Sunday, 7 February 2021

MIMPI



Melirik mimpi

Ketika hari masih dihitung

Selangnya terasa seperti bertahun

Semalam yang terukir senyum

Di hujungnya diganti rindu 

Tak berhujung waktu


Sehiris luka yang ditarah

Sedekad pun belum ada penawar

Yang dikirim berupa darah

Diminum menjadi khayal

Dibuang menjadi mual


Mimpi-mimpi yang tertanam

Oleh bangkitnya sebuah benci

Hanya menjerat tuju

Rebah, hilang, ngilu

Tusuknya bertalu-talu

Hingga hilang dalam lelah 


Ketika mimpi terasa nyata

Buta mata buta jiwa

Ketika ia terjaga

Masa tidak lagi bersisa


(ada mimpi hanya untuk bermimpi, di dunia ia terabai, di akhirat tidak sampai)


RP (2230)

7 Februari 2021 


Friday, 27 March 2020

MEMOIR LONDON (4)

Makin bertambah tahun (dan usia), makin sukar untuk menulis di sini. Mungkin kerana banyaknya penulisan di sini berkisar tentang London semata, yang telah jauh ditinggalkan. Semakin hari menginjak semakin banyak yang terluput. Sayang sekali.

Semalam saya masih menerima panggilan seperti yang selalunya, dari seorang teman lama. Dialah satu-satunya yang masih gagahkan diri untuk berhubung selalu. Dan yang selalu itu pasti terselit kisah-kisah lalu tentang London, manusia-manusia yang pernah sebumbung dan setaman permainan dengan kami.

Antara kenangan yang kuat melekat di kepala saya sampai hari ini adalah ketika susah payahnya saya untuk keluar dari kesukaran hidup di asrama universiti, pada hari-hari pertama saya di tanah UK. Sudahlah kali pertama mahu ke sana pun tidak diketahui hala tuju oleh pemandu teksi sendiri, jauhnya nun terpelosok hampir-hampir saya dapat katakan di tengah-tengah hutan. Hinggakan pernah seorang sahabat saya yang menumpang di bilik berkata, "Ini kali terakhir aku ke sini". Begitulah jauhnya asrama itu dari Central London.

Beberapa minggu pertama di London begitu menyesakkan nafas, merenggut ketenangan jiwa. Kota yang saya idamkan menjanjikan 1001 pengalaman mengasyikkan seolah-olah hilang dibawa gelora, diganti pekatnya malam tersalut gempita halilintar. Hampir setiap hari jugalah saya termenung (mengalirkan air mata itu sudah biasa), betapa sesalan waktu itu memenuhi segenap ruang akal.

Akhirnya, saya nekad untuk mencari penginapan yang lebih hampir dengan bandar. Sampai ke saat ini masih bugar dalam ingatan saya, laman Gumtree menjadi saksi beberapa hari saya mencari sesiapa yang ingin menyewakan rumah/bilik lain di tengah London, dengan harapan mimpi ngeri di asrama universiti akan berakhir. Dan saya hanya perlu fokus untuk belajar.

Puas mencari, beberapa pilihan menarik hati saya. Antara yang saya ingat adalah rumah/bilik di suatu kawasan pekan yang agak rancak, di tengah-tengahnya mengalir anak sungai dalam kedinginan musim salju waktu itu. Saya sendiri ke sana melihat dan dibawa oleh ejen untuk meneliti setiap pelusuk yang mungkin saya perlukan kegunaannya sekiranya benar-benar menginap di situ. Namun harganya agak mahal bagi seorang pelajar tajaan seperti saya. Ibaratnya kalau saya tinggal di situ berpuasalah saya setiap hari. Saya terpaksa menolak yang ini.

Ada beberapa tempat lain saya cuba jejaki sendiri, namun semuanya tidak kena dengan selera. Akhirnya saya temui satu iklan bilik di kawasan Oxford Street dengan harga yang agak berpatutan (tidak murah, tidak juga mahal). Seingat saya bilamana saya minta untuk bertemu tuan rumah katanya dia berada di luar kawasan waktu itu, maka saya sendiri ke sana untuk melihat sendiri kawasan yang dimaksudkan. Saya berpuas hati. Tanpa melihat letak duduk penginapan secara tepat.

