Thursday 22 January 2009

MAAFKANLAH, AKU JUGA MANUSIA

Setahun dua hidup ini banyak sungguh dugaan yang wajib dirasa. Dugaan yang benar-benar membuatkan jiwa tersepit, antara mahu meminta tolong atau diri yang menderita. Acap kali rasa terseksa, tapi aku kuatkan juga hati untuk menelan semua. Sudah sangat tebal rasa malu yang ditanggung, kerana seperti mengemis pula. Tapi aku tiada pilihan, selain menyusahkan.

Seharusnya anak inilah yang meringankan beban ayah bonda, tapi sebaliknya yang berlaku. Maafkanlah ayah kalau cubaan ini terpaksa dirasai juga olehmu. Maafkanlah ma kalau beban ini menyesak lenamu sehari-hari. Maafkanlah kakak-kakak, abang dan adik-adik kerana aku sudah tidak layak menjadi teladan kepada kalian. Kerana aku juga manusia. Upayaku amat terbatas, tidak boleh menjadi sempurna.

Kepada kawan-kawan. Yang tidak jemu memberi sokongan. Maafkanlah kerana terlalu banyak menyusahkan kalian. Sangat banyak pengorbanan yang telah kalian lakukan. Amat mustahil untukku balas semuanya. Kadang-kadang aku pun malu mahu berbicara tentang masalah-masalah ini, bimbang kalau-kalau mengganggu hidup kalian. Takut juga kalian rasa terbeban. Tapi aku juga manusia. Yang tak mampu menanggungnya sendiri.

Juga kepada Tuhan, Pengurnia Dugaan. Maafkanlah aku kalau banyak kesilapan yang telah aku lakukan. Bukan aku tak ingin berubah. Setiap kali mahu, setiap kali itulah aku diuji. Oh, kadang-kadang terasa berat juga beban yang dipikul ini wahai Penyelesai Masalah. Bantulah aku menghadapi semua ini dengan tenang, seperti mana yang pernah aku lalui. Jangan sesekali langkahku terhenti, Tuhan.

Aku juga manusia. Mahu seperti orang lain mahu. Ingin punya waktu-waktu bahagia. Tapi aku hanya hamba. Tak boleh memaksa Pencipta.

Bumi London.

Wednesday 21 January 2009

SULIT

(lapangkan sedikit kesulitan yang panjang, Tuhan)

Rimbun nan redup kasihMu
Kau tempat ku berpayung
Di manakah lagi dapat ku rebahkan
Rasa gundah ini

Nun Kau teguh di sana
Pengasih dan Penyayang
Pun ku masih terleka
Meneguk ihsanMu
Walau ku sedari

Oh nyamannya
Bila di pelukan rinduMu
Mengimbaulah sentosa

Bentangkan ku permaidani
Dari baldu berwarna putih
Moga tak ku terasakan
Cubaan yang ku galas ini
KepadaMu titianku
Hijrahkanlah diri ini

-Aris Ariwatan-

Ya Tuhan, lapangkanlah kesukaran, mudahkanlah kesulitan.


22 Januari 2009 (2.00 pm)
Playford Road, London.

Tuesday 20 January 2009

KEHIDUPAN

Sebuah kehidupan yang sewajarnya panjang
Kenapa perlu menjadi singkat oleh kekufuran dajal?
Kerana setiap dari kita, aku dan engkau
Inginkan kehidupan yang diselimuti kebebasan
Barulah bersama kita mengeja kedamaian

Adakah kebebasan
Kalau hidup dalam sangkar peperangan?
Adakah kehidupan
Kalau mati ditatap tanpa perasaan?

Wahai setiap dari kita, aku dan engkau
Kedamaian tidak akan terbang turun dari langit
Selagi tanah menjadi sempadan kemanusiaan
Dan darah masih memasung seribu kehidupan

Lantas bila kita menyebut Gaza
Haruskah kebebasan itu menjadi diam
Atau kemanusiaan menyanyi sumbang
Atau kedamaian telah lama berpusara
Oleh aku dan engkau yang tiada rasa?

Saat kewafatan demi kewafatan berkumandang
Hati demi hati tidak ikut melaungkan
Tinggallah penyesalan demi penyesalan
Ia tak akan berkesudahan

Oh sungguh, ini bukan kehidupan!

