Tuesday 29 November 2016

MEMOIR LONDON (2)

London oh London. Terpisahnya kita oleh batas usia.

Saya masih ingat, pada pagi keesokan hari setelah kami tiba di London, saya bersama seorang rakan perempuan berjumpa dengan Encik Adib, pegawai JPA ketika itu untuk bertanya arah ke asrama universiti kami. Begitu naif kami kerana menyangka beliau mengetahui semua, dan nasihatnya agar kami membeli peta dan mengambil teksi untuk ke sana. Denmark Hill. Di situlah wang bernilai pound pertama kali kami gunakan di UK, membeli 2, 3 peta berbeza dan kemudian ke tepi jalan raya untuk menahan teksi. Tidak peliklah jika pemandu teksi juga tidak pasti arah mana hendak dituju, kerana asrama kami memang jauh, kurang lebih satu jam perjalanan dari Malaysian Hall. Lagi pula ketika itu GPS, Google Map semua belum wujud!

Sesampainya di asrama, kami minta resit kerana terlalu mahal harganya, biaslaah baru-baru sampai UK semua benda mahu tukar ke dalam ringgit Malaysia. 50 pound semuanya saya kira. Alhamdulillah mujurlah kami berdua masing-masing dapat bilik untuk seorang, cuma yang meresahkan bila perlu berkongsi tandas serta bilik mandi antara penghuni lelaki dan perempuan. Kerana kedua-duanya berada di luar bilik.

Sepanjang tinggal di asrama, tidak pernah saya menjejakkan kaki ke dewan makan. Bukan kerana segan, tetapi tidak tahu di situ sebenarnya ada disediakan menu halal. Haih la budak kampung, setiap kali hendak makan terutama makan malam, saya akan pastikan saya pulang ke asrama dalam keadaan kenyang atau merayau keluar mencari makanan halal. Mujurlah berdekatan asrama kami ada sebuah kedai makanan segera yang halal, selain kedai makan Vietnam yang menyediakan nasi goreng udang.

Saya juga mula belajar memasak di asrama King's, mengikut resipi daripada internet. Tapi sudahnya, saya lumurkan udang dengan kunyit, macam nak goreng ayam, terus asap berkepul-kepul. Fire drill pun berbunyi dengan lantang sekali, puas saya membuka seluruh tingkap mengibas-ngibas asap supaya keluar. Lama juga barulah ia berhenti. Dan kalau tidak salah saya, udang itu sendiri sikit sahaja saya makan, selebihnya terpaksa buang sebab rasanya sudah pelik semacam!

Pernah juga beberapa kali fire drill berbunyi ketika larut malam waktu saya sudah terlena, namun saya kunci pintu bilik dan tutup semua lampu sebab malas nak berlari keluar berkumpul segala.

Terlalu banyak peristiwa dialami di asrama ini sungguhpun saya tinggal bersendirian. Semoga Allah mengingatkan saya sentiasa tentang payahnya kehidupan di sana, agar menjadikan saya lebih merendah diri kepada Dia dan kepada makhlukNya.

RP (9.00 pm)
29 November 2016

Tuesday 15 November 2016

MEMOIR LONDON (1)

Sebelum usia memadamkan masa-masa emas yang ditelusuri di kota London, harus saya tuliskan sesuatu.

Kami pertama kali tiba di UK pada bulan Ramadhan. Seingat saya, kebanyakan yang berangkat bersama kami dari kolej lain, maka saya dan seorang teman rapat berjanji untuk berpuasa sampai betul-betul masuk waktu Maghrib bila tiba di London nanti.

Belum sampai separuh perjalanan, saya dikhabarkan oleh pramugari bahawa teman saya yang tadi dan lain-lainnya semua sudah berbuka. Bahkan sudah tertidur kekenyangan semuanya! Maka saya pun makanlah juga dalam kegelapan. Sampai saja di London, masing-masing ketawa berdekah-dekah mengingatkan janji kami yang sebenarnya agak sukar ditunaikan itu.

Nak dijadikan cerita, dalam kumpulan kami sayalah paling banyak bawa beg. Sebenarnya memang dah terlebih muatan, tapi ayah sanggup bayar kos lebihan tersebut. Segan juga bila seorang teman perempuan yang tolong angkatkan beg dari bas ke Malaysian Hall. Dan malam itu kami dikehendaki berkongsi bilik, sudah memang tiada siapa yang saya kenal kecuali teman yang sama maka dengan dia jugalah saya berkongsi.

Esoknya, kami sarapan dengan Kit Kat yang dibawa bersama-sama dari Malaysia.

KK (11.00 pm)
15 November 2016

MASA YANG MENJAUHKAN HATI

Telah tertimbus janji-janji
Yang pernah kau nyanyikan
Dalam hari-hari gelapku
Oleh dusta yang rakus
Menyelinap dalam mimpi

Sebilah halilintar yang dihantar
Oleh khabarmu
Menjadi tongkatku
Dalam zulumat yang lebih pekat ini

Masa
Yang telah menjauhkan hati
Dari sebuah janji dan mimpi
Tidak mungkin aku menunggu lagi
Untuk terabdi pada kakimu

Terima kasih masa
Mengajar aku tangis
Dalam tangis sedu yang serupa
Dan aku harus tahu
Bila benar matangku tercipta
Untuk menerima

KK (10.40 pm)
15 November 2016


Wednesday 20 January 2016

HILANG

Sampai waktu yang terbuku
Hilanglah manis selirik senyum
Pergi kasih pergilah rindu
Dalam mimpi hadirmu menguntum

RP (10.40 am)
21 Januari 2016

AJAL YANG MENJEMPUT IA PULANG

Bulan senja yang telah lenyap
Terganti dengan hitam awan
Ia masih leka di situ
Kerana belum puas kakinya bermain

Ketika ajal telah memanggil namanya saban hari
Dan ketika sujudnya mudah terasa kebas
Ia tidak langsung berpaling 
Sampailah ia lelah, lalu menjeling
Sayang, ajalnya sendiri datang merapat

Ketika ajal sedang memimpin ia pulang
Terbit mata air berganti basah peluh
Berjatuhan sampai ke tanah
Tempat dahinya belum bersujud
Ia tahu mainnya telah tamat

Tapi ajal
Tidak mampu menunggu lagi
Kerana tuannya juga sedang memanggil
Agar segera dibawa pulang
MilikNya

RP (10.30 am)
21 Januari 2016