Wednesday 3 November 2010

UNTUK HARI LAHIRMU, AYAH

Untuk malam-malam yang engkau bazirkan buat menemani gelisah
Untuk senggang masa terluang yang telah engkau korbankan
Untuk jiwa yang turut kesempitan oleh kelalaian
Untuk benak yang engkau kerahkan ketika aku buntu
Untuk nafasmu yang masih tersisa diperguna anak-anak
Ayah
Selamat Hari Lahir
Untukmu, bukan kudratku membalasa semua
Untukmu, aku mohon pada Tuhan yang mengirimkanmu
Untukmu, jalan ke syurga pasti dimudahkan
Ayah!

London

Thursday 28 October 2010

TAKDIR

Telah dikhabarkan kepada langit hati
Tentang gerimis yang akan bertandang
Pada awan yang masih memaksa senyum
Dan langit seperti sudah bisu

Telah dikhabarkan kepada bumi rasa
Akan kemarau rindu yang sedang tercipta
Pada rapuh ranting yang menghijau
Ketika belum sempat nafasnya dilepas

Kalau di antara langit dan bumi itu
Masih ada senja yang mahu menyapa
Mari aku khabarkan kepadamu
Duhai hati dan rasa
Betapa takdir itu tulisan Tuhan
Dan kita makhluk hanya menerima

London.

Friday 8 October 2010

MENANTI BATAS WAKTU

Entah bila diingat-ingat aku sendiri sudah lupa bila kali terakhir menulis sesuatu di sini. Sekurang-kurangnya menceritakan perihal diri. Bukan mahu berhenti, tetapi setiap kali mula menulis pasti tidak tahu bagaimana mahu mengakhiri. Tidak tahu bagaimana mengakhiri?

Ya. Sejak berpijak di bumi Inggeris ini, seringkali tidak tahu macam mana harus aku sudahi sesuatu yang aku mulakan. Bukan cuma tentang menulis, tetapi persoalannya berputar jauh lebih daripada itu. Tentang kehidupan sendiri, yang makin bertambah hari makin ia terumbang-ambing.

Difikir dan difikir, akal jadi buntu bilamana keputusan mesti dibuat, sedang aku turut merasakan pandangan manusia yang tajam, selalu sahaja mencari kelemahan, kata-kata yang menyakitkan. Mungkin bagi mereka aku ini bukan manusia, tidak punya rasa, bebas dibuat apa saja.

Saat ini, hati sedang membulat, seakan-akan telah nekad dengan keputusan diri. Bukan mahu mementingkan diri, apatah lagi membenci. Benak sudah membayangkan bagaimana nanti bila aku sendiri terasa kehilangan, namun hidup mesti diteruskan. Maka aku kuatkan semangat untuk memilih yang terbaik untuk kehidupan yang sekejap ini.

Semoga ini yang terbaik, bukan untuk aku sahaja tetapi untuk mereka yang sering menguatkan ketika aku kesusahan.

London.

Wednesday 4 August 2010

KIFARAH

Kerana sayangnya Tuhan itu kepada hambaNya, maka dosa-dosa lampau selayaknya diberi kifarah. Bukan untuk menghinakan manusia tetapi untuk menyucikan. Alhamdulillah. Cuma perlu juga memohon dari Tuhan itu agar dikurnia kifarah bersama kekuatan, agar jejak takkan hilang oleh peritnya payah.



Tanah Tumpah.

Tuesday 11 May 2010

Monday 10 May 2010

SAYA SAYANG IBU SAYA

Saya sayang sangat ibu saya. Dulu masa kecil-kecil ibu selalu bawa murid-muridnya ke rumah. Ibu ajar murid-muridnya bernasyid, sebab ibu saya seorang ustazah. Masa tu saya masih ingat nasyidnya lebih kurang begini;

"Sewaktu azan mendayu-dayu
Ibuku pergi meninggalkanku
Perginya takkan kembali lagi
Kerna takdir telah menentukan"

Maka bila saya bersendiri, bila ditinggalkan ibu, bila dalam kesedihan, bila dihantar sekolah di asrama, saya akan teringat lagu ini. Masa tu saya mesti menangis. Entah kenapa saya ini begitu tersentuh atau orang kata sangat sensitif, lebih-lebih lagi bila berbicara soal ibu dan ayah, soal keluarga. Saya tak boleh sembunyikan air mata setiap kali teringat mereka.

Saya kira kenangan saya dengan ibu tidaklah terlalu banyak, mungkin kerana saya lebih rapat dengan ayah. Tambah pula, masa sekolah menengah ibu dan ayah hantar saya duduk di asrama, jadi masa remaja saya banyak dihabiskan dengan kawan-kawan, walaupun balik setiap hujung bulan masih juga mahu lepak dengan kawan-kawan. Ibu tak pernah nak halang kalau saya mahu keluar. Hari ini saya tertanya, "Kenapa ya?"

Saya fikir dan fikir dan fikir lagi. Baru saya sedar yang ibu saya sangat segan dengan saya, oh bukan dengan saya sahaja tetapi dengan anak-anak ibu semuanya. Saya rasa ibu terlalu rendah diri, ibu sedar yang anak-anaknya belajar pandai-pandai, semuanya masuk universiti. Sedangkan ibu hanyalah orang kampung, yang ayahnya kerja kampung, rutinnya hanya di kampung. Kadang-kadang ibu menjadi bahan gurauan ayah, sebab banyak benda-benda yang mudah ibu tidak tahu.