Puisi ini ditulis agar setiap dari kita merobohkan dinding-dinding geografi yang telah menceraikan kemanusiaan satu demi satu. Kematian hanya dirasai oleh orang yang kehilangan, bukan oleh umat manusia yang berkurang. Punya hati, rasalah!


19 Januari 2009 (1.00 pm)
King's College London.

Monday 19 January 2009

BERTANYA, DITANYA

(tanyakan pada imanku)

Ah! Move on!
Aku bertanya pada diri
Gilakah budak ini
Oh Tuhan, cacat otaknya
Mungkinkah sebenarnya esok
Aku yang ditanya
Otakmu sihat
Tapi untuk apa?

Erk! Erk!
Aku bertanya pada diri
Tololkah budak ini
Oh Tuhan, buta matanya
Mungkinkah sebenarnya esok
Aku yang ditanya
Matamu celik
Tapi untuk apa?

Puisi ini ditulis setelah melihat kekuatan beberapa orang kurang upaya, yang jerih hidup mereka ditunjangi oleh semangat yang jitu. Ya Tuhan, kelak nanti aku lebih banyak ditanya tentang apa yang dibuat oleh nikmatMu yang serba-serbi. Ingatkan aku agar lebih tahu bersyukur.

19 Januari 2009 (8.00 pm)
Playford Road, London.

TUTUR HATI KEKANDA

Tulisan ini adalah hasil tangan kekanda sulung keluarga PS, Fathiah (Kak Yah). Banyak benar pengorbanan yang telah dilakukannya untuk adik-adik yang lapan orang lagi. Bukan mudah menjadi anak sulung, lagi pula lahir dalam keluarga yang agak besar. Semoga setiap pengorbanan yang dihadiahkan kepada kami mengiringi kebahagiaan demi kebahagiaan dalam hidupmu, Kak Yah. Sungguh setiap dari kami pasti merindui saat-saat sekeluarga makan bersama walau tak seberapa.

salam untuk waqi

salam untuk adik yang satu
aku tahu sukarnya hidupmu
aku sedar sesaknya fikiranmu
aku kagum akan kekuatanmu
aku kaget fikirkan ketakupayaanku
aku tak berdaya membantu dari segi itu
aku juga merangkak sepertimu
aku pohon kefahamanmu
aku pinta teruskan ketabahanmu
aku doakan yang terbaik buatmu
aku faham benar susahnya kamu
aku arif benar senangnya kamu
aku harapkan yang bahagia sahaja untukmu
aku rindu kamu

-moga dalam lindunganNya selalu-
http://www.fathifaith.blogspot.com

19 Januari 2009 (3.40 pm)
Playford Road, London.

Saturday 17 January 2009

PERGILAH, SAYANG

(bersemadilah kau di syurga)

Mendapat khabar dari sana
Awan yang putih kulihat hitam
Angin yang dingin kurasa hangat
Dan mata yang kuat pun menjadi sungai
Mengalir ke taman hati yang gersang

Baru semalam rasanya aku mendengar hilai tawa
Dan senda guraumu bersama tatih yang belum matang
Dalam keasyikan dihibur lagu nyanyian bonda
Kadang kau ketawa, kadang menangis
Sedang ayah telah lama tiada

Adikku, sayang
Berat hati ini melihat kau melangkah pergi
Dalam kemegahan dunia yang tak sempat dikejar
Kau memilih untuk meniti lorong sempit ke syurga
Meninggalkan serpihan-serpihan kenangan
Yang telah kita bina atas nama cinta
KepadaNya

Pergilah, sayang
Bertemu apa yang kau mahu
Khabarkan salam dariku untuknya
Dan nantikan aku di pintu syurga

Cukup haru jiwa bila melihat kerdil seorang bayi yang masak dibakar oleh bedilan syaitan Zionis. Oh Tuhan, sediakan untuknya hidangan yang enak-enak di syurga ya.


17 Januari 2009 (7.10 pm)
Playford Road, London.

Friday 16 January 2009

KEJUTAN

Kalau tak silap kelmarin. Kali pertama memeriksa baki akaun bank, setelah berminggu tidak dijenguk. Bukan kerana sibuk, tapi aku sendiri sudah tahu jawapannya. Dikira dan dikira, hasilnya sama sahaja. Yang ada hanyalah angka tunggal.

