Tuesday 28 June 2011

KITA DAN DUNIA

Serakus-rakusnya
Dunia yang uzur itu diperkosa
Digenggam kepalanya dan dipusing-pusing
Dijilat tubuhnya oleh lidah yang menipu

Seperti sangkakala di bibir Israfil
Tahi-tahi bintang yang riang meluncur
Pun menjadi kering
Oleh gegak gempita raungnya
Dan dari langit yang setia mendengar
Gugurlah air mata simpati

Mengapa pekik rayu dunia itu menjadi seperti mainan
Untuk kita?
Butakah mata untuk melihat
Tulikah telinga untuk mendengar
Sedikit pun hati tidak bergegar
Pada kusut wajahnya yang kusam?

Manusia atau binatang
Yang lebih mulia?
Kalau janji demi janji dipasung
Kalau kata demi kata dicerca
Kalau hati telah mati dari merasa

Lagu-lagu dari neraka sedang beralun
Menyampaikan pesan-pesan dari batu dan manusia
Betapa mereka setia menanti
Tangan-tangan yang kotor dirantai besi
Menyalalah api ke lubuk hati!

Dunia itu sedang mengira
Hari-hari nafasnya tersisa
Dan kita?

Shah Alam.

Wednesday 22 June 2011

PASTI

Ada orang
Dalam sedang seronok
Beriadah dan berhibur
Tiba-tiba mati

Ada orang
Ketika memandu ke pajabat
Diserang sakit jantung
Langsung mati

Ada orang
Bertahun menderita
Kencing manis, darah tinggi
Akhirnya mati

Ada orang
Sedang mengaji di surau
Dihempap tanah dari bukit
Tak terduga matinya

Ada orang
Goyang-goyang kaki
Minum teh, baca akhbar
Pun mati juga

Hidup ini tiada benda yang pasti
Kecuali mati

Shah Alam.

Tuesday 21 June 2011

DI MANA SAYA BERMULA DENGAN SAJAK

Belakangan ini, cukup ramai yang bertanya perihal blog Pemburu Syurga. Entahlah, selalu sahaja rasa ingin menulis kembali seperti dulu, namun setiap kali cuba ditulis, ia terhenti di pertengahan. Akhirnya? Terjadilah lambakan entri-entri di bahagian draf.

Banyak sangat perkara yang terjadi dalam hidup, yang mahu dikongsikan, kadang terasa perlukan masa untuk berhenti dan bermuhasabah, tapi penghujungnya? Terjebak pula ke kancah dosa yang telah lama ditinggalkan. Oh hidup memang payah, sungguh!

Mungkin hati ini sudah terlalu kotor untuk bercerita tentang pahala dosa, syurga neraka, kiamat, hisab dan segala. Ada juga terlintas mahu menulis dengan bahasa santai, namun itu bukan saya, kerana saya tidak pandai menggunakan bahasa mudah untuk menyampaikan sesuatu. Kalau ya pun, mungkin ada yang terasa hati nanti.

Tak kurang juga yang bertanya tentang bila mula menulis, dari mana dapat idea. Seingat saya, blog ini bermula setelah seorang teman rapat saya mencadangkan. Namanya Bashirulhafi. Masa tu tak ramai pun lagi blogger, tapi sudah ada blog Angel Wears Gucci, milik sahabat saya. Masa tu blog tersebut masih lagi mempunyai dua penulis, Dolce dan Gabbana. Masa tu juga Facebook pun tak begitu popular berbanding Friendster dan Myspace.

Dan asal mahu menulis adalah untuk berkongsi kisah suka duka di dunia orang, bukan dalam bentuk cerita biasa, tapi dalam bahasa puitis. Seingat saya, saya berminat dengan puisi sedari sekolah rendah ketika memenangi pertandingan sajak di dalam kelas semasa Darjah 3. Peluang untuk meneruskan minat tak banyak, lagi-lagi berada di negeri Kelantan, sehinggalah zaman SPM, saya terus bersajak untuk tugasan Bahasa Melayu dan saya mendapat markah hampir penuh berbanding rakan-rakan yang lain yang tidak memilih untuk bersajak.

Semasa di Bantinglah, baru benar-benar obsesi terhadap sajak itu timbul. Itu pun semasa saya sudah masuk Tahun 2. Ketika itu Cikgu Bahasa Melayu saya, Puan Nor Hasni, mengusik saya supaya menyertai Pertandingan Mencipta dan Mendklemasi Sajak Sempena Kemerdekaan di KMB. Saya bersama seorang rakan kelas mencipta sajak yang cukup panjang bertajuk 'Nisan, Mata dan Pewaris'. Malah sajak kamilah yang dikatakan sajak terpanjang dalam pertandingan tersebut.

Hasilnya? Kami mendapat johan! Lantas kami ditugaskan untuk mendeklamasikannya semasa Malam Ambang Merdeka berlatar belakangkan muzik sentuhan Kitaro. Bermula dari situ, minat itu semakin bercambah dengan suburnya.

Kemudian unit Bahasa Melayu KMB pula menganjurkan pertandingan mendeklamasi sajak Usman Awang, antara kelas pelajar-pelajar Tahun 2. Penyertaannya wajib bagi berkumpulan, dan sebanyak 20 kelas menghantar team masing-masing. Maka saya sekali lagi diamanahkan untuk mengetuai team kelas saya, M05K, dan kami mendapat sajak bertajuk 'Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya'. Panjang sungguh tajuknya!

Kami tidaklah sehebat kelas-kelas lain, yang antara ahlinya merupakan bekas wakil sekolah dan negeri dalam pertandingan sajak, bahas dan sebagainya. Prop kami pun antara yang teringkas, maklumlah, kami sedar yang gelaran juara itu jauh sungguh dari menjadi nyata. Namun Allah Maha Pemurah, kelas kami mendapat johan tanpa disangka-sangka, mengalahkan 19 kelas lain!