Saya ingat sepanjang hidup saya ada sekali saya pernah dirotan oleh ibu, dengan penyangkut baju plastik. Sebab saya dan abang saya balik rumah lambat, waktu azan Maghrib baru kami sampai di rumah, jadi ibu sangat marah. Masa tu saya masih ingat, abang saya suruh saya masuk rumah dulu tapi saya tak nak dan berkeras jadi abanglah yang kena rotan dulu. Ibu dan ayah sangat menjaga pergaulan kami, kadang-kadang kami malas mahu keluar rumah lepas Asar untuk bermain dengan kawan-kawan. Bimbang terlajak sampai Maghrib.

Ibu saya tak banyak cakap. Kadang-kadang saya nampak yang ibu nak berkata-kata dengan saya tapi tak tahu nak cakap apa. Maka saya yang biasa akan bertanya pada ibu. Dan ibu akan cuba untuk menjawab. Saya pun kalau nak tanya pada ibu saya akan tanya tentang adik-beradik saya, tentang ayah saya, tentang rumah saya, tentang saudara-mara saya. Jarang saya bertanya pasal benda lain, takut ibu lebih berasa rendah diri kalau dia memberikan jawapan "tak tahu" kepada saya.

Ibu saya tak pernah mendesak saya dan adik-beradik yang lain. Semua keputusan hidup kami bebas pilih, cuma kadang-kadang ibu akan memandu arah kami untuk menilai setiap pilihan yang ada. Kan saya dah cakap, ibu saya tak banyak cakap. Ibu ikut sahaja apa keputusan anak-anak, sampaikan kadang-kadang saya rasa saya ini terlalu ego dengan ibu sebab jarang bertanya pendapatnya, padahal dialah yang bertarung nyawa melahirkan saya.

Hari ini saya sangat rindu pada ibu saya, bukan pada bicaranya tapi pada tutur matanya yang melembutkan jiwa. Pada redup pandangan kasih ibu yang menanamkan kerinduan walau di mana saja saya berada.

Ibu, saya mahu ibu tahu. Walaupun saya jarang berbicara dengan ibu, walaupun saya malas menelefon rumah setiap minggu, walaupun saya ini ego dengan ibu, saya tetap sayang ibu. Dari dulu sampai bila-bila. Selama-lamanya.

London.

Sunday 9 May 2010

IBUKU TIDAK PANDAI (repost II)

(ma, aku rindu)

Ibuku tidak pandai
Menghantar mesej ringkas
Setiap yang dikirim
Bisu yang berbalas

Ibuku tidak pandai
Meneka mana Eropah
Cuma di benaknya
Mahu ke Mekah

Ibuku tidak pandai
Menghadap teknologi
Hari ini ia belajar
Esok diajar lagi

Ibuku tidak pandai
Memakai baju mahal
Ke mana jua pergi
Kurung tak ditinggal

Ibuku tidak pandai
Mengerah amarah
Tapi tajam jelingnya
Buat kami bersalah

Ibuku tidak pandai
Berbicara syahdu
Hanya tutur mata
Meluahkan rindu

ps; ini kali ketiga dalam tempoh tiga tahun saya mempersembah tulisan yang sama sempena Hari Ibu, apa pun tafsiran ma di kampung, saya mahu beritahu yang SAYA SAYANG MA!

11 Mei 2008 (8.00 am)
King's College London

London.

Saturday 8 May 2010

IKHWAH KHIANAT

(siri pengkhianatan ikhwah Playford Road)

Hari ini ada sejarah ukhwah yang unik aku kira. Dua kisah, satu persamaan.

Kisah satu. Sekelompok manusia bergegas keluar rumah demi mencari sesuap rezeki 'English Breakfast' di Holloway Road. Meninggalkan beberapa makhluk asing bagi mereka di rumah Playford Road, tanpa segan silu foto-foto keji dihantar ke seluruh jajahan London, Portsmouth, Surrey dan Warwick. Betapa pengkhianatan yang sungguh terhina bagi umat yang ditinggalkan di teratak 102 tanpa secebis roti untuk alas perut sekali pun. Air kelapa khabarnya hidangan paling ringan di kejauhan itu, pagi yang mendung seperti menghantar bilah-bilah halilintar ke dalam jiwa-jiwa makhluk yang tak diundang bersama.

Kisah dua. Sekawan manusia menelusuri Seven Sisters Road, menjeling ke arah Chicken Express, takut-takut ada makhluk yang memasang mata. Ingatkan seorang sahaja yang khianat 'ikhlas', rupa-rupanya ada lagi tiga manusia yang kempunan PFC walaupun sudah menjamu nasi berlaukkan kari kentang dan telur dadar. Nyata tiga watak tambahan tadi sebenarnya gagal menyudahkan hidangan khas daripada Penang yang sungguh menyeksakan. Diam-diam sahabat bertiga itu menyusup solat di Finsbury Park Mosque, rupa-rupanya ada agenda yang lebih besar dalam kotak fikir mereka. Oh perkara ini sepatutnya tidak diberitahu kepada manusia lain, terutama si tukang masak di 128.

Dua kisah ini sangat berlawanan. Yang satu khianat terlampau, lalu meminta ampun, namun dihantar bukti-bukti pengkhianatan pula. Aduhai hati mana yang tidak luluh. Yang lagi satu khianat tersembunyi, tiada terkeluar sedikit pun dari bibir mereka tentang masakan yang menguji kewaspadaan deria rasa tadi. Alhamdulillah.

Oh ukhwah. Pilihlah watak mana anda mahu jadi!

London.

Friday 7 May 2010

SELAMAT HARI LAHIR, ADINDA!

