Saturday 7 December 2013

PENCARI JALANMU


BB (8.30 am)
8 Disember 2013

Tuesday 26 November 2013

SYURGA YANG MENUNGGU

Maghrib yang bertamu bersama syahdu ini
Adalah kiriman dari syurga yang mengingatkan
Betapa neraka sedang berebut gilir dengannya
Untuk dipenuh makhluk yang celaka

Dan syurga
Masih jua bertahan
Bersama taubat yang terluang
Untuk insan yang mahu pulang
Kepadanya
KepadaNya

BB (7.00 pm)
26 November 2013

Thursday 14 November 2013

MAKE ME STRONG

I know the road is long 
O Lord, make me strong


BB (10.40 pm)
14 November 2013

Saturday 9 November 2013

AD-DHUHA

Dalam sempit dada yang berombak
Dalam gamat hidup yang berselerak
Dan dalam lebat ujian yang sesak

Di situ ada Allah yang menghembus
angin malam yang dinginnya mulus
Di situ ada cahaya yang mencerah
pada lorong yang semakin lupus

Demi waktu pagi yang tenang
Demi waktu malam yang lapang
Janji Tuhan untuk manusia
Pada azab telah bertamu nikmat
Pada gelisah telah berlalu bahagia

Alam dan manusia
dan takdir
Sampai kiamat, sampai menjadi mayat
Berputar dan berputar

BB (8.00 pm)
9 November 2013

Tuesday 22 October 2013

BILA DIRI DISAYANGI

Terdengar di IKIM, rupanya lagu ini cukup menyentuh.



BB (10.20 pm)
22 Oktober 2013

Tuesday 10 September 2013

SABRI YUNUS : SEMINGGU SEBELUM RAYA, SEWAKTU SAYA BALIK CUTI

(untuk encik jaket hijau)

http://www.youtube.com/watch?v=Rm_ZbdVAV7A&desktop_uri=%2Fwatch%3Fv%3DRm_ZbdVAV7A&nomobile=1

Semingu sebelum raya sewaktu saya balik cuti
Saya duduk termenung di tangga, asyik memerhati
Tengok Pak Da Isa anak beranak, suami isteri
Nak makan lauk buka puasa satu keluarga berhempas pulas tangkap (itik) serati

Bercawat jantan Pak Da panjat kelapa
Golok di pinggang, diikat serban atas kepala
Kalaulah berlawan dengan beruk pun, laju lagi Pak Da
Beruk gerenti angkat tangan ‘Ooo serender Pak Da lagi terer’

Setakat masak sayur dan gulai, belakang rumah semua ada
Tak payah nak ke kedai, tak payah keluar belanja
Tanah berekar-ekar, boleh menanam boleh membela
Kalau kembali gawat satu Malaysia...rilek sahaja Pak Da

Jauh tak sama dengan saya yang duduk di bandar
Punyalah seksa kalau isteri kata ‘Abang, nak masak gulai’
Brooom start (enjin) kereta...super market, kedai besar, tempat mahal
Baru sebiji kelapa dah kena dekat dua ringgit

Saya di bandar dengan jiran tak pernah bertengkar
Tak pernah berkasar, tak pernah bergurau
Duduk sebelah pagar nama pun tak kenal
Lu lu, gua gua...gua punya hal, gua punya pasal

Bertemu bertembung angkat kening angkat mata
Bukan kata sombong, tapi sebab sama-sama sudah biasa
Solat terawih pun kosong, saf pertama belakang tok imam sahaja ada
Kalau tempat gotong royong penuh...semuanya (cuma) ahli jawatan kuasa

Baru-baru ini, kereta jiran ada orang datang tarik
Saya duduk di dalam (rumah), diam...berkurung dalam bilik
Bukan tak berani, saja malas keluar takut terbabit
Sebab kereta saya sendiri pun kereta yang bermasalah

Seminggu sebelum raya sewaktu saya balik cuti
Lapang rasa dada sejuk dalam hati
Tengok anak dara Arwah Pak Su Ali
Cantik dah satu hal...baik, warak pun sekali

Malam lepas Isyak, syahdu saya dengar
Sedapnya suara, Quran dia hafal
Keluar satu-satu (ayat), macam dengar dari speaker
Kalau jadikan isteri muda, shhh...isteri tua boleh tumpang belajar

Jauh tak sama dengan jiran sebelah kiri rumah
Jiran rumah saya di Kuala Lumpur, anak pemandu teksi
Baru tingkatan tiga sudah berhenti belajar
Tak tahu nak jadi apa, hidup atau mati

Rambut yang hitam, dia warnakan kuning
Di telinga ada lima subang, tiga lagi atas kening
Berskirt ketat, berbaju jarang, sendat melekat
Tok lebai dan tok imam pun dua, tiga kali jeling

Belum masuk Isyak, penghujung Maghrib
Ada motor ada kereta berebut datang ambil
Tak tahu bawa ke mana, kadang-kadang tak balik
Macam teksi ayah dia, asalkan ditambang siapa pun boleh naik

Sekarang ini...seminggu sebelum raya sewaktu saya balik cuti
Hati saya berkata duduk di kampung lebih baik
Agama mereka jaga, adat budaya juga nilai murni
Di bandar ini sudah tiada apa-apa...hilang jati diri

Selamat Hari Raya.

