Monday 31 March 2008

BEBASKAN

(engkau menyimpul mati)

Kebebasan adalah suatu nikmat
Yang hilang bila ada keterikatan

Aku mahu bebas
Dari lingkaran taksubmu
Akan mengejar suatu yang samar
Terkadang engkau menurut buta
Padahal aku tahu warasmu bukan begitu

Leraikan simpulan mati yang mengikat kita
Agar aku terlepas untuk bebas ke mana
Tanpa ada cebis penyesalan
Tanpa ada cubit kegelisahan

Bebaskan aku sekarang
Sungguh nafasku makin sesak
Dalam ikatan kebodohan antara kita
Yang padamu aku mengerti
Tapi padaku itu perlu mati!

31 Mac 2008 (9.15 am)
King's College London

Sunday 30 March 2008

CIKGU SUSAH

(ajarkan aku, cikgu)

Di situ berdiri setia
Seorang cikgu yang mulia
Namanya Cikgu Susah

Dilihat mata bogel kecil sahaja ia
Tapi budi ikhlasnya besar sungguh
Ramai yang tak mahu diajar olehnya
Sebab terkedek ia ke hulu ke hilir
Dengan bengis mukanya yang garang

Cikgu Susah
Dia yang mencari murid
Dia yang memaksa mereka belajar
Dan dia juga yang banyak merotan
Sebab itu tanggungjawab katanya

Kasihan Cikgu Susah
Keringatnya tidak pernah kering
Lagi semua mahu menyalahkan ia
Sedang cuma mahu mengkhabar ilmu
Tentang makna hidup yang senang

30 Mac 2008 (6.10 pm)
King's College London

Saturday 29 March 2008

AKU MAHU PERGI

(jemputlah aku, Tuhan)

Aku mahu pergi
Dari sebuah dunia khayalan
Kembali bermukim pada Tuhan
Diterimakah aku?

Aku mahu pergi
Meninggalkan jejak pilu
Yang aku lemah menempuhnya
Tapi dipaksa diri

Aku mahu pergi
Menyongsang arus sementara
Tak mampu aku berenang
Dek ganas alurnya

Aku mahu pergi
Untuk yang terakhir kali
Banyak yang ingin kutatap, Tuhan
Izinkan aku pergi

29 Mac 2008 (6.00 pm)
King's College London

Friday 28 March 2008

ANDAI ESOK KIAMAT

(mampukah aku berubah?)

Andai esok kiamat
Aku mahu lari
Ke negeri yang jauh
Jua milik Tuhan?

Andai esok kiamat
Aku mahu tangis
Merona tujuh laut merah
Tapi hari ini sudah kering

Andai esok kiamat
Aku mahu mati
Dalam dakap kasih sahabat
Yang tahu peritnya aku

Andai esok kiamat
Aku mahu berbuat segala
Pun semua Tuhan gembala
Mampu atau tidak?

28 Mac 2008 (6.15 pm)
King's College London

EJEN PENGALAMAN

(setiap barangan terlaris)

Kita ejen pengalaman
Menyeru dari rumah ke rumah
Tak perlu malu menghadap tuan
Sebab kita mahu jual barang
Dan mengutip nama setiap pelanggan

Seorang ejen pengalaman
Membawa katalog kenangan
Untuk diisi dengan nama-nama kehidupan
Nanti mahu dihantar barang
Ke suatu persinggahan

Ejen pengalaman
Melaung-laung kebenaran
Yang kadang-kadang hidup tak pandang
Sebab ada iras kegawatan
Bila ejen pengalaman hilang tujuan

Ejen pengalaman tak boleh berhenti berjalan
Banyak lorong-lorong terhampar di depan
Mahu dengar celoteh Tuhan
Lalu ditempah liku-liku yang tempang
Untuk seorang ejen pengalaman berikan

28 Mac 2008 (8.55 am)
King's College London

Thursday 27 March 2008

BUMI GALWAY

(medan menyemai amal Islami)

Di celah-celah rekahan tanah dingin
Tumbuh tunas-tunas hijau yang gagah
Dari dasar bumi yang makin hilang
Yang tebal dilitupi semak dosa

Di bumi Galway ini
Kami disemai dengan jiwa ubudiah
Kami disiram dengan erti khalifah
Kami dibaja dengan nikmat ukhuwah
Supaya akar Islami tidak goyah
Dan pucuk redha tidak disanggah

Daerah asing ini terlalu kontang
Bagi tunas hijau untuk subur melata
Di sini ada sahaja kumbang sengketa
Di sini banyak juga kuman hati bertakhta
Menghadam isi-isi yang baru ditempa

