Wednesday 30 April 2008

GERABAK DOSA

(panjangnya tak terkira)

Gerabak-gerabak dosa
Bertolak dari sebuah kota syurga
Laju menghala ke gaung neraka

Gerabak-gerabak dosa
Dulu Adam yang memandu ia
Tapi katanya sudah penat mahu berehat
Mujur anak-anaknya ramai

Gerabak-gerabak dosa
Makin jauh dari kota, makin panjang ia
Makin laju pula dipandu anak Adam
Tapi semua tak tahu di mana mahu berhenti
Kesian, Adam lupa memberitahu?

Gerabak-gerabak dosa
Anak-anak perlu tahu untuk singgah
Nanti semua penat, semua mahu rehat
Dan ada pahala yang mahu bertemu
Melukut di sepanjang-panjang landasan

Gerabak-gerabak dosa
Anak-anak Adam pun sudah terlena
Penat menambah gerabak baru di tengah jalan
Sedang ia masih bergerak
Menghampiri gaung neraka

30 April 2008 (6.50 pm)
King's College London

KIAMAT YANG JAUH

(esok itu jauh?)

Anak muda leka bermain
Dengan patung-patung zina
Yang dibeli ibu ayah
Disangka kiamat itu jauh

30 April 2008 (7.00 pm)
King's College London

INGATKAN

(manfaatkan sisa nafasku, Tuhan)

Tuhan
Ingatkan aku pada derita ajalku
Agar aku tahu untuk sujud

Tuhan
Ingatkan aku pada ngeri kubur
Agar aku tahu untuk mengaji

Tuhan
Ingatkan aku pada kelam mahsyar
Agar aku tahu untuk berzikir

Tuhan
Ingatkan aku pada sengsara di sirat
Agar aku tahu untuk merintih

Tuhan
Ingatkan aku pada azab neraka
Agar aku tahu untuk mengingatiMu

30 April 2008 (3.20 pm)
King's College London

Tuesday 29 April 2008

ZIARAH DUNIA

(semalam lahir, esok mati)

Dunia yang sedang kita tatap ini
Terasa lamanya bagai tak berpenghujung
Dihias dugaan yang bertimpa-timpa
Kita meminta disegerakan mati

Dunia ini tidak lain hanyalah untuk ziarah
Ziarah adalah sekadar singgah
Kerana bukan dunia destinasi manusia
Tapi akhiratlah kampung halaman
Kelak kita akan pulang jua ke sana
Pasti

30 April 2008 (2.20 am)
King's College London

RISAU II

(risaukan aku tentang akhirat, ya Tuhan)

Risau dunia
Mahu mati
Tutup hati
Risau akhirat

29 April 2008 (4.45 pm)
King's College London

LURAH DUNIA UNTUK LEMBAH NERAKA?

(Ya Allah, leraikan cintaku pada dunia)

Berat hati ini Tuhan
Untuk ditelusuri lurah sempit
Terasa ia diukir padu
Pada dinding sebuah gunung
Dan tidak kutahu
Dari mana pangkalnya
Ke mana hujungnya

Ya Tuhan
Hadirkan ribut semangat
Tiupkan gelombang syahadah
Merobohkan gunung yang maha besar ini
Biar airnya mengalir ke lurah
Menghanyutkan aku ke muara syurga

Tiba di sana
Aku pasti ditanya
Untuk apa membina sebuah gunung?
Sedang aku sendiri tahu sukarnya mendaki lurah
Untuk apa pula merintih di mahsyar?
Sedang di dunia tempat meminta

Kalau saat itu
Aku bisu
Aku malu
Aku lari jauh-jauh
Ke mana lagi mahu kutuju?
Kalau bukan ke lembah neraka?

29 April 2008 (3.00 pm)
King's College London

Monday 28 April 2008

BILA MALAS

(apa nak jadi?)