Lebih mengujakan, saya turut menyertai kategori solo dalam pertandingan tersebut. Walaupun saya mendaftar agak lewat dan bilangan peserta dihadkan kepada lima orang sahaja, akhirnya atas nasihat cikgu-cikgu, saya dimasukkan ke dalam senarai peserta solo, sementara salah seorang daripada mereka yang terlebih awal mendaftar, telah digugurkan namanya.

Sajak solo saya bertajuk 'Dunia Yang Senyum'. Dan sekali lagi saya mendapat gelaran juara, mengalahkan empat peserta yang kesemuanya lelaki, ada antaranya pernah mewakili SAS dalam pertandingan-pertandingan seumpama itu, ada juga merupakan penyanyi popular di KMB, dan yang paling manis, salah seorang dari mereka pernah tewas di tangan saya semasa Pertandingan Mendeklamasi Sajak Kemerdekaan yang lalu.

Dari situlah, nama kelas kami mula digeruni, dan dalam pertandingan-pertandingan seterusnya, dalam pelbagai jenis lapangan, kami sering mendapat tempat teratas.

Sungguh Allah itu Maha Pemurah, sekelip mata Dia menaikkan darjat kita, dan sekelip mata juga Dia berkuasa menjatuhkannya. Semoga Allah terus mengurniakan saya ilham dan kekuatan untuk menulis dan berkongsi tentang hidup kita yang sebentar ini.

Shah Alam.

Monday 20 June 2011

TAK MAMPU AKU SEMBUNYIKAN RINDU INI

Sudah tak tertahan lagi rasanya rindu yang mencengkam hebat ini. Aku cuba untuk melupakan, cuba untuk menghilangkan, namun ia terlalu dekat, terlalu rapat jauh ke dalam dasar hati.

Ya Allah, di depan Kaabah itu selangkah demi selangkah kaki ini bertawaf. Setiap detik aku luangkan hanya untuk menghayati cintaMu yang maha agung, mengatasi segala jenis cinta yang ada di dunia. Masih segar dalam ingatan ini Ya Allah, betapa doa yang sering aku lafazkan di situ, "Ya Allah Ya Tuhanku, aku tidak ingin meminta apa-apa dari dunia ini, aku hanya ingin agar Kau memberikan ruang untuk hati ini sepenuhnya mencintaiMu, dan Engkau sepenuhnya mencintaiku. Ya Allah, bebaskanlah hati ini dari penjara dunia dan nafsu, gantilah ia dengan kekhusyukanku sebagai hamba dan keredhaanMu"

Ya Allah, betapa aku merindui saat-saat keasyikan itu ada untuk meminta dan meminta, bukan untuk dunia, tapi kebahagiaan di dunia yang sana, betapa aku merindui titis-titis air mata di sana yang seperti tidak akan pernah kering, semata-mata untuk medapatkan rinduMu, betapa aku merindui setiap saat yang berlalu sambil tersentuh menatap KaabahMu, betapa aku merindui semua yang ada di sana.

Ya Allah, hari ini Engkau sendiri telah menjadi saksi, bahawa janji-janji yang telah aku taburkan di depan KaabahMu, satu demi satu aku mungkir. Engkau menjadi saksi, bahawa hati yang pernah kotor ini bertambah jijik oleh jauhnya Kaabah dari sisiku. Engkau menjadi saksi, bahawa cintaMu sudah jauh aku hapuskan dari detak jangtungku, sedangkan itulah azamku ketika di sana.

Ya Allah, sungguh pun aku tidak mampu lagi untuk kembali kepadaMu, sudikanlah diriMu untuk mendekati aku.

(dan air mata pun mengalir lagi)

Shah Alam.

Monday 13 June 2011

MASIH ADA RINDU

(untuk mereka yang tahu kata-kata ini untuk mereka)

Rindu itu masih ada, dan tetap akan ada sampai bila-bila.

Itulah getus hati saya setiap kali mendengar keluh rindu daripada insan-insan yang pernah mendapat sentuhan saya, walaupun mungkin sekarang mereka memilih jalan lain, atau tegar berjuang mengharung perit maung ombak dunia. Perit terasa, sebak jiwa bila setiap kata-kata itu tidak saya dengar sendiri, tetapi hanya melalui mulut-mulut yang bercakap, hinga akhirnya sampai ke telinga saya.

Mana mungkin hati seorang naqib cepat saja melupakan saat-saat menahan malu berjumpa dengan orang yang tidak pernah dikenali, apatah lagi bila orang tersebut sendiri mengesyaki macam-macam pada kita. Setiap pertemuan pertama saya ingat sampai sekarang, bahkan mungkin saya lebih ingat daripada mereka, cuma saya tidak pernah menceritakan. Tidak berkesempatan.

Lebih sedih apabila ada yang beranggapan saya meninggalkan mereka, apatah lagi yang menyangka saya mula membenci. Demi Tuhan yang nyawa saya di tanganNya, tidak pernah sesekali terasa mahu meninggalkan kalian, walaupun mungkin jasad tidak bersama membimbing mereka, tapi saya temankan dengan iringan doa dan semangat yang takkan pernah hilang.

Untuk adik-adik yang masih tersisa rindu pada kenangan ketika kita bersama, walaupun tempohnya sebentar, walaupun mungkin hari ini jalan kita berbeza, Allah sahajalah menjadi saksi betapa kenangan itu telah membina saya hari ini, dan semoga Allah mempertemukan kembali saya dengan kalian di syurga, bersaksikan para nabi dan malaikat.

Kerana masih ada rindu.

Shah Alam.