih Pak Lang dan Ust Salehin, yang jua pertama kali bertandang ke beberapa buah makam.



Menjelajah Sinai bersama Ust Aisam dan Ust Azlan. Satu kenangan yang masih segar. Di sana kami sempat menziarah makam Nabi Saleh dan Wadi Arbaein (bekas tempat perkumpulan 40 orang para wali). Juga melihat lembu Samiri (pantulan patung lembu yang dibina oleh kaum Israel pada zaman Nabi Musa), 12 mata air (mewakili 12 kaum yang menjadi pengikut Nabi Musa ketika baginda menyelamatkan diri) dan mendaki Jabal Musa (gunung tempat munajat Nabi Musa ketika mohon melihat wajah Allah). Terima kasih buat Ust Aisam dan Ust Azlan.



Sempat juga saya bersama beberapa orang teman mengikuti beberapa siri kuliah di rumah Pahang, Kelantan dan Perlis sendiri. Jua tidak dilupakan pada Ust Juzailie yang mengajak saya untuk mendengar kuliah daripada seorang syeikh Al-Azhar, terima kasih Ust. Walaupun banyak yang tidak saya fahami, tetapi harapnya ada keberkatan dalam kehadiran saya itu.



Kepada Ust Firdaus Hat yang banyak membimbing, hanya terima kasih yang terlafaz. Lagak Ust seperti seorang kawan lama cukup menyenangkan kami, saya dan Faimee. Walaupun dilatih untuk berkongsi tilam bersama pepijat, kami redha. Itulah mungkin pengalaman yang baru dalam hidup saya. Juga pada kuliah Subuh yang Ust sampaikan, membawa kami ke kuliah Ust Fauwaz dan loghat Kedah yang pekat, terima kasih!



Ust Rosman, yang bercita-cita menjadi wali, terima kasih kerana menumpangkan lena saya. Semoga Ust berbahagia di samping kantin tersayang. Tidak sempat saya merasa makanan yang pernah dijanjikan untuk dibelanja oleh Ust. Masih terngiang segala fatwa yang meniti setiap butir bicara Ust.



Kepada Ust Nasrul, Ust Peron, Ust Latif, Ust Hadi, Ust Am, Ust Ibrahim, Ust Rafis, Ust Naimi, Ust Nabil, Ust Zainureen dan ustaz-ustaz yang saya hanya kenal wajah mereka, terima kasih sebanyak-banyaknya kerana menjadikan sebulan saya di Kaherah sebuah kenangan manis yang saya akan ingat selagi denyut nadi belum berhenti. Sungguh, berada di Rumah Perlis bagaikan suatu anugerah dari Allah untuk menyedarkan saya tentang makna ukhuwah fillah. Kini saya merindui semua itu (air sirap manis, internet connection dll) .

Kepada JK PMRAM seperti Ust Khairul Anuar dan Ust Hairul, terima kasih kerana pernah menemani kami mengikuti kuliah di Masjid Al-Azhar.

Banyak benar kenangan dan pengalaman selama sebulan yang tidak mampu saya senaraikan satu persatu di sini. Dan saya tidak menyesali 30 hari lalu yang telah saya habiskan di bumi Mesir, jutaan penghargaan ditujukan buat kalian. Semoga bertemu lagi dengan izin Allah.

12 Julai 2008 (11.00 am)

Friday, 11 July 2008

TERMANGGU DI TANGGA SYURGA

Telah kau heret
Rantai derita
Ketat mengikat
Padat memberat
Dua puntung kaki
Lenguh

Merempuh benteng dosa
Kukuh terpasak
Oleh tanganmu
Yang kerdil jahil
Hanya menyesak
Penat jasad
Roh ikut mengeluh

Engkau pun tiba
Di hujung syahadah
Tapi kaki yang lenguh
Lumpuh
Dan tangan menadah
Darah

Termanggu lama
Di tangga syurga
Bukan malu
Bertamu
Bukan mahu
Berpatah ke lembah

Seperti tiada harap
Kau jeling nikmat
Sedang benakmu lupa
Hati menanti
Untuk ditongkat

22 Jun 2008 (12.15 am)
Haiyu Sabi’ Kaherah

SEORANG BAYI DI ATAS KERETA

(jagalah dari lenamu)

Seorang bayi
Di atas kereta
Bertilam besi
Berselimut langit

Bayi itu tidak tahu
Ayahnya hilang suara
Memanggil perca rezeki
Tersisa di lorong sunyi

Nyenyak tidurnya
Sedang perut berbunyi
Seperti hon-hon liar
Tak mahu berhenti

Dia pun tak sanggup
Bila jaganya
Ada bayi lain
Masih lena bermimpi

15 Jun 2008 (11.11 pm)
Sayyeda Zeinab Kaherah

DI BAWAH LANGIT KAHERAH

(bumi seribu mutiara)

Di bawah langit Kaherah
Jangan kau cerca hati yang mati
Sebab abdi di sini sejati

Di bawah langit Kaherah
Jangan kau tangis bahang gila
Sebab asob di sini syurga

Di bawah langit Kaherah
Jangan kau rajuk tanah kontang
Sebab ruz billaban galang

Di bawah langit Kaherah
Jangan kau bunuh kebenaran
Sebab di sini rumah pahlawan

Di bawah langit Kaherah
Jangan kau mengamuk marah
Sebab pemimpinlah yang parah

15 Jun 2008 (11.30 pm)
Sayyeda Zeinab Kaherah

Wednesday, 18 June 2008

KHABAR DARI KAHERAH

Alhamdulillah, kelapangan yang sekejap ini dapat saya temu.

Untuk pengetahuan anda, saya sekarang sudah berpijak di bumi Mesir. Kembara ilmu selama sebulan. Bumi ini banyak memberi erti susah payah hidup dalam keadaan masyarakat yang kucar-kacir, namun itulah yang menjadikannya istimewa. Pengalaman.

Setakat ini, saya masih belum ke mana-mana tempat menarik di sekitar ini. Hangat yang memalaskan jasad. Namun saya sempat mengikuti kuliah fiqah Syeikh Syed dari Universiti Azhar di Masjid Al-Azhar (banyak yang tidak saya fahami), kuliah fiqah Ustaz Nazrul (bekas Presiden BADAR KISAS), beramah mesra dengan Mufti Kelantan (kebetulan beliau sedang berkursus di sini), berkelana bersama beberapa pimpinan PMRAM (persatuan pelajar Malaysia di Mesir).

Banyak lagi yang mahu saya ceritakan, tapi masa sangat suntuk. Doakan saya dan rakan sekembara, Faimee. Terima kasih kepada keluarga yang merestui, rindu pula menghambat setiap langkah kami di sini. Assalamualaikum.

18 Jun 2008 (4.00 pm)
Sabi', Kaherah

Wednesday, 11 June 2008

AYAHKU

(Selamat Hari Bapa buat Ayahanda Hj Abdullah Yaacob, semoga ceria sokmo)

Ayahku
Dia bertanya
Khabar anak-anak
Sedang ia demam
Menanggung rindu

Ayahku
Dia berbicara
Duit poket kami
Sedang ia gundah
Minyak menjadi emas

Ayahku
Dia berjenaka
Nak kahwin lagi
Sedang ia dijeling
Ibu di samping

Ayahku
Dia ke sekolah
Mencabut rumput
Sedang ia pengetua
Yang punya pekerja

Ayahku
Dia ke surau
Menjadi imam
Sedang ia bermakmum
Bilal dan siak

Ayahku
Dia menyelimut
Lena tidur kami
Sedang dengkurnya
Acap mengejutkan

Ayahku
Dia menasihati
Hidup yang panjang
Sedang sombong kami
Menjadi balasan

Ayahku
Dia di sisi
Anak yang jahil
Sedang ia nanti
Dibawa pergi

NOTA; Pada tarikh 15 Jun 2008 ini, aku ingin berada di depan ayahku dan bicara Selamat Hari Bapa. Ampunkan segala kejahilanku sepanjang keberadaan sebagai anaknya yang tengah. Semoga hidup ayah dilimpahi bahagia bersama bonda tersayang.