Bila malas
Bebas

Bila malas
Terlepas

29 April 2008 (1.20 am)
King's College London

KASIH AYAH

(ayah, aku rindu)

Merenung kedut wajahmu
Hati membisik rindu
Pada sebuah kasih

Ayah
Lama sungguh engkau hilang
Bersama sayup suaramu yang tua
Atau mungkin tuturku dusta
Sedang jiwa berlagu sendu

Aku mencari
Bicaramu yang menguatkan
Dalam lembar-lembar kenangan
Untuk kugagahi
Hidup berair mata

Bersama hari-hari lalu
Aku meninggalkanmu ayah
Sepi di hari tua
Maafkanlah

Oh Tuhan
Pada kasihnya seorang ayah
Khabarkan kerinduan ini

28 April 2008 (10.35 am)
King's College London

Sunday 27 April 2008

TIDAK SENDIRI

(gabbana, kau punya teman)

Teman
Aku tahu resah benakmu
Aku tahu nafas sengsaramu
Walau engkau tak pernah memberitahu

Aku di sini
Untuk dikhabarkan tangis tawa
Kerana aku seorang kawan
Yang juga punya rasa

Usah engkau sendiri
Mengutip cebis-cebis derita dari Ilahi
Menjadi sehelai permaidani
Menghampar ke syurga yang suci

Gelisahmu
Adalah hadiah untukku
Mana mahu kutemu bahagia?
Sedang engkau menangis sendiri

Teman, engkau tidak sendiri
Bersama kita mencari
Sebuah teratak usang
Seindah mahligai abadi

28 April 2008 (1.00 am)
King's College London

Saturday 26 April 2008

MENCARI MUHAMMAD

(semoga kita ditemuinya)

Ke sana sini
Resah
Dalam banjir keringat
Matahari tersenyum dekat

Payah benar mahu berlari
Di sana ada perut bergolek
Di sini ada kepala diseret

Mencari Muhammad
Di celah-celah tapak kaki
Haram mahu ketemu

26 April 2008 (11.10 pm)
King's College London

DILEMA SI TUKANG JAHIT

(mahu menjahit keredaan dengan jarum dosa?)

Dari lubang ke lubang
Rancak jarum itu menari
Mengait benang-benang
Menjadi hamparan

Sayang
Hamparan berona neraka
Benangnya reda
Tapi dijahit jarum dosa

26 April 2008 (11.00 pm)
King's College London

SUCI

(semoga kita kembali dalam keadaan suci)

Jiwa yang suci
Hadirnya dari Tuhan
Bukan untuk dicemari
Tapi untuk dihiasi

Sedang di dunia
Ia dilumpuri najis
Banyak warnanya
Banyak baunya

Sucinya jiwa sudah pun hilang
Kalau hari ini diminta Tuhan?

26 April 2008 (10.50 am)
King's College London

SATU PELUANG

(mahu peluang ke syurga)

Jika diberi satu peluang
Aku mahu lari dari benua ini
Hari-hariku dihangatkan panas neraka
Malang sedarku bila jiwa pun hangus

Jika diberi satu peluang
Aku mahu cari teratak usang
Yang lantainya beralas sejadah putih
Sedang aku gagap mengaji

Jika diberi satu peluang
Aku mahu gari tangan seorang teman
Tahu bila aku bahagia, bila aku derita
Sebab kini hilangnya tak berganti

Jika diberi satu peluang
Aku mahu dikelilingi malaikat
Untuk mengajarku makna sebutir dosa
Nanti ada peluang aku ke syurga

26 April 2008 (10.35 am)
King's College London

TEMAN BERNAMA IMAN

(kawan, iman tak boleh hidup sendiri)

Kau boleh hidup sendiri
Makan sendiri
Mandi sendiri
Pakai sendiri
Semua sendiri

Tapi kau punya teman
Yang hidupnya seperti anak kecil
Makannya perlu disuap butir-butir hidayah
Mandinya perlu dijirus titis-titis tazkirah
Pakainya perlu dikemas ikatan ukhuwah

Kawan, iman itu teman
Walau kau tak pernah melihat ia
Tapi aku tahu kau punya rasa
Untuk membelai manja