Tuhan menjadi saksi
Sekerat tanah di sini telah bersemadi
Dengan keluh kesah tunas-tunas baru
Yang mahu kenal cahaya yang satu
Yang ingin menjadi buah yang gebu

27 Mac 2008 (11.20 pm)
King's College London

KEKASIH ISLAMIK

(bukan semudah bicara)

Pertama kali bersua
Hati mudah tak tahan
Mata melilau tak keruan
Sungguh cangkuk nafsu itu bengkok
Mudah ia mengumpan

Kekasih Islamik
Alangkah suci namanya
Perlukah kekasih pada Islamik?
Atau Islamik pada kekasih?
Belum sempurna rupanya

Mudah melafaz petah kata
Berkasih untuk ingat Tuhan
Berkata sebagai nasihat teman
Tapi bila Tuhan bukan kekasih
Mahu kau ingat Tuhan?

Aduhai kekasih Islamik
Cantik namanya
Kalau kekasih itu Tuhan

27 Mac 2008 (10.00 pm)
King's College London

MALAM JUMAAT

(malam seribu rahmat)

Malam ini malam Jumaat
Malam penuh berkat
Malam pekat rahmat

Di malam Jumaat
Solat jemaah sudah menjadi adat
Mengaji pun sudah hilang pelat
Sebab malam Jumaat keramat

Malam Jumaat wali bertapa
Menjauh diri dari nestapa
Dan umat kian tergendala
Dalam hitam malam yang lama
Hanya menurut petah bicara
Imam tua yang mahu bersara

Malam yang dingin ini malam Jumaat
Syaitan pun ikut berselawat
Memuji Tuhan terasa sendat
Sedang aku tak mahu dekat rapat

27 Mac 2008 (8.15 pm)
King's College London

Wednesday 26 March 2008

KEMBALI

(semangat wira)

Berhari kami menjejak
Cebis perjuangan wirawan muda
Yang hidup mereka untuk agama
Yang mati mereka untuk agama

Dan kini kami kembali
Bermukim di daerah sendiri
Perjalanan semalam memberi makna
Jalan hari ini masih panjang
Selagi usia belum dimamah
Selagi ajal belum melapah

26 Mac 2008 (2.55 pm)
King's College London

Thursday 20 March 2008

DEMAM

(cepatlah berlalu)

Semalam temanku demam
Katanya tak cukup tidur
Aku hanya ketawa sinis

Hari ini aku yang demam
Tidur rasanya terlebih
Sekadar tersenyum sendiri

20 Mac 2008 (9.50 am)
King's College London

Monday 17 March 2008

HIJAB

(leraikan hijab itu, ya Allah)

Segenap yang tersurat
Pasti lihatnya tersirat
Andai hijab yang pekat
Menudung hati yang sendat

1.00 am (18 Mac 2008)
King's College London

Sunday 16 March 2008

TIAP SAAT

(detik demi detik pasti ada soalnya nanti)

Tiap saat
Tuhan dibuang jauh-jauh
Sampai mata kabur
Sampai mata sudah buta

Tiap saat
Ingkar di hadapanNya
Sedang hati berkecamuk
Mahu kembali pada asalnya

Tiap saat yang berlalu
Adalah sisa hidup yang berliku
Pengukur hala tuju yang satu

16 Mac 2008 (10.20 pm)
King's College London

Saturday 15 March 2008

RINTIHAN

(bila rindu makin dalam)

Di luar gerimis bertandang
Di mata gerimis berombak sendu

Di luar unggas menyanyi sumbang
Di bibir unggas kesima bisu

Di luar daun-daun berceraian
Di benak daun-daun pecah dicantum

Di luar bintang tersipu segan
Di jiwa bintang bersinar kelam

Di luar rengek rindu langit pada bumi
Di hati rengek rindu pada yang hilang

15 Mac 2008 (10.15 pm)
King's College London

Friday 14 March 2008

MALAM DOSA

(takut aku sendirian di tengah malam di lorong itu)

Ada wanita di lorong itu
Menangis tanpa sendu
Mungkin hilang tempat mengadu

Ada lelaki di lorong itu
Bercium tanpa malu
Sesama jenis mereka memadu

Ada aku di lorong itu
Melihat dengan kaku
Apa mahu kujawab pada Tuhan pun tak tahu

Di lorong itu
Di malam penuh warna dosa
Semua galak menolak Tuhan
Seolah nanti tidak pulang padaNya

15 Mac 2008 (3.00 am)
King's College London

Thursday 13 March 2008

ASTAGHFIRULLAH

(bila mahu bertaubat?)