Adinda Mohamad Faezuddin Abdullah,

Selamat Hari Lahir.
Selamat Hari Lahir.
Selamat Hari Lahir.

Bulan ini terlampau istimewa, bukan saja untukmu tapi untuk aku juga. Selamatlah meningkat umur adindaku sayang. Selamatlah berteduhan di bawah redup kasihnya Tuhan. Selamatlah melangkah saat demi saat menuju syurga impian. Selamatlah. Di dunia. Dan di akhirat.

London.

Wednesday 5 May 2010

UNTUK ANAK MUDA (I)

Anak muda
Aku tahu kau sedang semangat
Semua orang kau mahu tangkap
Kau mahu ikat mereka ketat
Kau mahu mereka meningkat
Kau mahu bantu umat

Anak muda
Aku tahu kau mahu ligat
Ke sana sini penuh tekad
Di mana-mana ilmu disumbat
Peduli apa orang nak cakap

Anak muda
Aku ini sudah terlalu senja
Untuk memberi kata nasihat
Atau menegur mana yang silap
Sabarlah, anak muda
Dan sabarlah
Dan sabarlah
Itu pesan nabi untuk kita
Kerana tak semua orang mahu
Seperti kau mahu
Tak semua orang faham
Seperti kau faham
Dan bukan sepanjang waktu
Yang kau faham itu tepat

Kerana aku jua pernah merasai
Semangat seorang anak muda

London.

Tuesday 4 May 2010

KENANGAN YANG MEMBINA UKHWAH

(terima kasih, teman-teman)

Lama betul tak tulis tentang perkara-perkara yang membahagiakan di sini. Tadi ketika mahu dihilangkan rasa mengantuk semasa ralit menghadap soalan-soalan ujian, tertonton pula sebuah video lama, tidaklah lama benar sebetulnya. Tapi ia cukup mengharukan. Tentang ikatan yang pelik tapi benar. Sebuah kisah tentang makhluk-makhluk yang bercinta kerana Tuhan mereka.



Oh melihatkan video ini, terkenang pada lompatan-lompatan bersama Andhar yang cukup mengebilkan mata mak ayah kalau mereka menontonnya. Pada usikan manja Aqmin yang menghadiahkan senyum dan gelak tawa. Pada berdebarnya hati seorang co-pilot yang terpaksa menemani Aizat memandu pada larut malam, terus co-pilot itu menjadi 'Sleeping Beauty' di sisi Aizat. Dan Aizat? 'No comment' dan senyum semata bila 'bekas' co-pilot nya terjaga.

Pada adik-adik lain yang tak tersenarai di sini, Hamidi dengan 'cool' dan 'noks' beliau, Za'ba yang gemar berjalan sendiri dan kadang saya cuba mengusiknya, Shukri akan senyumnya yang dikatakan manis oleh Roslan (eh, aku lagi manis kot, dah sah-sah orang Kelantan kan, ops!).

Pada adik-adik yang bakal bergelar doktor, Fathul yang suka berceloteh, kadang menari-nari bersama beliau dalam lebat salji sebab mahu dihangatkan badan. Fakhri pula dengan bantalnya yang setia beropol-ropol, jua gaya fesyen yang tak mahu kalah!

Pada adik-adik Portsmouth yang menyertai dari kejauhan merantau ke tanah London. Pada Qassim yang suka berbual dalam bahasa Germany dan France (walaupun saya tak mengerti ya), Yazid dengan skaf pink-ungu-putih beliau yang sentiasa meletup bersama penutup telinga putih yang sangat *****. Juga Ayie dengan p*r*t beliau yang sangat disayangi hingga dibawa ke mana-mana sahaja, katanya saya punya pun lebih kurang dia punya (banyak betul fitnah di akhir zaman). Tapi 'still' mahu melompat-lompat si Ayie ni bila bergambar:)

Pada Ikmal yang menyertai kami sedikit lewat, namun muka 'blank' dan 'blur' Ikmal sudah cukup bercerita tentang dirinya. Haha. Oh jua Muzal yang sangat takut dengan saya, entah apalah dosa saya ketika bermain bersamanya sewaktu kecil dulu hingga dia memanggil saya 'Abang'. Oh sungguh apakah.

Oh tidak dilupa kepada ikhwah-ikhwah Playford Road, ABANG Roslan, Adam E, Hazwan, Adam H, Amri, Iman, Epi, Pali dan Shah. Yang menjadikan dunia ini lebih indah daripada segala isinya, yang mengajarkan makna ukhwah itu sendiri, yang telah membina kenangan bersama-sama untuk saya mendepani hari-hari muka. Oh sayunya pula.

(ps; setiap kali video ini ditonton, setiap kali itulah wayang kenangan dipentaskan dalam benak dan hati saya)

King's College London.

Friday 30 April 2010

MUHASABAH

Aku melihat langit di luar yang tidak seperti selalu. Baru dua, tiga hari lepas langit yang sama terlampau kosong dan muram, mujur juga ada matahari yang menemani hari-hari di sini, dan malamnya? Ada purnama yang sendirian tanpa gemerlapan bintang. Terasa benar suasana di kampung, bila lama kemarau singgah dan hujan malu untuk bertandang, angin dingin pun sudah cukup membahagiakan. Apa pula gerimis yang berkunjung pada senja hari. Menghilangkan kepanasan, memberi ruang untuk anak-anak kecil bermain-main dengannya. Sekali-sekala sayup-sayup kedengaran suara ibu-ibu yang memanggil pulang bila Maghrib menyusuli.

