Monday, 1 September 2008

SATU RAMADHAN, SERIBU HIBURAN, SIFAR AMALAN

Musafir yang satu ini
Jauh benar ia mengembara
Melewati agungnya kota maksiat
Lantas usah kita hairan
Kalau tibanya dalam cemar

Debu pasir yang mewarnai
Putih persalinan menjadi kelam
Jangan ditanya kenapa begitu
Nanti kita pula dipaksa merasa
Sesal perit yang akan dilupakan

Musafir Ramadhan
Saat ini sedang bertamu
Di ruang kecil milik kau dan aku
Mujurlah hadir ia seorang
Katamu senang mahu dilayan
Tapi kalau ia merajuk
Aku tak tahu memujuk

Kita sering buntu
Tentang Ramadhan yang ini
Bagaimana harus diperlaku
Pantas dipalu gendang hiburan
Padahal kita jua sama memahami
Betapa sekilas cuma ia singgah
Di desa dosa yang kita bina

Aduhai iman
Pada kegentingan yang meraung ini
Silalah kau bertarung
Dengan seribu macam kejahilan
Kerana lelah sudah kami kendong
Amalan yang tak putus sifarnya

2 September 2008 (1.00 am)
Tanah Tempat Bermain

2 comments:

Anonymous said...

Paling kurang buat solat sunat subuh dan solat witir (satu rakaat je)

Dua amalan ni digalakkan dan besar pahalanya, dan yang paling penting lagi mengikut sunnah.

pemburu syurga said...

oh begitu ya..jzkk enche anonymous! semoga berjumpa lg di ramadhan tahun depan=)