Setelah berurusan melalui emel, saya setuju untuk bayar deposit melalui Western Union (seperti arahan tuan rumah). Dalam keadaan terdesak dan masih mempunyai baki wang yang agak banyak kerana baru tiba di UK, saya tidak berfikir panjang. Beberapa hari kemudian tuan rumah menghubungi, minta sedikit wang lagi untuk dipasang internet untuk kemudahan saya kelak. Saya turutkan juga. Beberapa kali seterusnya juga begitu dengan alasan tertentu, sehingga seingat saya hampir 5 atau 6 kali jugalah saya memberikan wang kepada dia. Jumlah semuanya sekitar 2,000 pound sterling, waktu itu menyamai RM14,000.

Saya ada menyemak secara online, tetapi tiada tanda-tanda wang itu telah diambil oleh tuan rumah. Hinggalah pada suatu ketika, tuan rumah meminta saya menghantar salinan kad pelajar saya kepada dia. Yang ini saya kurang ingat apa alasannya, tetapi sekali lagi oleh sebab terdesaknya (dan kebodohan) saya menjadikan saya seolah-olah hilang kewarasan. Saya ikutkan saja.

Beberapa hari kemudian barulah datang syak wasangka, itu pun setelah tidak lagi mendapat sebarang emel dari tuan rumah. Saya menyemak secara online, semua wang telah diambil oleh si penerima. Saya ke cawangan Western Union terdekat, dan disahkan wang itu benar-benar telah diambil oleh seseorang. Barulah saya tersedar liciknya si 'tuan rumah' bersembunyi di sebalik nama saya sendiri sebagai penerima wang. Tanpa meninggalkan jejak identiti dia yang sebenar

Ya Robbul Jalil, pucat tak semena-mena saya waktu itu, tak terasa derasnya jantung berdegup.

Dalam situasi terdesak untuk keluar dari kelamnya dunia asrama, diduga pula dengan kehilangan sebegitu banyak wang sekelip mata. Dan saya hanyalah seorang pelajar di bumi asing, tidak tahu hala tuju seterusnya. Tekanan kian berganda, saya akur ini bahagian untuk saya...

bersambung...(dah panjang sangat ni, malas pun menerpa)

RP (0800)
28 Mac 2020

Saturday, 22 June 2019

MEMOIR LONDON (3)

Antara kenangan yang paling kuat dan selalu bermain-main dalam renungan saya adalah ketika pertama kali berpuasa dan beraya di London. Masih ingat seawal tiba di London, ibu bekalkan pelbagai makanan tradisi seperti serunding, barangkali bimbang anaknya ini kelaparan di negeri orang. Serunding inilah yang menjadi juadah sahur (dan kadang berbuka) saya, buka puasa pula tidak menentu. Iya lah, duduk di asrama universiti nun jauh di puncak Denmark Hill, kedai halal pula tak banyak pilihan.

Paling saya ingat berdekatan asrama ada satu kedai fast food halal dan satu lagi kedai Vietnam yang hidangkan nasi goreng udang. Kedua-duanya selalu saja menjadi tempat singgahan saya samada sebelum bertolak ke universiti atau sebelum tiba kembali ke asrama, ada juga Nandos tapi saya kurang pasti halal atau tidak. Di dewan makan asrama saya memang tidak pernah jejakkan kaki, maklumlah tiada siapa yang saya kenal lagi pula waktu itu tidak tahu di sana ada atau tidak sediakan makanan halal untuk Muslim. Alahai naifnya saya.

