Monday, 10 May 2010

SAYA SAYANG IBU SAYA

Saya sayang sangat ibu saya. Dulu masa kecil-kecil ibu selalu bawa murid-muridnya ke rumah. Ibu ajar murid-muridnya bernasyid, sebab ibu saya seorang ustazah. Masa tu saya masih ingat nasyidnya lebih kurang begini;

"Sewaktu azan mendayu-dayu
Ibuku pergi meninggalkanku
Perginya takkan kembali lagi
Kerna takdir telah menentukan"

Maka bila saya bersendiri, bila ditinggalkan ibu, bila dalam kesedihan, bila dihantar sekolah di asrama, saya akan teringat lagu ini. Masa tu saya mesti menangis. Entah kenapa saya ini begitu tersentuh atau orang kata sangat sensitif, lebih-lebih lagi bila berbicara soal ibu dan ayah, soal keluarga. Saya tak boleh sembunyikan air mata setiap kali teringat mereka.

Saya kira kenangan saya dengan ibu tidaklah terlalu banyak, mungkin kerana saya lebih rapat dengan ayah. Tambah pula, masa sekolah menengah ibu dan ayah hantar saya duduk di asrama, jadi masa remaja saya banyak dihabiskan dengan kawan-kawan, walaupun balik setiap hujung bulan masih juga mahu lepak dengan kawan-kawan. Ibu tak pernah nak halang kalau saya mahu keluar. Hari ini saya tertanya, "Kenapa ya?"

Saya fikir dan fikir dan fikir lagi. Baru saya sedar yang ibu saya sangat segan dengan saya, oh bukan dengan saya sahaja tetapi dengan anak-anak ibu semuanya. Saya rasa ibu terlalu rendah diri, ibu sedar yang anak-anaknya belajar pandai-pandai, semuanya masuk universiti. Sedangkan ibu hanyalah orang kampung, yang ayahnya kerja kampung, rutinnya hanya di kampung. Kadang-kadang ibu menjadi bahan gurauan ayah, sebab banyak benda-benda yang mudah ibu tidak tahu.

Saya ingat sepanjang hidup saya ada sekali saya pernah dirotan oleh ibu, dengan penyangkut baju plastik. Sebab saya dan abang saya balik rumah lambat, waktu azan Maghrib baru kami sampai di rumah, jadi ibu sangat marah. Masa tu saya masih ingat, abang saya suruh saya masuk rumah dulu tapi saya tak nak dan berkeras jadi abanglah yang kena rotan dulu. Ibu dan ayah sangat menjaga pergaulan kami, kadang-kadang kami malas mahu keluar rumah lepas Asar untuk bermain dengan kawan-kawan. Bimbang terlajak sampai Maghrib.

Ibu saya tak banyak cakap. Kadang-kadang saya nampak yang ibu nak berkata-kata dengan saya tapi tak tahu nak cakap apa. Maka saya yang biasa akan bertanya pada ibu. Dan ibu akan cuba untuk menjawab. Saya pun kalau nak tanya pada ibu saya akan tanya tentang adik-beradik saya, tentang ayah saya, tentang rumah saya, tentang saudara-mara saya. Jarang saya bertanya pasal benda lain, takut ibu lebih berasa rendah diri kalau dia memberikan jawapan "tak tahu" kepada saya.

Ibu saya tak pernah mendesak saya dan adik-beradik yang lain. Semua keputusan hidup kami bebas pilih, cuma kadang-kadang ibu akan memandu arah kami untuk menilai setiap pilihan yang ada. Kan saya dah cakap, ibu saya tak banyak cakap. Ibu ikut sahaja apa keputusan anak-anak, sampaikan kadang-kadang saya rasa saya ini terlalu ego dengan ibu sebab jarang bertanya pendapatnya, padahal dialah yang bertarung nyawa melahirkan saya.

Hari ini saya sangat rindu pada ibu saya, bukan pada bicaranya tapi pada tutur matanya yang melembutkan jiwa. Pada redup pandangan kasih ibu yang menanamkan kerinduan walau di mana saja saya berada.

