Saturday 5 May 2012

DEBAR DI MAHSYAR

Langkahnya sasar
Wajahnya gusar
Dosanya besar
Oh debar di mahsyar!

RP (7.30 pm)

Tuesday 1 May 2012

RINDU YANG MENGGAMIT

Seingat saya, kali terakhir ke sini adalah beberapa tahun sudah. Ketika masih ramai ahlinya, ketika masih meriah malam-malamnya. Malam ini, atas ajakan ayah, saya ke sini lagi bersama adik lelaki. Sayu. Surau ini adalah wakaf peninggalan arwah datuk, anak-anaknya yang lain masing-masing duduk jauh. Maka tinggallah ayah dan kakaknya terus-terusan pening bagaimana harus disambung hayatnya.

Dulu, tiap kali solat terawih, saya mesti malas mahu ke sini, sudahlah panas, jemaah pun tak semeriah di masjid-masjid besar. Lagi-lagi selepas terbangunnya sebuah masjid berhampiran, Masjid Beijing. Makin haru juga dibuatnya bagaimana ayah mahu usahakan harta wakaf ini. Dulu, kami adik-beradik lelaki seolah-olah 'wajib' berterawih di sini. Maklumlah, surau kampung, maka hanya malam-malam Ramadhan ia kembali bernyawa. Kami ikut saja, nak ke masjid lain, nanti apa pula fikir si ayah.

Paling saya ingat, pernah saya dan abang ke surau untuk berterawih tapi dalam poket baju Melayu kami ada mercun bawang, ya bentuknya memang seperti bawang putih bersaiz kecil. Pantang jatuh, pasti meletup comel. Maka ketika kami bergegas naik ke surau setelah iqamat dilaungkan, jatuh berderai mercun tersebut ke lantai. Ayah mulanya cuma menjeling, namun nasib tidak baik bila kami terpaksa memenuhkan saf kosong di sebelah ayah. Terus dapat pulas perut percuma dari ayah, mana taknya, ayah sebagai pengusaha surau bawa anak-anak yang 'macam ini'.

Setiap kali hari raya juga, kami tak pernah berpeluang solat sunat hari raya di masjid-masjid besar, kerana ayah sangat setia dengan surau ini. Maka kami yang anak, hanya mengikut sahaja. Pernah juga diadakan majlis berbuka puasa sekali setiap Ramadhan, dan meriahnya hinggakan surau kecil ini tidak mampu menampung jumlah jemaah yang datang walaupun makanan berlebih-lebih. Maka sekali lagi, kami yang anak-anak kecil ini perlu mengalah. Kadang-kadang, rasa juga tak puas hati, datang awal tapi makan di luar.

Tapi itu dulu. Antara kenangan yang masih saya simpan bersama arwah datuk, arwah nenek dan arwah jiran surau. Sekarang, ia tinggal sendirian di situ. Tiada lagi kelibat anak-anak kecil yang bermain di sekitarnya. Tiada lagi suara muazzin yang melaungkan azan. Tiada lagi kenangan yang mampu dibina lewat usia dewasa saya di situ. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ziarah ke surau malam ini meletakkan kembali senyumnya pada kami. Dan memori-memori lama, satu-satu bermain di benak.

Semoga engkau menjadi mahligai untuk kami di syurga kelak, wahai saksi sujud-sujud hamba.

RP (11.30 pm)