Tergamam. Bila melihat nilai baru. GBP 1***. Mana mungkin JPA hanya memberi sebanyak itu, lagi pula waktu ini terlalu awal dari sepatutnya! Mustahil tiba-tiba ada toyol yang mencuri lalu bersedekah! Tak logik kalau cepat sahaja aku dilantik menjadi wakil untuk memungut derma bagi warga Palestin!

Baru tadi ayah menghubungi dari kampung, aku bertanya khabar ayah dan ma usai bertamu di Tanah Suci. Juga berbual dengan ma. Juga satu-satunya abangku, bercuti untuk fisioterapi tangannya yang baru patah. Aku tolak rasa malu. Sebab selalu sahaja ayah, ma dan kakak-kakak bertanya tentang wang saku. Kalau boleh mahu sahaja mereka memberi. Tapi jawabku mudah, "Tak apa, boleh pinjam dari kawan. Jangan risau." Alasan macam mana pun, aku tahu tak semudah itu ayah dan ma percaya. Kerana aku pun sebolehnya tak mahu menyusahkan sesiapa, termasuk kawan-kawan.

"Assalamualaikum ma, nok tanyo ni. Ma ado masuk duit ko dalam akaun ore? Ayoh?"

"Waalaikumussalam Qi, tak dok tu. Bakpo? Nok duit ko? Kalu nok, ma bulih masuk. Ayoh pun ado duit lagi tu."

"Eh tak dok lah ma. Duit ado lagi, kalu tak dok pun saing-saing ado. Bulih pinje nga puok dio. Ni ado ore masuk duit ni. Tapi tok tau sapo."

"Ho. Sapo masuk eh? Dumoh tak dok ore masuk lagi tu. Banyok ko?"

"Em banyok kakloh ni, ma. Dale seribu lebih. Saing-saing serumoh bokali hok masuknyo. Takpolah ma. Nok tanyo tu jah. Kirim salam blako deh. Assalamualiakum."

"InshaAllah. Kirim salam ko saing-saing etek tu. Waalaikumussalam warahmatullah."

Itulah cebis kasih Tuhan yang dilemparkan ke dalam hati ma. Setiap kali bercakap tentang duit, soalan itulah yang ditanyakan. Dan alasan itulah aku berikan.

Mendapat jawapan dari kampung, bermakna aku juga telah tahu kerja siapa semua ini. Kawan-kawan. Serumah. Tak pernah aku memberitahu untuk meminjam duit mereka. Jauh sekali mendapat sebanyak itu. Mahu rasanya untukku pulangkan semuanya pada mereka secepat mungkin, tapi bila disoal semuanya mengelat.

Kata mereka, "Gunalah dulu. Nanti berduit bayarlah kembali." Tapi fikirku, aku masih berduit. Walaupun tak sebanyak yang mereka ada, tapi tetap boleh hidup. InshaAllah.

Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan kawan-kawan yang bersedia untuk senang dan susah bersama-sama.

Walau resah tiada reda.

Kisah yang sangat pendek ini PS dedikasikan buat teman-teman serumah. Terima kasih atas usaha kalian mahu berkongsi menggalas beban. Sungguh PS sangat menghargai, namun tak sanggup menyentuhnya sedikit pun kerana bukanlah ia yang menggawatkan benak. Sedih benar bila pertama kali melihat baki akaun yang baru itu, walaupun belum mengetahui siapa yang memberi. Tolonglah terima kembali duit kalian segera mungkin. Itulah satu-satunya permintaan PS. Soal duit ini kalau pun papa kedana, PS tidak akan pernah risau. InshaAllah.

16 Januari 2009 (11.20 am)
Playford Road, London.

Thursday 15 January 2009

SUJUD TERAKHIR

(Ya Allah, kalau benar syurga untukku maka permudahkanlah)

Ke mana lagi mahu kubawa kecamuk ini
Kepada siapa harus direbahkan hiba hati
Untuk apa hidup kalau dosa tiada henti
Benarkah Tuhan masih ada dan meredhai

Pernah dulu Kau membantu untukku kembali
Kasih sayangMu disambut genang air mata
Namun pada ketika aku dibiar sendiri
Mudah pula hati terlupa di mana Pencipta

Bukan dayaku untuk memancung kelalaian
Atau melukakan berhala yang merantai rasa
Kerana aku bukannya seperti nabi yang mulia
Atau wali yang selalu membersihkan jiwa