12 Jun 2008 (7.00 am)
King's College London

SENJA DI LANGIT SYURGA

Telah kau redahi pagi-pagi
Membatukan dingin bayu
Dan undangan dosa
Disambut derita

Segalak unggas bertempikan
Kau mamah serpih reda
Menjadi arang neraka

Di senja ini
Kau alas lenamu
Dengan batu-batu taubat
Berhujungkan langit syurga

11 Jun 2008 (3.00 pm)
King's College London

Tuesday, 10 June 2008

SEPETANG DI THAMES RIVER

(sungai ini tempat mengadu)

Gelisah ombak kecil
Berlari
Mencari silau pasir
Untuk direbahkan
Gelora

Tenang bot-bot kecil bermukim
Di Thames River
Siapa sangka
Meniupkan beliung
Ke dasar jiwa

Sungai itu
Adalah tempat bermanja
Benak yang mati
Kerana hati
Makin payah ditali

Aduhai Thames River
Kalaulah senja ini tak berhujung
Ingin aku mendakap engkau
Berkongsi busuk kenangan
Yang menyinggahi
Dan tak akan pergi

11 Jun 2008 (1.34 am)
King's College London

Saturday, 7 June 2008

EGO

(hapuslah)

Ego yang tolol
Di jiwa bahlul
Seakan dicabul
Kalau tersembul

7 Jun 2008 (3.35 pm)
King's College London

PASAK JANJI

(sempena Summer Camp Eire 2008)

Deru angin di Tallymore
Merenyai kalimah Tuhan
Pada hamparan iman

Di celah belantara kelam
Bergemuruh janji pada Tuhan
Tentang hidup mati untuk agama
Tentang jerih lenang yang panjang

Seteguh gunung-ganang
Janji demi janji terukir
Hati demi hati berpadu
Kalam Tuhan mahu direstu

Ayuh teman
Kita limpahkan tarbiyah
Pada janji yang dipasak
Biar berkumandang
Takbir para malaikat

NOTA; Summer Camp di Belfast ini begitu mencabar iman. Cubaan demi cubaan dijelmakan Tuhan untuk mentarbiyahkan kami sehingga kadang-kadang tak tertanggung rasanya. Namun itulah yang mengajar kami tentang "Inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil 'alamin"

7 Jun 2008 (11.00 am)
King's College London

Friday, 6 June 2008

DUA MALAM

(apresiasi buat teman-teman di Cork, Dublin dan Belfast)

Dua malam
Dalam peluk Cork
Menghangatkan
Kerana nyala
Bara akidah

Dua malam
Dalam bayu Dublin
Mendamaikan
Kerana dingin
Angin syurga

Dua malam
Dalam melodi Belfast
Menghiburkan
Kerana gemersik
Suara Tuhan

NOTA; Ya Tuhan, benar aku sangat merindui teman-teman lama yang sudah berbulan tidak bergurau senda dan makan bersama. Kembara ke bumi Ireland kali ini menemukan kembali aku dengan mereka. Hanya terima kasih yang terungkap.

6 Jun 2008 (8.30 pm)
King's College London

SIBUK

(moga hidup kami sederhana, Tuhan)

Kita sibuk bertelagah
Berapa helai rambut basah
Sedang kepala demi kepala
Pecah

Kita sibuk berbincang
Tentang minyak yang mahal
Sedang kaki demi kaki
Gatal

Kita sibuk berkelana
Ke setiap negeri asing
Sedang bibir demi bibir
Kering

NOTA; Kita sering berbicara tentang keperluan diri yang melimpah-limpah, sedang ramai lagi yang ketandusan.

6 Jun 2008 (8.15 pm)
King's College London

KENAPA BUKAN ENGKAU

(Tuhan, temukan aku denganMu)

Ketika sunyi
Kenapa bukan Engkau
Yang aku cari

Ketika sendu
Kenapa bukan Engkau
Yang aku rindu

6 Jun 2008 (8.00 pm)
King's College London

MENCARI

(untukMu Tuhan, kami siakan)

Kau mencari
Kawan-kawan
Membahagiakan
Tapi kesepian
Bila akhirnya
Hilang

Kau mencari
Hiburan
Melapangkan
Tapi kecundang
Bila akhirnya
Tiada tenang

Kau mencari
Kawan dan hiburan
Menyuap kelaparan
Jiwa yang curang
Sedang Tuhan
Keciciran

NOTA; Sangat lama kehilangan, dan bertemu semula di Summer Camp Ireland 2008. Apresiasi buat Anas yang bicaranya menyentuh hati akan erti berTuhan dalam bait tazkirah.

6 Jun 2008 (11.40 am)
King's College London

Tuesday, 27 May 2008

KEDUT TUA

(hidup tak lama)

Kisah hidup
Terlukis
Pada kedut tua

Garis hitam
Tersimpan
Tangis tawa

Kedut tua
Makin banyak ia
Makin banyak cerita
Makin banyak rahsia

Hodoh ia
Sekarang
Dari tegang
Tiada cerita
Dahulu

Dahulu

27 Mei 2008 (7.45 pm)
King's College London

Sunday, 25 May 2008

BUMI KRISTAL

(apresiasi buat warga Olomouc)

Sejenak di bumi Olomouc
Cukup mengkhabarkan
Keindahan taman syurga
Bumi itu adalah bonda
Kristal yang mempesona

Seperti kristal-kristal
Bucu hati mereka padu
Berkilau cahaya kejujuran
Tanpa calar kejahatan
Terpantul kemanusiaan

25 Mei 2008 (11.45 am)
King's College London

Thursday, 22 May 2008

DI KOTA OLOMOUC

(terima kasih teman-teman lama di Olomouc, Czech Republic)

Terlalu lama
Dalam diam
Hilang

Hijau lumut
Pada batu-batu
Adalah kenangan
Subur dalam segan

Di kota Olomouc ini
Kutemu sisa-sisa
Sebuah perjuangan
Berteman setia

Seperti batu-batu
Senda gurau
Keras padu
Tak terusik

Renyai hujan yang malu
Menjadi mata-mata
Saksi
Persahabatan kami

23 Mei 2008 (6.34 am)
Olomouc City

Tuesday, 20 May 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU, KEKANDA!

(dedikasi buat kekanda Fatonah yang bakal ditakhtakan pada 29 Mei 2008)

Kekanda
Lama sungguh tiada sua
Jarang pula mendakap berita
Rindu pun mendera

Hari ini
Ayahanda mengirim khabar
Kekanda yang muda
Bakal bertakhta

Di hari istimewa
Putih bersih persalinanmu
Harum wangi langkahmu
Senyum lama di wajahmu
Tempias syukur bonda
Aku turut terasa

Kekandaku
Lenyap sudah derita
Berganti sedulang bahagia
Hadiah dariku cuma doa
Semoga kekal bersama

Selamat pengantin baru, kekanda!

20 Mei 2008 (7.40 pm)
King's College London

PAHLAWAN BISU

(penyair itu mujahid)

Penyair adalah pahlawan bisu
Tiada suara
Tapi lantang

Diam pahlawan itu ilmu
Mata adalah saksi
Hati menjadi bukti
Sedang pena berperang

Jihad untuk agama
Bicara kalimah Tuhan
Mengukir pahala
Membenam jahanam

Tajam pena penyair
Kilaunya kelak berbayang
Bermadah pada Tuhan
Syurga pun terang

20 Mei 2008 (7.00 pm)
King's College London

Monday, 19 May 2008

INDAH SENJA

(nikmat Tuhan)

Merah jingga langit manja melambai rindu
Memanggil pulang camar belum dewasa
Mengah berpaut pada tangga gunung
Gebu awan terpalit kicau tawa senda gurau
Memayung silau pasir menghampar bumi
Halus putihnya hilang bersama hangat petang
Desir gemalai pepohon terlentuk bahagia
Berhembus bayu senja melantun ombak kerdil
Pantai tersenyum ria gelora sudah tiada
Dalam dakapan suria yang beransur pulang

19 Mei 2008 (7.50 pm)
King's College London

Sunday, 18 May 2008

KHAZANAH SYURGA

(isteri itu khazanah)

Langit sudah terkuak luas
Malaikat gegak berasak
Melepaskan sayap-sayap
Bercahaya suatu nikmat
Kurnia dari Tuhan

Hati yang memasungkan iman
Tenang disuluh kilau cinta
Zahirnya dari gerbang syurga
Yang padu dengan janji-janji
Tak mungkin sekali berdusta

Khazanah syurga
Adalah halus pekerti isteri
Memekatkan sayang dan rindu
Pada si suami berdarah jihad
Dalam guruh bertaufan semangat
Mendera ribut yang membunuh

Itulah kurnia dari Tuhan
Itulah khazanah syurga

19 Mei 2008 (6.30 am)
King's College London

BILA?

(diilhamkan idris, aku itu adalah semua yang masih solo)

Dari jauh
Lebar senyumnya
Ada makna
Makin dekat
Makin galak

Aku hanya tahu
Bersalam
Mulut berat
Untuk dituturkan;
Tahniah!

Bimbang
Kalau tutur itu
Berbalas halus;
Engkau
Bila lagi?

18 Mei 2008 (11.20 pm)
King's College London

Saturday, 17 May 2008

KERANA HARI LAHIR

(setahun cuma sekali?)

