Sunday 31 May 2009

SELAMAT JALAN, ROMEO!

Saat ini, seorang romeo sedang berteleku di dalam perut pesawat. Mengingat kembali bermacam jenis hilai tawa dan air mata. Setelah jauh ia berjalan di negeri asing, akhirnya ia kembali. Dan di sepanjang perjalanan itu, ia berjumpa dan terjumpa bermacam kawan dan lawan, manusia dan bukan, senang dan susah. Katanya mahu benar ke syurga, tapi amalannya tidaklah seberapa. Lalu ia ingin sangat meminta daripada sekian banyak manusia, supaya didoakan kesejahteraan untuknya di akhirat dan dunia. Jua pintanya agar diampuni setiap kekurangan dan dosa walau sebesar zarah. Harapannnya, jika tidak di dunia, ia mahu bertemu semuanya di syurga abadi kelak. Selamat jalan, romeo!

Friday 29 May 2009

KAHWIN DAN KAHWIN DAN KAHWIN DAN..

Hari ini, seorang lagi teman lama menghantar khabar mengejutkan. Katanya, mahu beristeri pada musim panas nanti. Masuk yang ini, genap sudah empat manusia Banting 05/07 yang akan bergelar suami dalam masa sebulan dua sahaja lagi. Tahniah untuk anda, Im!

CARI PASANGAN

Mari-mari marilah
Dengarlah ini kisah silam oh kawan
Sangatlah berguna
Moga hidup aman bahagia

Di malam pertama jumpa mertua
Tersentak si jejaka diberitakan
Isterinya tidak sempurna rupa
Anggota zahirnya lumpuh semua
Tiada upaya mengurus diri

Terkejut si jejaka penuh persoalan di hatinya
Mungkinkah sudah jodoh itulah isterinya
Hibanya rasa hati
Namun tetap reda pada takdir
Asalkan punya iman itulah paling penting

Saat-sata berjumpa
Terpesona memandang
Benarkah isterinya
Menawan sungguh cantik

Cari-cari carilah
Pasangan hidup betul-betul oh kawan
Bahagia berseri
Rumah tangga akan harmoni

Terhurai dijawablah oleh mertua
Zahirnya tak sempurna kiasan saja
Memberi makna sucinya diri
Wanita solehah terpelihara

Terharu si jejaka tunduk bersyukur
Jangan mudah percaya harta pangkat dan rupa
Indahnya di mata berawaslah
Rasul sudah bersabda insan punya agama
Akhlaknya mulia fahamilah

Rabbani

Pesanan untuk diri, jangan darah muda tercabar dengan khabar-khabar sebegini!

Thursday 28 May 2009

ANTARA DUA CINTA

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan

Nikmat yang dikecap
Barukan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak kumampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cintaMu
Kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh

Raihan/The Zikr

Tuesday 26 May 2009

DARI TUHAN

Tuhan
Berombak lautan
Tajam duri di hutan
Begitu kuasaMu
Kepada alam

Insan
Renangi lautan
Tempuhi onak tajam
Ada balasan
Untukmu insan

Bila mentari terpadam
Kita akan dibangkitkan
Menerima harapan
Atau kepanasan

Insan
Berseri cahayamu
Bersinarlah budimu
Kerana ketakwaan
Kepada Tuhan

Raihan ft Awie

Sunday 24 May 2009

DAMBA KASIH

(bila kemarau kasih, rindu pun kering)

Semakin jauh ku dariMu
Semakin dekat pula Kau menghampiri daku
Oh Tuhan Yang Maha Pengasih
Siapalah diriku di pandanganMu

Semakin cuba ku dekati
Semakin kuat pula Kau mendugai aku
Oh Tuhan Yang Maha Sempurna
Kerdilnya diriku di hadapanMu

Bagaimanakah nantinya tika berhadapan denganMu
Sudikah Kau menerima hambaMu yang hina ini
Ya Allah Kau Maha Pengampun