Ia teman paling akrab
Setia bersama ke mana-mana
Jangan pula kau tinggalkan ia
Nanti matinya tiada bertanda

25 April 2008 (9.40 am)
King's College London

LUPA

(maafkan aku, Tuhan)

Saat sengsara bunting hadir bertamu
Hati meraung menggempar langit ketujuh
Yang gila marah pada Tuhan Yang Pengasih
Yang tahu minta pada Tuhan Yang Penguji

Saat bahagia datang beranak-pinak
Hati melonjak mahu dikhabarkan seluruh benua
Yang gila tahu pula alas berbahasa
Yang tahu gila mengejar bahana

Benar kataMu Tuhan bahawa manusia itu lupa
Lupa ia hanya setitis mani yang hina
Lupa ia berjanji hidup mati untuk agama
Lupa ia lahir sebagai hamba bukannya raja
Lupa ia pada Tuhan tempat hidup paling lama

Oh Tuhan
Aku jua manusia seperti itu
Dan aku malu untuk merayu
Kiranya sudi Engkau ingatkan aku

25 April 2008 (9.30 am)
King's College London

PESONA DUNIA

(indahnya di mata, bukan di hati)

Pesona dunia
Indahnya menawan
Seakan tidak ada ganti
Seakan syurga tiada nanti

Dunia ini
Ada pangkat di mana-mana
Ada permata di mana-mana
Ada teman di mana-mana

Manusia dan dunia
Umpama gunung dan pasak
Ada gunung, ada pasaknya
Ada pasak, tak perlu gunungnya

Dunia yang mempesona
Adalah batu-batu di tepi jalan
Adalah bangkai yang terbuang
Sebab indahnya sekadar di luar
Sedang isinya sudah dicemar

24 April 2008 (5.20 pm)
King's College London

RISAU

(cepatlah berlabuh)

Penat aku mahu lari
Dari kerisauan yang gila ini

Tuhan
Kalau ini jalanku
Mudahkanlah
Kalau ini nokhtahku
Hentikanlah
Kalau ada jalan lain
Bukalah seluasnya

Tiada mampu lagi aku lari
Kerana hanya Engkau Yang Memahami
Akan kerisauan ini

23 April 2008 (8.55 pm)
King's College London

Monday 21 April 2008

LUMPUH

(tiga minggu aku harus lumpuh)

Dalam kepayahan untuk sujud
Mudah pula diulit lena nan panjang
Bertilam lalai berselimut angkuh
Tanpa ada rasa gulana

Satu-satu jemari pantas menari
Sambil menjeling daun-daun kering
Menambah kedangkalan benak
Seolah kuntum ilmu harumnya lama

Senyum melebar menebar bangga
Sedang hati menjerit perit
Akan sebuah ujian maha besar
Semakin hampir
Bahagia atau derita?

Wahai Tuhan Yang Menyempurnakan Hati
Ikat kakiku
Butakan mataku
Patahkan tanganku
Aku mahu lumpuh!

21 April 2008 (5.45 pm)
King's College London

Sunday 20 April 2008

KHABARKAN

(hati makin kontang dari titis-titis rahmat Tuhan)

Lama hati menyendiri
Sembunyi dari kekalutan syahadah
Kini mahu kembali
Menadah kalimah Tuhan

Oh khabarkanlah
Pada hati yang sunyi ini
Tentang payahnya mendaki puncak redha
Tentang mudahnya dimamah usia muda
Tentang Tuhan Yang Ada

Hati yang terpulau
Disarati rindu yang agung
Setelah lama hilangnya ia
Dan kini di sini kembali
Maka kau hadirkanlah sekelumit ingatan

20 April 2008 (4.10 pm)
King's College London

Friday 18 April 2008

AKU BUKAN DIA

(anak-anak Palestin, andai aku tahu deritamu)

Andai aku adalah jirannya
Aku tak ada beras untuk ditanak
Apa lagi untuk aku hulurkan padanya

