Friday 30 April 2010

MUHASABAH

Aku melihat langit di luar yang tidak seperti selalu. Baru dua, tiga hari lepas langit yang sama terlampau kosong dan muram, mujur juga ada matahari yang menemani hari-hari di sini, dan malamnya? Ada purnama yang sendirian tanpa gemerlapan bintang. Terasa benar suasana di kampung, bila lama kemarau singgah dan hujan malu untuk bertandang, angin dingin pun sudah cukup membahagiakan. Apa pula gerimis yang berkunjung pada senja hari. Menghilangkan kepanasan, memberi ruang untuk anak-anak kecil bermain-main dengannya. Sekali-sekala sayup-sayup kedengaran suara ibu-ibu yang memanggil pulang bila Maghrib menyusuli.

Oh ini bukanlah yang mahu aku ceritakan. Apa yang lebih utama, suasana begini sebenarnya cukup sayu untuk jiwa-jiwa manusia. Tidak terlalu panas, tidak pula terlalu dingin. Aku juga manusia, atau lebih tepat untuk digelar hamba. Kesayuan ini menghantar pesanan dari Tuhan mungkin, supaya jiwaku yang terlalu lama merajuk denganNya kembali bermukim di pangkuan kasih abadi itu. Terlalu jauh roh ini mengembara mencari dunia dan cinta-cintanya, hingga terlupa akhirnya sama juga. Kerana asal roh itu dari Tuhan, maka hanya denganNya jiwa akan menjadi tenang dan tenteram selama-lamanya.

Aduhai ini bukanlah yang mahu aku ceritakan. Tapi entah kenapa jiwa ini terlalu sayu bila melihat langit yang dikatupi awan dan burung-burung sedang kembali ke sarang. Aku jadi muhasabah. Selama aku memahami tentang Allah itu, tentang agamaNya, tentang kalamNya, kenapa jiwa ini tetap sahaja berlagak seperti dunia ini tidak akan ada hujungnya?

Oh teringat pula tentang khutbah Jumaat siang tadi. Tentang "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku HANYALAH UNTUK ALLAH." Betapa air mata ini mahu mengalir bila aku tahu yang semua di dunia ini sangat fana, betapa Tuhan itu setia menanti aku kembali kepadaNya, betapa Dia menyediakan syurga untuk hamba-hambaNya yang bertakwa, tapi kenapa syaitan itu sangat jahat. Syaitan itu membisikkan agar aku mencintai dan memuja dunia lebih daripada segala-galanya. Bukan setakat itu, nafsu pun semakin buas menebas tugu-tugu keimanan yang sedang retak. Iman yang dipertaruhkan selama ini hanyasanya untuk mendapat simpati Allah, aku leburkan dengan hambatan-hambatan nafsu yang sampai bila-bila pun tidak akan puas.

Ya Allah, kalau ketika ini Engkau masih sudi mendengar doa seorang hamba yang paling hina ini, tolonglah Ya Allah. Berikan aku sedikit kekuatan untuk melawan cabaran-cabaran yang menggoyahkan hati, ujian-ujian yang menjarakkan aku dari mengingatiMu. Biarlah Ya Allah, kalau nafas ini hanya tinggal sesaat lagi, jangan sesekali engkau membiarkan nasib diriku ditentukan oleh aku sendiri. Aku pertaruhkan detik nadiku untuk membeli keampunanMu, Ya Robbi.

London.

Monday 26 April 2010

TERIMA KASIH!

Terima kasih Tuhan. Kerana sekian lama aku hanyut dalam pautan nafas manusia, Engkau keluarkan aku darinya. Terima kasih Tuhan. Dengannya aku kini tahu yang hanya kepada Engkau tempat dilabuhkan segala rasa. Terima kasih Tuhan. Membangkitkan aku daripada angan panjang yang sering menggusarkan jiwa. Terima kasih Tuhan. Masih mengasihi ketika aku memerlukan sokongan. Terima kasih Tuhan!

London.