Di bayangan mentari aku kealpaan
Dusta dunia penuh kepura-puraan
Di kala dinihari aku kepasrahan
Mendamba jernih embun kasih sayangMu oh Tuhan

Andainya dihitung amalanku
Belum pasti dapat ku hampiri gerbang syurgaMu
Oh Tuhan Yang Maha Pemurah
Hindari diriku dari seksaMu
Oh Tuhan

Kasih sayangMu Tuhan
Itu yang ku dambakan
Dengan rahmatMu ampunilah diriku

Inteam

Friday 22 May 2009

SESUNGGUHNYA

(cintaku milikMu)

Sebenarnya hati ini cinta kepadaMu
Sebenarnya diri ini rindu kepadaMu

Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langitMu
Namun cinta takkan hadir
Namun rindu tak akan berbunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langitMu
Namun cinta takkan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmatMu
Jika tidak menagih simpati

Pada mu Ya Allah
Tuhan hadiahkanlah kasihMu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepadaMu
Moga ku tahu
Syukur ku adalah milikMu

Raihan

Thursday 21 May 2009

MESTI KUAT!

(entri ini dimulakan dengan sebuah lagu zaman aku masih anak-anak dulu)

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan

Seperti selepas malam
Datangnya siang
Oleh itu waktu senang
Jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari Tuhan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya

Kesenangan yang datang selepas kesusahan adalah nikmat dari Tuhan


Tunggu Teduh Dulu, sebuah novel tulisan Faisal Tehrani. Novel ini aku kira sudah cukup lama menggeledah pasaran di Malaysia. Namun hari ini baru punya kesempatan untuk menyudahinya. Alhamdulillah, ada juga secubit nilai yang boleh diambil di balik ketebalannya.

Salsabila Fahim. Seorang wanita yang dilambung ombak uji, dipanah petir peri. Digambarkan seorang muslimah yang betul-betul muslimah dalam lemahnya sebagai wanita, Salsabila cekal menguruskan ladang betik di atas sekeping tanah pusaka. Bunyinya seperti novel kebanyakan bukan? Tunggu dulu, pada akhir-akhir novel ini ada sebutir mutiara.

"Tak boleh ada rasa keterikatan atau memiliki." Suatu falsafah yang padat dengan terjemah. Ya. Untuk menjadi kuat dan tidak hanyut dalam badai cubaan dengan air mata, rasa keterikatan dan memiliki itu harus dibuang jauh-jauh. Segala yang ada, rasa benci, marah, keluarga, kawan, kekasih, telefon mahal, kecemerlangan akademik. Itu semua bukan milik mutlak kita. Bukan. Semuanya datang dari Allah, melalui perancangan rapi dan akan kembali kepada Allah juga. Bezanya, cepat atau lambat. Bila rasa memiliki itu tiada, pasti hanya pada Allah disandarkan segala cubaan, dan dariNya jugalah kita percaya adanya kekuatan untuk melawan.

Membaca novel ini, teringat beberapa novel lain yang pernah menjadi teman tidur di Banting dulu.

Ranjau Sepanjang Jalan. Sebuah karya Shahnon Ahmad. Mengisahkan perjuangan sepasang suami isteri, Lahuma dan Leha membesarkan anak perempuan mereka yang tujuh, hanya dengan 14 relung tanah sawah. Sudah namanya orang kampung, anak-anak perempuan semuanya dikerah turun ke bendang, antaranya Jenab dan Kiah. Menggempur burung tiak, ketam yang tak sudah-sudah, banjir dan kemarau, ular tedung dan bermacam lagi cabaran, kesemua watak wajib menjadi kuat.

Di sinilah Lahuma dan Leha percaya yang takdir semuanya ketentuan Allah, tak boleh masuk campur dalam rencanaNya. Yang boleh dilakukan hanyalah usaha, usaha dan usaha. Hidup mati, rezeki semuanya ketentuan Allah. Inilah mutiaranya. Rasa tawakkal yang padu pada Tuhan setelah berusaha bersusah gelisah, pasti tiada kerisauan akan hasil yang dicapai. Walaupun rebah, hati tetap teguh dan kuat.