Oh ini bukanlah yang mahu aku ceritakan. Apa yang lebih utama, suasana begini sebenarnya cukup sayu untuk jiwa-jiwa manusia. Tidak terlalu panas, tidak pula terlalu dingin. Aku juga manusia, atau lebih tepat untuk digelar hamba. Kesayuan ini menghantar pesanan dari Tuhan mungkin, supaya jiwaku yang terlalu lama merajuk denganNya kembali bermukim di pangkuan kasih abadi itu. Terlalu jauh roh ini mengembara mencari dunia dan cinta-cintanya, hingga terlupa akhirnya sama juga. Kerana asal roh itu dari Tuhan, maka hanya denganNya jiwa akan menjadi tenang dan tenteram selama-lamanya.

Aduhai ini bukanlah yang mahu aku ceritakan. Tapi entah kenapa jiwa ini terlalu sayu bila melihat langit yang dikatupi awan dan burung-burung sedang kembali ke sarang. Aku jadi muhasabah. Selama aku memahami tentang Allah itu, tentang agamaNya, tentang kalamNya, kenapa jiwa ini tetap sahaja berlagak seperti dunia ini tidak akan ada hujungnya?

Oh teringat pula tentang khutbah Jumaat siang tadi. Tentang "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku HANYALAH UNTUK ALLAH." Betapa air mata ini mahu mengalir bila aku tahu yang semua di dunia ini sangat fana, betapa Tuhan itu setia menanti aku kembali kepadaNya, betapa Dia menyediakan syurga untuk hamba-hambaNya yang bertakwa, tapi kenapa syaitan itu sangat jahat. Syaitan itu membisikkan agar aku mencintai dan memuja dunia lebih daripada segala-galanya. Bukan setakat itu, nafsu pun semakin buas menebas tugu-tugu keimanan yang sedang retak. Iman yang dipertaruhkan selama ini hanyasanya untuk mendapat simpati Allah, aku leburkan dengan hambatan-hambatan nafsu yang sampai bila-bila pun tidak akan puas.

Ya Allah, kalau ketika ini Engkau masih sudi mendengar doa seorang hamba yang paling hina ini, tolonglah Ya Allah. Berikan aku sedikit kekuatan untuk melawan cabaran-cabaran yang menggoyahkan hati, ujian-ujian yang menjarakkan aku dari mengingatiMu. Biarlah Ya Allah, kalau nafas ini hanya tinggal sesaat lagi, jangan sesekali engkau membiarkan nasib diriku ditentukan oleh aku sendiri. Aku pertaruhkan detik nadiku untuk membeli keampunanMu, Ya Robbi.

London.

Monday 26 April 2010

TERIMA KASIH!

Terima kasih Tuhan. Kerana sekian lama aku hanyut dalam pautan nafas manusia, Engkau keluarkan aku darinya. Terima kasih Tuhan. Dengannya aku kini tahu yang hanya kepada Engkau tempat dilabuhkan segala rasa. Terima kasih Tuhan. Membangkitkan aku daripada angan panjang yang sering menggusarkan jiwa. Terima kasih Tuhan. Masih mengasihi ketika aku memerlukan sokongan. Terima kasih Tuhan!

London.

Saturday 24 April 2010

EMBUN

Burung-burung pagi yang sedang galak
Bercerita tentang semalamnya yang mesra
Pada titis embun yang belum tua
Di atasnya langit terlalu kosong
Dan laut sudah jemu bergelora

Embun itu terlalu setia
Pada burung dan alamnya yang baru disapa
Seperti ia mahu menjadi sungai
Oh alangkah butanya!

Kalau fajar nanti menjadi kiamat
Untuk embun yang belum bertaubat
Burung, dengarkan wasiat;
Biar esok aku menjadi angin

London.

Sunday 18 April 2010

KISAH JOE DAN AKU

Kadang-kadang lucu juga bila setiap tulisan di sini dikaitkan dengan 'gerak kerja' (sesetengah orang mungkin mengerti), padahal aku sedang berdiari. Maksudnya? Ya, bercerita tentang kisah hidup sendiri. Yang satu hari nanti bila aku sudah menginjak tua, dibelek dan dibaca, digambar dan dikenang, aku tahu dari mana asal aku dan bagaimana usia muda itu dihabiskan. Tak kurang juga yang bosan dengan alasan perkara mudah kenapa mahu dipayahkan, lagi senang orang nak faham dan tak perlu berbelit-belit. Kalau orang nak mudah, aku pun bagilah jawapan mudah,"Sebab ini kisah hidup aku, malulah kalau semuanya jelas belaka." Kalau yang nak susah, tunggulah aku berbahasa lagi.

Menyahut pandangan beberapa orang teman, biar kali ini aku tulis dengan bahasa mudah. Sebuah kisah tentang manusia dan Tuhan mereka. Mungkin ada yang sedang berfikir-fikir,"Ah, lagi-lagi pasal ini," ataupun,"Alah, benda biasa." Tapi pernah ke kita terutama aku yang sedang menulis berkata,"Ini kisah cinta agung, antara Pencipta cinta dan pencari-pencari cinta, kisah yang sampai bila-bila tiada penamatnya. Kisah sampai ke syurga." Oh, mungkin sekali lagi bunyinya sarat dengan falsafah, atau berbelit-belit. Maaf.

Aku sangat gemar melihat telatah manusia, membaca dan membuat penilaian. Sebab itu kadang-kadang ramai orang yang takut bertentang mata atau berkata-kata dengan aku. Entah, aku pun tak pasti apa alasan mereka. Kadang aku rasa ini suatu kelebihan, tapi perlu dimanfaatkan supaya tidak menjadi penghalang antara aku dan manusia. Berbalik kepada kisah tadi, sedang aku asyik meneliti patung-patung manusia (banyaknya watak manusia) di sepanjang Thames River, daripada ingin mencari damai di celah anak-anak ombak yang berkejaran terjadi pula suatu plot yang merenggut kejiwaan. Alahai tak habis lagi bermain dengan emosi nampaknya!

