Thursday 15 August 2013

MENJADI YANG KEDUA

"Ini yang belajar di Indonesia kan?", "Ini yang doktor tu kan?", "Ini yang kerja di Terengganu tu ya?". Soalan-soalan ini sejak masih menuntut di UK, acap sahaja diajukan kepada saya. Saya kurang jelas, di mana silapnya sampaikan orang-orang kampung bahkan kadang-kadang saudara mara sendiri tidak tahu bahawa ada juga di antara adik-beradik kami yang belajar sampai Eropah.

Mula-mula kecil hati juga, mana taknya kita yang merantau paling jauh seolah-olah tidak diketahui tentangnya oleh sesiapa melainkan keluarga sendiri. Bahkan seingat saya, belum pernah orang-orang kampung bertanya kepada saya samada belajar di UK atau tidak. Biasalah, menjadi yang kedua, tambah pula bukannya seorang doktor, menjadi kecil nilainya di mata mereka.

Kerana itu, saya agak bersetuju apabila dikatakan anak kedua seorang yang kompetitif kerana perlu membuktikan kewujudannya berbanding yang sulung dan bongsu. Mungkin juga kerana status belajar saya yang terumbang-ambing menjadikan ibu ayah sendiri jarang bercerita tentang saya kepada orang lain, jika dibandingkan perihal abang saya yang mengambil jurusan perubatan.

Saya jadikan ini sebagai motivasi, lebih-lebih lagi hidup dalam budaya yang sangat memandang tinggi seorang yang bergelar doktor. Saya sedar takkan pernah sama di sisi mereka, seorang doktor perubatan dan seorang doktor sarjana, tapi sekurang-kurangnya saya ada sesuatu untuk dibuktikan. Bukan mudah bergelar yang kedua, bila mana jarak umur dengan yang pertama hanya setahun lagi pula kedua-duanya melalui garis hidup yang seakan sama.

Moga Allah ikhlaskan niat, dan beri saya kekuatan untuk menghabiskan sisa perjuangan ini sebelum ajal saya.

RP (4.30 pm)
15 Ogos 2013

3 comments:

Anonymous said...

Selamat kembali..
Sudah lama menunggu...akhirnya!
Kuatkan semangat...moga tsabat selalu...

pemburu syurga said...

Terima kasih masih setia ya :)

faith said...

sebenarnya, susah juga menjadi yang pertama..sangat susah :)