Langit Petang. Novel hasil tangan A. Samad Said, salah satu daripada tiga karya Pak Samad yang paling berjaya selain Salina dan Lantai T. Pinkie. Ceritanya tentang tiga sekawan yang berlainan latar. Pak Arif yang baru pencen, Hafiz pemuda penuh rahsia dan Zakiah, pelacur yang mahu bertaubat. Pun, aku tertarik dengan watak Hafiz. Yang mati mengejut, kemudiannya barulah teman rapatnya, Zakiah mengetahui hal sebenar.

Dari Hafiz, aku belajar yang dugaan tidak boleh dirintih atau disedih sebaliknya sesuatu mesti dilakukan supaya ketemu jalan keluar yang tidak tersangka-sangka. Juga, tidak semua manusia keliling, serapat mana pun, boleh dikongsikan jerih perih hidup bersama kita. Di penghujung novel ini, Hafiz diberitakan menghidap kanser yang akhirnya menjadi asbab untuknya mati awal. Namun sikapnya yang berahsia berjaya menyorokkan keperitan yang ditanggung daripada pengetahuan Pak Airf dan Zakiah. Bila kekuatan itu ada dan percaya yang semuanya akan kembali kepada Tuhan, tiadalah perlu dibesar-besarkan ujian yang kecil. Di sinilah mutiaranya.

Menariknya, ketiga-tiga novel ini ditulis oleh penulis yang berbeza. Namun falsafahnya sama, semuanya punya kaitan dengan Tuhan. Kerana hanya dari situlah segala macam dugaan berkunjung dan di situlah juga tempat untuk kita bernaung. Meminta pertolongan, menagih kekuatan. Kuat. Suatu kata yang mudah disebut, tapi sukar sekali menjadi kuat. Semoga tarbiyah yang dilalui oleh kita semua merapatkan jurang antara kita dengan Tuhan, sekaligus menghilangkan kegusaran akan hidup yang berbolak-balik dan terbinalah kekuatan untuk meredah bermacam kemungkinan. Menang atau kalah. Kita mesti kuat.

Membaca novel, bukan sekadar mahu belajar menulis atau kerana taksub dengan seseorang penulis. Matlamatnya wajar lebih sangat jauh dari itu. Seagung mana pun penulis, tapi kalau tidak mampu menyumbang kepada ketamadunan peribadi dan perilaku masyarakat, bersedialah untuk bersoal jawab dengan Tuhan nanti. Peringatan untuk diri sendiri.

London.

Tuesday 19 May 2009

SUTERA KASIH

(sekeping sutera hamparan syugra)

Kian lama terpenjara
Mencari makna cinta
Dalam ungkap kata bersulam dusta

Bila gerbang rahmat terbuka
Menjelma cinta suci
Sehalus dan selembut sutera kasih

Terbentanglah tersingkap kebenaran
Terlerailah terbenam kepalsuan
Tuhan padaMu ada kedamaian
Di ribaanMu kebahagiaan
Tiada lagi rasa kesangsian di hati
CintaMu cinta tulus suci murni
KasihMu nan abadi

Bertautlah bercambahlah cinta
Mengharum dalam jiwa
Menemukan kerinduan syahdu
Pada yang Maha Esa

Sutera kasih membelai
Membalut kelukaan itu
Sutera kasih melambai
Mengisi kekosongan pengharapan

Rela pasrahkan kehidupan
Mengharungi cabaran
Rintangan perjalanan di hadapan

Doa dan titis air mata
Mendamba sutera kasih
Agar terus bersemi selamanya

-inteam-

Monday 18 May 2009

DEKAT

Lama kurasa jauh
Dari nyawa yang tenang
Dinihari kecelakaan ini
Ia makin mendekat
Kalau benar
Cepatkanlah
Mudahkan

Saturday 16 May 2009

SELAMAT HARI GURU

(untuk mereka yang berjiwa cikgu)

Cikgu. Bukan kerjanya sekadar mengajar. Apa lagi mencari cuti berlebihan. Jauh sekali menunggu bonus setiap bulan.