Andai aku adalah warisnya
Aku tak punya sedikit wang
Untuk kubelikan sepatu usang

Andai aku adalah ibunya
Aku tak tahu mana mahu kucari setitis susu
Di mana-mana hanya ada air mata

Andai aku adalah dia
Aku tak pandai makan sembunyi
Sebab di luar adikku mati kering

Tapi aku bukan jirannya
Bukan warisnya
Bukan ibunya
Bukan dia

Aku hari ini menatap lap top
Di tanganku sekeping pizza basi
Di luar pintu sepatu Gucci yang berbau baru
Tidak ada yang perlu aku gundah
Kerana aku bukan dia
Yang lahirnya sekejap cuma

18 April 2008 (3.35 pm)
King's College London

LINGKARAN MAUT

(tak siapa terlepas)

Maut adalah lingkaran-lingkaran yang menjalar
Mencari-cari tempat untuk memaut
Lehermu dan leherku

Kalau hari ini engkau yang disinggahinya
Esok aku menanti dalam kegelisahan

18 April 2008 (3.28 pm)
King's College London

SATU

(mari kita satukan yang beribu)

Umat yang satu
Wajahnya seribu satu
Umat yang satu
Hatinya tetap satu

18 April 2008 (3.25 pm)
King's College London

BISIK HATI

(semoga sempat dibisikkan)

Pada iman yang sedang nazak
Terputus-putus nafasnya
Tersekat-sekat tuturnya
Berombak dadanya
Mati itu sungguh dekat sudah

Benak pun hadir tercungap
Berbisik garang

Pada Tuhan Yang Memelihara
Engkau berpura-pura
Pada Tuhan Yang Memberi
Engkau memandang sepi
Pada Tuhan Yang Memahami
Engkau menangis sendiri
Pada Tuhan Yang Berjanji Setia
Engkau mungkir padaNya
Pada Tuhan Yang Mengasihi
Engkau membenci
Pada Tuhan Yang Menanti
Engkau meninggal pergi

Iman
Sekarang hitunglah detik-detik yang tersisa
Sedang masa panjang yang dahulu kau binasakan
Dengan segala keangkuhanmu
Dengan segala kecuranganmu

Bisik hati
Pada Tuhan Yang Menerima Ampun
Kembalilah

18 April 2008 (11.40 am)
King's College London

Tuesday 15 April 2008

HIDUP UNTUK HIDUP

(kematian adalah kehidupan)

Tuhan ciptakan kau dan aku
Bukan untuk hiasan dunia
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan hadirkan kau dan aku
Bukan untuk ingkar padaNya
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan rezekikan kau dan aku
Bukan untuk bermewah
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan matikan kau dan aku
Bukan untuk menamatkan hayat
Sebab hidup untuk hidup

Tuhan bangkitkan kau dan aku
Bukan untuk sekadar menunggu
Sebab hidup untuk hidup

Teman
Mati bukan pengakhir segala
Sebab hidup ini untuk hidup yang abadi

15 April 2008 (3.30 pm)
King's College London

MIMPI SYURGA

(mari bermimpikan kenikmatan syurga)

Mimpi-mimpi syurga
Berteduh di bawah redha Tuhan
Yang janjiNya sedang terukir kemas

Mimpi-mimpi syurga
Sesejuk sungai madu yang mengalir
Diteguk sedikit hilang dahaga

Mimpi-mimpi syurga
Pohon-pohon ditiup hangat bayu
Lazat buahnya pembuka selera

Mimpi-mimpi syurga
Ziarah teman keluarga itu adat
Walau dahulu tidak pernah tahu

Mimpi-mimpi syurga
Ilmu dikutip setiap penjuru
Tentang Tuhan yang sungguh ditaati

Mimpi-mimpi syurga
Ayuh kita bermimpikan ia
Ayuh kita menuju bersama

15 April 2008 (10.25 am)
King's College London

Monday 14 April 2008

EMPAT PAGI

(dalam gelap mencari Tuhan)

