Friday, 13 January 2012

SETELAH KAU TIADA

Pernahkah kau melihat wajah langit yang muram
Atau bintang-bintang di dakapnya menjadi hitam
Retak hati yang terukir setelah kau tiada
Begitu ia menarik semua keindahan

Pada saat syurga sedia menyambutmu
Jiwa-jiwa di bumi menangisi
Akan seorang hamba yang belum sempat menjadi ayah
Atau sekurangnya menggenggam sekeping ijazah

Lama kau tiada
Mengusung dekah tawa dan senyum sinis kami
Kau tinggalkan selaut air mata
Untuk kami terkenang-kenang

Bukan kudrat kami mencabar takdir Tuhan
Apa lagi menyalahkan Ia
Rindu yang tidak akan berakhir ini
Biarlah kami peluk erat
Hingga di sana bertemu dirimu kembali

BB

Sunday, 25 December 2011

RINDU III

Allah, janganlah Engkau biarkan nasib diriku ditentukan oleh diri sendiri walaupun sedetik cuma. Allah, iman ini sedang rapuh, Kau kuatkanlah. Jiwa ini sedang muram, Kau bahagiakanlah. Hanya dariMu kesulitan itu datang, dan dariMu jua jalan keluar dari segala duri ranjau hidup. Pimpin kami, Tuhan.

Tanah Tumpah Darah
(25/12/2011 11.25pm)

Tuesday, 4 October 2011

PERGILAH KASIH, PERGILAH RINDU

Lama saya mengambil masa untuk menulis tentang ini. Setiap kali saya cuba, saya tahu takkan saya mampu habiskannya. Tapi kali ini saya betul-betul cuba.

Saya masih ingat waktu itu adik perempuan saya sms saya, mengkhabarkan tentang adik bongsu saya yang kemalangan. Sedangkan saya berada di rumah kawan untuk memenuhi undangan kenduri. Terus hati saya berasa tidak sedap, kerana memang itulah yang saya rasa setiap kali mendapat perkhabaran kurang baik dari keluarga, walaupun kata adik perempuan saya lagi, adik bongsu saya, Hisyamuddin, sudah dibawa ke hospital oleh ayah dan mungkin ok, tidak apa-apa.

Saya meminta izin untuk pulang ke rumah, tapi setibanya di rumah ayah menghubungi saya. Saya dengar suara ayah cukup lemah, kerana ayah tak pernah menunjukkan yang dia lemah di depan anak-anaknya. Tapi saya cuba tenangkan diri. Ayah memberitahu bahawa adik saya dalam keadaan sedar tak sedar, kemudian meminta saya ke tempat kemalangan, untuk memeriksa kalau-kalau ada barang-barang berharga milik adik saya yang tercicir.

Sesampainya saya di kawasan kemalangan, saya diceritakan tentang peristiwa tersebut oleh beberapa orang saksi, manakala adik saya yang lain telah membawa pulang ke rumah motosikal yang ditunggangi Syam. Saya yakin tiada barang yang tercicir, lantas saya kembali ke rumah, melihat-lihat motosikal yang nampak sedikit sahaja kesan kemalangannya. Saya melangkah masuk ke rumah dan saya dengar bunyi bising.

"Qi, Syam takdok doh". Itulah ayat yang paling saya ingat sampai ke hari ini, saya menjadi kelu, hanya ucapan Allahuakbar saya lantunkan kembali.

Saya masih ingat waktu itu saya harus menjadi rasional, menyiap-nyiapkan rumah untuk ketibaan saudara-mara dan jenazah.
Masih jelas waktu itu saya lihat van jenazah berhenti di depan rumah kami, dan isinya adalah adik kandung kami sendiri.
Masih jelas bagaimana saya memegang keranda di bahagian kepala adik saya, untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
Masih jelas saat kain yang menutupi wajah jenazah adik kami dibuka perlahan-lahan.
Masih jelas saya menatap seluruh wajah adik, langsung tiada kesan luka kecuali sedikit di bahagian atas bibir.
Masih jelas bila kami menggunting baju adik Syam untuk ditukar dengan pakaian lain.
Masih jelas ketika ayah melantunkan "Ayah redhakan Syam", lalu dikucup dahi jenazah, saya jadi sebak.

