Friday, 4 April 2008

RINDU SEORANG BONDA

(bukan salah bonda melahirkan)

Sarat beban dahulu masih terasa di bahu bonda
Tidak mahu rasanya dikutip derita sembilan purnama
Demi Tuhan Yang Memberi semua itu mudah baginya
Kerna nilai seorang anak bandingannya bukan harta

Kini anak yang dahulu menangis malam sudah dewasa
Memberi hadiah gelisah bersulam sepi di hati bonda
Seakan dahulu tidur bonda itu lena
Dalam kerenah anak yang tak tahu apa

Rindu di hatinya untuk anak yang tercinta
Sembilan purnama yang dahulu rupanya sekejap cuma
Andai mahu dibandingkan dengan seorang yang tiada di mata
Sungguh bonda cuba memujuk hatinya yang lara

Dikirim pesan agar si anak tahu syurga di mana
Harap bonda bukan untuk mengumpul harta
Jua bukan di hati anaknya mahu bertakhta
Cuma wajahnya yang senja dijenguk sekali-sekala

Dalam solat malam ada doa untuk si anak derhaka
Ikhlas rintihnya mengemis pada Tuhan Yang Setia
Agar si anak di mana pun tetaplah bahagia
Agar si anak turut berdoa untuknya

5 April 2008 (7.45 am)
King's College London

2 comments:

haleem.arbi said...

"RINDU SEORANG BONDA"

walaupun mengisahkan perihal bonda, namun si anak yang membaca turut merasa kerinduan..kerinduan pada bonda, keluarga, sahabat yang jauh di mata..

nukilan yang penuh makna dan dalam maksudnya...

tahniah =)

mintak izin aku nak copy sajak ni..nak forward kat bonda tercinta..

pemburu syurga said...

memang kita sebagai anak sering terlupa akan rindunya seorang bonda untuk menatap wajah anak yang ditatang..mari2 kita turut merasa rindu terhadap bonda

copy lah kalau itu caranya mahu menzahirkan rasa rindu kamu=)