Empat pagi
Di universiti
Sudah lali
Hafal formulasi
Mahu kembali
Bilik sendiri

Empat pagi
Lorong sunyi
Jauh sekali
Unggas sepi
Seorang diri
Rasa ngeri

Empat pagi
Katil berseri
Sejadah iri
Subuh mati
Hati berlari
Memujuk Ilahi

14 April 2008 (12.00 pm)
King's College London

Saturday 12 April 2008

REHAT PANJANG

(letih hari ini semoga berbayar)

Hidup ini meletihkan
Kiri kanan ada sahaja ujian berlari
Diri terkejar ke sana sini
Menghambat ujian atau dihambat?

Letih di sini cukup sebentar
Sekadar masuk ke suatu teratak
Gopoh keluar dari dapurnya

Letih di dunia tiada apa
Andai mahu dibanding titis peluh di akhirat
Sebab di sana semua tahu rasa letih
Memerah keringat yang tak akan kering
Di situ jua ada rehat panjang
Buat siapa yang dahulu keletihan

12 April 2008 (3.35 pm)
King's College London

Friday 11 April 2008

SEBERKAS AIR MATA UNTUK TUHAN

(terimalah, ya Tuhan)

Butir-butir air mata
Yang gugur bagaikan gerimis panjang
Pada malam yang berselimutkan kesayuan
Atas tikar sembahyang yang usang
Adalah hadiah untuk Tuhan

Jatuhnya air mata
Bersama dosa-dosa yang tersengaja
Dalam keasyikan dunia berhias
Sedang nafsu meronta mahu bebas
Hati memujuk dengan kegelisahan

Demi Tuhan Yang Menzahirkan Malam
Benar air mata ini mahu sahaja dihadiahkan
Agar kelak tidak lagi ditangisi
Dosa-dosa yang belum sempat terampun
Bila tiba di hadapan Tuhan

Mengalir air mata ini dalam kepayahan
Dari hati yang sarat dibebani rindu
Pada cebis-cebis keredhaan yang tersisa
Akan aku hadiahkan setiap titis darinya untuk Tuhan
Walaupun seberkas cuma

11 April 2008 (5.15 pm)
King's College London

HITAM

(hitam bukan untuk dihina)

Hitam itu cantik
Sering dipandang jijik
Putih usah mendabik
Suara Bilal pun gemersik

11 April 2008 (11.05 pm)
King's College London

MODEN

(azabnya kemodenan yang sia-sia)

Moden hari ini adalah bangunan-bangunan tinggi
Sedang peri tidak ikut meninggi

Moden hari ini adalah jalan-jalan yang luas
Sedang nafsu tidak pernah puas

Moden hari ini adalah kapal-kapal besar
Sedang hidup makin tersasar

Moden hari ini adalah emas berselerakan
Sedang hati mahu lupa Tuhan

Moden hari ini adalah cinta-cinta palsu
Nanti di depan Tuhan tunduk membisu

11 April 2008 (10.55 am)
King's College London

TENGKORAK HIDUP

(kita hidup sementara untuk hidup yang abadi)

Manusia adalah tengkorak-tengkorak hidup
Yang diberi pinjam pakaian daging
Ke sana sini sibuk mengintai perhiasan
Untuk bermegah dengan baju pinjaman
Nanti bila baju pun diminta tuannya
Tengkorak-tengkorak hidup akan jua hancur

11 April 2008 (10.45 am)
King's College London

SIAPA TUHAN?

(kenapa bertuhankan waktu?)

Tahun sudah
Banyak yang sembahyang Raya
Aku pun ikut sembahyang
Raya itu Tuhankah?

Bulan sudah
Ramai yang puasa Ramadhan
Aku pun ikut puasa
Ramadhan itu Tuhankah?

Minggu sudah
Ramai yang baca Yasin di malam Jumaat
Aku pun ikut baca
Jumaat itu Tuhankah?

Semalam
Ramai yang duduk bertahlil arwah
Aku hanya ikut dengar
Mati itu Tuhankah?