Kerana namanya Hari Lahir
Ramai mahu berkenalan
Seperti tidak pernah bersua
Padahal dulu makan semeja

18 Mei 2008 (1.15 am)
King's College London

KALAU ESOK TIADA

(esok yang belum pasti)

Kalau esok tiada
Malam ini tak lena
Segenap benakku
Hanya ada mati

Kalau esok tiada
Malam ini tiada suka
Seluruh suaraku
Merintih redha

Kalau esok tiada
Ini malam terakhir
Di atas sejadah
Bertemu Tuhan

18 Mei 2008 (12.30 am)
King's College London

SEUTAS SEMANGAT

(jangan ia putus)

Seutas semangat
Kuat mengikat
Pada sedu sedan
Yang pekat

17 Mei 2008 (6.55 pm)
King's College London

KASIH KAIN PELIKAT

(rindu pada ayah)

Sehelai kain pelikat
Di pinggang kecil ayah
Hadiah istimewa
Dari seorang isteri

Ke sekolah petang
Kain itulah yang mengalas cekal
Ke surau
Kain itulah yang melembarkan pahala

Banyak bau kain pelikat itu
Menjadi hiduan kami
Dan puntung kaki laju terangkat
Bila bau itu mendekat

Lebih banyak kasih yang melekat
Di celah petak-petak
Yang kami tak nampak
Betapa ia hanya dilihat
Dengan hati yang merasa

Sehelai kain pelikat
Yang dibangga ayah
Sudah berbau rindu

17 Mei 2008 (6.50 pm)
King's College London

Friday, 16 May 2008

MAAFKAN KAMI, CIKGU

(Selamat Hari Guru, Cikgu)

Maafkan kami cikgu
Kalau engkau jemu
Menatap wajah sama
Bertanya soalan serupa

Maafkan kami cikgu
Kalau lidahmu kelu
Menegur salah silap
Bimbang dibalas biadap

Maafkan kami cikgu
Kalau engkau malu
Akan pekerti kami
Yang meresahkan hati

Maafkan kami cikgu
Kalau hatimu rindu
Menunggu berita baru
Dari setiap muridmu

Maafkan kami cikgu
Kalau engkau bersendu
Kerana kami bisu
Walau di Hari Guru

16 Mei 2008 (7.30 am)
King's College London

GURU PERTAMA

(yang pertama itu ialah ibu ayah)

Guru pertama
Adalah yang mengajar berjalan betul
Supaya langkah tak tersadung

Dia memimpin
Untuk kita mula berjalan
Setiap langkah yang menapak
Tangannya kemas mendakap

Kadang ada jatuh
Bila mahu berlari anak
Dan dia yang menguatkan
Dipaksa diri merangkak

Itulah guru pertama
Yang mengajar berjalan betul
Sehingga hari ini
Kita mampu berlari

16 Mei 2008 (9.30 am)
King's College London

Thursday, 15 May 2008

DEMI SEBUAH KEBEBASAN

(kenapa lelaki terkejar lelaki?)

Dunia dekat kiamatkah
Kalau hari ini
Lelaki sudah tak kenal wanita

Demi sebuah kebebasan
Mereka menagih laknatMu
Pelik
Bila bahagia di pintu neraka

Oh Tuhan
Selamatkan kami
Dari kepincangan maha dahsyat ini

15 Mei 2008 (11.20 pm)
King's College London

Wednesday, 14 May 2008

TIDUR ANAK PALESTIN

(sempena memperingati 60 tahun Peristiwa Nakbah)

Tidur anak-anak Palestin
Lantai batu beratapkan awan hitam
Kadang selimut angin yang kencang
Menerbangkan lena berwajah segan
Meninggalkan serpih tulang si ayah
Dalam pelukan rindu yang tak sudah

Tidur mereka didodoi asap berapi
Makin mendayu makin hilang mimpi
Sekali sekala peluru hinggap menggigit
Sering dikuis tangan-tangan yang kecil
Untuk sekeping tilam yang menjadi abu
Mana mungkin berkelambu gebu

Saat terjaga haus pula menjengah
Mujur di sisi ada kencing adik semalam
Sedang perut sudah seminggu tak terisi
Syukur, itulah rezeki siang dan malam
Lapar mereka telah lama hilang
Dalam kenyang dunia yang curang

15 Mei 2008 (12.20 am)
King's College London

AKU INGIN

(tak tercapai tanganku)

Aku ingin
Menjadi pewaris nabi
Tapi kalau nabi melihatku
Bertambah sedihnya

Aku ingin
Menjadi pendamba syurga
Tapi kalau dinilai amalku
Terkatup pintunya

Aku ingin
Menjadi pejuang agama
Tapi kalau begini usahaku
Luluh harapannya

Aku ingin
Menjadi pemuja Tuhan
Tapi kalau bukan Dia di hati
Terbuanglah aku

14 Mei 2008 (7.50 pm)
King's College London

Tuesday, 13 May 2008

AIR MATA TUHAN

Sudah dunia terkejar-kejar
Dan tak dapat apa yang dimahu
Kita kembali ke sejadah
Menangis sebanyaknya
Tapi tak pernah bertanya
Saat kita tinggalkan Tuhan
Adakah Tuhan turut menangis?

Maksiat susah mahu dijauhi
Sedang Tuhan memerhati
Kita tersedar bila puas
Mengeluh dosa yang tak sudah
Tapi tak pernah bertanya
Saat kita lupakan Tuhan
Adakah Tuhan turut menangis?

13 Mei 2008 (5.15 pm)
King's College London

Monday, 12 May 2008

SUARA BUMI

(bumikah yang bersalah?)

Hoi manusia!
Ke sini kau
Aku mahu memberitahu

Kalau batu-batu besar menghempap
Kejutkan akalmu yang lelap

Kalau ribut yang kelam kabut
Tanyakan imanmu yang tercabut

Kalau gempa yang bertimpa-timpa
Selak kitab amalmu yang nestapa

Kalau banjir hadir tanpa silu
Tegur maksiatmu yang tiada malu

Kalau gunung termuntah api
Temukan butir redha yang menyepi

Jangan sekali kau salahkan aku
Kalau dosa itu adalah milikmu

12 Mei 2008 (7.20 pm)
King's College London

PEMBUNUH REDHA

(dengan apologi kepada mangsa rogol dan bunuh)

Satu jasad tanpa nyawa
Di celah-celah semak dosa
Ulat laknat terlompat-lompat
Bersama bau baru diperkosa

Kita masih sibuk menjejak
Pembunuh Nuryn, penculik Sharlinie
Redha yang mayatnya mereput
Sengaja pula dipandang sepi

Laporan siasatan siapa mahu peduli?
Kalau mahkamah hati pun terkunci
Langsung bisu si pendakwa raya
Tiada pula peguam bela

Pembunuh redha masih bebas
Sebab tiada yang mahu mengaku
Sedang kita yang menjadi sekutu
Siapa berani menyerah dahulu?

(bagi mengelak kekeliruan, ejaan sebenar ialah 'reda')

12 Mei 2008 (5.40 pm)
King's College London

Saturday, 10 May 2008

IBUKU TIDAK PANDAI

(ma, aku rindu)

Ibuku tidak pandai
Menghantar mesej ringkas
Setiap yang dikirim
Bisu yang berbalas

Ibuku tidak pandai
Meneka mana Eropah
Cuma di benaknya
Mahu ke Mekah

Ibuku tidak pandai
Menghadap teknologi
Hari ini ia belajar
Esok diajar lagi

Ibuku tidak pandai
Memakai baju mahal
Ke mana jua pergi
Kurung tak ditinggal

Ibuku tidak pandai
Mengerah amarah
Tapi tajam jelingnya
Buat kami bersalah

Ibuku tidak pandai
Berbicara syahdu
Hanya tutur mata
Meluahkan rindu

11 Mei 2008 (8.00 am)
King's College London

CINTA YANG TERASING

(apresiasi buat bonda Naimah sempena Hari Ibu 11 Mei 2008)

Cinta yang terasing
Adalah cinta yang terpulau sendiri
Ibarat ada dalam tiada
Ia diam di situ
Sepi

Dan hari ini
Kita kembali tercari
Sebuah cinta yang berdebu alpa
Hidupnya segan matinya enggan
Sebab suramnya dalam cahaya

Cinta yang sering kita pinggirkan
Kini memaut rindu yang dalam
Rindu yang menghanyutkan kita
Kembali ke pangkuan sepi

Temukan cinta itu
Kita bersihkan debunya
Kita suburkan kembali
Sebuah cinta yang terasing
Untuk dibawa ke negeri abadi

