(sebuah sajak tulisan Allahyarham Usman Awang, antara sajak terawal yang dideklamasikan untuk ujian lisan Malay A1)
Telah mereka saksikan sejak pertama cair merah tumpah
putera Adam membunuh-terbunuh dalam pertarungan menang kalah
dan kematian demi kematian dinyanyikan di mana-mana
dan dilanjutkan sehingga segala tanah jadi pusara
Jika kita menyesali kematian atas seorang
dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain
maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran
sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan
Dan sekarang tiap kota menangis dan mengucap kata
kerana sewajarnyalah kemanusiaan itu berdenyut dan terasa
tapi tak seorang pun akan menangis untuk pembunuhan yang bakal tiba
atau akan berkata : mari kita padamkan segala api sengketa
Siapa yang merasa dan kehilangan kesayangannya, menangislah
dunia telah didandankan; kehidupan adalah kematian yang berdarah
Sajak di atas sebenarnya tidak lengkap, mohon siapa juga yang punya versi penuhnya dapat emelkan kepada saya. Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga nilai-nilai kemanusiaan yang sering diulang putar oleh beliau terus dihayati kita bersama
5 Disember 2008 (8.00 am)
Playfrod Road, London.
3 comments:
Seingat saya, permulaan puisi ini adalah seperti berikut:
Segala daun dan angin menyapa menoleh hanya
Bersama kain-kain yang berkibar di tengah-tengah tiang
Kerana mereka tidak tergentar oleh berita-berita besar
Atas kehendak yang telah berlaku
dan manusia segala terpaku
selain itu, selepas baris "sehingga segala tanah jadi pusara" disambung dengan rangkap:
berapa titiskah air mata bagi yang telah pergi
sebelum keranda berangkat untuk nanti ditambah lagi
dibandingkan dengan derasnya air terjun di Niagara
air mata ibu-ibu tercinta
dan gadis-gadis menunggu di tepi jendela
mendengar berita ngeri dari daerah peperangan...
wallahualam...
takutnya nak buat IOC..
betul2
Post a Comment