Saturday 24 April 2010

EMBUN

Burung-burung pagi yang sedang galak
Bercerita tentang semalamnya yang mesra
Pada titis embun yang belum tua
Di atasnya langit terlalu kosong
Dan laut sudah jemu bergelora

Embun itu terlalu setia
Pada burung dan alamnya yang baru disapa
Seperti ia mahu menjadi sungai
Oh alangkah butanya!

Kalau fajar nanti menjadi kiamat
Untuk embun yang belum bertaubat
Burung, dengarkan wasiat;
Biar esok aku menjadi angin

London.

Sunday 18 April 2010

KISAH JOE DAN AKU

Kadang-kadang lucu juga bila setiap tulisan di sini dikaitkan dengan 'gerak kerja' (sesetengah orang mungkin mengerti), padahal aku sedang berdiari. Maksudnya? Ya, bercerita tentang kisah hidup sendiri. Yang satu hari nanti bila aku sudah menginjak tua, dibelek dan dibaca, digambar dan dikenang, aku tahu dari mana asal aku dan bagaimana usia muda itu dihabiskan. Tak kurang juga yang bosan dengan alasan perkara mudah kenapa mahu dipayahkan, lagi senang orang nak faham dan tak perlu berbelit-belit. Kalau orang nak mudah, aku pun bagilah jawapan mudah,"Sebab ini kisah hidup aku, malulah kalau semuanya jelas belaka." Kalau yang nak susah, tunggulah aku berbahasa lagi.

Menyahut pandangan beberapa orang teman, biar kali ini aku tulis dengan bahasa mudah. Sebuah kisah tentang manusia dan Tuhan mereka. Mungkin ada yang sedang berfikir-fikir,"Ah, lagi-lagi pasal ini," ataupun,"Alah, benda biasa." Tapi pernah ke kita terutama aku yang sedang menulis berkata,"Ini kisah cinta agung, antara Pencipta cinta dan pencari-pencari cinta, kisah yang sampai bila-bila tiada penamatnya. Kisah sampai ke syurga." Oh, mungkin sekali lagi bunyinya sarat dengan falsafah, atau berbelit-belit. Maaf.

Aku sangat gemar melihat telatah manusia, membaca dan membuat penilaian. Sebab itu kadang-kadang ramai orang yang takut bertentang mata atau berkata-kata dengan aku. Entah, aku pun tak pasti apa alasan mereka. Kadang aku rasa ini suatu kelebihan, tapi perlu dimanfaatkan supaya tidak menjadi penghalang antara aku dan manusia. Berbalik kepada kisah tadi, sedang aku asyik meneliti patung-patung manusia (banyaknya watak manusia) di sepanjang Thames River, daripada ingin mencari damai di celah anak-anak ombak yang berkejaran terjadi pula suatu plot yang merenggut kejiwaan. Alahai tak habis lagi bermain dengan emosi nampaknya!

"Joe!" Mula-mula aku dengar jeritan ini, aku sangkakan ia lahir daripada rasa gembira tak terkata seorang ibu bila melihat anaknya di sisi seorang penghibur jalanan. Mungkin bangga sangat. Kerana ditakdirkan pada waktu yang sama penghibur itu sedang mencari-cari seorang budak untuk menjayakan persembahannya. Aku silap, bila manusia kecil yang bernama Joe itu berlari sepenuh hati mendapatkan seorang wanita yang sedang berdiri betul-betul di kiriku, sedang mengambil posisi untuk menikmati persembahan, sambil menjerit,"Mom!". "I am sorry," berkata si wanita kepada budak lelaki itu sebagai menyahut kembali. Si wanita memeluk, mencium dan mendukung Joe.

Ah, sudah malas pula mahu menulis. Beginilah aku, ketika semangat datang macam-macam mahu aku kongsikan. Tadi baru sahaja berhubungan dengan 'orang-orang kampung', terasa ingin aku batalkan niat mahu menulis entri ini tapi aku paksa juga tangan bergerak dan jari menaip. Aku ringkaskan saja, setelah melihat peristiwa ini aku jadi tak keruan. Memuhasabah diri sendiri.