Pada Ahad yang menjadi saksi
Kita pasakkan cinta itu
Di daerah hati yang subur
Kita baja dengan rindu
Melenyapkan sepinya yang lama

10 Mei 2008 (7.00 pm)
King's College London

Friday, 9 May 2008

PUTIH

(lahir dengan putih, matilah dengan putih)

Putih lampin di tubuh kecil
Belajar bernyawa sendiri
Payah
Sekali-sekala ada tangisan
Menyambut senyum saudara

Putih jiwa yang lahir bersama
Yang putih akan tetap begitu
Payah
Dikotakan janji dengan Tuhan
Sebab putih itu terlalu kosong

Putih kafan di tubuh layu
Nyawa pun sudah tiada
Payah
Jiwa yang mati bersama
Kembali putih seputihnya

10 Mei 2008 (6.30 am)
King's College London

TERLALU MENCINTAI

(sampaikan salam cintaMu padaku, Tuhan)

Kerana terlalu mencintai

Tuhan tak tahu benci

Kerana terlalu mencintai

Tuhan tak reti marah

Kerana terlalu mencintai

9 Mei 2008 (7.50 pm)
King's College London

Thursday, 8 May 2008

TANGIS SEORANG HAMBA

(ya Tuhan, aku tangiskan rasa gundah ini padaMu)

Malam gelap tiada seurat cahaya
Purnama murung di balik awan hitam
Menatap sayu titis-titis air mata
Seorang hamba yang bersendu duka

Di ruang yang paling daif
Hamba itu menangis dalam ketakutan
Bimbang hangat murka tuannya
Hadir ditiup dingin bayu malam

Kerana ia seorang hamba
Jerihnya langsung tak boleh dibicara
Penat lelah enggan duduk nestapa
Lantas mana ia mahu kenal amarah?

Di depan tuannya
Ia seorang hamba yang gagah
Sebab seorang hamba diupah
Bukan untuk disembah

Dalam tawa seorang hamba
Ada ngilu subur melata
Dalam senyumnya
Ada bahagia yang berdusta

Derita yang dirasa
Tak terdaya lagi disimpan lama
Dan awan hitam menjadi saksi
Panjang tangisnya di malam itu

Disangka pilunya sendiri
Sebab malam itu purnama bisu
Sedang tuannya dekat di situ
Setia menadah titis-titis air mata
Dari seorang yang bergelar hamba

8 Mei 2008 (8.40 pm)
King's College London

Tuesday, 6 May 2008

NOKHTAH

(ayat kehidupan ada nokhtahnya)

Ayat-ayat kehidupan
Kata orang indah nian
Banyak tanda koma
Sugul terkesima
Banyak tanda soal
Gelisah benak dangkal
Hilang tanda seru
Tersentak keliru
Nokhtah sudah terang
Berhentilah sekarang.

6 Mei 2008 (7.20 pm)
King's College London

Monday, 5 May 2008

PILIHAN RAYA

(siapa pilihan kita?)

Sebuah pilihan raya
Di parlimen dunia
Setiap rakyat punya kuasa
Mengundi kerajaan syurga atau neraka

Kerajaan syurga
Calonnya seorang
Suaranya pula jarang
Yang banyak manifesto usang
Rakyat sengaja terlepas pandang
Mujur ada yang berfikir matang
Setia mati dalam berjuang

Kerajaan neraka
Calonnya banyak tak terkira
Suaranya lantang di mana-mana
Sampai ke ceruk hati yang lara
Kempennya lama membuta gila
Semua cara habis diguna
Halal haram belakang kira

Pilihan raya dunia
Tiada yang dipaksa mengundi
Tiada yang tidak mengundi
Tiada yang merosakkan undi
Sebab semua dapat tempias

Sayang
Majoriti berjuta
Undi kerajaan neraka
Calonnya kini berkuasa
Mentadbir segenap bucu dunia
Sehingga semua merasa
Hangat api neraka

5 Mei 2008 (11.00 am)
King's College London

Sunday, 4 May 2008

NAFAS HAMBA

(tiada yang mengerti kecuali Tuhan yang memberi)

Detik nafas mahu berkelana
Ditemani pekat darah yang setia
Butir-butir gerimis pilu mengikut jua

Aduhai Tuhan
Payahnya bernafas dalam jiwa hamba
Semua mahu bergerak bersama

Menjelajahi liku-liku
Mencair titis-titis darah pekat
Sedikit mahu mengeras merah
Tapi banyak sudah lemah
Menjernih menjadi gerimis pilu

Gerimis ikut gelisah
Jernihnya masih sukar diterka
Sedang nafas kian basah dalam sendu
Sendirian ia meratap kehilangan
Kerana gerimis tidak memahami
Perit berjalan tanpa setitis darah

Bertahanlah wahai nafas hamba
Walau gerimis yang menemani jalanmu
Tapi kau beruntung ia masih setia
Untuk dibawa ke mana-mana
Nanti warnanya jua merah
Seperti pekatnya darah

4 April 2008 (2.40 pm)
King's College London

Saturday, 3 May 2008

KENTUT

(kentutlah kuat-kuat)

Sakit perut
Anak syaitan

Angin syurga
Gegak galak

Kumpul lagi
Dan lagi

Derau kencang
Kentut dosa

Hapus bara
Neraka gila

3 April 2008 (1.oo am)
King's College London

Friday, 2 May 2008

TAK SEMPAT

(selamat tinggal nikmat)

Senja tadi
Azab menyinggah
Memujuk tinggal bersamanya

Malam ini
Aku mengemas
Tak sempat sudah
Mengucap selamat tinggal
Kepada nikmat

3 Mei 2008 (2.30 am)
King's College London

PENAT II

(ya Allah, dulu banyak rehat kini tahu penat)

Pada siapa mahu aku tangiskan kepenatan ini?
Tolong, Tuhan!
Diam

Pada siapa mahu aku tangiskan kepenatan dahsyat ini?
Tolong, Tuhan!
Senyap

Pada siapa mahu aku tangiskan kepenatan celaka ini?
Tolong, Tuhan!
Bisu

Tuhan, aku mahu menangis akan secubit kepenatan ini
Pada siapa?
Tuhan

3 Mei 2008 (2.10 am)
King's College London

HILANG

(kembalikan)

Hilang rehat
Penat
Amat

Berkat
Malam pekat
Taat

Kuat
Sesat
Ikat ketat

3 Mei 2008 (2.00 am)
King's College London

UBAT TAUBAT

(jangan ia tercicir)

Hati yang sakit melarat
Bila kuman dosa menyendat
Memekat hitam darah laknat
Di mana terbuang ubat taubat?

2 Mei 2008 (8.40 am)
King's College London

Thursday, 1 May 2008

PASAR MAUT

(ramai pengunjungnya)

Berpagi ke pasar maut
Ramai benar pelanggannya
Memekik melolong
Menempah bangkai maut

Ada yang beratur panjang
Sampai ke lorong-lorong rahim
Ada yang mengasak gelojoh
Menolak pelanggan-pelanggan tua

Penjualnya tenang bersahaja
Tersengih melihat gelagat mereka
Sebab dia sendiri yang tahu
Pelanggan mana yang lebih perlu
Dan siapa yang berkunjung tapi tak mahu

Bangkai-bangkai maut
Semua pelanggan dapat membeli
Tiada yang pulang berkecil hati
Cuma tinggal cebisnya yang tersisa
Direbut mereka yang tadinya malu

2 Mei 2008 (12.50 am)
King's College London

SEPUCUK SURAT DARI SYURGA

(lama tiada khabar darinya)

Sepucuk surat berhabuk
Terjumpa dalam runtuhan dosa
Dikirim seorang teman lama
Lama tiada sua
Lama tiada bicara

Ada tompok air mata yang masih basah
Bertanya khabar teman-teman lama
Yang dahulu mesra bersama
Tapi satu demi satu
Hilang tiada berita

Mengundang kami ke terataknya
Seolah ia baru berpindah
Sedang kami tahu helahnya
Mahu berkongsi cerita baru
Yang sengaja kami sembunyikan

Undangan darinya
Payah benar mahu kami penuhi
Hari ini ada kenduri maksiat
Esok pula bersama keluarga
Lusa rasanya bercuti di neraka

Tapi dalam surat ini
Tiada tarikh, tiada juga hari
Ah, tunggu sahajalah si ajal datang
Nanti boleh bersama ke sana
Dan harap kami ia masih merindu

1 Mei 2008 (4.35 pm)
King's College London

TAK CUKUP!

