Wednesday 25 April 2012

MAGHRIB TERAKHIR

Kalau ini yang terakhir 
Lepaskan jiwa dari tautan dunia 

Kalau ini yang terakhir 
Bebaskan kasih dari manusia 

Kalau ini yang terakhir 
Hamparkan redha menyambut jiwa 

Kalau ini yang terakhir 
Hapuskan murka yang menyapa 

Kalau ini yang terakhir 
Jadikan ia sebaik Maghrib kekasihNya 

RP (7.30 pm)

Friday 20 April 2012

SI BUTA

Tak tahu jalan balik
Tangannya ditarik
Bibirnya mencebik
Oh si buta yang pelik!

RP (3.00 pm)

Thursday 19 April 2012

JUBAH IMAN

Merah jubah imanku
Terpalit dek nafsu berombak darah
Punah putih sucinya, hamis baunya

Ke kolah sesal kaki menjejak longlai
Air rahmat darinya kuceduk segayung
Pada pekat merah itu aku jiruskan
Mengikis ketul-ketul darah yang mengeras

Sebuku sabun taubat yang makin kecil
Oleh basuhan yang tak terasa puas
Aku sental, gumal pada lipat yang bersembunyi
Walau merah itu takkan hilang begitu

Menitik keringat mujahadah pada perahnya
Dan aku sidai ia pada ampaian qiyamulail
Tapi datang pula si burung bersama najisnya
Ketika fajar belum sempat bertanya khabar

Aku melihat, benar, aku cuma melihat
Betapa jubah iman yang kubasuh itu
Dicemar pula oleh iblis-iblis yang bersiul riang
Ketika tangan yang membasuh ini jadi kudung

Bilakah benar-benar aku boleh memakai
jubah yang tidak akan pernah kering itu?

RP (5.00 pm)

Monday 16 April 2012

LANGIT ISYAK

Jatuh tenungnya pada butir gerimis
Yang bertandang bersama sayup Isyak
Surau yang dulu gagap kini menjadi bisu
Bersama lesu kudrat si tua itu

Hari-hari yang sedang dibilang, hilang
Satu-satu nikmat tanpa tolak ansur, tumbang
Yang menyisa di lipat kedut tuanya
Hanya harap hadap wajah Yang Suci

Lelap yang singgah sekali-sekala
Melenyapkan indah isi syurga pada awan malam
Dosa zulmat berbarisan mengekor, panjang
Menyalakan putung-putung cengal tertanam di jahannam

Peluh tua yang menggelegakkan mimpi-mimpi
Menjerat titik-titik yakin pada Tuhannya
Bahawa renung redup yang kian terkatup itu
Turut mengintai serpih redha yang mendebu

Selagi langit Isyak ditenung si tua yang itu

RP (10.30 pm)

Saturday 14 April 2012

PELAKON

Kita adalah pelakon-pelakon
Hidup dalam watak tulisan Tuhan

Ada watak yang sedang beraja
Memiliki pengaruh dan kuasa
Setiap butir bicara mereka
Wajib didengar dan ditagih setia

Ada watak yang perlu menderita
Sekadar memamah rezeki yang ada
Tidak terfikir hidup di istana
Apa lagi mahu diperhati rungutnya

Ada watak yang merasa kedua
Sekejap gembira, esok gelita
Di dalam laut resah jiwanya
Ingin menghapus jejak nestapa

Kita adalah watak-watak itu
Yang telah disusun oleh Pengarah

Kita hanyalah watak-watak itu
Yang sedang berlakon untukNya

KB (7.00 pm)

Thursday 12 April 2012

SEGAN

(Allah Yang Maha Kuat, beri kekuatan tolong?)