"Joe!" Mula-mula aku dengar jeritan ini, aku sangkakan ia lahir daripada rasa gembira tak terkata seorang ibu bila melihat anaknya di sisi seorang penghibur jalanan. Mungkin bangga sangat. Kerana ditakdirkan pada waktu yang sama penghibur itu sedang mencari-cari seorang budak untuk menjayakan persembahannya. Aku silap, bila manusia kecil yang bernama Joe itu berlari sepenuh hati mendapatkan seorang wanita yang sedang berdiri betul-betul di kiriku, sedang mengambil posisi untuk menikmati persembahan, sambil menjerit,"Mom!". "I am sorry," berkata si wanita kepada budak lelaki itu sebagai menyahut kembali. Si wanita memeluk, mencium dan mendukung Joe.

Ah, sudah malas pula mahu menulis. Beginilah aku, ketika semangat datang macam-macam mahu aku kongsikan. Tadi baru sahaja berhubungan dengan 'orang-orang kampung', terasa ingin aku batalkan niat mahu menulis entri ini tapi aku paksa juga tangan bergerak dan jari menaip. Aku ringkaskan saja, setelah melihat peristiwa ini aku jadi tak keruan. Memuhasabah diri sendiri.

Ketika aku leka bermain-main dengan dunia, dan Tuhan mula perlahan-lahan hilang dari pandangan hati, hidup aku jadi tak menentu. Semua yang dibuat serba tak kena. Lalu, aku akan mencari punca kegelapan jiwa. Dan bila nampak bias cahaya cinta Tuhan, aku akan menghampiri. Kadang aku menyalahkan Tuhan, kenapa Dia membiarkan aku begini, hidup terumbang-ambing tanpa ada sekilas pun rasa bersalah ketika jiwa berada sangat jauh denganNya. Kenapa tidak Dia betul-betul pelihara aku dalam perhatian dan peluk kasihNya. Setiap kali aku kembali kepada Tuhan, Dia akan memujuk, seolah seperti memeluk, mencium dan mendukung aku. Tetapi kini aku akan cuba untuk bertanya,"Salah Tuhankah kalau aku yang sebenarnya menjarakkan diri dariNya?" atau,"Perlukah Tuhan itu meminta maaf seperti si ibu tadi sedangkan aku adalah seperti Joe?"

(Maaf, lupa pula mahu menjelaskan. Joe itu telah hilang dari pimpinan dan pandangan ibunya ketika bersiar-siar di sepanjang Thames River. Uniknya, mereka disatukan kembali pada sebuah persembahan jalanan yang tak tersangka!)

London.

Friday 9 April 2010

DENDAM MAC

(dedikasi untuk Mac yang telah mati)

Lima butir purnama telah bertamu
Padanya kelat malam ditelan tawar
Panas angin mengirim salam panjang
Dari takhta yang membutakan nafsu
Ngilu sendu pun gemalai berlagu
Dalam dakap seruan yang satu

Waktu untuk purnama dan aku menjadi debu, tibalah
Mengerat sejuta hiruk urat gemawan yang berselirat
Menepis lohong-lohong terowong yang bermusuhan
Menjadilah purnama batu-batu yang mematung
Dan aku tersorok di antara ia dan tanah

Biar pun Mac itu mati dihunus atau dicincang
Rasa yang menyambut jasadnya terlebih awal bertemu ajal
Di situ telah lahir anak-anak hati yang kerapuhan
Lelah berlarian mencari-cari purnama milik mereka
Lidah mana pula berani ke medan pertempuran
Atau sekurangnya membela aku dan menuturkan;
Dendam pada Mac itu akan aku wariskan!

London.

Wednesday 7 April 2010

UNTUK MA DAN AYAH

(terlalu menyayangi)

Sayang-sayang anak, tinggal-tinggalkan.

Sudah jauh aku meninggalkan kenangan untuk dirindui oleh ma dan ayah. Setiap yang telah terlukis dalam perjalanan menjadi sesempurna manusia adalah kerana tunjuk ajar mereka, penat lelah yang telah mereka korbankan demi besarnya seorang anak ini. Yang ketika aku berjaya mereka ceria dan ketika aku berduka mereka bermuram durja.

Aku mahu. Setiap kali mata ini terpejam biarlah sewaktu dibelai manja oleh keduanya, dan ketika saatnya aku terjaga mereka tersenyum di sisi. Tapi Tuhan itu Maha Menguji. Mana ada seorang anak yang akan sentiasa ditemani oleh ma dan ayahnya, sedangkan anak itu sendiri yang memilih untuk meninggalkan mereka. Jauh.

Oh pada detik waktu ini aku terlalu merindui. Untuk mendengar sepatah pun bicara dari ma dan ayah, biar pun leteran yang aku terima. Ya Tuhan, di mana pun ma dan ayah yang sangat aku sayang itu berada, peliharalah keduanya dalam peluk kasihMu sampai syurga nanti. Sampaikan salam rindu seorang anak derhaka kepada keduanya.

ps; kerana setia kasihku pada keluarga, dakwat ini tidak akan pernah kering

London.

Saturday 20 March 2010

WARKAH UNTUK SAUDARA

(untuk saudara-saudara yang dirindui setiap kali degup jantung berdetak)

Kanda Najmuddin,
Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun yang ke-24 diucapkan. Seiring pertambahan usiamu, adinda utuskan lagu rindu yang akan menemani kesulitanmu di sana.