Ibu, saya mahu ibu tahu. Walaupun saya jarang berbicara dengan ibu, walaupun saya malas menelefon rumah setiap minggu, walaupun saya ini ego dengan ibu, saya tetap sayang ibu. Dari dulu sampai bila-bila. Selama-lamanya.

London.

Sunday, 9 May 2010

IBUKU TIDAK PANDAI (repost II)

(ma, aku rindu)

Ibuku tidak pandai
Menghantar mesej ringkas
Setiap yang dikirim
Bisu yang berbalas

Ibuku tidak pandai
Meneka mana Eropah
Cuma di benaknya
Mahu ke Mekah

Ibuku tidak pandai
Menghadap teknologi
Hari ini ia belajar
Esok diajar lagi

Ibuku tidak pandai
Memakai baju mahal
Ke mana jua pergi
Kurung tak ditinggal

Ibuku tidak pandai
Mengerah amarah
Tapi tajam jelingnya
Buat kami bersalah

Ibuku tidak pandai
Berbicara syahdu
Hanya tutur mata
Meluahkan rindu

ps; ini kali ketiga dalam tempoh tiga tahun saya mempersembah tulisan yang sama sempena Hari Ibu, apa pun tafsiran ma di kampung, saya mahu beritahu yang SAYA SAYANG MA!

11 Mei 2008 (8.00 am)
King's College London

London.

Saturday, 8 May 2010

IKHWAH KHIANAT

(siri pengkhianatan ikhwah Playford Road)

Hari ini ada sejarah ukhwah yang unik aku kira. Dua kisah, satu persamaan.

Kisah satu. Sekelompok manusia bergegas keluar rumah demi mencari sesuap rezeki 'English Breakfast' di Holloway Road. Meninggalkan beberapa makhluk asing bagi mereka di rumah Playford Road, tanpa segan silu foto-foto keji dihantar ke seluruh jajahan London, Portsmouth, Surrey dan Warwick. Betapa pengkhianatan yang sungguh terhina bagi umat yang ditinggalkan di teratak 102 tanpa secebis roti untuk alas perut sekali pun. Air kelapa khabarnya hidangan paling ringan di kejauhan itu, pagi yang mendung seperti menghantar bilah-bilah halilintar ke dalam jiwa-jiwa makhluk yang tak diundang bersama.

Kisah dua. Sekawan manusia menelusuri Seven Sisters Road, menjeling ke arah Chicken Express, takut-takut ada makhluk yang memasang mata. Ingatkan seorang sahaja yang khianat 'ikhlas', rupa-rupanya ada lagi tiga manusia yang kempunan PFC walaupun sudah menjamu nasi berlaukkan kari kentang dan telur dadar. Nyata tiga watak tambahan tadi sebenarnya gagal menyudahkan hidangan khas daripada Penang yang sungguh menyeksakan. Diam-diam sahabat bertiga itu menyusup solat di Finsbury Park Mosque, rupa-rupanya ada agenda yang lebih besar dalam kotak fikir mereka. Oh perkara ini sepatutnya tidak diberitahu kepada manusia lain, terutama si tukang masak di 128.

Dua kisah ini sangat berlawanan. Yang satu khianat terlampau, lalu meminta ampun, namun dihantar bukti-bukti pengkhianatan pula. Aduhai hati mana yang tidak luluh. Yang lagi satu khianat tersembunyi, tiada terkeluar sedikit pun dari bibir mereka tentang masakan yang menguji kewaspadaan deria rasa tadi. Alhamdulillah.

Oh ukhwah. Pilihlah watak mana anda mahu jadi!

London.

Friday, 7 May 2010

SELAMAT HARI LAHIR, ADINDA!

Adinda Mohamad Faezuddin Abdullah,

Selamat Hari Lahir.
Selamat Hari Lahir.
Selamat Hari Lahir.

Bulan ini terlampau istimewa, bukan saja untukmu tapi untuk aku juga. Selamatlah meningkat umur adindaku sayang. Selamatlah berteduhan di bawah redup kasihnya Tuhan. Selamatlah melangkah saat demi saat menuju syurga impian. Selamatlah. Di dunia. Dan di akhirat.

London.