Di asrama hanya seorang kawan rakyat Malaysia berbangsa Cina yang saya kenal, itu pun kerana kami berada di bawah tajaan yang sama. Awalnya selalu juga ke sana ke mari berdua, lama-kelamaan mungkin cara hidup yang agak berbeza maka lingkungan kawan-kawan juga berbeza, lalu kami buat hal masing-masing. Selain pengalaman masak udang dengan kunyit, hanya beberapa kali seingat saya singgah di bilik dobi asrama, biasanya hujung minggu sebab tak ramai orang. Saya pun ingat-ingat lupa selainnya macam mana saya basuh pakaian dulu.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu terutama waktu malam fire drill akan membangunkan kami. Saya? Memang tak pernah keluar dari bilik selama mana atau sekuat mana pun bunyinya, walhal ia betul-betul berada di kepala katil. Biasanya saya akan padamkan semua lampu, kunci pintu dan baring sahaja dalam selimut. Nak keluar bilik pun mungkin tak tahu ke mana nak dituju.

Berbalik hal puasa di London, awalnya agak memeritkan juga sebab tak biasa dan tak tahu nak makan apa. Rasanya tak pernah saya betul-betul bersedia di hadapan makanan menunggu azan Maghrib untuk berbuka, selalunya samada saya di dalam bas atau sedang berjalan kaki. Juadahnya pula hanya air mineral, atau kalau terlebih rajin saya akan singgah di kedai-kedai runcit untuk membeli sedikit roti buat alas perut.

Yang penting sahur saya tak pernah tinggal, memang dari kecil diajar begitu jadi agak sukar untuk puasa tanpa sahur. Saya akan masak nasi dan terus pecahkan telur dalam periuk yang sama tambah pula sos cili atau kicap, cukuplah tahan perut untuk sehari. Kalau kebetulan saya ke Sainsbury hari-hari sebelumnya adalah sikit makanan tambahan seperti tart telur, roti, coklat dan sebagainya. Hilanglah rupa sahur Melayu yang telah sebati dengan jiwa dan lidah saya.

RP (0700)
23 Jun 2019

Sunday, 24 February 2019

SETELAH LEBIH SETAHUN (DAN LAPAN)

Makin bertambah tahun, makin jarang blog ini dikemas kini. Nak kata terlampau sibuk, tak juga. 

Sehari dua ini saya teringatkan sahabat-sahabat yang pernah mewarnai hidup sewaktu melalui peritnya belajar di UK dulu. Dulu, kami gunakan term 'ikhwah', ya lah kan masing-masing tengah berkobar-kobar dengan amal dakwah. Saya lawati blog-blog mereka yang pernah menjadi singgahan harian saya. Kadang post mereka terlalu panjang, saya pun tak habis (malas) baca, terutama yang bercerita tentang teori-teori dakwah haha, tapi masih gatal tangan saya nak juga tinggalkan komen. Maka jadilah ruang komen itu medan kami bersembang.

Tapi hari ini, tidak lagi seperti dulu, ada yang telah menutup terus blognya, ada yang tidak dikemas kini bertahun-tahun lamanya, ada pula yang telah meninggalkan kami semua untuk bertemu Sang Kholiq. Pejam celik, hampir 6 tahun lamanya Allahyarham Iman Shafiq telah berangkat pergi. Terlalu banyak kenangan tercipta bersama Iman, kerana dialah anak usrah saya yang pertama, dan yang paling bersemangat dalam tugas dakwahnya. Lama juga seingat saya, saya mengambil masa untuk menerima hakikat takdir yang satu ini.

Gurau senda usik mengusik menjadi perencah persahabatan kami semua. Waktu itu, rumah kami 102 & 128 di Playford Road memang meriah habis. Bayangkan 2 rumah ini dihuni oleh lebih 20 orang, maka tak hairanlah kalau ada jiran yang kurang selesa dengan kewujudan kami di situ hehe. Rapatnya kami ketika itu sampaikan ada yang mencadangkan untuk tinggal dalam satu kawasan perumahan walaupun sudah berumah tangga nanti. Namun, waktu silih berganti, siang dan malam pun bergiliran, inikan pula manusia. Saya kira tempoh yang telah lama berlalu ini mematangkan kami semua, apatah lagi dengan jalan hidup sekarang yang berbeza-beza. 