Dan benar, saya tak mampu teruskan juga kali ini..

Wednesday, 10 August 2011

Mengenangmu London

Saya kira saat ini kenangan-kenangan di London benar-benar menghambat jiwa, benar-benar terasa ke lubuk hati.

Kerana saya pernah berada di sana, berjalan kaki seorang diri di tengah-tengah kota London pada jam 3,4 pagi, kerana tiada bas untuk pulang ke hostel. Jaraknya selama hampir 5 jam perjalanan dari Euston ke Denmark Hill. Saya masih ingat, waktu itu Oyster Card saya sudah tidak cukup baki, saya juga tidak tahu yang tiket boleh dibeli di mesin-mesin tiket di tepi jalan raya. Maka pilihan yang ada hanyalah berjalan kaki, mengikut route bas yang selalu saya naiki.

Saya selalu bersiar-siar seorang diri ke Sungai Thames, mungkin kerana jaraknya yang amat dekat dengan kampus saya. Tapi lebih dari itu, Thames pernah menjadi sahabat saya selama hampir empat tahun berada di London, kerana setiap kali dugaan datang mencengkam jiwa, pasti anak-anak ombak Thames yang setia itu menceriakan, dan camar-camar menjadi pendengar keluh kesah saya. Segalanya saya luahkan pada Thames, saya sedar ia tidak bisa berkata-kata, tapi sekurang-kurangnya ia boleh menenangkan. Kadang hati tercuit oleh gelagat abang-abang dan kakak-kakak yang mencari sesuap nasi di sepanjang Waterloo.

Saya pernah, ketika tahun pertama beraya di sana, saya bangkit dari tidur kira-kira jam 9 pagi (selepas solat Subuh kurang lebih jam 6, saya kembali ke katil). Kerana hidup saya di sana benar-benar seorang diri, usahkan kata sahabat, teman pun tiada. Ya, saya tahu bunyinya menyedihkan, tapi itulah pengalaman yang menguatkan saya saat-saat saya bersendirian seperti sekarang. Saya mampu survive di sana, maka pada ujian yang lebih kecil seperti ini, saya yakin Allah mengaturkan semua.

Saya masih ingat, setiap hari mahu ke universiti, saya akan mengambil bas bernombor 68, yang perjalanannya bermula dari Forest Hill (entah betul entah tidak), dan berakhir di Euston (kadang-kadang hanya setakat Aldwych, berhampiran LSE). Setiap kali turun di Waterloo, saya berasa sedikit tidak selesa, kerana saya tahu saya sedang memaksa diri untuk melakukan suatu yang saya sendiri tidak berasa gembira dengannya. Tapi saya gagahkan jua, demi orang-orang sekeliling saya.

Saya selalu sahaja singgah di Chicken Cottage dalam perjalanan balik ke hostel, kerana saya memang tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam Dewan Makan asrama. Kadang-kadang sengaja saya mengambil mana-mana bas yang tidak pernah saya naiki, hanya untuk melihat pemandangan-pemandangan indah di sekitar London. Saya kira saya pernah sampai ke zon 7, 8 hanya kerana tidak mahu turun dari bas selagi tidak sampai ke destinasi akhir bas tersebut. Akhirnya? Saya pulang menaiki tube untuk cepat sampai.

Banyak benar kenangan yang terpahat di kota London, lagi-lagi bagi seorang budak kampung yang hidup menyendiri di sebuah kota idaman manusia. Banyak perkara-perkara baru yang saya belajar, daripada alam, daripada peristiwa, daripada pergaulan, daripada segala-galanya.

Saya rindu. Untuk menikmati keindahan Thames berlatarkan London Eye dan Big Ben. Saya rindu untuk melihat London Bridge dibuka dan ditutup. Saya rindu untuk menaiki bas sesuka hati saya. Saya rindu pada artis-artis jalanan di sepanjang Thames. Saya rindu pada salji yang turun dan saya bermain seorang diri tanpa halangan dan rasa malu. Saya rindu pada setiap perkara yang pernah saya temui di kota London.

