Thursday 30 April 2009

JEMPUTAN PERNIKAHAN

Alhamdulillah, sekian lama aku menantikan saat ini. Saat yang membahagiakan buat aku, lebih-lebih lagi dia yang akan melaluinya. Dan hari ini aku menerima walimatulurus kirimannya. 11 Julai 2009. Satu tarikh yang sungguh istimewa dan bermakna.

Untuk melihat salah seorang lagi teman rapatku melangsungkan perkahwinan setelah lama diusik-usik, itu antara doaku dulu. Berselang hanya beberapa pintu dari kamarku di tengah-tengah ladang kelapa sawit selama dua tahun, dia memang terkenal dengan sikap kelakar, dan yang penting loghat Ganung Kite yang diwarisinya seperti tidak boleh dikikis lagi.

Semoga kau berbahagia, kawan! Untuk kau menjadi lebih kuat, berumahlah di tepian pantai, kau akan tahu pasang surut gelombangnya.

Masih lagi menanti undangan dari lagi salah seorang teman rapatku, bahkan yang ini merupakan teman semeja ketika bersusah payah bergolok gadai berhempas pulas menamatkan program IB yang kritikal pada zaman keremajaan dulu. Yang paling penting, namaku dan namanya hanya berbeza pada 'Ahmad' dan 'Mohd'. Hinggakan ada antara guru-guru yang memanggil kami 'Ahmad' dan 'Mohd'.

Kerana janjiku padanya, ini salah satu sebab kenapa aku harus terbang awal ke tanah air. Katanya dulu 6 Jun 2009, moga benarlah ia.

Selamat Berumahtangga buat kalian.

London.

Tuesday 28 April 2009

ANDAI NABI DI HADAPMU

(pasakkan hatiku antara lembah dan puncak agamaMu, ya Allah)

Andai nabi di hadapmu
Mampukah engkau mengeluh
Tentang perit menjadi dagang
Sedang dia pernah dipulau

Andai nabi di hadapmu
Bolehkah engkau mengadu
Akan sakit hati bila dicela
Sedang dia dikata gila

Andai nabi di hadapmu
Wajarkah engkau curiga
Pada jalan menuju syurga
Sedang dia terus bekerja

Andai nabi di hadapmu
Dapatkah engkau berehat
Melegakan sedikit penat
Sedang dia risaukan umat

Andai nabi di hadapmu
Akankah engkau menurut
Islam yang baru bertapak
Atau jahilmu menjadi bongkak

28 April 2009 (11.50 am)
London.

KITA MEMBUTUHKAN MEREKA

POSTER

London.

Sunday 26 April 2009

SELAGI ADA NAFAS

(selagi kaki tak cecah syurga, selagi itu jiwa diduga)

Pernah jiwamu ditikam
Melumatkan benak yang tertembus
Tersisalah koyak-koyak kelapangan
Dengannya kau jahit kekuatan

Pernah akalmu digantung
Pada pancang yang daifnya waras
Berteman sejengkal kematangan
Kau kait semangat segar

Selagi ada nafasmu
Untuk hidupnya jiwa dan akal
Usah kau hembus ia
Pada keluh sejuta derita

(Terima kasih kanda Fathiah atas kata semangat pada saat-saat kegoyahan. Moga kekuatan itu tetap subur dalam jiwa-jiwa kita. Sekian banyak duga telah ditempuh, duhai kaki usah berhenti menjejak sengsara, duhai hati usah mati menongkah sesak)

26 April 2009 (5.40 pm)
King’s College London

Thursday 23 April 2009

POHON PEDOMANMU, YA ROBBI

Oleh kegawatan jiwa
Yang menggumpali pundak
Benarkah oh Tuhan
Jalan yang kujejak
Menuju syurgaMu?

Semalam telah terzahir
Ketawanya dalam jerih
Sedang diri baru bertatih
Namun tegar hati memilih

Hari ini masih sembunyi
Akan esak dalam juaranya
Sedang aku di pertengahan
Wajarkah berpatah

Merenung jejak yang menghampakan
Hati pun mulalah bergoncangan
Oleh pukulan penipuan yang tertemu
Namun pujuk ingin mahu setia

Sayup jalan tersisip di hadapan
Di balik birai kerahsiaan
Kuintai lagi kecamuk rasa
Yang kian memamah keyakinan

Mohon pedoman Ya Robbi
Untukku memilih antara dua
Sedia derita dalam ketawa manusia
Atau senyumku dalam amarah mereka

Pada ketika ini, hanya Tuhan faham betapa sesak jiwa, sempit dunia. Aku melihat setiap di sekelilingku tanpa rasa, kalau ada pun yang buruk-buruk sahaja. Mengapa pada kegetiran ini rasa ini perlu hadir. Bukan aku tak cuba sedayaku melawannya, malah tidak sekali-kali aku mahu berdamping dengannya, tapi ia tegar di situ. Lantas pada Tuhan aku khabarkan keresahan lagi. Entah kali ke berapa.

Belakangan ini kerap aku termenung, berfikir dan buntu. Akan hala hidup yang sebenar dan ke mana akanku melangkah esok. Masihkah di jalan ini? Kadang terasa benar kesilapan demi kesilapan dalam aku membuat keputusan hidup. Ya. Keputusan hidup, suatu yang semestinya bukan main-main. Dan air mata tak mampu kubendung bila menyesali keputusan itu. Keputusan yang menjadikan aku di sini saat ini.

