Wednesday, 12 August 2015

Wednesday, 25 March 2015

YANG LUPA DAN YANG LUPUT


Saya ini seorang yang mudah lupa, kadangkala banyak peristiwa yang mengesankan jiwa tapi luput begitu sahaja tanpa kesan dan tanpa dapat dikesan. Syukurlah, saya tidak perlu membebankan jiwa mengingat semua perkara. Gambar ini diambil ketika kembara pertama setelah menjejak kaki di London, iaitu ketika jaulah kami ke Sepanyol. Lebih tepat, kami ke Granada dan Malaga ketika cuti musim sejuk 2007 (ke cuti musim bunga 2008?), mencari pedoman jiwa seputar sejarah zaman emas Islam yang makin diluputkan.

Maafkan saya kerana sesetengah watak dalam gambar ini saya sudah lupa nama mereka. Seingat saya, Sdr Jauhari yang menjadi ketua kembara kami edisi ini, dan seingat saya juga kami diwajibkan bermalam di rumah atas kedai ayam pada malam sebelum kami berlepas. Seawal atau mungkin sebelum Subuh pun, kami bergegas mendapatkan bas untuk ke lapangan terbang. Saya sangat ingat akan kembara ini mungkin kerana jumlah kami yang tidak terlalu ramai berbanding jaulah pada beberapa tahun berikutnya, maka fokus kami pun lebih.

Sungguh, jaulah ini ketika itu memberikan kesan yang sangat dalam pada jiwa, dan menjadikan saya semakin yakin tentang apa yang dipegang. Bahkan, setiap kali mendengar lagu Alhamra (Far East) selepas jaulah ini, mudah sahaja air mata mengalir mengenangkan harga nyawa dan darah umat Islam yang pernah dibayar di daerah Andalus. Saya rindu untuk bebas berjaulah begini, ketika semangat masih meluap, ketika ukhwah masih ikhlas dan ketika jiwa masih mencari dahan untuk berpaut. Pada kebenaran yang hakiki.

Saya bahkan lebih mengingat jaulah kurang seminggu di Sepanyol ini berbanding kembara sebulan saya ke bumi Nil!

RP (3.00 PM)
25 Mac 2015