(aduhai manusia)

Tak cukup! Tak cukup!
Masa yang diberi di Mahsyar
Ribuan tahun itu terasa belum cukup
Untuk direnangi lautan keringat
Mahu sejukkan badan lama-lama
Dalam keringat dosa dunia

Tak cukup! Tak cukup!
Dengan bertimbun bara digalas
Sudah banyak diberi, mahu cari sendiri
Sedang muka sudah mencium tanah
Mahu hangatkan badan seenaknya
Dalam panas neraka gila

Tak cukup! Tak cukup!
Aduhai kempunan sungguh
Mencari dosa yang belum cukup
Nantilah engkau manusia
Biar Tuhan cukupkan sengsara
Di akhirat sana

1 Mei 2008 (11.35 am)
King's College London

Wednesday, 30 April 2008

GERABAK DOSA

(panjangnya tak terkira)

Gerabak-gerabak dosa
Bertolak dari sebuah kota syurga
Laju menghala ke gaung neraka

Gerabak-gerabak dosa
Dulu Adam yang memandu ia
Tapi katanya sudah penat mahu berehat
Mujur anak-anaknya ramai

Gerabak-gerabak dosa
Makin jauh dari kota, makin panjang ia
Makin laju pula dipandu anak Adam
Tapi semua tak tahu di mana mahu berhenti
Kesian, Adam lupa memberitahu?

Gerabak-gerabak dosa
Anak-anak perlu tahu untuk singgah
Nanti semua penat, semua mahu rehat
Dan ada pahala yang mahu bertemu
Melukut di sepanjang-panjang landasan

Gerabak-gerabak dosa
Anak-anak Adam pun sudah terlena
Penat menambah gerabak baru di tengah jalan
Sedang ia masih bergerak
Menghampiri gaung neraka

30 April 2008 (6.50 pm)
King's College London

KIAMAT YANG JAUH

(esok itu jauh?)

Anak muda leka bermain
Dengan patung-patung zina
Yang dibeli ibu ayah
Disangka kiamat itu jauh

30 April 2008 (7.00 pm)
King's College London

INGATKAN

(manfaatkan sisa nafasku, Tuhan)

Tuhan
Ingatkan aku pada derita ajalku
Agar aku tahu untuk sujud

Tuhan
Ingatkan aku pada ngeri kubur
Agar aku tahu untuk mengaji

Tuhan
Ingatkan aku pada kelam mahsyar
Agar aku tahu untuk berzikir

Tuhan
Ingatkan aku pada sengsara di sirat
Agar aku tahu untuk merintih

Tuhan
Ingatkan aku pada azab neraka
Agar aku tahu untuk mengingatiMu

30 April 2008 (3.20 pm)
King's College London

Tuesday, 29 April 2008

ZIARAH DUNIA

(semalam lahir, esok mati)

Dunia yang sedang kita tatap ini
Terasa lamanya bagai tak berpenghujung
Dihias dugaan yang bertimpa-timpa
Kita meminta disegerakan mati

Dunia ini tidak lain hanyalah untuk ziarah
Ziarah adalah sekadar singgah
Kerana bukan dunia destinasi manusia
Tapi akhiratlah kampung halaman
Kelak kita akan pulang jua ke sana
Pasti

30 April 2008 (2.20 am)
King's College London

RISAU II

(risaukan aku tentang akhirat, ya Tuhan)

Risau dunia
Mahu mati
Tutup hati
Risau akhirat

29 April 2008 (4.45 pm)
King's College London

LURAH DUNIA UNTUK LEMBAH NERAKA?

(Ya Allah, leraikan cintaku pada dunia)

Berat hati ini Tuhan
Untuk ditelusuri lurah sempit
Terasa ia diukir padu
Pada dinding sebuah gunung
Dan tidak kutahu
Dari mana pangkalnya
Ke mana hujungnya

Ya Tuhan
Hadirkan ribut semangat
Tiupkan gelombang syahadah
Merobohkan gunung yang maha besar ini
Biar airnya mengalir ke lurah
Menghanyutkan aku ke muara syurga

Tiba di sana
Aku pasti ditanya
Untuk apa membina sebuah gunung?
Sedang aku sendiri tahu sukarnya mendaki lurah
Untuk apa pula merintih di mahsyar?
Sedang di dunia tempat meminta

Kalau saat itu
Aku bisu
Aku malu
Aku lari jauh-jauh
Ke mana lagi mahu kutuju?
Kalau bukan ke lembah neraka?

29 April 2008 (3.00 pm)
King's College London

Monday, 28 April 2008

BILA MALAS

(apa nak jadi?)

Bila malas
Bebas

Bila malas
Terlepas

29 April 2008 (1.20 am)
King's College London

KASIH AYAH

(ayah, aku rindu)

Merenung kedut wajahmu
Hati membisik rindu
Pada sebuah kasih

Ayah
Lama sungguh engkau hilang
Bersama sayup suaramu yang tua
Atau mungkin tuturku dusta
Sedang jiwa berlagu sendu

Aku mencari
Bicaramu yang menguatkan
Dalam lembar-lembar kenangan
Untuk kugagahi
Hidup berair mata

Bersama hari-hari lalu
Aku meninggalkanmu ayah
Sepi di hari tua
Maafkanlah

Oh Tuhan
Pada kasihnya seorang ayah
Khabarkan kerinduan ini

28 April 2008 (10.35 am)
King's College London

Sunday, 27 April 2008

TIDAK SENDIRI

(gabbana, kau punya teman)

Teman
Aku tahu resah benakmu
Aku tahu nafas sengsaramu
Walau engkau tak pernah memberitahu

Aku di sini
Untuk dikhabarkan tangis tawa
Kerana aku seorang kawan
Yang juga punya rasa

Usah engkau sendiri
Mengutip cebis-cebis derita dari Ilahi
Menjadi sehelai permaidani
Menghampar ke syurga yang suci

Gelisahmu
Adalah hadiah untukku
Mana mahu kutemu bahagia?
Sedang engkau menangis sendiri

Teman, engkau tidak sendiri
Bersama kita mencari
Sebuah teratak usang
Seindah mahligai abadi

28 April 2008 (1.00 am)
King's College London

Saturday, 26 April 2008

MENCARI MUHAMMAD

(semoga kita ditemuinya)

Ke sana sini
Resah
Dalam banjir keringat
Matahari tersenyum dekat

Payah benar mahu berlari
Di sana ada perut bergolek
Di sini ada kepala diseret

Mencari Muhammad
Di celah-celah tapak kaki
Haram mahu ketemu

26 April 2008 (11.10 pm)
King's College London

DILEMA SI TUKANG JAHIT

(mahu menjahit keredaan dengan jarum dosa?)

Dari lubang ke lubang
Rancak jarum itu menari
Mengait benang-benang
Menjadi hamparan

Sayang
Hamparan berona neraka
Benangnya reda
Tapi dijahit jarum dosa

26 April 2008 (11.00 pm)
King's College London

SUCI

(semoga kita kembali dalam keadaan suci)

Jiwa yang suci
Hadirnya dari Tuhan
Bukan untuk dicemari
Tapi untuk dihiasi

Sedang di dunia
Ia dilumpuri najis
Banyak warnanya
Banyak baunya

Sucinya jiwa sudah pun hilang
Kalau hari ini diminta Tuhan?

26 April 2008 (10.50 am)
King's College London

SATU PELUANG

(mahu peluang ke syurga)

Jika diberi satu peluang
Aku mahu lari dari benua ini
Hari-hariku dihangatkan panas neraka
Malang sedarku bila jiwa pun hangus

Jika diberi satu peluang
Aku mahu cari teratak usang
Yang lantainya beralas sejadah putih
Sedang aku gagap mengaji

Jika diberi satu peluang
Aku mahu gari tangan seorang teman
Tahu bila aku bahagia, bila aku derita
Sebab kini hilangnya tak berganti

Jika diberi satu peluang
Aku mahu dikelilingi malaikat
Untuk mengajarku makna sebutir dosa
Nanti ada peluang aku ke syurga

26 April 2008 (10.35 am)
King's College London

TEMAN BERNAMA IMAN

(kawan, iman tak boleh hidup sendiri)

Kau boleh hidup sendiri
Makan sendiri
Mandi sendiri
Pakai sendiri
Semua sendiri

Tapi kau punya teman
Yang hidupnya seperti anak kecil
Makannya perlu disuap butir-butir hidayah
Mandinya perlu dijirus titis-titis tazkirah
Pakainya perlu dikemas ikatan ukhuwah

Kawan, iman itu teman
Walau kau tak pernah melihat ia
Tapi aku tahu kau punya rasa
Untuk membelai manja

Ia teman paling akrab
Setia bersama ke mana-mana
Jangan pula kau tinggalkan ia
Nanti matinya tiada bertanda

25 April 2008 (9.40 am)
King's College London

LUPA

(maafkan aku, Tuhan)