Adinda Faezuddin,
Selamat Meneruskan Perjuangan Setelah Berlalu Zaman Sekolah. Bersungguhlah menempuh hari-hari muka, nescaya adinda akan ketemu penamat sengsara.

Adinda Amiruddin,
Selamat Menyambut Ulang Tahun yang ke-16 kanda ucapkan. Menanti tiba saat pertemuan seterusnya, kekanda terlalu tidak sabar mahu bersenda.

London.

Monday 15 March 2010

INILAH AKU

Lama sungguh telah aku tinggalkan dunia yang penuh dengan air mata kepiluan. Sendirian di sudut kehidupan aku menangis hari demi hari, bahkan mungkin dari jam hingga jam yang seterusnya. Sampailah aku penat dan jiwa pun lelah melayan perasaan yang entah apa yang dirasainya. Antara akal dan hati yang enggan bermesra, akulah yang menjadi mangsa.

Ramai yang nampak aku kuat dari luar, sentiasa cuba untuk senyum dan berbicara, bersenda gurau dan berlawak spontan. Berusaha untuk memenuhi keinginan manusia, memberi nasihat dan kata semangat kepada mereka walau hakikatnya mungkin aku yang turut terseksa dengan ujian dunia. Bahkan kadang aku merasainya lebih perit daripada mereka.

Kerana pengalaman telah mengajarku, agar tidak menangis di depan manusia. Tidak semua yang benar memahami. Atau mungkinkah memang tiada? Ah, mungkin bunyinya terlalu syahdu tapi itulah sebenarnya diri aku yang tidak dilihat manusia. Sentiasa termenung sendiri, sedih dengan hari-hari yang aku lalui dan selalu takut dengan masa depan. Inilah aku. Inilah aku.

Aku menulis ini bukan untuk meminta pandangan belas, tapi cukuplah tulisan ini menjadi pemberi peringatan kepadaku akan hakikat jiwa ini yang sebenar. Yang banyak masanya dulu aku habiskan untuk mengadu kepada Tuhan yang mungkin mendengar. Oh, aku pohon Ya Allah kelembutan jiwa dan murahnya air mata yang dulu menjadi penghapus keegoan aku pada saat ini.

London.

Saturday 13 March 2010

REHAT

(tamatlah)

Belenggu syaitan sedang berlarian
Mengejar manusia yang sedang kegilaan
Akan dunia yang kian dibesarkan
Oleh zulmat hati yang kebingungan

Mengapa kita yang kononnya faham
Mengharuskan rehat yang wajarnya haram
Dan manusia itu makin dalam terbenam
Dalam dakap kiamat yang padu menerkam

London.

Friday 12 March 2010

RINDU

Angin petang yang enggan bicara
pada setia lalang
Adalah seberkas kekejaman
yang menyeksakan

Pada senjanya gerimis harus kering
oleh awan yang mahu memutih
Mengapa seruling dari bibir laut itu
mengirim rentak yang menyakitkan

Sudah berlalu bintang semua menjadi timur
dan mendung hadir pada gelapnya malam
Haruskah petanda murka ini sugul menyembah
pada kalbu yang baru merekah

Duhai Pemilik Hitam Langit 
Duhai Pengatur Gerak Purnama
Duhai Pemula Bias Gelombang
Wajahilah aku yang merindu

London.

Thursday 11 March 2010

LENA BERSAMAMU

Mata yang dua ini terlalu letih
Akan nestapa nubari yang terlalu perih
Oh Tuhan yang menjaga mata dan nubari
Hulurkan alas simpatiMu yang harmoni

Aku ingin sekali
Senggukku ketika menatap wajahMu
Baringku dalam peluk rinduMu
Rehatku untuk mencari damai denganMu
Ingin sekali, Tuhan
Ingin sekali

Wahai Pemilik Lena Yang Panjang
Mungkinkah kali ini yang keseribu
Doa yang hina aku panjatkan
Dalam sendu yang kencang memalu
Ketika jiwa hilang dari genggamMu

Lena kali ini
Biarlah dibuai oleh nasuha taubatku
Diselimut mimpi-mimpi indah bersamaMu
Dan aku yang akan terjaga oleh redhaMu
Biarlah ketika tiba di kamar Firdausi

London.

Tuesday 9 March 2010

BILA TIBA SAATNYA MATI

Bila tiba saatnya aku harus mati
Izrail hadir ternanti-nanti
Jasad terketar tidak terperi
Roh terbang memencil diri

Bila tiba saatnya aku harus mati
Segenap gerak akan terhenti
Degup jantung sudah hilang bunyi
Mata dan bibir terkatup rapi

Bila tiba saatnya aku harus mati
Ibu ayah langsung tak dikenali
Rakan taulan entahkan di sisi
Wang, pengaruh menjadi sepi

Bila tiba saatnya aku harus mati
Amal yang ada belum tentu suci
Syurga yang indah belum tentu pasti
Neraka yang dahsyat akankah dijejaki

Bila tiba saatnya aku harus mati
Selamat tinggal dunia berisi
Selamat jalan maruah diri
Selamat berangkat bertemu Yang Abadi

London.

