Jumaat ketiga. Atau mungkin sudah keempat.
Hari ini, ya, Jumaat bertamu lagi. Membawa buah tangan berkat. Kiriman Tuhannya dan Tuhanku jua.
Jumaat ini terasa begitu sayu, syahdu dan pilu. Seakan memberitahu yang ia yang terakhir. Seakan memanggil-manggil namaku untuk membuka pintu taubat. Sebelum bertemu Tuhan.
Jumaat demi Jumaat yang telah aku lalui. Bersamanya ada limpahan kasih sayang Tuhan. Dan aku, tetap jua berdegil. Menyombong diri, lupa yang aku ini hamba. Bukan Tuhan.
Dari lahirnya fajar Subuh yang hening, hinggalah malam yang menyelimuti. Jumaat ini terasa sangat singkat. Mahu sahaja dianjalkan masa agar aku lebih lama dengannya. Tapi lamaku itu untuk apa. Kalau sekadar menjadi medan dosa yang tak sudah, seperti jua hari-hari sebelumnya.
Sungguh, rugilah jiwa seorang hamba yang diberi ruang untuk kembali kepada Tuhannya. Namun tetap saja ia dalam dunianya. Lupa pada akhirat yang entah esok entahkan lusa akan bertandang.
Jumaat kali ini telah pun pergi. Dan aku, belum sempat menyambut salam tibanya ia. Sedikit pun tiada ia berasa sedih, aku pun begitu jua. Sebetulnya ia tiada punya hati, tapi aku? Matikah sudah hati ini dari merasa dekat dengan Tuhan Pencipta Jumaat?
London.
No comments:
Post a Comment