Berayahkan cikgu, beribukan cikgu. Sudah cukup memahamkan aku apa tugas cikgu. Kadang murid bergaduh, dicari ayah. Kadang tak cukup duit untuk yuran, dicari ibu. Kerana yang seorang Pengetua, yang seorang Penolong Kanan. Seperti di sana ada keluarga kedua, ketiga, keempat dan seterusnya untuk ayah dan ibu jaga. Sampai tak tak terhitung jumlahnya.

Kalau kerja pejabat mulanya jam sembilan, tapi ayah dan ibu selepas subuh sudah bersiap-siap. Kata mereka, cikgu mesti datang awal. Barulah tiada murid yang terlewat. Kalau pun ayah lambat, dia akan cuba mengelak memasuki sekolah melalui pintu utama. Bimbang kalau ada murid yang nampak. Tapi muridnya, berpagi-pagi ke sekolah dengan rokok dan selipar jepun.

Kalau kerja mengajar tamatnya jam dua, cikgu-cikgu lain berlumba mahu pulang awal. Kadang ada yang lebih awal dari murid. Belum dikira yang turut ponteng. Mengalahkan murid. Tapi bila bercakap soal cuti dan gaji, merekalah yang berapi-api. Tapi ayah tak boleh pulang awal. Katanya seorang Pengetua harus selesai tugasnya dahulu, baru boleh menjadi ketua. Waktu itu aku tak faham.

Malam-malam, usai solat berjemaah bersama anak-anak. Masih ada ibu ayah murid datang bertandang. Meminta itu, melapor ini. Malam-malam juga, murid lebih liar. Ke sana sini macam binatang, tak tahu batas lelaki perempuan. Dilihat orang-orang masjid, mudah mereka menyalahkan si Pengetua. Padahal anak sendiri pun lebih kurang. Mahu tak mahu, semuanya kena layan. Kalau tidak, mulalah masalah baru.

Kami turut terasa dan berkongsi beban ayah dan ibu. Kerana ada sahaja kerja yang memerlukan kami untuk turut serta. Cikgu bukan robot, ada jua kelemahan mereka. Ibu contohnya, selalu sahaja pulang membawa kerja-kerja yang perlu ditaip dan dicetak. Ibu tak pandai semua itu. Maka anak-anaklah yang perlu menyokong dan membantu. Kalau anak-anak semuanya tiada, aku pun tak mengerti bagaimana ibu berusaha.

Ya. Menjadi cikgu bukan mudah. Bukan tugasnya mula jam tujuh tamat jam dua. Kemudian boleh bersuka ria, terus lupa ia sebenarnya cikgu. Aku kagum dengan cikgu yang layak bergelar cikgu. Bukan cikgu yang menjadi tugu. Menyerahkan bulat-bulat hal murid sendiri kepada ayah dan ibu. Sedang ayah dan ibu pun ada anak yang sembilan. Dan sembilan ini pun murid juga. Macam-macam kerenah mahu disapa.

Terima kasih ayah. Terima kasih ibu. Kerana menjadi cikgu yang pertama dan terutama dalam hidup kami. Mengenalkan kami Quran dan ABC, menjadikan kami seperti sekarang. Jasa dan bakti kalian mudahan diganjari syurga kelak. Juga ingatan kepada kekandaku yang tiga, perjuangan kalian adalah untuk kehidupan orang. Moga kalian boleh menjadi seperti ayah dan ibu, melentur tanah menjadi manusia. Selamat Hari Guru!