Dua tiga tahun ini tempoh yang cukup mencemaskan dan merimaskan. Aku seperti dipaksa untuk berjalan sendirian, walaupun di sampingku ada keluarga dan kawan. Mahu meneruskan langkah, serasa tidak mampu. Kerana telah kutempuh sekian banyak peristiwa kelam, yang melemahkan jiwa. Mahu sahaja berhenti, tapi aku juga punya rasa. Wajar peduli akan kata cela manusia keliling kelak.

Hidup pun terumbang-ambing oleh jahilnya aku dalam memilih. Namun aku percaya, nanti penat akan singgah jua. Saat itu aku benar-benar tak mampu lagi melangkah. Dan diri pun goyah. Di mana akan kurebah?


London.

Monday 20 April 2009

DI ATAS JALAN INI

(saat rasa cemburu akan nikmat dunia manusia lain dan takut akan kehilangan hak sendiri, cukuplah Allah bagi kita)

Di atas jalan ini
Yang kau temu adalah kawan jadi lawan
Bisanya kata cela mereka
Itulah penawar luka umat

Di atas jalan ini
Yang kau cabar adalah moleknya jahili
Indahnya pada mata manusia
Itulah pedang memancung iman

Di atas jalan ini
Yang kau rasa adalah takut dan lemah
Cemburu melihat yang lain berpesta
Itulah racun merosak taubat

Di atas jalan ini
Bukan gebu permaidani yang dibentang
Untukmu berjalan tanpa keperitan
Kerna syurga Tuhan itu bukan murah
Yang perlu kau tempuh sebenarnya
Adalah tikaman dari segenap arah

Untuk para pendokong dakwah, jalan ini panjang dan payah. Yang penting, kita teguh berpegang pada janji Allah, diberi syurga.


London.

Saturday 11 April 2009

TATAP AKU, TUHAN

Rengek rindu
Kini bertalu esak
Ralit aku menunggu
Untuk menatap wajah
Yang lama berpaling
Dari batu hatiku

Bertasbihlah alam
Memuji memuja namaMu
Pemilik segala kerajaan
Pelaku semua kejadian
Minta dicukupkan
Rezeki berlimpahan

Gelora laut jadi tenang
Purnama malam jadi suram
Saat Engkau hadir padanya
Tanpa ada kelalaian
Gemersik kata cinta
Antara Kau dan mereka

Dan aku melihat cuma
Harmoni kasih semesta Pencipta
Hasad pun tiada terasa
Oleh beku air mata
Pada lekaku yang lama

Aduhai hati
Menjadilah lembut
Seperti sepoi menjadi ribut
Agar tangis pun tercipta
Pada malam berkabung noda

Tuhan
Aku tidak seperti alam
Setia berkasih rindu padaMu
Kerna hati ini tiada terpaling
Selagi Engkau masih begitu
Enggan melihat hinaku

Tiada dayaku
Merubah inginMu
Hati yang mati
Teruslah begitu
Hanya satu rayuku
Tataplah aku, Tuhan

11 April 2009 (6.45 pm)
King's College London

Wednesday 8 April 2009

TIKA BERDOSA DAN TAHAJUD TELAH TERAKHIR

Air mata pun gugurlah lagi. Dalam sunyi malam yang hangat. Di atas sejadah aku ceritakan rindu. Untuk Tuhan.

Aduhai jiwaku yang malang, betapa kasihannya. Mencari dan memungut dosa. Pada dunia yang pantas berlari. Dan akulah yang kepenatan mengejar.

Kali ini. Yang kukhabarkan pada Tuhan. Adalah dosa lagi. Yang baru diperbuat. Sungguh sudah tiada daya untuk dilawan kiranya aku masih diduga begini.

Oh Tuhan Pemilik Jiwa. Tiadalah lagi tempat mahu kularakan hati, kecuali Engkau. Andainya mati itu masih jauh dariku, maka selamatkan aku dari bicara nafsu. Namun acap kali Tuhan, aku merasakan hidup ini tidak lain kecuali untuk menghimpun dosa sendiri. Kalau benar begitu, percepatkan ajalku.

Supaya tidak aku leka mengutip murkaMu. Untuk dipersembah pada Hari Penyesalan.



London.

Friday 3 April 2009

HILANG

Bila dirasa tiada
Itu petanda perit
Tapi dalam tiada
Ada pula hilang
Itu petanda apa?

Kehilangan dalam ketiadaan
Kadang payah ditadah
Melimpah keluh dan esak
Sedang percaya belum di puncak

Meranalah sepi
Yang baru menikam ngilu
Merontalah hati
Yang upaya memadam sendu

Oh hilang tika tiada
Cepatlah berangkat kedua
Tinggallah jumpa
Supaya tiada gerun
Akan nyawa yang dimenung

Alhamdulillah. Hari ini tiba jua. Hari untuk diuji lagi. Sedang iman belum bersedia. Tenangkan hati, lapangkan jiwa, oh Tuhan.

3 april 2009 (6.10 pm)
King's College London.