Saat sengsara bunting hadir bertamu
Hati meraung menggempar langit ketujuh
Yang gila marah pada Tuhan Yang Pengasih
Yang tahu minta pada Tuhan Yang Penguji

Saat bahagia datang beranak-pinak
Hati melonjak mahu dikhabarkan seluruh benua
Yang gila tahu pula alas berbahasa
Yang tahu gila mengejar bahana

Benar kataMu Tuhan bahawa manusia itu lupa
Lupa ia hanya setitis mani yang hina
Lupa ia berjanji hidup mati untuk agama
Lupa ia lahir sebagai hamba bukannya raja
Lupa ia pada Tuhan tempat hidup paling lama

Oh Tuhan
Aku jua manusia seperti itu
Dan aku malu untuk merayu
Kiranya sudi Engkau ingatkan aku

25 April 2008 (9.30 am)
King's College London

PESONA DUNIA

(indahnya di mata, bukan di hati)

Pesona dunia
Indahnya menawan
Seakan tidak ada ganti
Seakan syurga tiada nanti

Dunia ini
Ada pangkat di mana-mana
Ada permata di mana-mana
Ada teman di mana-mana

Manusia dan dunia
Umpama gunung dan pasak
Ada gunung, ada pasaknya
Ada pasak, tak perlu gunungnya

Dunia yang mempesona
Adalah batu-batu di tepi jalan
Adalah bangkai yang terbuang
Sebab indahnya sekadar di luar
Sedang isinya sudah dicemar

24 April 2008 (5.20 pm)
King's College London

RISAU

(cepatlah berlabuh)

Penat aku mahu lari
Dari kerisauan yang gila ini

Tuhan
Kalau ini jalanku
Mudahkanlah
Kalau ini nokhtahku
Hentikanlah
Kalau ada jalan lain
Bukalah seluasnya

Tiada mampu lagi aku lari
Kerana hanya Engkau Yang Memahami
Akan kerisauan ini

23 April 2008 (8.55 pm)
King's College London

Monday, 21 April 2008

LUMPUH

(tiga minggu aku harus lumpuh)

Dalam kepayahan untuk sujud
Mudah pula diulit lena nan panjang
Bertilam lalai berselimut angkuh
Tanpa ada rasa gulana

Satu-satu jemari pantas menari
Sambil menjeling daun-daun kering
Menambah kedangkalan benak
Seolah kuntum ilmu harumnya lama

Senyum melebar menebar bangga
Sedang hati menjerit perit
Akan sebuah ujian maha besar
Semakin hampir
Bahagia atau derita?

Wahai Tuhan Yang Menyempurnakan Hati
Ikat kakiku
Butakan mataku
Patahkan tanganku
Aku mahu lumpuh!

21 April 2008 (5.45 pm)
King's College London

Sunday, 20 April 2008

KHABARKAN

(hati makin kontang dari titis-titis rahmat Tuhan)

Lama hati menyendiri
Sembunyi dari kekalutan syahadah
Kini mahu kembali
Menadah kalimah Tuhan

Oh khabarkanlah
Pada hati yang sunyi ini
Tentang payahnya mendaki puncak redha
Tentang mudahnya dimamah usia muda
Tentang Tuhan Yang Ada

Hati yang terpulau
Disarati rindu yang agung
Setelah lama hilangnya ia
Dan kini di sini kembali
Maka kau hadirkanlah sekelumit ingatan

20 April 2008 (4.10 pm)
King's College London

Friday, 18 April 2008

AKU BUKAN DIA

(anak-anak Palestin, andai aku tahu deritamu)

Andai aku adalah jirannya
Aku tak ada beras untuk ditanak
Apa lagi untuk aku hulurkan padanya

Andai aku adalah warisnya
Aku tak punya sedikit wang
Untuk kubelikan sepatu usang

Andai aku adalah ibunya
Aku tak tahu mana mahu kucari setitis susu
Di mana-mana hanya ada air mata

Andai aku adalah dia
Aku tak pandai makan sembunyi
Sebab di luar adikku mati kering

Tapi aku bukan jirannya
Bukan warisnya
Bukan ibunya
Bukan dia

Aku hari ini menatap lap top
Di tanganku sekeping pizza basi
Di luar pintu sepatu Gucci yang berbau baru
Tidak ada yang perlu aku gundah
Kerana aku bukan dia
Yang lahirnya sekejap cuma

18 April 2008 (3.35 pm)
King's College London

LINGKARAN MAUT

(tak siapa terlepas)

Maut adalah lingkaran-lingkaran yang menjalar
Mencari-cari tempat untuk memaut
Lehermu dan leherku

Kalau hari ini engkau yang disinggahinya
Esok aku menanti dalam kegelisahan

18 April 2008 (3.28 pm)
King's College London

SATU

(mari kita satukan yang beribu)

Umat yang satu
Wajahnya seribu satu
Umat yang satu
Hatinya tetap satu

18 April 2008 (3.25 pm)
King's College London

BISIK HATI

(semoga sempat dibisikkan)

Pada iman yang sedang nazak
Terputus-putus nafasnya
Tersekat-sekat tuturnya
Berombak dadanya
Mati itu sungguh dekat sudah

Benak pun hadir tercungap
Berbisik garang

Pada Tuhan Yang Memelihara
Engkau berpura-pura
Pada Tuhan Yang Memberi
Engkau memandang sepi
Pada Tuhan Yang Memahami
Engkau menangis sendiri
Pada Tuhan Yang Berjanji Setia
Engkau mungkir padaNya
Pada Tuhan Yang Mengasihi
Engkau membenci
Pada Tuhan Yang Menanti
Engkau meninggal pergi

Iman
Sekarang hitunglah detik-detik yang tersisa
Sedang masa panjang yang dahulu kau binasakan
Dengan segala keangkuhanmu
Dengan segala kecuranganmu

Bisik hati
Pada Tuhan Yang Menerima Ampun
Kembalilah

18 April 2008 (11.40 am)
King's College London

Tuesday, 15 April 2008

HIDUP UNTUK HIDUP

(kematian adalah kehidupan)

Tuhan ciptakan kau dan aku
Bukan untuk hiasan dunia
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan hadirkan kau dan aku
Bukan untuk ingkar padaNya
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan rezekikan kau dan aku
Bukan untuk bermewah
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan matikan kau dan aku
Bukan untuk menamatkan hayat
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan bangkitkan kau dan aku
Bukan untuk sekadar menunggu
Sebab hidup untuk hidup

Teman
Mati bukan pengakhir segala
Sebab hidup ini untuk hidup yang abadi

15 April 2008 (3.30 pm)
King's College London

MIMPI SYURGA

(mari bermimpikan kenikmatan syurga)

Mimpi-mimpi syurga
Berteduh di bawah redha Tuhan
Yang janjiNya sedang terukir kemas

Mimpi-mimpi syurga
Sesejuk sungai madu yang mengalir
Diteguk sedikit hilang dahaga

Mimpi-mimpi syurga
Pohon-pohon ditiup hangat bayu
Lazat buahnya pembuka selera

Mimpi-mimpi syurga
Ziarah teman keluarga itu adat
Walau dahulu tidak pernah tahu

Mimpi-mimpi syurga
Ilmu dikutip setiap penjuru
Tentang Tuhan yang sungguh ditaati

Mimpi-mimpi syurga
Ayuh kita bermimpikan ia
Ayuh kita menuju bersama

15 April 2008 (10.25 am)
King's College London

Monday, 14 April 2008

EMPAT PAGI

(dalam gelap mencari Tuhan)

Empat pagi
Di universiti
Sudah lali
Hafal formulasi
Mahu kembali
Bilik sendiri

Empat pagi
Lorong sunyi
Jauh sekali
Unggas sepi
Seorang diri
Rasa ngeri

Empat pagi
Katil berseri
Sejadah iri
Subuh mati
Hati berlari
Memujuk Ilahi

14 April 2008 (12.00 pm)
King's College London

Saturday, 12 April 2008

REHAT PANJANG

(letih hari ini semoga berbayar)

Hidup ini meletihkan
Kiri kanan ada sahaja ujian berlari
Diri terkejar ke sana sini
Menghambat ujian atau dihambat?