Kelembutan malam yang sebentar ini
Tuhan berilah peluang untukku bersujud
Menghadap wajahMu yang lama dibiar sepi
Dan laknat yang tercipta Kau padamlah ia

Kalaulah boleh aku capai redhaMu sekarang
Mahu sahaja diminta agar ini sujud terakhir
Menikam maksiat yang telah aku hidupkan
Sebelum kuhitung hari-hari menuju syurga

16 Januari 2008 (12.50 am)
Playford Road, London.

AKAN KAMI INGAT

(jagalah untuk pembalasan)

Untuk setiap bayi yang hancur dalam perut ibunya
Untuk setiap titis darah yang memerahkan lopak air kami
Untuk setiap kepala yang lumat ditikam tombak besi
Untuk setiap rumah yang ranap tanpa tinggal sehelai baju
Untuk setiap tangisan oleh anak kecil yang baru belajar
Untuk setiap ketakutan yang merombak damai bumi Palestin
Untuk setiap ajal yang diundang oleh jembalang dunia

Akan kami ingat
Segala yang telah kau khianatkan
Seutas mati yang kau kirimkan
Tunggulah rombongan Salahuddin
Untuk menyembelih bongkakmu
Dari segenap arah

15 Januari 2009 (1.45 pm)
Playford Road, London.

Wednesday 14 January 2009

SELAMAT DATANG, SERIBU!

(sudah seribu, aku masih juga bisu)

Seperti mengira-ngira syiling di tabung
Atau belajar ilmu hisab di sekolah
Atau berapa jauh lagi kaki melangkah
Semudah itu jualah
Hari menghitung mati

Belum pun sempat purnama bertandang
Tanah kubur khabarnya mengeluh
Sudahlah
Cukuplah
Seribu mayat yang disumbat
Pada lubang-lubang semuat cacing
Bergasak tak mahu hidup sesak
Kalau nanti mayat tiada pusara
Mahukah kita menemaninya?

Mengapa hari-hari yang suci
Tidak mampu lagi berjalan mendabik dada
Malukah pada syaitan yang mulia?
Atau sugul mengingat diri yang tak berbuat apa?

14 Januari 2009 (8.50 pm)
Playford Road, London.

Tuesday 13 January 2009

SEBUTIR ROKET, SERATUS AJAL

Ah
Ahhh
Ahhhhhhhhhhhhhhhhh
Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh
Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh
Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh
Ahhhhhhhhhhhhhhhhh
Ahhh
Ah

13 Januari 2009 (4.00 pm)
Playford Road, London.

Sunday 11 January 2009

SEMURNI KASIH LOMPAT TIKAM

(bila semua rasa berpadu, itulah nikmat)



Sesudu lompat tikam
Menjadi cikgu
Mengajar makna
Keharmonian

Tepung beras
Dalam tenang hijau
Sebenarnya tawar
Kerana air banyak
Walau paling likat
Namun pertama diambil

Santan putih
Dalam suci rona
Sebenarnya masin
Kerana garam secubit
Wajib ia ditambah
Namun jangan berlebih

Merah pulut
Dalam anggun seri
Sebenarnya pengenyang
Kerana ia kanji
Walau tiada rasa
Namun penyeri saji

Dan air gula melaka
Banyak dicurahkan
Penguli tepung beras
Pewarna putih santan
Pemanis pulut merah
Pendamai semua rasa

Aduhai lompat tikam
Melihat harmoni padamu
Manusia perlu menjadi murid
Agar hidup lebih berasa
Agar mati lebih bermakna

Puisi ini ditulis bukanlah sekadar mahu menceritakan perihal lompat tikam, tapi sebenarnya tentang perhubungan manusia yang pelbagai rasa. Ada kalanya tawar, ada ketikanya masin. Tapi kenangkan yang manis-manis.

11 Januari 2008 (7.30 pm)
Playford Road, London.

DEKLAMASI PUISI ANDAI ESOK KIAMAT

Puisi yang telah lama ditulis, juga sudah berbulan dideklamasi oleh beberapa teman PS di Dublin termasuk bekas teman sebilik, Pok Jak, untuk Malam Apresiasi Seni Islam (MASAI) Ireland 2008. Diubah untuk disesuaikan dengan nada penyampaian, dipersembah bersama lagu ciptaan M. Nasir, Di Jalan Sesat. Terima kasih sahabat.