PS: Jujurnya saya tidak gemar mengubah suatu karya dari bahasa asal ke bahasa lain, kerana makin pudar ruhnya. Atas sebab ada manfaat jika berbuat demikian, saya gagahkan jua.

BB (6.50 pm)
10 September 2013


Wednesday 4 September 2013

LELAH

Menyusup ajal terpenggal lelah
Dalam mimpi-mimpi terzahir restu
Pun, qalbu batu menjadi gagah
Oleh seruling cinta dalam asyikmu

BB (6.40 pm)
4 September 2013

Sunday 25 August 2013

PELUANG

Selagi namanya orang
Wajib diberi peluang
Taubat masih terluang
Syurga luas terbentang

Hati, tak selamanya gersang.

RP (11.00 pm)
25 Ogos 2013

Wednesday 21 August 2013

PADA DIA

Pada ketika kita merasa semua jalan sudah tertutup
Baliklah kepada Allah
Di situ kita ketemu cukup

Pada ketika kita hilang punca
Kembalilah pada Allah
Di situ kita tak pernah dilupa

Pada ketika kita terasing
Pulanglah kepada Allah
Di situ kita hiburkan hati yang kering

Pada ketika kita tidak tahu dengan siapa mahu bercerita
Hadapkan wajah pada Allah
Di situ Dia mendengar semua

Pada ketika kita mahu berputus asa
Mintalah pada Allah
Di situ hadir kekuatan dari Dia

RP (1.10 am)
22 Ogos 2013

Thursday 15 August 2013

MENJADI YANG KEDUA

"Ini yang belajar di Indonesia kan?", "Ini yang doktor tu kan?", "Ini yang kerja di Terengganu tu ya?". Soalan-soalan ini sejak masih menuntut di UK, acap sahaja diajukan kepada saya. Saya kurang jelas, di mana silapnya sampaikan orang-orang kampung bahkan kadang-kadang saudara mara sendiri tidak tahu bahawa ada juga di antara adik-beradik kami yang belajar sampai Eropah.

Mula-mula kecil hati juga, mana taknya kita yang merantau paling jauh seolah-olah tidak diketahui tentangnya oleh sesiapa melainkan keluarga sendiri. Bahkan seingat saya, belum pernah orang-orang kampung bertanya kepada saya samada belajar di UK atau tidak. Biasalah, menjadi yang kedua, tambah pula bukannya seorang doktor, menjadi kecil nilainya di mata mereka.

Kerana itu, saya agak bersetuju apabila dikatakan anak kedua seorang yang kompetitif kerana perlu membuktikan kewujudannya berbanding yang sulung dan bongsu. Mungkin juga kerana status belajar saya yang terumbang-ambing menjadikan ibu ayah sendiri jarang bercerita tentang saya kepada orang lain, jika dibandingkan perihal abang saya yang mengambil jurusan perubatan.

Saya jadikan ini sebagai motivasi, lebih-lebih lagi hidup dalam budaya yang sangat memandang tinggi seorang yang bergelar doktor. Saya sedar takkan pernah sama di sisi mereka, seorang doktor perubatan dan seorang doktor sarjana, tapi sekurang-kurangnya saya ada sesuatu untuk dibuktikan. Bukan mudah bergelar yang kedua, bila mana jarak umur dengan yang pertama hanya setahun lagi pula kedua-duanya melalui garis hidup yang seakan sama.

Moga Allah ikhlaskan niat, dan beri saya kekuatan untuk menghabiskan sisa perjuangan ini sebelum ajal saya.

RP (4.30 pm)
15 Ogos 2013

Monday 12 August 2013

RAHSIA

Banyak senyap itu
Kerna ia menyimpan
Tentang tulis takdir hidup ia

Banyak sangka padanya
Kerna ia tidak bicara
Soal susurnya yang tersimpang
Jauh dari biasa

Dengan Tuhan ia percaya
Untuk berkongsi semua
Rahsia hidup yang tertutup
Tuhan jua yang mencipta

RP (4.00 pm)
12 Ogos 2013