Letih di sini cukup sebentar
Sekadar masuk ke suatu teratak
Gopoh keluar dari dapurnya

Letih di dunia tiada apa
Andai mahu dibanding titis peluh di akhirat
Sebab di sana semua tahu rasa letih
Memerah keringat yang tak akan kering
Di situ jua ada rehat panjang
Buat siapa yang dahulu keletihan

12 April 2008 (3.35 pm)
King's College London

Friday, 11 April 2008

SEBERKAS AIR MATA UNTUK TUHAN

(terimalah, ya Tuhan)

Butir-butir air mata
Yang gugur bagaikan gerimis panjang
Pada malam yang berselimutkan kesayuan
Atas tikar sembahyang yang usang
Adalah hadiah untuk Tuhan

Jatuhnya air mata
Bersama dosa-dosa yang tersengaja
Dalam keasyikan dunia berhias
Sedang nafsu meronta mahu bebas
Hati memujuk dengan kegelisahan

Demi Tuhan Yang Menzahirkan Malam
Benar air mata ini mahu sahaja dihadiahkan
Agar kelak tidak lagi ditangisi
Dosa-dosa yang belum sempat terampun
Bila tiba di hadapan Tuhan

Mengalir air mata ini dalam kepayahan
Dari hati yang sarat dibebani rindu
Pada cebis-cebis keredhaan yang tersisa
Akan aku hadiahkan setiap titis darinya untuk Tuhan
Walaupun seberkas cuma

11 April 2008 (5.15 pm)
King's College London

HITAM

(hitam bukan untuk dihina)

Hitam itu cantik
Sering dipandang jijik
Putih usah mendabik
Suara Bilal pun gemersik

11 April 2008 (11.05 pm)
King's College London

MODEN

(azabnya kemodenan yang sia-sia)

Moden hari ini adalah bangunan-bangunan tinggi
Sedang peri tidak ikut meninggi

Moden hari ini adalah jalan-jalan yang luas
Sedang nafsu tidak pernah puas

Moden hari ini adalah kapal-kapal besar
Sedang hidup makin tersasar

Moden hari ini adalah emas berselerakan
Sedang hati mahu lupa Tuhan

Moden hari ini adalah cinta-cinta palsu
Nanti di depan Tuhan tunduk membisu

11 April 2008 (10.55 am)
King's College London

TENGKORAK HIDUP

(kita hidup sementara untuk hidup yang abadi)

Manusia adalah tengkorak-tengkorak hidup
Yang diberi pinjam pakaian daging
Ke sana sini sibuk mengintai perhiasan
Untuk bermegah dengan baju pinjaman
Nanti bila baju pun diminta tuannya
Tengkorak-tengkorak hidup akan jua hancur

11 April 2008 (10.45 am)
King's College London

SIAPA TUHAN?

(kenapa bertuhankan waktu?)

Tahun sudah
Banyak yang sembahyang Raya
Aku pun ikut sembahyang
Raya itu Tuhankah?

Bulan sudah
Ramai yang puasa Ramadhan
Aku pun ikut puasa
Ramadhan itu Tuhankah?

Minggu sudah
Ramai yang baca Yasin di malam Jumaat
Aku pun ikut baca
Jumaat itu Tuhankah?

Semalam
Ramai yang duduk bertahlil arwah
Aku hanya ikut dengar
Mati itu Tuhankah?

Hari ini
Tak ada siapa aku lihat
Aku pun sudah tak bergerak
Siapa pula Tuhan kali ini?

10 April 2008 (6.45 pm)
King's College London

Tuesday, 8 April 2008

SIHAT DAN SAKIT

(Roslan, moga Tuhan beri sembuh)

Sihat adalah hadiah
Untuk kita bersyukur

Sakit adalah nikmat
Agar kita tidak kufur

Sihat dan sakit
Keduanya tidak pernah bersama
Sebab mesra mereka tiada

Bila sihat datang
Sakit hilang

Bila sakit melaram
Sihat muram

8 April 2008 (7.15 pm)
King's College London

PENAT

(usah kau penatkan aku untuk ke syurga, Tuhan)

Lari selangkah datang penat
Hilang sudah satu nikmat
Harap esok tiada laknat
Mahu masuk syurga cepat

8 April 2008 (7.05 pm)
King's College London

KALAU MATI ITU DI MUKA PINTU

(bertamu tanpa memberitahu)

Kalau mati itu di muka pintu
Aku tahu bukan aku yang mengundang

Kalau mati itu di muka pintu
Aku mahu kunci pintu kemas-kemas

Kalau mati itu di muka pintu
Aku tak mahu jawab salam darinya

Kalau mati itu di muka pintu
Aku duduk diam-diam di penjuru

Kalau mati itu di muka pintu
Dan kalau pintu pun terbuka sendiri?

8 April 2008 (1.35 pm)
King's College London

Monday, 7 April 2008

ADA PENCIPTA

(alam bukan semulajadi)

Fajar tersenyum
Kala awan malam tidak keruan
Itu tanda ada Pencipta

Purnama berzikir
Saat bayu senja mahu berdagang
Itu tanda ada Pencipta

Alam yang terhampar
Bukan episod-episod semulajadi
Yang ramai tak fahami
Lakon makhluk mengabdi diri

Bergemuruh tepuk tawa manusia
Tanpa ada fikir di pundak
Sedang alam mementas drama
Persembahan buat Pencipta

(7 April 2008) 4.40 pm
King's College London

Sunday, 6 April 2008

SALJI

(suatu kebesaran yang hadir untuk diiktibarkan)

Bayu hari ini membawa khabar dari langit
Sepoi dinginnya seolah mahu menyejuk hati
Mungkin Tuhan ingin bertanya perihal iman
Bersama gumpalan salji yang mengingatkan
Akan jalan pulang yang kian dilupakan

Di sini ada keping-keping putih berguguran
Bumi yang hijau sudah hilang warnanya
Sungguh Tuhan itu Maha Mengetahui
Tahu tiap rasa sang bumi
Ada bahagia, ada derita

Menghadirkan salji di celahan mekar bunga
Adalah kuasa yang tidak ada pada kami
Tapi Tuhan tahu itu yang didamba
Lantas sehampar bumi diwarnai dengannya

Hati yang lara
Acap dipujuk oleh rahmatNya
Seperti jua salji pembawa khabar
Agar kami tahu syukur tiada berbatas
Agar kami tahu sayang Tuhan itu luas

6 April 2008 (10.25 pm)
King's College London

YANG MULIA ITU WANITA

(wanita untuk dihormati, bukan untuk dipuja, jua bukan untuk dicerca)

Dicipta Tuhan bukan sekadar perhiasan
Tetapi pelengkap hidup seorang Adam
Dianugerah Tuhan bukan untuk dihumban
Tetapi perlu dijaga elok jua dimuliakan

Wanita itu
Lembutnya bukan pada lemahnya
Tapi pada peri yang menawan hati
Anggunnya bukan pada parasnya
Tapi pada ikhlas yang menyulam sanubari

Wanita hadir bukan untuk disenda
Jua bukan untuk bertakhta
Sebab Adam bukanlah sempurna
Untuk berbuat segala apa

Adam dan wanita
Mana boleh dipuja yang satu
Mana boleh dicerca yang lain

Yang mulia itu adalah wanita
Yang hari ini dipuja sedunia
Yang ada dikeji di mana-mana
Sebab ia tidak lain hanyalah diingat perhiasan

Kembalikan kemulianmu wanita
Usah kau biar dipuja
Usah kau biar dicerca

Wanita yang mulia
Adalah bila Tuhan muliakan ia

6 Mac 2008 (10.00 pm)
King's College London

Friday, 4 April 2008

RINDU SEORANG BONDA

(bukan salah bonda melahirkan)

Sarat beban dahulu masih terasa di bahu bonda
Tidak mahu rasanya dikutip derita sembilan purnama
Demi Tuhan Yang Memberi semua itu mudah baginya
Kerna nilai seorang anak bandingannya bukan harta

Kini anak yang dahulu menangis malam sudah dewasa
Memberi hadiah gelisah bersulam sepi di hati bonda
Seakan dahulu tidur bonda itu lena
Dalam kerenah anak yang tak tahu apa

Rindu di hatinya untuk anak yang tercinta
Sembilan purnama yang dahulu rupanya sekejap cuma
Andai mahu dibandingkan dengan seorang yang tiada di mata
Sungguh bonda cuba memujuk hatinya yang lara

Dikirim pesan agar si anak tahu syurga di mana
Harap bonda bukan untuk mengumpul harta
Jua bukan di hati anaknya mahu bertakhta
Cuma wajahnya yang senja dijenguk sekali-sekala

Dalam solat malam ada doa untuk si anak derhaka
Ikhlas rintihnya mengemis pada Tuhan Yang Setia
Agar si anak di mana pun tetaplah bahagia
Agar si anak turut berdoa untuknya

5 April 2008 (7.45 am)
King's College London

SAAT KEMATIAN

(saat yang sukar)

Detik dihitung
Penuh gelisah
Jiwa yang dikurung
Kini tahu pasrah

Tika malaikat maut mahu bersua
Tidak akan ke mana lagi kita lari
Sebab lama sudah kaki terikat
Pada suatu janji yang amat pasti