Sesekali teringatkan mereka, sebak juga rasa di dada. Kadangkala hadir rasa ingin berjumpa, tapi mungkin kerana tempohnya sudah terlalu lama, saya pendamkan sahaja. Saya percaya, suatu hari nanti Tuhan akan pertemukan kami kembali tidak kira dalam keadaan apa sekali pun, dan siapa pun kami pada waktu itu nanti. Buat sahabat semua, di mana pun berada, kalian selalu ada dalam doa-doa saya. Sungguh pun usia menjarakkan, dan pengalaman menyedarkan kita. 


Bahagia semuanya ya!

RP (1000) 
25 Februari 2019

Tuesday, 24 January 2017

BANGKOK BANDAR BELANJA

(untuk panduan masa depan)

Selama 5 hari 4 malam di Bangkok, ada beberapa tempat yang saya kira wajib pergi. Bangkok bagi saya adalah bandar budaya dan belanja. Memandangkan kami ke sini untuk tujuan perniagaan maka kebanyakan tempat yang disinggahi berkait rapat dengan niaga. Kami menggunakan khidmat BTS/MRT (seperti LRT/MRT), tuk-tuk, bot, bas dan Grab Taxi sepanjang berada di sini.

Ramkhamhaeng

Daerah ini sangat sinonim dengan penempatan umat Islam terutama yang berasal dari selatan Thailand. Banyak masjid, banyak juga gerai masakan Melayu yang kena dengan selera kita. Ada di belakang masjid, ada juga di seberang sungai berhadapan universiti bandar (dibuka dari petang ke atas). Untuk ke sini boleh mengambil bot. Kami ambil bot dari jeti berdekatan I-Setan Central World.

Sukhumvit Road

Di sini terdapat Arab Street yang mana banyak dan pelbagai makanan halal mudah didapati. Kebanyakannya menu Arab atau seangkatan dengannya. Harganya pun boleh tahan juga. Ada night market, ada juga banyak pilihan untuk menukar duit di sini.

P******M Market & Platinum Mall

Di sini sangat banyak kedai dan gerai untuk beli pakaian, beg, kasut dan sebagainya dengan harga yang sangat murah tapi agak berkualiti dan terkini. Jangan lupa tawar menawar dengan harga terendah, mungkin 1/3 atau 1/4 daripada harga yang dipamer. Kami hampir sahaja terbayar RM 300 untuk caj selama hanya 20 minit menaiki tuk-tuk.

Silom

Patpong Night Market di sini boleh dijadikan tempat belanja singkat dan ringkas sekiranya tidak sempat ke P******M Market. Di kawasan ini juga terdapat satu jalan yang penuh dengan pusat hiburan. Smoothie buah di sini juga sangat enak bagi tekak yang dahaga terutama smoothie mangga!

Terminal 21

Pasaraya berstatus high-end ini menampilkan tema kotaraya yang berbeza mengikut tingkat yang dijejak. Ada London, Paris, Tokyo, Istanbul dan Carribean. Tandas juga mengikut tema. Kami ke sini hanya untuk mencari barang-barang kiriman kenalan yang agak berjenama.

Wat Arun & Wat Pho

Kedua-dua wat menghadap sungai, kerana itu ia menjadi pilihan kami. Pemandangan Bangkok dapat dilihat sekiranya mendaki sampai ke puncak namun ketika kami di sini bahagian atasnya ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian. Boleh ambil bot untuk sampai ke sini.

7-Eleven

Sangat banyak kedai seperti ini di Bangkok, maka ia sentiasa menjadi tumpuan kami untuk mencari minuman atau makanan sampingan buat bekal dalam perjalanan.

KFC

Kalau malas berjalan jauh mencari kedai halal, makan sahaja di KFC kerana semua KFC di Bangkok dijamin halal. Tapi pilihan menunya tak sebanyak seperti KFC Malaysia.

Kami tidak sempat ke beberapa tempat lain seperti Asiatique, Chatuchak Weekend Market, Pantip Plaza, MBK Center, Amarin Plaza, Khao San Road & Floating Market kerana jarak yang agak jauh dari tempat menginap.

Apa pun, Bangkok bandar untuk berbelanja!

RP (1430)
25 Januari 2017