Allah, sampaikan salam kerinduan hati untuk Thames di sana.

11 Ogos 2011 (12.06 am)
BB

Thursday, 21 July 2011

TIDAK SEMUA

Hari ini saya sedar bahawa Tuhan itu Maha Memiliki semua.

Kerana tidak semua yang saya harapkan..menjadi.
Tidak semua yang saya inginkan..diperoleh.
Tidak semua yang saya bahagiakan..kekal.
Tidak semua yang saya doakan..Dia beri.

Akhirnya, saya tertunduk dengan Maha Kuasa Tuhan Yang Memiliki Segala.
Dan saya..kekal sebagai hamba yang sering meminjam dariNya.

Shah Alam.

Tuesday, 28 June 2011

KITA DAN DUNIA

Serakus-rakusnya
Dunia yang uzur itu diperkosa
Digenggam kepalanya dan dipusing-pusing
Dijilat tubuhnya oleh lidah yang menipu

Seperti sangkakala di bibir Israfil
Tahi-tahi bintang yang riang meluncur
Pun menjadi kering
Oleh gegak gempita raungnya
Dan dari langit yang setia mendengar
Gugurlah air mata simpati

Mengapa pekik rayu dunia itu menjadi seperti mainan
Untuk kita?
Butakah mata untuk melihat
Tulikah telinga untuk mendengar
Sedikit pun hati tidak bergegar
Pada kusut wajahnya yang kusam?

Manusia atau binatang
Yang lebih mulia?
Kalau janji demi janji dipasung
Kalau kata demi kata dicerca
Kalau hati telah mati dari merasa

Lagu-lagu dari neraka sedang beralun
Menyampaikan pesan-pesan dari batu dan manusia
Betapa mereka setia menanti
Tangan-tangan yang kotor dirantai besi
Menyalalah api ke lubuk hati!

Dunia itu sedang mengira
Hari-hari nafasnya tersisa
Dan kita?

Shah Alam.

Wednesday, 22 June 2011

PASTI

Ada orang
Dalam sedang seronok
Beriadah dan berhibur
Tiba-tiba mati

Ada orang
Ketika memandu ke pajabat
Diserang sakit jantung
Langsung mati

Ada orang
Bertahun menderita
Kencing manis, darah tinggi
Akhirnya mati

Ada orang
Sedang mengaji di surau
Dihempap tanah dari bukit
Tak terduga matinya

Ada orang
Goyang-goyang kaki
Minum teh, baca akhbar
Pun mati juga

Hidup ini tiada benda yang pasti
Kecuali mati

Shah Alam.

Tuesday, 21 June 2011

DI MANA SAYA BERMULA DENGAN SAJAK

Belakangan ini, cukup ramai yang bertanya perihal blog Pemburu Syurga. Entahlah, selalu sahaja rasa ingin menulis kembali seperti dulu, namun setiap kali cuba ditulis, ia terhenti di pertengahan. Akhirnya? Terjadilah lambakan entri-entri di bahagian draf.

Banyak sangat perkara yang terjadi dalam hidup, yang mahu dikongsikan, kadang terasa perlukan masa untuk berhenti dan bermuhasabah, tapi penghujungnya? Terjebak pula ke kancah dosa yang telah lama ditinggalkan. Oh hidup memang payah, sungguh!

Mungkin hati ini sudah terlalu kotor untuk bercerita tentang pahala dosa, syurga neraka, kiamat, hisab dan segala. Ada juga terlintas mahu menulis dengan bahasa santai, namun itu bukan saya, kerana saya tidak pandai menggunakan bahasa mudah untuk menyampaikan sesuatu. Kalau ya pun, mungkin ada yang terasa hati nanti.

Tak kurang juga yang bertanya tentang bila mula menulis, dari mana dapat idea. Seingat saya, blog ini bermula setelah seorang teman rapat saya mencadangkan. Namanya Bashirulhafi. Masa tu tak ramai pun lagi blogger, tapi sudah ada blog Angel Wears Gucci, milik sahabat saya. Masa tu blog tersebut masih lagi mempunyai dua penulis, Dolce dan Gabbana. Masa tu juga Facebook pun tak begitu popular berbanding Friendster dan Myspace.