16 Mei 2009 (11.00 am)
London.

Friday 15 May 2009

AIR MATA BATU

(cintaku Palestina)

Abad-abad yang menyinggah
Setia menadah
Gemuruh halilintar
Pada sulaman kejora

Batu ikut tertampar
Oleh ngerinya gelombang
Terkolamkan ranjau
Yang menangisi kejujuran

Masih bersuarakah manikam
Akan kekalutan taufan
Atau nanti gerimis
Menjadi batu

15 Mei 2009 (11.55 pm)
London.

Wednesday 13 May 2009

BUKAN SKRIP BIASA

(kadang doaku kosong)

Doa
Bukan seperti berlakon pentas
Atau menghafal puisi-puisi indah
Yang bila terlupa barisnya
Dijeling dan dijenguk
Lagi dan lagi

Doa
Adalah bicara dari jiwa
Tidak perlu harmoni butirnya
Tidak perlu diliuk lentuk
Kerna rasa harap itu sendiri
Sudah cukup mengasyikkan

Doa
Adalah bukti diri kedaifan
Akan segala kebutuhan
Jika tidak
Tiadalah perlu merayu
Sampai tersendu-sendu

Doa
Adalah erti hinanya hamba
Di mana dan siapa pun dia
Tak mampu berbuat apa
Tanpa izin Pencipta

Doa
Maknanya dambakan perhatian
Ketika datang kesulitan
Bukan terus ditinggalkan
Waktu hadirnya kesenangan

Doa
Adalah rintihan
Memohon belas simpati
Walau bibir sunyi berkata
Namun hati berat merasa

Doa
Tidak wajib selepas dikata itu
Disebut yang seterusnya pula
Kerna jiwa yang letaknya pada Tuhan
Pasti terbit alunan indah
Yang tidak terduga

Doa
Apalah ertinya ia
Kalau panjang berjela
Tapi hati tak turut serta

13 Mei 2009 (10.15 pm)
London.

IBUKU TIDAK PANDAI (repost)

(ma, aku rindu)

Ibuku tidak pandai
Menghantar mesej ringkas
Setiap yang dikirim
Bisu yang berbalas

Ibuku tidak pandai
Meneka mana Eropah
Cuma di benaknya
Mahu ke Mekah

Ibuku tidak pandai
Menghadap teknologi
Hari ini ia belajar
Esok diajar lagi

Ibuku tidak pandai
Memakai baju mahal
Ke mana jua pergi
Kurung tak ditinggal

Ibuku tidak pandai
Mengerah amarah
Tapi tajam jelingnya
Buat kami bersalah

Ibuku tidak pandai
Berbicara syahdu
Hanya tutur mata
Meluahkan rindu

11 Mei 2008 (8.00 am)
King's College London

Sunday 10 May 2009

BILA MA CALL

(Ma, Selamat Hari Ibu)

Bila ma call
Aku boleh tahu
Soalan pertama;
Segar ke?
Soalan kedua;
Duit ada ke?

Menjawab dua itu
Ma diam
Aku mencelah
Ma bagaimana?
Ayah?
Kakak yang tiga?
Abang?
Adik berempat?
Rumah?

Menjawab semua
Ma diam lagi
Aku menambah
Padang Bukit?
Banggol Kulim?
Kursus ayah?
Kerja ma?
Kakak, abang, adik
Balik kampung?

Menjawab semua
Terasa lama pula
Ma mahu berhenti
Pesannya;
Sampaikan salam pada kawan
Pintaku;
Doakan ya

Habis beri salam
Ma diam lagi
Aku menjawab
Ma menunggu
Agar aku meletak dulu
Aku pun begitu
Menunggu Ma dulu

Aku letak
Aku menung
Soalku;
Aku tanya banyak
Hanya untuk tahu?
Ma call sekejap
Tapi sebab rindu?

10 Mei 2009 (11.10 pm)
Playford Road, London.

AYAH RINDUKAN MAK!