Monday 8 March 2010

BATU LAUT

Laut yang bisu dari resah matahari subuh
Adalah penyimpan rahsia yang tak terceritakan
Di wajahnya redup sahaja gelombang yang kaku
Di jantungnya zulmat mengilai gila

Sebutir batu yang sedang menyepi
Dari galak ombak yang berkejar-kejaran
Atau dari hiruk tari jerung dan karang
Bukanlah di situ singgahnya sang rembulan
Yang malu oleh sinarnya yang suram

Batu itu bapanya laut
Yang bermatian membelai, memelihara
Dari rakus kelopak-kelopak cahaya
Merekah ke dasar mulus memutih

Pada bulan yang sedang mengintai
Batu, khabarkan salam yang telah terbenam
Oleh muram awan yang tak pernah padam
Dan gelombang yang makin hilang

London.

Sunday 7 March 2010

DAKAPAN ANGIN SHEFFIELD

Sungguh perancangan Tuhan itu Maha Sempurna, langsung sifar cacat celaNya. 

Daripada rancangan awal mahu bersama adik-adik tersayang singgah di Rusholme, menikmati Faluda di Moonlight atau Kofta Kebab di Afghan, berubah menjadi penunjuk arah ke Leeds. Kerana ukhwah aku berubah.

Dari Leeds diminta kembara ke Sheffield bertemankan lelap yang kadang mencuit rasa, mencari rumah Tuhan kalau-kalau ada sedikit ruang untuk menumpang doa, menunduk diri padaNya. Kerana ukhwah, aku terarah.

Dari Tuhan jugalah ujian datang menjengah. Sedang bermimpikan tilam empuk dan selimut yang menghangatkan, Tuhan mengirimkan rindu yang dingin. Aku kehilangan arah, lelah dan sabar mengganti lelap yang lenyap. Kerana ukhwah, aku gagah.

Daripada keras lantai stesen keretapi yang sewajarnya menjadi alas tidur kala malam yang sangat menduga, Tuhan hulurkan Travelodge sebagai ganti. Kerana ukhwah, aku berani melangkah.

Oh betapa indahnya kesudahan cerita duga malam ini. Harmoni benar perancangan Tuhanku, hingga yang sulit menjadi lapang, yang sukar menjadi mudah. Kalaulah boleh malam ini angin Sheffield bertiup hangat agar tidak terjaga mimpi-mimpi bahagia begini. Terima kasih, Tuhan.

Sheffield.

Friday 5 March 2010

SENJA AKHIR

Senja yang sedang merangkak kepada kita ini
Adalah mangsa kewaspadaan setiap yang hakiki
Lenguh kakinya menyusur tuju ke perhentian
Nyaris ia mati di atas sabar penantian

Remang yang hidup dalam kelubung ruhi
Terseksa nadinya dihiris bilahan kepalsuan
Antara air mata dan darah yang sedang diperah
Bukankah hati sedang mengeluh lagi?

Oh menderulah kesaktian pada kebuntuan
Sinar yang menjadi kelam, bercahayalah
Doa dan dosa untuk pencinta tanah dan awan
Berundurlah pada senja-senja yang terakhir ini

London.

Thursday 4 March 2010

LANGIT RASA

(bila langit berbicara)

Sekilas bayu yang menyapa
Pada anak-anak Thames yang berlarian
Menyampaikan pesan dari jelata langit
Yang sunyi dari gemuruh guruh

Telah camar itu terasing
Dari harmoni kepul-kepul gemawan
Jauh kalbunya mengembara
Mengintai sedikit keamanan

Bukanlah enggan langit menghujankan rasa
Pabila dirayu seluruh semesta
Memaksa ia bergegak gempita
Melaungkan semboyan jerih
Yang terpendam pada jurang waktu

Tenang-tenang retaknya bercerita
Pada Thames yang sedia menerima
Tentang samudera yang perkasa
Secubit pun gelombang menerpa
Itulah namanya setia

Untuk camar yang menanti penuh debar
Simpanlah rasa bahagia pada kebebasan
Untuk angin yang melembutkan ribut
Jadilah segumpal semangat
Agar tidak langit rasa itu
Merasa sempit mahu bernyawa

London.

Monday 1 March 2010

KISAH BULAN, BINTANG DAN MATAHARI

Matahari adalah raja. Matahari ada cahaya paling sempurna. Matahari, kalau tanpanya bumi jadi gelap gelita.

Bulan cahayanya dari matahari. Bulan lahir bila malam hadir. Bulan tak boleh berbangga kalau pun ia purnama.

Bintang kawan baik bulan. Bintang suka keluar malam, berbicara dengan bulan. Bintang kini jarang kelihatan.

Matahari adalah bintang. Bintang sahaja kenal bintang. Bulan hanya menumpang. Menumpang.

London.

Sunday 21 February 2010

KASIH IBU SAYANG AYAH

Mungkin sudah setahun atau lebih. Telah tidak aku tulis tentang keluarga. Kenapa ya. Makin bertambah hari makin pula rindu itu hilang. Jangan, Ya Tuhan. Engkau membiarkan aku lupa akan asalku dari ibu ayah. Yang setia menemani dari dulu sampai sekarang, sampai bila-bila pun. Sampai syurga aku mahu mereka bersama. Duduk, berbicara, bergurau kejar-mengejar, berlari-lari anak, makan bersama, berpimpin tangan. Semua aku mahu.

Seringkali aku terlintas. Kenapa degil benar anak yang seorang ini. Kenapa hati ini tersangat keras. Dari merasa saljunya kasih dan cinta ibu ayah. Dari merasa diri sebenarnya seorang anak. Bukan ibu. Bukan ayah kepada mereka.

Oh betapa aku merindui saat-saat aku menjadi bongsu. Kalaulah ingatan ini mampu aku tuliskan semula satu demi satu, pastilah akan aku buat semuanya. Sebab dengan kenangan itu kasihnya anak terbina. Dan sekarang anak ini berada jauh dari hangatnya pelukan ibu ayah. Kenangan pun makinlah hilang, sedang yang baru sudah lama tidak terbina.