Ketika aku leka bermain-main dengan dunia, dan Tuhan mula perlahan-lahan hilang dari pandangan hati, hidup aku jadi tak menentu. Semua yang dibuat serba tak kena. Lalu, aku akan mencari punca kegelapan jiwa. Dan bila nampak bias cahaya cinta Tuhan, aku akan menghampiri. Kadang aku menyalahkan Tuhan, kenapa Dia membiarkan aku begini, hidup terumbang-ambing tanpa ada sekilas pun rasa bersalah ketika jiwa berada sangat jauh denganNya. Kenapa tidak Dia betul-betul pelihara aku dalam perhatian dan peluk kasihNya. Setiap kali aku kembali kepada Tuhan, Dia akan memujuk, seolah seperti memeluk, mencium dan mendukung aku. Tetapi kini aku akan cuba untuk bertanya,"Salah Tuhankah kalau aku yang sebenarnya menjarakkan diri dariNya?" atau,"Perlukah Tuhan itu meminta maaf seperti si ibu tadi sedangkan aku adalah seperti Joe?"

(Maaf, lupa pula mahu menjelaskan. Joe itu telah hilang dari pimpinan dan pandangan ibunya ketika bersiar-siar di sepanjang Thames River. Uniknya, mereka disatukan kembali pada sebuah persembahan jalanan yang tak tersangka!)

London.

Friday 9 April 2010

DENDAM MAC

(dedikasi untuk Mac yang telah mati)

Lima butir purnama telah bertamu
Padanya kelat malam ditelan tawar
Panas angin mengirim salam panjang
Dari takhta yang membutakan nafsu
Ngilu sendu pun gemalai berlagu
Dalam dakap seruan yang satu

Waktu untuk purnama dan aku menjadi debu, tibalah
Mengerat sejuta hiruk urat gemawan yang berselirat
Menepis lohong-lohong terowong yang bermusuhan
Menjadilah purnama batu-batu yang mematung
Dan aku tersorok di antara ia dan tanah

Biar pun Mac itu mati dihunus atau dicincang
Rasa yang menyambut jasadnya terlebih awal bertemu ajal
Di situ telah lahir anak-anak hati yang kerapuhan
Lelah berlarian mencari-cari purnama milik mereka
Lidah mana pula berani ke medan pertempuran
Atau sekurangnya membela aku dan menuturkan;
Dendam pada Mac itu akan aku wariskan!

London.

Wednesday 7 April 2010

UNTUK MA DAN AYAH

(terlalu menyayangi)

Sayang-sayang anak, tinggal-tinggalkan.

Sudah jauh aku meninggalkan kenangan untuk dirindui oleh ma dan ayah. Setiap yang telah terlukis dalam perjalanan menjadi sesempurna manusia adalah kerana tunjuk ajar mereka, penat lelah yang telah mereka korbankan demi besarnya seorang anak ini. Yang ketika aku berjaya mereka ceria dan ketika aku berduka mereka bermuram durja.

Aku mahu. Setiap kali mata ini terpejam biarlah sewaktu dibelai manja oleh keduanya, dan ketika saatnya aku terjaga mereka tersenyum di sisi. Tapi Tuhan itu Maha Menguji. Mana ada seorang anak yang akan sentiasa ditemani oleh ma dan ayahnya, sedangkan anak itu sendiri yang memilih untuk meninggalkan mereka. Jauh.

Oh pada detik waktu ini aku terlalu merindui. Untuk mendengar sepatah pun bicara dari ma dan ayah, biar pun leteran yang aku terima. Ya Tuhan, di mana pun ma dan ayah yang sangat aku sayang itu berada, peliharalah keduanya dalam peluk kasihMu sampai syurga nanti. Sampaikan salam rindu seorang anak derhaka kepada keduanya.

ps; kerana setia kasihku pada keluarga, dakwat ini tidak akan pernah kering

London.