Segan
Untuk mengajak teman sembahyang
Di waktu yang sangat terluang

Segan
Untuk menegah teman mengumpat
Meratah daging tak kenal tempat

Segan
Untuk menyuruh teman menutup aurat
Takut dikata mengawal ketat

Segan
Untuk menyeru teman kurangkan tawa
Sampai diri pun terbawa-bawa

Segan
Untuk menegur teman yang tenggelam
Di laut dunia imannya karam

Aku gementar
Jika banyaknya bersegan-segan
Tuhan pun sedang mengira
Untuk segan menatapku nanti

SA (8.00 pm)

Monday 9 April 2012

BISIK

(melirik bisik, merisik serik)

Halus lembut datang
Bawa janji bergantang
Dicucuk hati gersang
Iman jadi kontang

Dosa yang sebidang
Seperti sekupang
Amal yang ditatang
Satu, satu tumbang

Jiwa nanti pulang
Mulut neraka dibentang
Kamar syurga hilang
Dilaknat Tuhan, malang!

BB (7.30 pm)

Sunday 8 April 2012

PATUNG

Deru angin yang berhembus dari syurga
Menyampaikan pesan dari Tuhannya
Agar iman yang telah menjadi patung
Berjalan mencari jasad yang mati hatinya

Bahawa tiada yang menipu
Akan setiap janji Tuhan yang terlupa
DenganNya segumpal nyawa hidup dan mati
UntukNya seluruh nafas dan waktu terserah

Duhai patung yang tuli
Cukuplah lama membisu sekadar menatap
Jasad-jasad yang lelah berlari ke murkaNya
Duhai iman yang bergoncangan
Detik ini berjagalah pada malam-malam yang berdosa
Agar dunia yang sehari semalam ini
Menjadi permaidani menuju syurga

Pada detik Tuhan menyentuh hati
Bertebaranlah nafsu yang kelaparan
Menggeledah jiwa yang subur dalam dakapNya
Menggugah setia sebuah cinta yang rapuh
Pada Pencipta

Oh manusia yang terpatung
Berlarilah, mencari di mana Tuhanmu!

BB (8.30 pm)

Thursday 5 April 2012

HENING JUMAAT

(hampir tiga bulan jiwa hilang rasa)

Pagi ini, seperti pagi-pagi yang biasa. Namun kesyahduan sedikit terasa bilamana ia merupakan hari yang diciptakan dengan penuh keberkatan. Dan Jumaat begini lebih dekat dengan saya kerana mengingatkan hari yang sama kehilangan adik paling bongsu, walaupun saya yakin ada sebab kenapa Allah terlalu cepat mengambil dia. Cuma, kesabaran tak mampu mengubat rindu yang tersimpan lama, ketabahan tak berdaya menyeka air mata yang berguguran setiap kali teringatkan arwah. Apa lagi bila pulang ke kampung, menemani bonda setiap pagi selepas Subuh, menziarah ke pusara arwah, menyedekahkan sedikit bacaan ayat suci disusuli doa agar arwah diberi simpati oleh Allah di alam sana.

Betul-betul banyak perkara yang berlaku dua tiga tahun ini dalam hidup saya, sehinggakan kadang-kadang tersenyum sendiri, apa lagi yang Allah nak 'tarik' ni? Bila saatnya ujian datang bertimpa-timpa, barulah tahu menyerahkan nasib diri kepada Dia semata-mata, kerana ada ketikanya dirasakan tiada lagi jalan keluar. Mungkin kerana itu juga Allah pun terus-terusan memberi ujian keperitan kepada saya, supaya tak terlalu jauh lari dari Dia. Saya sayang Allah, saya tahu Allah pun sayang saya, cuma beza sayang kami adalah pada kesetiaan. Dia terlalu setia hingga saya selalu mengambil kesempatan. Marahnya, tegurnya cuma ditunjuk melalui uji dan duga berpanjangan.

Dan saya yakin, di hadapan sana, mungkin esok atau lusa, Allah sudah siapkan ujian seterusnya untuk saya. Ujian yang lebih besar, keperitannya pun pasti berganda. Allah, saya redha dengan ketentuan dan liku hidup yang telah Allah aturkan, cuma pinta saya "Janganlah Engkau meninggalkanku bersendirian walau sedetik cuma, jangan pula Engkau menyerahkan urusan hidupku di tanganku sendiri. Engkau Yang Maha Kuat, berilah kekuatan supaya hati ini terus teguh mencintaiMu dalam tangis dan tawa, sedari dunia sampai kita bertemu."



BB (8.40 am)