Astaghfirullah Astaghfirullah
Rakus berzina dengan noda
Tanpa aku sedar lagi
Astaghfirullah Astaghfirullah
Banyak benar dosa aku himpun
Entah bila mahu kubinasakannnya
Astaghfirullah Astaghfirullah
Aku rempuh setiap amaran Tuhan
Lantas terlaknatlah aku
Astaghfirullah Astaghfirullah
Sungguh makin lupa akan azabNya
Atau mungkin sengaja aku ghaibkan ia
Astaghfirullah Astaghfirullah
Tika bala Tuhan menyapa kini
Ke mana mahu kulari lagi
Astaghfirullah Astaghfirullah
Ingin sangat kembali pada Tuhan
Kuharap masih ada ruang
Astaghfirullah Astaghfirullah
Akanku pulihkan semangat jiwa
Menghampiri pintu taubatNya
Astaghfirullah Astaghfirullah
Andai tiada lagi keampunan buatku
Kejilah aku selamanya
Astaghfirullah Astaghfirullah

13 Mac 2008 (1.35 pm)
King's College London

Wednesday 12 March 2008

KEPUTUSAN

(payahnya meraih keputusan yang benar)

Keputusan semalam
Menjadi pengalaman yang sukar
Untuk ditempuh hari ini

Kerana itu
Gelisah aku mencari jalan keluar
Agar pengalaman esok
Lebih aku kenangi

3.00 pm (12 Mac 2008)
King's College London

Tuesday 11 March 2008

DIRGAHAYU KELANTAN

(usah kau cabar, kami pewaris tanah itu)

Tanah itu
Kata mereka ia tidak kenal butir nasi
Kata mereka ia tidak kenal batang besi
Kata mereka ia tidak kenal globalisasi
Kata mereka ia tidak kenal integrasi
Kata mereka ia tidak kenal hak asasi
Kata mereka ia mudah ditembusi
Siapa mereka yang asing itu?

Tanah itu
Kata kami cukuplah Allah dan rasul
Kata kami cukuplah ukhrawi dipikul
Kata kami cukuplah ulama yang dikabul
Kata kami cukuplah bahagia menyusul
Kata kami cukuplah doa yang dimakbul
Kata kami ia payah dicabul
Kami ini yang pemilik tanah itu

Tanah itu tempat anak-anak bersenda
Tanah itu tempat musafir berkelana
Tanah itu tempat ilmu digembala
Tanah itu tempat para wali bersemuka
Tanah itu tanah airku yang tercinta
Dirgahayu bumi Kelantan!

12.20 (11 Mac 2008)
King's College London

Monday 10 March 2008

CAMAR SENJA

(selamat tinggal camarku sayang)

Rona jingga di langit petang
Menghala jalan pulang seribu camar
Satu terpinggir ke belakang
Hilang arah ia

Camar yang satu itu sedih hidupnya
Patah sayap, dikibas ekor berselut
Putus kaki, bertongkat paruh sumbing
Dan mata rabunnya kian terkatup rapat
Seiring malam menutup senja

10 Mac 2008 (2.30 pm)
King's College London

Sunday 9 March 2008

HARI KEMENANGAN

(suria kebangkitan menampakkan wajahnya)

Alun zikir kian rancak
Mengiring pejuang di medan kejahilan
Pedang-pedang Tuhan terhunus di situ
Merodok segala jiwa yang angkuh

Hari ini
Semboyan kemenangan lantang ditiup
Hati-hati yang hitam kian pekat merahnya
Semangat diri berarak ke segenap jasad
Janji Tuhan makin dihampiri

Telah mereka berjuang
Bersenjata kalimah Tuhan Yang Satu
Ibarat suatu gunung yang teguh
Semua mesti kuat, semua mesti padat
Mara menuju ke medan itu

Jerih dahulu makin pudar
Dari panji-panji kebenaran yang terlipat
Kini berkibar megah memuji Tuhan
Kerna hanya Dia yang upaya
Mengerah kemenangan
Menjahanam kejahilan

9 Mac 2008 (1.00 pm)
King's College London

Wednesday 5 March 2008

MALU

(sungguh aku tak tahu malu)

Semalam yang sayu
Telah hamba datang bertandang
Membawa hadiah segumpal noda
Dan Engkau terima jua
Terukir senyum kasih
Terhampar permaidani rindu
Malu terasa

Senja ini
Ingin hamba ketuk pintuMu lagi
Kerna pasti Engkau menyahut
Setia di situ Engkau menanti
Dan hamba yang jarang mendekati
Engkau terima lagi
Hamba malu

Hamba akur akan setiaMu Tuhan
Dalam kudus air mata ada namaMu
Dalam perit jiwa ada pujukMu
Dalam hati yang gersang ada rinduMu
Yang hamba tidak pernah sedar
Akan kasihMu yang maha dekat itu

Bagai hamba bertamu sehari-hari
Hakikatnya Engkau hadir melewati batas detik
Sungguh hamba malu, Tuhan

5 Mac 2008 (4.45 pm)
King's College London

CINTA YANG TIDAK BUTA

(cinta yang buta, atau aku?)