Wednesday, 5 May 2010

UNTUK ANAK MUDA (I)

Anak muda
Aku tahu kau sedang semangat
Semua orang kau mahu tangkap
Kau mahu ikat mereka ketat
Kau mahu mereka meningkat
Kau mahu bantu umat

Anak muda
Aku tahu kau mahu ligat
Ke sana sini penuh tekad
Di mana-mana ilmu disumbat
Peduli apa orang nak cakap

Anak muda
Aku ini sudah terlalu senja
Untuk memberi kata nasihat
Atau menegur mana yang silap
Sabarlah, anak muda
Dan sabarlah
Dan sabarlah
Itu pesan nabi untuk kita
Kerana tak semua orang mahu
Seperti kau mahu
Tak semua orang faham
Seperti kau faham
Dan bukan sepanjang waktu
Yang kau faham itu tepat

Kerana aku jua pernah merasai
Semangat seorang anak muda

London.

Tuesday, 4 May 2010

KENANGAN YANG MEMBINA UKHWAH

(terima kasih, teman-teman)

Lama betul tak tulis tentang perkara-perkara yang membahagiakan di sini. Tadi ketika mahu dihilangkan rasa mengantuk semasa ralit menghadap soalan-soalan ujian, tertonton pula sebuah video lama, tidaklah lama benar sebetulnya. Tapi ia cukup mengharukan. Tentang ikatan yang pelik tapi benar. Sebuah kisah tentang makhluk-makhluk yang bercinta kerana Tuhan mereka.



Oh melihatkan video ini, terkenang pada lompatan-lompatan bersama Andhar yang cukup mengebilkan mata mak ayah kalau mereka menontonnya. Pada usikan manja Aqmin yang menghadiahkan senyum dan gelak tawa. Pada berdebarnya hati seorang co-pilot yang terpaksa menemani Aizat memandu pada larut malam, terus co-pilot itu menjadi 'Sleeping Beauty' di sisi Aizat. Dan Aizat? 'No comment' dan senyum semata bila 'bekas' co-pilot nya terjaga.

Pada adik-adik lain yang tak tersenarai di sini, Hamidi dengan 'cool' dan 'noks' beliau, Za'ba yang gemar berjalan sendiri dan kadang saya cuba mengusiknya, Shukri akan senyumnya yang dikatakan manis oleh Roslan (eh, aku lagi manis kot, dah sah-sah orang Kelantan kan, ops!).

Pada adik-adik yang bakal bergelar doktor, Fathul yang suka berceloteh, kadang menari-nari bersama beliau dalam lebat salji sebab mahu dihangatkan badan. Fakhri pula dengan bantalnya yang setia beropol-ropol, jua gaya fesyen yang tak mahu kalah!

Pada adik-adik Portsmouth yang menyertai dari kejauhan merantau ke tanah London. Pada Qassim yang suka berbual dalam bahasa Germany dan France (walaupun saya tak mengerti ya), Yazid dengan skaf pink-ungu-putih beliau yang sentiasa meletup bersama penutup telinga putih yang sangat *****. Juga Ayie dengan p*r*t beliau yang sangat disayangi hingga dibawa ke mana-mana sahaja, katanya saya punya pun lebih kurang dia punya (banyak betul fitnah di akhir zaman). Tapi 'still' mahu melompat-lompat si Ayie ni bila bergambar:)

Pada Ikmal yang menyertai kami sedikit lewat, namun muka 'blank' dan 'blur' Ikmal sudah cukup bercerita tentang dirinya. Haha. Oh jua Muzal yang sangat takut dengan saya, entah apalah dosa saya ketika bermain bersamanya sewaktu kecil dulu hingga dia memanggil saya 'Abang'. Oh sungguh apakah.

Oh tidak dilupa kepada ikhwah-ikhwah Playford Road, ABANG Roslan, Adam E, Hazwan, Adam H, Amri, Iman, Epi, Pali dan Shah. Yang menjadikan dunia ini lebih indah daripada segala isinya, yang mengajarkan makna ukhwah itu sendiri, yang telah membina kenangan bersama-sama untuk saya mendepani hari-hari muka. Oh sayunya pula.

(ps; setiap kali video ini ditonton, setiap kali itulah wayang kenangan dipentaskan dalam benak dan hati saya)

King's College London.