Kembalikan kasih ini pada tempatnya Ya Allah. Pulangkan rindu ibu ayah kepadaku.

London.

Tuesday 16 February 2010

MERINDUIMU

Telah berlalulah ceritera zulmat
Dalam riak wajah yang tenang
Kau suluh cahaya dariNya

Ya Nabi Allah
Rindu yang sangat ini
Dan air mata yang mengalir ini
Adalah demi kasihnya seorang umat
Pada tutur yang benar
Yang tidak kesampaian

Hati ini rindu
Jiwa ini rindu
Jasad ini rindu
Pada senyummu yang tidak kesempatan
Untuk aku merasainya

Sesaat pun aku hilang
Dalam dunia yang making menghangat
Jangan sekali kau berpaling
Untuk hidup dalam mimpiku
Agar aku tahu aku punya nabi
Agar aku tahu aku disayangi

Ya Rasulullah
Bilakan lagi rinduku berbalas
Dalam keresahan iman

London.

Monday 15 February 2010

SYUKURLAH TUHAN MASIH BERSAMA

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Betapa Tuhan sahaja yang mengetahui dan memahami perit maung derita yang telah dan sedang hati ini lalui. Dan Dia jua yang memberi sedikit ketenangan dalam kepayahan. Aku bersyukur Tuhan kerana Engkau masih bersama dan tidak sekali-kali meninggalkan walau sesaat cuma. Terima kasih, Tuhan!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

London.

Monday 1 February 2010

JALAN MATI

(hati silalah mati agar tak terasa langkah sudah terhenti)

Lama sangat sudah aku bertahan. Dulu mula-mula aku mahu bermula kulihat sinar harapan yang gemilang. Makinlah aku yakin untuk menapak lantas tidak lagi aku berpaling ke belakang. Dan langkah demi langkah kususuri dengan hati-hati.

Sepanjang jalan itu aku masih ingat detik-detik kecewa. Kadang nampak seperti bahagia tapi rupanya tak seindah disangka. Siapalah aku untuk melawan takdir Tuhan, apa lagi mahu meramal itu dan ini. Aku ini hanya hamba.

Dalam langkah perlahan itu ada jua tempat singgahnya, berhenti meredakan penat. Di setiapnya aku berkongsi pengalaman, selepasnya aku pun bersemangat. Ada juga aku tersilap, tapi segera mengatur langkah ke depan.

Sampailah satu saat aku betul-betul berputus asa. Aku nekad waktu itu untuk berhenti, selama-lamanya. Belum pun lama tekad digantung kedengaran pula melodi pujukan, menyeru namaku supaya jangan ada berhenti melekat di hati.

Langkah pun disambung. Dalam semak, kadang lecak. Aku redah semua. Hinggalah aku puas melangkah dan gembira walaupun lambat sampai. Di tengah-tengah aku berhenti aku terpana. Oleh satu langkah seingatku, entah betul entahkan tidak.

Ketika itulah langkahku mati. Akukah yang tersilap menapak atau pengalamankah yang gagal mengingatkan atau jalan itu sudah mati? Entah. Mungkin sahaja Tuhan punya rancangan yang lebih bagus. Entah bilakan lagi jejak ini akan bersambung.

London.

Tuesday 19 January 2010

PELUANG DAN PILIHAN

Sering jiwa ini kecamuk seminggu dua ini oleh bait-bait sebuah lagu yang pernah menemani lenaku untuk tempoh yang cukup panjang sewaktu ketika dulu;

"Walau kita dihadapkan dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi pilihan tak menepati
Hingga amat menakutkan menghadapi masa depan
Seolah sudah terhapus sebuah kehidupan yang kudus"

Ya. Bunyinya semacam berputus asa.

Tidak. Belum lagi tahapnya semangat ini hilang Tuhan, cuma hakikat jiwa hamba tetap sahaja mudah jatuhnya.

Antara peluang dan pilihan, aku tak mampu merebut kedua-duanya. Pilihan itu banyak tapi peluang yang diberi sangat menyempitkan benak.

Kerana manusia, hati ini disuruh memilih antara peluang yang ada. Oh manusia, sekiranya ada yang mahu mengerti.

London.

Thursday 14 January 2010

Banyak kali berkira-kira sehari dua ini. Ya Allah, aku pohon ditetapkan hati dan diikhlaskan niat.

Thursday 7 January 2010

TIBANYA HARI LAHIRMU

SELAMAT HARI LAHIR BONDA
SELAMAT HARI LAHIR KEKANDA FADHILAH
SELAMAT HARI LAHIR ADINDA HISYAMUDDIN

Demi kasihnya seorang manusia, aku untaikan ucap ini untuk kalian. Pepasir yang menjadi tapak permainan waktu kecil menjadi saksi kasihnya manusia ini. Pada rapuh ranting yang pernah aku berpaut dan jatuh, aku merasakan ia tersenyum ketika desir bayu mengirimkan rindu untukku. Dan untuk kalian jua aku kirimkan sekuntum hati yang merekah.

Selamatlah kalian di atas tanah yang sedang dipijaki. Dalam doaku senantiasa hadir wajah-wajah sayu, seolah meminta segeraku pulang.

Biarlah bulan sudah tidak mampu purnama, aku masih mengharapkan munculnya sabit yang membawa kebahagiaan. Bintang-bintang, biar pun tidak setimur dulu tetap jua aku meminta agar menggantung diri pada samudera langit yang setia.

London.