Cinta yang tidak buta
Banyak yang tak tahu
Banyak yang tak mahu

Cinta yang tidak buta
Adalah cinta yang payah dijengah
Adalah cinta yang mudah disampah

Cinta yang tidak buta
Memaut rindu yang keramat
Memaut zikir yang tak pelat

Cinta yang tidak buta
Hilang di mata tetap tenang
Hilang di hati sering terkenang

Cinta yang tidak buta
Untuk jiwa yang bercahaya
Untuk jasad yang berupaya

Cinta yang tidak buta
Perlu ruang untuknya
Perlu Tuhan dengannya

5 Mac 2008 (4.30 pm)
King's College London

Tuesday 4 March 2008

MATI

(bila ajal bertamu, aku wajib bersua)

Aku renung sedalam mungkin
Aku teliti wajahnya yang sayu
Aku telusuri rasa ia tika itu

Dari situ
Perlahan air mata gugur
Bersama hiba yang terbeban
Semua dilepaskan hingga kosong jiwa

Dia pergi
Mengingatkan aku tentang suatu kehidupan
Yang akan aku ikut jejaknya nanti
Hanya membilang detik yang sekejap
Mungkin hari ini
Mungkin esok

Lama telah aku lenyapkan semua itu
Kerna dulu ia cukup kuat untuk aku paut
Kerna dulu aku punya teman yang mengingatkan
Kerna dulu aku tahu Tuhan yang dekat
Kini semua tiada

Terus aku gelisah
Mencari arah hidup yang baru
Tanpa panduan Tuhan

Mengenal ia
Cukup menjadi penyegar ingatanku
Akan hidup ini yang tiada siapa tahu hujungnya
Hari ini ia telah sampai ke situ
Nanti aku pula bertamu di alam yang baru itu

Alam hidup itu untuk semua
Tapi hanya sikit yang sedar akan wujudnya ia
Kerna hati kian terhijab dek pesona dunia
Dan hatiku jua begitu
Hitam kelam

Tuhanku
Tiap nafasku adalah untukMu
Tiap gerakku adalah untukMu
Hidupku adalah keranaMu
Matiku adalah keranaMu
Ingatkan aku tentangnya, Tuhan

12.20 am (5 Mac 2008)
King's College London

Sunday 2 March 2008

KASIH YANG JAUH

(tuntuni aku, Tuhan)

Dalam hati ini ada cinta padaMu yang aku sembunyikan
Tertanam dalam ia sampai sukar untuk kucapai lagi
Makin dalam aku gali, makin ke dasar ia menghilang
Mungkin aku yang tersilap meredahnya tanpa ajarMu

Telah lama juga tidak aku layangkan akalku mengingatMu
Dek terkejar habuan dunia yang menjelma di hadapku
Lalu aku pinggirkan Engkau dalam nikmat penggelap ini
Makin banyak aku dapat, makin jauh pula Engkau berlalu

Lagi rohku sudah lemah menggali dan menghambat
Bukan upayaku untuk gagah bertahan mendapat kasihMu
Tapi akan terus kucuba mencarik walau secebis cuma
Sebelum denyut hatiku dihenti, sebelum pundak akalku mati

2 Mac 2008 (1.50 pm)
King's College London

Saturday 1 March 2008

BAYU CINTA

(cukuplah meratapi hidup duhai hati)

Bayu kasihMu menyapa lagi
Lembut mengulit panas dinihari
Hilang dingin dalam gemersik bunyi
Sedang semesta berzikir memuji

Sungguh tak puas aku meratapi
Bayu hangat yang tak mengerti
Akan peluh kesah yang meniti
Alur hidupku yang kian teruji

Acap jua aku tak sedari
Betapa bayu itu Engkau beri
Agar kutahu kasihMu tiada peri
Namun aku mengutuk sangsi

Pun bayu ini tak seindah suria pagi
Aku cekalkan hati untuk memuji
Walau peritnya ditanggung sendiri
Hanya dengannya Engkau kuhampiri

Engkau tiada jemu memujuk hati ini
Sedang tangisnya tiada henti
Kuharap kasihMu ini akan abadi
Hingga melangkah ke syurga nanti

1 Mac 2008 (3.30 pm)
King's College London