ANDAI ESOK KIAMAT

(mampukah aku berubah?)

Andai esok kiamat
Aku mahu lari
Ke negeri yang jauh
Jua milik Tuhan?

Andai esok kiamat
Aku mahu tangis
Merona tujuh laut merah
Tapi hari ini sudah kering

Andai esok kiamat
Aku mahu mati
Dalam dakap kasih sahabat
Yang tahu peritnya aku

Andai esok kiamat
Aku mahu berbuat segala
Pun semua Tuhan gembala
Mampu atau tidak?

28 Mac 2008 (6.15 pm)
King's College London


DI JALAN SESAT (M. Nasir)

Apakah takdir mimpi ini
Mendatang berulang kali
Berdarah penuh di tanah
Sedang tangan menongkat langit

Apakah yang kuperjuangkan
Apakah yang dipertahan
Apakah mesti aku jadi pahlawan

Oh Tuhan
Tidaklah aku layak
Namun aku tak berdaya
Menahan panas nerakaMu

Curiga di mata orang
Bagai mentari rembang
Bagaikan aku berdosa
Pada siapa saja

Sedang Tuhan di mana-mana
Melihat semua dosa
Dalam serata usia
Walau ditelan
Segitiga Bermuda
Selalu kumengulangi
Dosa yang telah ku buang

Diikuti kembali mengapa begini?
Mengapa begini?

Sedang Tuhan tahu sesiapa
Untuk neraka untuk syurga
Aku tak terpaksa memilih syurga
Demi pengertian pada hukum alam
Dan sesungguhnya aku cinta padaMu Tuhan
Walaupun sesat jalan

11 Januari 2009 (6.00 pm)
Playford Road, London.

Saturday 10 January 2009

TANGGA KE NERAKA

Mendongak ke atas
Banyak tangga mahu didaki
Pelik hati masih kuat
Kaki diseru melangkah

Tangga pertama
Berlari
Jelas nampak ego di puncak
Melambai berkata marilah

Tangga kedua
Berjalan
Di depan ada riak
Bersorak memberi semangat

Tangga ketiga
Merangkak
Berselisih dengan dengki
Oh tak mampu kaki melawan

Tangga keempat
Mengengsot
Sambil menjeling belakang
Ada amarah yang mengejar

Tangga kelima
Kaku
Bila kaki sudah penat
Terhentilah langkah di neraka

Puisi ini ditulis sebagai muhasabah diri agar tidak terleka oleh pesona dunia yang merencana diri, merosakkan hati dalam berbuat kebaikan. Sungguh senang mendaki ke neraka, sedikit terlalai sampailah kita ke sana. Semoga sama dikasihani Allah.

10 Januari 2009 (8.30 pm)
Playford Road, London.

Thursday 8 January 2009

GOOD MORNING, MY BROTHER

(bantulah aku untuk membantumu)

Pagi sampai pagi
Melewati lorong dari masjid
Dari jauh aku lihat kau sibuk
Membuka ruang untuk berniaga
Membuka pintu untuk Mikail

Setiamu pada suria yang belum menjengah
Sedang diri sudah berkeringat
Dan bila saja aku mendekati
Pasti kau dulu yang menyapa
Good morning, my brother
How are you today?
Dengan senyum yang tiada surut

Pernah aku bertanya padamu
Tentang apa yang kau percaya
Jawabmu pendek
I am a Muslim
But not so strong
Dan aku hanya mampu senyum
Tawar di mulut, di hati pahit

Oh betapa kasihan aku melihatmu
Tekun menggeledah rezeki dunia
Yang sudah pasti adanya ia
Tapi mengapa tiada kau intai
Rezeki akhirat yang masih samar
Untukku dan untukmu

Setiap pagi langkah pulang dari masjid pasti disambut sapa oleh seorang sahabat, pemilik satu-satunya kedai yang berhampiran dengan kediaman PS. Melihatnya dengan pandangan belas pasti mengingatkan PS akan kesungguhan manusia banyak yang berlumba-lumba mencari kemewahan dunia, sedang akhirat tercicir tanpa pengetahuan. Entah bagaimana harus PS menolong beliau, bimbang juga kalau-kalau di akhirat nanti akan dipersoal akan haknya selaku Muslim.


