Sunday, 24 February 2019

SETELAH LEBIH SETAHUN (DAN LAPAN)

Makin bertambah tahun, makin jarang blog ini dikemas kini. Nak kata terlampau sibuk, tak juga. 

Sehari dua ini saya teringatkan sahabat-sahabat yang pernah mewarnai hidup sewaktu melalui peritnya belajar di UK dulu. Dulu, kami gunakan term 'ikhwah', ya lah kan masing-masing tengah berkobar-kobar dengan amal dakwah. Saya lawati blog-blog mereka yang pernah menjadi singgahan harian saya. Kadang post mereka terlalu panjang, saya pun tak habis (malas) baca, terutama yang bercerita tentang teori-teori dakwah haha, tapi masih gatal tangan saya nak juga tinggalkan komen. Maka jadilah ruang komen itu medan kami bersembang.

Tapi hari ini, tidak lagi seperti dulu, ada yang telah menutup terus blognya, ada yang tidak dikemas kini bertahun-tahun lamanya, ada pula yang telah meninggalkan kami semua untuk bertemu Sang Kholiq. Pejam celik, hampir 6 tahun lamanya Allahyarham Iman Shafiq telah berangkat pergi. Terlalu banyak kenangan tercipta bersama Iman, kerana dialah anak usrah saya yang pertama, dan yang paling bersemangat dalam tugas dakwahnya. Lama juga seingat saya, saya mengambil masa untuk menerima hakikat takdir yang satu ini.

Gurau senda usik mengusik menjadi perencah persahabatan kami semua. Waktu itu, rumah kami 102 & 128 di Playford Road memang meriah habis. Bayangkan 2 rumah ini dihuni oleh lebih 20 orang, maka tak hairanlah kalau ada jiran yang kurang selesa dengan kewujudan kami di situ hehe. Rapatnya kami ketika itu sampaikan ada yang mencadangkan untuk tinggal dalam satu kawasan perumahan walaupun sudah berumah tangga nanti. Namun, waktu silih berganti, siang dan malam pun bergiliran, inikan pula manusia. Saya kira tempoh yang telah lama berlalu ini mematangkan kami semua, apatah lagi dengan jalan hidup sekarang yang berbeza-beza. 

Sesekali teringatkan mereka, sebak juga rasa di dada. Kadangkala hadir rasa ingin berjumpa, tapi mungkin kerana tempohnya sudah terlalu lama, saya pendamkan sahaja. Saya percaya, suatu hari nanti Tuhan akan pertemukan kami kembali tidak kira dalam keadaan apa sekali pun, dan siapa pun kami pada waktu itu nanti. Buat sahabat semua, di mana pun berada, kalian selalu ada dalam doa-doa saya. Sungguh pun usia menjarakkan, dan pengalaman menyedarkan kita. 


Bahagia semuanya ya!

RP (1000) 
25 Februari 2019

6 comments:

Unknown said...

Nak masuk 6 tahun dah dia pergi tinggalkan kita

Cerminan said...

Rindu juga masa-masa yang 'sudah' berlalu tu. :) hehe

Teringin juga untuk ketemu.. Tapi rasa lidah terkelu tiap kali cuba untuk menyapa.. Mesej2 di wasap ditulis, kemudian dipadam, tanpa terhantar akhirnya

pemburu syurga said...

Unknown, masih teringat kali terakhir mendengar suara beliau ketika saya dalam perjalanan ke Singapura sekitar Januari 2013 untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat di sana. Iman meminta sedikit nasihat sebelum ingin membentangkan tajuk Wahai Pemuda kepada adik-adiknya. Selang beberapa minggu, mendapat khabar kemangkatannya. Al-Fatihah ;(

Cerminan, lama juga saya menunggu kunjungan saudara ke sini, apa lagi kiriman Whatsapp. Pulanglah, kembalikan kehangatan ukhuwah yang pernah menyelimuti kita. Kembalikan senyuman buat melepas rindu yang lama tersimpan. Akhirnya, saudara follow juga saya di IG ya hehe ;)

dreamer said...
This comment has been removed by the author.
dreamer said...
This comment has been removed by the author.
dreamer said...
This comment has been removed by a blog administrator.