Monday 10 May 2010

SAYA SAYANG IBU SAYA

Saya sayang sangat ibu saya. Dulu masa kecil-kecil ibu selalu bawa murid-muridnya ke rumah. Ibu ajar murid-muridnya bernasyid, sebab ibu saya seorang ustazah. Masa tu saya masih ingat nasyidnya lebih kurang begini;

"Sewaktu azan mendayu-dayu
Ibuku pergi meninggalkanku
Perginya takkan kembali lagi
Kerna takdir telah menentukan"

Maka bila saya bersendiri, bila ditinggalkan ibu, bila dalam kesedihan, bila dihantar sekolah di asrama, saya akan teringat lagu ini. Masa tu saya mesti menangis. Entah kenapa saya ini begitu tersentuh atau orang kata sangat sensitif, lebih-lebih lagi bila berbicara soal ibu dan ayah, soal keluarga. Saya tak boleh sembunyikan air mata setiap kali teringat mereka.

Saya kira kenangan saya dengan ibu tidaklah terlalu banyak, mungkin kerana saya lebih rapat dengan ayah. Tambah pula, masa sekolah menengah ibu dan ayah hantar saya duduk di asrama, jadi masa remaja saya banyak dihabiskan dengan kawan-kawan, walaupun balik setiap hujung bulan masih juga mahu lepak dengan kawan-kawan. Ibu tak pernah nak halang kalau saya mahu keluar. Hari ini saya tertanya, "Kenapa ya?"

Saya fikir dan fikir dan fikir lagi. Baru saya sedar yang ibu saya sangat segan dengan saya, oh bukan dengan saya sahaja tetapi dengan anak-anak ibu semuanya. Saya rasa ibu terlalu rendah diri, ibu sedar yang anak-anaknya belajar pandai-pandai, semuanya masuk universiti. Sedangkan ibu hanyalah orang kampung, yang ayahnya kerja kampung, rutinnya hanya di kampung. Kadang-kadang ibu menjadi bahan gurauan ayah, sebab banyak benda-benda yang mudah ibu tidak tahu.

Saya ingat sepanjang hidup saya ada sekali saya pernah dirotan oleh ibu, dengan penyangkut baju plastik. Sebab saya dan abang saya balik rumah lambat, waktu azan Maghrib baru kami sampai di rumah, jadi ibu sangat marah. Masa tu saya masih ingat, abang saya suruh saya masuk rumah dulu tapi saya tak nak dan berkeras jadi abanglah yang kena rotan dulu. Ibu dan ayah sangat menjaga pergaulan kami, kadang-kadang kami malas mahu keluar rumah lepas Asar untuk bermain dengan kawan-kawan. Bimbang terlajak sampai Maghrib.

Ibu saya tak banyak cakap. Kadang-kadang saya nampak yang ibu nak berkata-kata dengan saya tapi tak tahu nak cakap apa. Maka saya yang biasa akan bertanya pada ibu. Dan ibu akan cuba untuk menjawab. Saya pun kalau nak tanya pada ibu saya akan tanya tentang adik-beradik saya, tentang ayah saya, tentang rumah saya, tentang saudara-mara saya. Jarang saya bertanya pasal benda lain, takut ibu lebih berasa rendah diri kalau dia memberikan jawapan "tak tahu" kepada saya.

Ibu saya tak pernah mendesak saya dan adik-beradik yang lain. Semua keputusan hidup kami bebas pilih, cuma kadang-kadang ibu akan memandu arah kami untuk menilai setiap pilihan yang ada. Kan saya dah cakap, ibu saya tak banyak cakap. Ibu ikut sahaja apa keputusan anak-anak, sampaikan kadang-kadang saya rasa saya ini terlalu ego dengan ibu sebab jarang bertanya pendapatnya, padahal dialah yang bertarung nyawa melahirkan saya.

Hari ini saya sangat rindu pada ibu saya, bukan pada bicaranya tapi pada tutur matanya yang melembutkan jiwa. Pada redup pandangan kasih ibu yang menanamkan kerinduan walau di mana saja saya berada.

Ibu, saya mahu ibu tahu. Walaupun saya jarang berbicara dengan ibu, walaupun saya malas menelefon rumah setiap minggu, walaupun saya ini ego dengan ibu, saya tetap sayang ibu. Dari dulu sampai bila-bila. Selama-lamanya.

London.

3 comments:

faith said...

saya kenal ibu awak
kenal sangat...
saya juga sayang ibu saya dan ibu awak
=)

pemburu syurga said...

kerana ibu saya dan ibu awak sama;)

Anis said...

sweet sgt...cter awk sma ngan cter saya..cuma sya nyew xse'best' awknyew..