Dan asal mahu menulis adalah untuk berkongsi kisah suka duka di dunia orang, bukan dalam bentuk cerita biasa, tapi dalam bahasa puitis. Seingat saya, saya berminat dengan puisi sedari sekolah rendah ketika memenangi pertandingan sajak di dalam kelas semasa Darjah 3. Peluang untuk meneruskan minat tak banyak, lagi-lagi berada di negeri Kelantan, sehinggalah zaman SPM, saya terus bersajak untuk tugasan Bahasa Melayu dan saya mendapat markah hampir penuh berbanding rakan-rakan yang lain yang tidak memilih untuk bersajak.

Semasa di Bantinglah, baru benar-benar obsesi terhadap sajak itu timbul. Itu pun semasa saya sudah masuk Tahun 2. Ketika itu Cikgu Bahasa Melayu saya, Puan Nor Hasni, mengusik saya supaya menyertai Pertandingan Mencipta dan Mendklemasi Sajak Sempena Kemerdekaan di KMB. Saya bersama seorang rakan kelas mencipta sajak yang cukup panjang bertajuk 'Nisan, Mata dan Pewaris'. Malah sajak kamilah yang dikatakan sajak terpanjang dalam pertandingan tersebut.

Hasilnya? Kami mendapat johan! Lantas kami ditugaskan untuk mendeklamasikannya semasa Malam Ambang Merdeka berlatar belakangkan muzik sentuhan Kitaro. Bermula dari situ, minat itu semakin bercambah dengan suburnya.

Kemudian unit Bahasa Melayu KMB pula menganjurkan pertandingan mendeklamasi sajak Usman Awang, antara kelas pelajar-pelajar Tahun 2. Penyertaannya wajib bagi berkumpulan, dan sebanyak 20 kelas menghantar team masing-masing. Maka saya sekali lagi diamanahkan untuk mengetuai team kelas saya, M05K, dan kami mendapat sajak bertajuk 'Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya'. Panjang sungguh tajuknya!

Kami tidaklah sehebat kelas-kelas lain, yang antara ahlinya merupakan bekas wakil sekolah dan negeri dalam pertandingan sajak, bahas dan sebagainya. Prop kami pun antara yang teringkas, maklumlah, kami sedar yang gelaran juara itu jauh sungguh dari menjadi nyata. Namun Allah Maha Pemurah, kelas kami mendapat johan tanpa disangka-sangka, mengalahkan 19 kelas lain!

Lebih mengujakan, saya turut menyertai kategori solo dalam pertandingan tersebut. Walaupun saya mendaftar agak lewat dan bilangan peserta dihadkan kepada lima orang sahaja, akhirnya atas nasihat cikgu-cikgu, saya dimasukkan ke dalam senarai peserta solo, sementara salah seorang daripada mereka yang terlebih awal mendaftar, telah digugurkan namanya.

Sajak solo saya bertajuk 'Dunia Yang Senyum'. Dan sekali lagi saya mendapat gelaran juara, mengalahkan empat peserta yang kesemuanya lelaki, ada antaranya pernah mewakili SAS dalam pertandingan-pertandingan seumpama itu, ada juga merupakan penyanyi popular di KMB, dan yang paling manis, salah seorang dari mereka pernah tewas di tangan saya semasa Pertandingan Mendeklamasi Sajak Kemerdekaan yang lalu.

Dari situlah, nama kelas kami mula digeruni, dan dalam pertandingan-pertandingan seterusnya, dalam pelbagai jenis lapangan, kami sering mendapat tempat teratas.

Sungguh Allah itu Maha Pemurah, sekelip mata Dia menaikkan darjat kita, dan sekelip mata juga Dia berkuasa menjatuhkannya. Semoga Allah terus mengurniakan saya ilham dan kekuatan untuk menulis dan berkongsi tentang hidup kita yang sebentar ini.

Shah Alam.