8 Januari 2009 (5.00 pm)
Playford Road, London.

Tuesday 6 January 2009

MENCARI AKU YANG DULU

(mahu sangat untuk kembali)

Penat sungguh menjadi seperti sekarang. Acap kali aku berfikir dan berdoa dapat bertemu semula dengan aku yang dulu. Yang sentiasa gembira, juga ceria walaupun di hati derita. Tanpa diminta, aku terlebih dahulu yang menghulurkan tangan. Tapi sekarang aku tidak mampu menyembunyikan apa sahaja yang aku rasa. Bila rasa marah, maka diamlah aku. Bila rasa gembira, maka cukup dengan senyum sahaja.

Namun aku yakin tidak mungkin lagi aku menjadi seperti dahulu. Setelah peristiwa demi peristiwa yang menjadikan hidupku makin suram semenjak berada di sini. Entah kenapa belakangan ini aku lebih suka bersendiri dan termenung, mungkin sudah trauma dengan segala kesulitan yang telah kulalui. Takut untuk menghadapi hidup lagi.

Maaflah. Kalau aku sekarang tidak seperti dahulu. Aku tak lagi mampu. Untuk ketawa dalam sendu.

KALA LIDAH DUNIA DIKERAT

Kala lidah dunia dikerat
Bisulah tuturnya
Walau jasad disiat-siat
Tunggulah reputnya

Kala lidah dunia dikerat
Kudunglah tangannya
Walau mata telah melihat
Tunggulah butanya

Kala lidah dunia dikerat
Pegunlah langkahnya
Walau hati punya amanat
Tunggulah hitamnya

Puisi ini ditulis kerana tidak tahan lagi melihat dunia yang langsung kaku dari berbuat sesuatu selain petah berbicara. Pemimpin-pemimpin yang konon berwajah malaikat rupa-rupanya berhati iblis, tidak terkecuali khalifah-khalifah yang sewajarnya menjadi pembela umat. Atau sebenarnya telah dijaga makan pakai mereka oleh dajjal Zionis?

6 Januari 2009 (8.30 am)
Playford Road, London.

Monday 5 January 2009

YANG MUDAH ITU MATI?

Hidup ditunjangi gelisah
Bila payah dan payah
Sering rakus melapah
Diharap mati yang mudah
Agar jasad digeledah
Sedang roh masih resah
Oleh redha yang mengah

Puisi ini ditulis setelah PS menyaksikan sendiri suatu kejadian yang merenggut jiwa, pengakhiran riwayat hidup seekor tikus. Mudah sahaja tangan-tangan kita menjadi Izrail, PS terfikir adakah semudah itu nanti Izrail sebenar datang bertemu PS? Atau peristiwa-peristiwa yang menyusul usai ajal PS mungkin jadinya lebih payah. Mohon simpati Allah.

6 Januari 2008 (7.50 am)
Playford Road, London.

DOA OLEH SYEIKH AL-MOHAISANY

Doa ini telah dibaca oleh Syeikh Al-Mohaisany usai mengimamkan solat terawih pada Ramadhan 1422H di Masjidil Haram, sebelum beliau ditangkap oleh tentera yang berkawal.



5 Januari 2009 (5.40 pm)
Playford Road, London.

TUMPAHNYA AIR MATA OLEH HUJAN DAN SALJI YANG TAK SERUPA

(berjarumkan gerimis, aku jahit luka)

Tadi pendek sahaja bicaraku padamu
Lama benar tiada suara dari tanah lahir
Sejak keberangkatan ayah bonda ke Tanah Suci
Kerana risau akan banjir yang mengujimu lagi
Antara rasa dan tanggungjawab yang kau pegang
Aku sedar kau sebenarnya tersepit di tengah

Di sini sejuk yang sangat, tadi baru bersalji
Katamu di sana tiada salji, yang ada hanya air hujan
Maka berjatuhanlah air mata dalam putih salji
Balasku di sini saljinya tiadalah lebat
gugur menjadi air, seperti air hujan juga

Maafkan aku kalau berdosa
Menjadikan salji sebagai air mata buatmu
Sungguh kalau mampu aku hulurkan hati
Untuk kau tafsir makna hujan dan salji padaku
Adalah sebenarnya sama

Puisi ini ditulis setelah PS menghubungi kekanda di kampung, khuatirkan keadaan yang meruncingkan rasa bagi anak-anak terawal keluarga Abdullah. PS ada memberitahu akan kota London yang baru sahaja bersalji nipis, dan balas kekanda di kampung tiada salji. Yang ada hanya air hujan, kemudian banjir. Besar rasa bersalah yang terbeban di pundak kerana bukan niat PS mahu menunjuk, jauh sekali melukakan hati mereka. Di akhir salji di sini, menjadi air juga ia sama sahaja seperti hujan di kampung.


