Thursday 28 October 2010

TAKDIR

Telah dikhabarkan kepada langit hati
Tentang gerimis yang akan bertandang
Pada awan yang masih memaksa senyum
Dan langit seperti sudah bisu

Telah dikhabarkan kepada bumi rasa
Akan kemarau rindu yang sedang tercipta
Pada rapuh ranting yang menghijau
Ketika belum sempat nafasnya dilepas

Kalau di antara langit dan bumi itu
Masih ada senja yang mahu menyapa
Mari aku khabarkan kepadamu
Duhai hati dan rasa
Betapa takdir itu tulisan Tuhan
Dan kita makhluk hanya menerima

London.

Friday 8 October 2010

MENANTI BATAS WAKTU

Entah bila diingat-ingat aku sendiri sudah lupa bila kali terakhir menulis sesuatu di sini. Sekurang-kurangnya menceritakan perihal diri. Bukan mahu berhenti, tetapi setiap kali mula menulis pasti tidak tahu bagaimana mahu mengakhiri. Tidak tahu bagaimana mengakhiri?

Ya. Sejak berpijak di bumi Inggeris ini, seringkali tidak tahu macam mana harus aku sudahi sesuatu yang aku mulakan. Bukan cuma tentang menulis, tetapi persoalannya berputar jauh lebih daripada itu. Tentang kehidupan sendiri, yang makin bertambah hari makin ia terumbang-ambing.

Difikir dan difikir, akal jadi buntu bilamana keputusan mesti dibuat, sedang aku turut merasakan pandangan manusia yang tajam, selalu sahaja mencari kelemahan, kata-kata yang menyakitkan. Mungkin bagi mereka aku ini bukan manusia, tidak punya rasa, bebas dibuat apa saja.

Saat ini, hati sedang membulat, seakan-akan telah nekad dengan keputusan diri. Bukan mahu mementingkan diri, apatah lagi membenci. Benak sudah membayangkan bagaimana nanti bila aku sendiri terasa kehilangan, namun hidup mesti diteruskan. Maka aku kuatkan semangat untuk memilih yang terbaik untuk kehidupan yang sekejap ini.

Semoga ini yang terbaik, bukan untuk aku sahaja tetapi untuk mereka yang sering menguatkan ketika aku kesusahan.

London.