Hari ini
Tak ada siapa aku lihat
Aku pun sudah tak bergerak
Siapa pula Tuhan kali ini?

10 April 2008 (6.45 pm)
King's College London

Tuesday 8 April 2008

SIHAT DAN SAKIT

(Roslan, moga Tuhan beri sembuh)

Sihat adalah hadiah
Untuk kita bersyukur

Sakit adalah nikmat
Agar kita tidak kufur

Sihat dan sakit
Keduanya tidak pernah bersama
Sebab mesra mereka tiada

Bila sihat datang
Sakit hilang

Bila sakit melaram
Sihat muram

8 April 2008 (7.15 pm)
King's College London

PENAT

(usah kau penatkan aku untuk ke syurga, Tuhan)

Lari selangkah datang penat
Hilang sudah satu nikmat
Harap esok tiada laknat
Mahu masuk syurga cepat

8 April 2008 (7.05 pm)
King's College London

KALAU MATI ITU DI MUKA PINTU

(bertamu tanpa memberitahu)

Kalau mati itu di muka pintu
Aku tahu bukan aku yang mengundang

Kalau mati itu di muka pintu
Aku mahu kunci pintu kemas-kemas

Kalau mati itu di muka pintu
Aku tak mahu jawab salam darinya

Kalau mati itu di muka pintu
Aku duduk diam-diam di penjuru

Kalau mati itu di muka pintu
Dan kalau pintu pun terbuka sendiri?

8 April 2008 (1.35 pm)
King's College London

Monday 7 April 2008

ADA PENCIPTA

(alam bukan semulajadi)

Fajar tersenyum
Kala awan malam tidak keruan
Itu tanda ada Pencipta

Purnama berzikir
Saat bayu senja mahu berdagang
Itu tanda ada Pencipta

Alam yang terhampar
Bukan episod-episod semulajadi
Yang ramai tak fahami
Lakon makhluk mengabdi diri

Bergemuruh tepuk tawa manusia
Tanpa ada fikir di pundak
Sedang alam mementas drama
Persembahan buat Pencipta

(7 April 2008) 4.40 pm
King's College London

Sunday 6 April 2008

SALJI

(suatu kebesaran yang hadir untuk diiktibarkan)

Bayu hari ini membawa khabar dari langit
Sepoi dinginnya seolah mahu menyejuk hati
Mungkin Tuhan ingin bertanya perihal iman
Bersama gumpalan salji yang mengingatkan
Akan jalan pulang yang kian dilupakan

Di sini ada keping-keping putih berguguran
Bumi yang hijau sudah hilang warnanya
Sungguh Tuhan itu Maha Mengetahui
Tahu tiap rasa sang bumi
Ada bahagia, ada derita

Menghadirkan salji di celahan mekar bunga
Adalah kuasa yang tidak ada pada kami
Tapi Tuhan tahu itu yang didamba
Lantas sehampar bumi diwarnai dengannya

Hati yang lara
Acap dipujuk oleh rahmatNya
Seperti jua salji pembawa khabar
Agar kami tahu syukur tiada berbatas
Agar kami tahu sayang Tuhan itu luas

6 April 2008 (10.25 pm)
King's College London

YANG MULIA ITU WANITA

(wanita untuk dihormati, bukan untuk dipuja, jua bukan untuk dicerca)

Dicipta Tuhan bukan sekadar perhiasan
Tetapi pelengkap hidup seorang Adam
Dianugerah Tuhan bukan untuk dihumban
Tetapi perlu dijaga elok jua dimuliakan

Wanita itu
Lembutnya bukan pada lemahnya
Tapi pada peri yang menawan hati
Anggunnya bukan pada parasnya
Tapi pada ikhlas yang menyulam sanubari

Wanita hadir bukan untuk disenda
Jua bukan untuk bertakhta
Sebab Adam bukanlah sempurna
Untuk berbuat segala apa