Garang wajah ia bermesra dengan nyawa
Gelojoh ia membawa amanah dari Tuhan
Tanpa ragu ditarik-tarik roh dari jasad
Bagai dihunus beribu pedang sakitnya

Ada tetamu diwajahi teman-teman rapat
Ada jua musuh yang dulu mahu ditempelak
Namun hati harus teguh pada fitrah iman
Jangan ia dibolak-balik dek murka Tuhan

Azabnya mati tak siapa mahu melihat
Nabi yang mahu menanggung pun sudah wafat
Teman, kita hari ini usah mencari laknat
Sebab helah diberi tidak akan sempat

Bertalu zikir menggoncang jasad
Seolah mahu menyambung nyawa
Tapi Tuhan itu janjinya sudah berabad
Akan setiap kita kepadaNya dibawa

Saat kematian itu perit
Usah lagi menjerit-jerit
Melawan takdir yang menghimpit
Kelak mati lebih sakit

4 April 2008 (6.40 pm)
King's College London

Thursday, 3 April 2008

WARNA DUNIA

(mewarnai lukisan untuk Tuhan)

Warna-warna dunia
Merona kehidupan
Asalnya latar putih
Kita pewarna kesucian itu

Warna merah
Untuk gagah pemuda
Jua amarah terkuda

Warna hitam
Untuk indah di mata
Jua dosa melata

Warna biru
Untuk bulat manusia
Jua laku yang sia

Warna ungu
Untuk binaan ke langit
Jua sifat jantan hangit

Warna jingga
Untuk bahagia bersinar
Jua wanita berpinar

Warna hijau
Untuk sejagat damai
Jua muslim yang mamai

Warna-warna dunia
Banyak coraknya
Untuk kita memilih
Untuk nanti disapa
Wajah Tuhan yang redha
Atau kita dimurka!

4 April 2008 (12.15 am)
King's College London

Monday, 31 March 2008

BEBASKAN

(engkau menyimpul mati)

Kebebasan adalah suatu nikmat
Yang hilang bila ada keterikatan

Aku mahu bebas
Dari lingkaran taksubmu
Akan mengejar suatu yang samar
Terkadang engkau menurut buta
Padahal aku tahu warasmu bukan begitu

Leraikan simpulan mati yang mengikat kita
Agar aku terlepas untuk bebas ke mana
Tanpa ada cebis penyesalan
Tanpa ada cubit kegelisahan

Bebaskan aku sekarang
Sungguh nafasku makin sesak
Dalam ikatan kebodohan antara kita
Yang padamu aku mengerti
Tapi padaku itu perlu mati!

31 Mac 2008 (9.15 am)
King's College London

Sunday, 30 March 2008

CIKGU SUSAH

(ajarkan aku, cikgu)

Di situ berdiri setia
Seorang cikgu yang mulia
Namanya Cikgu Susah

Dilihat mata bogel kecil sahaja ia
Tapi budi ikhlasnya besar sungguh
Ramai yang tak mahu diajar olehnya
Sebab terkedek ia ke hulu ke hilir
Dengan bengis mukanya yang garang

Cikgu Susah
Dia yang mencari murid
Dia yang memaksa mereka belajar
Dan dia juga yang banyak merotan
Sebab itu tanggungjawab katanya

Kasihan Cikgu Susah
Keringatnya tidak pernah kering
Lagi semua mahu menyalahkan ia
Sedang cuma mahu mengkhabar ilmu
Tentang makna hidup yang senang

30 Mac 2008 (6.10 pm)
King's College London

Saturday, 29 March 2008

AKU MAHU PERGI

(jemputlah aku, Tuhan)

Aku mahu pergi
Dari sebuah dunia khayalan
Kembali bermukim pada Tuhan
Diterimakah aku?

Aku mahu pergi
Meninggalkan jejak pilu
Yang aku lemah menempuhnya
Tapi dipaksa diri

Aku mahu pergi
Menyongsang arus sementara
Tak mampu aku berenang
Dek ganas alurnya

Aku mahu pergi
Untuk yang terakhir kali
Banyak yang ingin kutatap, Tuhan
Izinkan aku pergi

29 Mac 2008 (6.00 pm)
King's College London

Friday, 28 March 2008

ANDAI ESOK KIAMAT

(mampukah aku berubah?)

Andai esok kiamat
Aku mahu lari
Ke negeri yang jauh
Jua milik Tuhan?

Andai esok kiamat
Aku mahu tangis
Merona tujuh laut merah
Tapi hari ini sudah kering

Andai esok kiamat
Aku mahu mati
Dalam dakap kasih sahabat
Yang tahu peritnya aku

Andai esok kiamat
Aku mahu berbuat segala
Pun semua Tuhan gembala
Mampu atau tidak?

28 Mac 2008 (6.15 pm)
King's College London

EJEN PENGALAMAN

(setiap barangan terlaris)

Kita ejen pengalaman
Menyeru dari rumah ke rumah
Tak perlu malu menghadap tuan
Sebab kita mahu jual barang
Dan mengutip nama setiap pelanggan

Seorang ejen pengalaman
Membawa katalog kenangan
Untuk diisi dengan nama-nama kehidupan
Nanti mahu dihantar barang
Ke suatu persinggahan

Ejen pengalaman
Melaung-laung kebenaran
Yang kadang-kadang hidup tak pandang
Sebab ada iras kegawatan
Bila ejen pengalaman hilang tujuan

Ejen pengalaman tak boleh berhenti berjalan
Banyak lorong-lorong terhampar di depan
Mahu dengar celoteh Tuhan
Lalu ditempah liku-liku yang tempang
Untuk seorang ejen pengalaman berikan

28 Mac 2008 (8.55 am)
King's College London

Thursday, 27 March 2008

BUMI GALWAY

(medan menyemai amal Islami)

Di celah-celah rekahan tanah dingin
Tumbuh tunas-tunas hijau yang gagah
Dari dasar bumi yang makin hilang
Yang tebal dilitupi semak dosa

Di bumi Galway ini
Kami disemai dengan jiwa ubudiah
Kami disiram dengan erti khalifah
Kami dibaja dengan nikmat ukhuwah
Supaya akar Islami tidak goyah
Dan pucuk redha tidak disanggah

Daerah asing ini terlalu kontang
Bagi tunas hijau untuk subur melata
Di sini ada sahaja kumbang sengketa
Di sini banyak juga kuman hati bertakhta
Menghadam isi-isi yang baru ditempa

Tuhan menjadi saksi
Sekerat tanah di sini telah bersemadi
Dengan keluh kesah tunas-tunas baru
Yang mahu kenal cahaya yang satu
Yang ingin menjadi buah yang gebu

27 Mac 2008 (11.20 pm)
King's College London

KEKASIH ISLAMIK

(bukan semudah bicara)

Pertama kali bersua
Hati mudah tak tahan
Mata melilau tak keruan
Sungguh cangkuk nafsu itu bengkok
Mudah ia mengumpan

Kekasih Islamik
Alangkah suci namanya
Perlukah kekasih pada Islamik?
Atau Islamik pada kekasih?
Belum sempurna rupanya

Mudah melafaz petah kata
Berkasih untuk ingat Tuhan
Berkata sebagai nasihat teman
Tapi bila Tuhan bukan kekasih
Mahu kau ingat Tuhan?

Aduhai kekasih Islamik
Cantik namanya
Kalau kekasih itu Tuhan

27 Mac 2008 (10.00 pm)
King's College London

MALAM JUMAAT

(malam seribu rahmat)

Malam ini malam Jumaat
Malam penuh berkat
Malam pekat rahmat

Di malam Jumaat
Solat jemaah sudah menjadi adat
Mengaji pun sudah hilang pelat
Sebab malam Jumaat keramat

Malam Jumaat wali bertapa
Menjauh diri dari nestapa
Dan umat kian tergendala
Dalam hitam malam yang lama
Hanya menurut petah bicara
Imam tua yang mahu bersara

Malam yang dingin ini malam Jumaat
Syaitan pun ikut berselawat
Memuji Tuhan terasa sendat
Sedang aku tak mahu dekat rapat

27 Mac 2008 (8.15 pm)
King's College London

Wednesday, 26 March 2008

KEMBALI

(semangat wira)

Berhari kami menjejak
Cebis perjuangan wirawan muda
Yang hidup mereka untuk agama
Yang mati mereka untuk agama

Dan kini kami kembali
Bermukim di daerah sendiri
Perjalanan semalam memberi makna
Jalan hari ini masih panjang
Selagi usia belum dimamah
Selagi ajal belum melapah

26 Mac 2008 (2.55 pm)
King's College London