(ayah, aku tahu kau rindu)

Ayah sedang rindu
Untuk menziarah mak
Membawa rambutan merah
Yang dipetik dari kebun

Ayah sedang rindu
Untuk mengimamkan mak
Bersolat dan wirid bersama
Berdoa untuk keluarga

Ayah sedang rindu
Untuk makan bersama mak
Bercerita tentang kerja
Walau mak tidak mengerti

Ayah sedang rindu
Untuk mengucup dahi mak
Memohon belas ampun
Agar mudah ke syurga

Ayah sedang rindu
Untuk memanggil 'Mak'
Sebab mak sudah tiada
Meninggalkan rindu buatnya

(Semalam aku menerima pesanan ringkas daripada ayah, mengingatkan tentang Hari Ibu. Katanya 'Beruntunglah mereka yang masih ada ibu.' Aku tahu kata-kata itu supaya aku menghargai ibuku. Aku juga tahu kata-kata itu adalah luah rindu ayah pada 'Mak'nya. Yang telah tiada.)

10 Mei 2009 (8.20 pm)
Playford Road, London.

Thursday 7 May 2009

UNTUK DIA YANG BERGELAR ADIK

(balada jiwa seorang kekanda)

Adikku,
Pada saat-saat getir ini aku membelek lembaran-lembaran kenangan antara kita. Yang cukup tebal berhabuk. Terzahir gelaran-gelaran yang pernah diberi untukmu olehku. Juga untukku olehmu. Kadang aku senyum, kadang aku sayu.

Adikku,
Lama benar kurasa tiada bicara denganmu, dari hati ke hati. Mungkin sejak aku melangkah ke alam remaja, egoku pun bertambah seiring pertambahan kejayaanku. Dan aku sedar saat itu engkau mula menjauh. Atau aku yang sebenarnya begitu.

Adikku,
Dewasamu bukan ditatap oleh dua mata ini. Apa lagi bertanya apa masalah hidupmu.Engkau pun menyendiri, kutahu rasa rendah diri itu ada padamu. Kerana melihat aku dan yang lain agak berjaya, sedang engkau masih di situ.

Adikku,
Kini kita sama dewasa. Dan aku yang lebih tua, mula terasa beban-beban hidup yang akan kutempuh. Detik ini ingin sekali aku kongsi perit maung sepanjang keberadaanku di daerah ini. Tapi engkau tiada di depanku. Kalau pun ada, pasti aku sembunyikan kesakitan.

Adikku,
Biarlah ceritaku disimpan dulu. Ingin sekali aku lihat engkau bicara akan hidupmu kini. Agar boleh aku tongkatkan semangatmu yang lumpuh. Agar boleh aku lihat engkau lebih berjaya berbanding diriku sendiri.

Adikku,
Kelmarin genaplah usiamu menjejak angka tujuh belas. Engkau pun makinlah tahu untuk hidup. Moga engkau lebih kuat dari diriku. Moga kenangan-kenangan kita terus bersemadi untuk hidup di alam syurga.

Selamat Hari Lahir, Adinda Faezuddin!

8 Mei 2009 (5.00 am)
London.

Wednesday 6 May 2009

HIDUPKU BERHARGA!

Hidupku bukan untuk risau
Memikirkan duit berkurang
Sewa rumah dan bil telefon
Bagaimana mahu terbayar?
Sedang bil-bil dosa
Terkumpul banyaknya

Hidupku bukan untuk cemuh
Menimbang apa menu esok
Ayam goreng atau roti kering
Dua-dua pun sudah muak
Sedang setangkai anggur syurga
Tak pernah kuidam

Hidupku bukan untuk debar
Menghadap peperiksan 3 jam
Entah lulus entah gagal
Habis ia habislah usaha
Sedang peperiksaan mahsyar
Belum aku bersedia

Hidupku bukan untuk takut
Mendapat kerja biasa-biasa
Kalau gajinya banyak angka
Orang keliling melihat bangga
Sedang malaikat langit dan bumi
Tak henti mencela

6 Mei 2009 (11.30 pm)
Playford Road, London.