Friday 27 March 2020

MEMOIR LONDON (4)

Makin bertambah tahun (dan usia), makin sukar untuk menulis di sini. Mungkin kerana banyaknya penulisan di sini berkisar tentang London semata, yang telah jauh ditinggalkan. Semakin hari menginjak semakin banyak yang terluput. Sayang sekali.

Semalam saya masih menerima panggilan seperti yang selalunya, dari seorang teman lama. Dialah satu-satunya yang masih gagahkan diri untuk berhubung selalu. Dan yang selalu itu pasti terselit kisah-kisah lalu tentang London, manusia-manusia yang pernah sebumbung dan setaman permainan dengan kami.

Antara kenangan yang kuat melekat di kepala saya sampai hari ini adalah ketika susah payahnya saya untuk keluar dari kesukaran hidup di asrama universiti, pada hari-hari pertama saya di tanah UK. Sudahlah kali pertama mahu ke sana pun tidak diketahui hala tuju oleh pemandu teksi sendiri, jauhnya nun terpelosok hampir-hampir saya dapat katakan di tengah-tengah hutan. Hinggakan pernah seorang sahabat saya yang menumpang di bilik berkata, "Ini kali terakhir aku ke sini". Begitulah jauhnya asrama itu dari Central London.

Beberapa minggu pertama di London begitu menyesakkan nafas, merenggut ketenangan jiwa. Kota yang saya idamkan menjanjikan 1001 pengalaman mengasyikkan seolah-olah hilang dibawa gelora, diganti pekatnya malam tersalut gempita halilintar. Hampir setiap hari jugalah saya termenung (mengalirkan air mata itu sudah biasa), betapa sesalan waktu itu memenuhi segenap ruang akal.

Akhirnya, saya nekad untuk mencari penginapan yang lebih hampir dengan bandar. Sampai ke saat ini masih bugar dalam ingatan saya, laman Gumtree menjadi saksi beberapa hari saya mencari sesiapa yang ingin menyewakan rumah/bilik lain di tengah London, dengan harapan mimpi ngeri di asrama universiti akan berakhir. Dan saya hanya perlu fokus untuk belajar.

Puas mencari, beberapa pilihan menarik hati saya. Antara yang saya ingat adalah rumah/bilik di suatu kawasan pekan yang agak rancak, di tengah-tengahnya mengalir anak sungai dalam kedinginan musim salju waktu itu. Saya sendiri ke sana melihat dan dibawa oleh ejen untuk meneliti setiap pelusuk yang mungkin saya perlukan kegunaannya sekiranya benar-benar menginap di situ. Namun harganya agak mahal bagi seorang pelajar tajaan seperti saya. Ibaratnya kalau saya tinggal di situ berpuasalah saya setiap hari. Saya terpaksa menolak yang ini.

Ada beberapa tempat lain saya cuba jejaki sendiri, namun semuanya tidak kena dengan selera. Akhirnya saya temui satu iklan bilik di kawasan Oxford Street dengan harga yang agak berpatutan (tidak murah, tidak juga mahal). Seingat saya bilamana saya minta untuk bertemu tuan rumah katanya dia berada di luar kawasan waktu itu, maka saya sendiri ke sana untuk melihat sendiri kawasan yang dimaksudkan. Saya berpuas hati. Tanpa melihat letak duduk penginapan secara tepat.

Setelah berurusan melalui emel, saya setuju untuk bayar deposit melalui Western Union (seperti arahan tuan rumah). Dalam keadaan terdesak dan masih mempunyai baki wang yang agak banyak kerana baru tiba di UK, saya tidak berfikir panjang. Beberapa hari kemudian tuan rumah menghubungi, minta sedikit wang lagi untuk dipasang internet untuk kemudahan saya kelak. Saya turutkan juga. Beberapa kali seterusnya juga begitu dengan alasan tertentu, sehingga seingat saya hampir 5 atau 6 kali jugalah saya memberikan wang kepada dia. Jumlah semuanya sekitar 2,000 pound sterling, waktu itu menyamai RM14,000.

Saya ada menyemak secara online, tetapi tiada tanda-tanda wang itu telah diambil oleh tuan rumah. Hinggalah pada suatu ketika, tuan rumah meminta saya menghantar salinan kad pelajar saya kepada dia. Yang ini saya kurang ingat apa alasannya, tetapi sekali lagi oleh sebab terdesaknya (dan kebodohan) saya menjadikan saya seolah-olah hilang kewarasan. Saya ikutkan saja.

Beberapa hari kemudian barulah datang syak wasangka, itu pun setelah tidak lagi mendapat sebarang emel dari tuan rumah. Saya menyemak secara online, semua wang telah diambil oleh si penerima. Saya ke cawangan Western Union terdekat, dan disahkan wang itu benar-benar telah diambil oleh seseorang. Barulah saya tersedar liciknya si 'tuan rumah' bersembunyi di sebalik nama saya sendiri sebagai penerima wang. Tanpa meninggalkan jejak identiti dia yang sebenar

Ya Robbul Jalil, pucat tak semena-mena saya waktu itu, tak terasa derasnya jantung berdegup.

Dalam situasi terdesak untuk keluar dari kelamnya dunia asrama, diduga pula dengan kehilangan sebegitu banyak wang sekelip mata. Dan saya hanyalah seorang pelajar di bumi asing, tidak tahu hala tuju seterusnya. Tekanan kian berganda, saya akur ini bahagian untuk saya...

bersambung...(dah panjang sangat ni, malas pun menerpa)

RP (0800)
28 Mac 2020

2 comments:

ReSaH said...

Rindu pada hirupan angin pagi London.. sejuknya kadang menyesakkan, tapi entah kenapa kini terbayang-bayang sebagai kenangan yang menyenangkan..

Kalau nk sewa rumah kt Malaysia boleh bgtahu ye, nt sy bg akaun number terus, senang sikit :-)

pemburu syurga said...

Hahahaha encik dah kaya raya, patut bayar zakat dekat saya dah tu ;)

Terima kasih ReSaH, banyak mewarnakan hidup saya seketika singgah di London dulu. Awalnya saya rindu akan suasana kota itu sendiri, hiruk pikuk jalan raya, Thames River, Finsbury Mosque dll.

Lama-kelamaan terbit juga sebenarnya ingatan akan sahabat2 yang selalu bersama, tidak berkira apa pun :)