Adam dan wanita
Mana boleh dipuja yang satu
Mana boleh dicerca yang lain

Yang mulia itu adalah wanita
Yang hari ini dipuja sedunia
Yang ada dikeji di mana-mana
Sebab ia tidak lain hanyalah diingat perhiasan

Kembalikan kemulianmu wanita
Usah kau biar dipuja
Usah kau biar dicerca

Wanita yang mulia
Adalah bila Tuhan muliakan ia

6 Mac 2008 (10.00 pm)
King's College London

Friday 4 April 2008

RINDU SEORANG BONDA

(bukan salah bonda melahirkan)

Sarat beban dahulu masih terasa di bahu bonda
Tidak mahu rasanya dikutip derita sembilan purnama
Demi Tuhan Yang Memberi semua itu mudah baginya
Kerna nilai seorang anak bandingannya bukan harta

Kini anak yang dahulu menangis malam sudah dewasa
Memberi hadiah gelisah bersulam sepi di hati bonda
Seakan dahulu tidur bonda itu lena
Dalam kerenah anak yang tak tahu apa

Rindu di hatinya untuk anak yang tercinta
Sembilan purnama yang dahulu rupanya sekejap cuma
Andai mahu dibandingkan dengan seorang yang tiada di mata
Sungguh bonda cuba memujuk hatinya yang lara

Dikirim pesan agar si anak tahu syurga di mana
Harap bonda bukan untuk mengumpul harta
Jua bukan di hati anaknya mahu bertakhta
Cuma wajahnya yang senja dijenguk sekali-sekala

Dalam solat malam ada doa untuk si anak derhaka
Ikhlas rintihnya mengemis pada Tuhan Yang Setia
Agar si anak di mana pun tetaplah bahagia
Agar si anak turut berdoa untuknya

5 April 2008 (7.45 am)
King's College London

SAAT KEMATIAN

(saat yang sukar)

Detik dihitung
Penuh gelisah
Jiwa yang dikurung
Kini tahu pasrah

Tika malaikat maut mahu bersua
Tidak akan ke mana lagi kita lari
Sebab lama sudah kaki terikat
Pada suatu janji yang amat pasti

Garang wajah ia bermesra dengan nyawa
Gelojoh ia membawa amanah dari Tuhan
Tanpa ragu ditarik-tarik roh dari jasad
Bagai dihunus beribu pedang sakitnya

Ada tetamu diwajahi teman-teman rapat
Ada jua musuh yang dulu mahu ditempelak
Namun hati harus teguh pada fitrah iman
Jangan ia dibolak-balik dek murka Tuhan

Azabnya mati tak siapa mahu melihat
Nabi yang mahu menanggung pun sudah wafat
Teman, kita hari ini usah mencari laknat
Sebab helah diberi tidak akan sempat

Bertalu zikir menggoncang jasad
Seolah mahu menyambung nyawa
Tapi Tuhan itu janjinya sudah berabad
Akan setiap kita kepadaNya dibawa

Saat kematian itu perit
Usah lagi menjerit-jerit
Melawan takdir yang menghimpit
Kelak mati lebih sakit

4 April 2008 (6.40 pm)
King's College London

Thursday 3 April 2008

WARNA DUNIA

(mewarnai lukisan untuk Tuhan)

Warna-warna dunia
Merona kehidupan
Asalnya latar putih
Kita pewarna kesucian itu

Warna merah
Untuk gagah pemuda
Jua amarah terkuda

Warna hitam
Untuk indah di mata
Jua dosa melata

Warna biru
Untuk bulat manusia
Jua laku yang sia

Warna ungu
Untuk binaan ke langit
Jua sifat jantan hangit

Warna jingga
Untuk bahagia bersinar
Jua wanita berpinar

Warna hijau
Untuk sejagat damai
Jua muslim yang mamai

Warna-warna dunia
Banyak coraknya
Untuk kita memilih
Untuk nanti disapa
Wajah Tuhan yang redha
Atau kita dimurka!

4 April 2008 (12.15 am)
King's College London