5 Januari 2008 (2.50 pm)
Playford Road, London.

MOGA KALIAN BAIK-BAIK SAHAJA

Banjir kali kedua dalam tempoh sebulan. Pasti celaru kediamanku di Rantau Panjang, dek air yang bertamu tanpa diundang malah kadangkala mencari-cari bucu terkecil di ruang rumah yang sempit. Mujur kali ini tahu juga malunya. Tanpa ayah bonda yang belum kembali dari Mekah, bagaimanalah tiga kakak yang sulung itu menguruskan jiwa dan harta. Moga kalian baik-baik sahaja ya. Cepatlah pulang ayah bonda!

5 Januari 2008 (1.30 pm)
Playford Road, London.

Sunday 4 January 2009

SHAME ON YOU!

(siapa harus malu dahulu, mereka atau kita?)

Shame on you! Shame on you!
Dingin angin menjadi hangat oleh bara rasamu
Bergoncangan isi dunia saat engkau melaung
Raungan agar manusia benar-benar punya hati

Shame on you! Shame on you!
Semangat pada jiwamu sungguh aku sanjung
Kerana kalau aku yang dikerah berteriak
Dunia pasti menjeling sinis

Shame on you! Shame on you!
Waraskah lagi aku kalau sengaja berfikiran
Tentang kenapa begitu hebat semangatmu
Menentang kezaliman syaitan Zionis

Shame on you! Shame on you!
Atau engkau dahulu wajar menghisab diri
Akan kesesatan yang lama diringankan
Berteman setia syaitan-syaitan nafsu

Puisi ini ditulis setelah memikirkan kembali mesej yang dilaungkan oleh kebanyakan yang menyertai demonstrasi. Mereka begitu bersemangat menuntut dikembalikan hak rakyat Palestin, sedangkan diri sendiri jua turut berhak dijaga dari petaka neraka. Malulah kalian kerana berjuang untuk orang lain padahal sendiri tersesat jauh! Malulah kalian apabila berbicara soal kemanusiaan padahal sendiri hilang pertimbangan! Malulah kalian! Malulah!

4 Januari 2008 (9.20 am)
Playford Road, London.

Saturday 3 January 2009

SEKITAR DEMONSTRASI DI LONDON







































3 Januari 2009 (9.30 pm)
Playford Road, London.

AKULAH YANG SATU ITU

(banyak atau sedikit jangan ditanya, soalnya di mana kita?)

Kalau satu sebelum sejuta
Akulah yang satu itu

Kalau satu sebelum sepuluh
Akulah yang satu itu

Kalau satu sebelum kosong
Akulah yang satu itu

Puisi ini ditulis setelah PS bertukar pengalaman dengan teman di Republik Czech akan perihal demonstrasi untuk Palestin. Di sana hanya 200 orang tapi di bumi PS hampir 200,000 orang yang menyertai demonstrasi atas tujuan yang sama. Nasihat PS pada teman, usah bersedih hati kerana sedikit, yang penting kita turut terhitung dalam yang sedikit itu.

3 Januari 2008 (8.40 pm)
Playford Road, London.

Friday 2 January 2009

KERANAMU GAZA

(korban segala rasa)

Keranamu Gaza
Antara Danone dan Kit Kat
Akan kupilih puasa

Keranamu Gaza
Antara Nescafe dan Coca Cola
Akan kupilih dahaga

Keranamu Gaza
Antara Loreal dan Johnson & Johnson
Akan kupilih luka

Keranamu Gaza
Antara CK dan Boss
Akan kupilih kedana

Keranamu Gaza
Antara M & S dan Carrefour
Akan kupilih buta

3 Januari 2009 (12.20 am)
Playford Road, London.

SEGAN

(berlalulah malu)

Donate for our brothers and sisters in Palestine!

Laju aku berjalan
Menjeling dari belakang
Sebab tiada sumbangan
Sungguh aku segan

3 Januari 2009 (12.15 am)
Playford Road, London.