Saturday, 16 May 2009

SELAMAT HARI GURU

(untuk mereka yang berjiwa cikgu)

Cikgu. Bukan kerjanya sekadar mengajar. Apa lagi mencari cuti berlebihan. Jauh sekali menunggu bonus setiap bulan.

Berayahkan cikgu, beribukan cikgu. Sudah cukup memahamkan aku apa tugas cikgu. Kadang murid bergaduh, dicari ayah. Kadang tak cukup duit untuk yuran, dicari ibu. Kerana yang seorang Pengetua, yang seorang Penolong Kanan. Seperti di sana ada keluarga kedua, ketiga, keempat dan seterusnya untuk ayah dan ibu jaga. Sampai tak tak terhitung jumlahnya.

Kalau kerja pejabat mulanya jam sembilan, tapi ayah dan ibu selepas subuh sudah bersiap-siap. Kata mereka, cikgu mesti datang awal. Barulah tiada murid yang terlewat. Kalau pun ayah lambat, dia akan cuba mengelak memasuki sekolah melalui pintu utama. Bimbang kalau ada murid yang nampak. Tapi muridnya, berpagi-pagi ke sekolah dengan rokok dan selipar jepun.

Kalau kerja mengajar tamatnya jam dua, cikgu-cikgu lain berlumba mahu pulang awal. Kadang ada yang lebih awal dari murid. Belum dikira yang turut ponteng. Mengalahkan murid. Tapi bila bercakap soal cuti dan gaji, merekalah yang berapi-api. Tapi ayah tak boleh pulang awal. Katanya seorang Pengetua harus selesai tugasnya dahulu, baru boleh menjadi ketua. Waktu itu aku tak faham.

Malam-malam, usai solat berjemaah bersama anak-anak. Masih ada ibu ayah murid datang bertandang. Meminta itu, melapor ini. Malam-malam juga, murid lebih liar. Ke sana sini macam binatang, tak tahu batas lelaki perempuan. Dilihat orang-orang masjid, mudah mereka menyalahkan si Pengetua. Padahal anak sendiri pun lebih kurang. Mahu tak mahu, semuanya kena layan. Kalau tidak, mulalah masalah baru.

Kami turut terasa dan berkongsi beban ayah dan ibu. Kerana ada sahaja kerja yang memerlukan kami untuk turut serta. Cikgu bukan robot, ada jua kelemahan mereka. Ibu contohnya, selalu sahaja pulang membawa kerja-kerja yang perlu ditaip dan dicetak. Ibu tak pandai semua itu. Maka anak-anaklah yang perlu menyokong dan membantu. Kalau anak-anak semuanya tiada, aku pun tak mengerti bagaimana ibu berusaha.

Ya. Menjadi cikgu bukan mudah. Bukan tugasnya mula jam tujuh tamat jam dua. Kemudian boleh bersuka ria, terus lupa ia sebenarnya cikgu. Aku kagum dengan cikgu yang layak bergelar cikgu. Bukan cikgu yang menjadi tugu. Menyerahkan bulat-bulat hal murid sendiri kepada ayah dan ibu. Sedang ayah dan ibu pun ada anak yang sembilan. Dan sembilan ini pun murid juga. Macam-macam kerenah mahu disapa.

Terima kasih ayah. Terima kasih ibu. Kerana menjadi cikgu yang pertama dan terutama dalam hidup kami. Mengenalkan kami Quran dan ABC, menjadikan kami seperti sekarang. Jasa dan bakti kalian mudahan diganjari syurga kelak. Juga ingatan kepada kekandaku yang tiga, perjuangan kalian adalah untuk kehidupan orang. Moga kalian boleh menjadi seperti ayah dan ibu, melentur tanah menjadi manusia. Selamat Hari Guru!

16 Mei 2009 (11.00 am)
London.

10 comments:

Balqis said...

Salam, saya meminjam link untuk sajak kamu bertajuk Maafkan Kami, Cikgu! Boleh, ya!

Terima kasaih! (^_^)

Tidak mungkin lupa kepada guru pertama saya!

pemburu syurga said...

Silakan, balqis! Nyiru saya tadahkan.

n Z r A said...

mohd waqiyuddin abdullah, salam dari cork

beta dengar berita khabar angin tentang seswatu. boleh cepat mengaku dulu?

yg benar,
rakan sekelas

Anonymous said...

haah waqi, cepat ngaku!! Wat tak tau plak..huhu..

pemburu syurga said...

Nadzirah mohamed suffian,
Petaka apa meriuhkan hati beta ini? Masakan sabit enggan menunggu purnama dahulu? Kalau pun benar laksana kiamat, tiada pula gunung bersembunyi di balik pinang.

Anonymous,
Kalau kail panjang sejengkal usah lautan hendak diduga.

n Z r A said...

beta dengar yang sama nama kedua-dua bakal melangkah ke alam baru. angin kencang bertiup ke Cork bawa berita yang tergempar ni. diri bagai tidak percaya tapi angin yang tak habis2 menampar beta. apa benar khabaran itu?

selamat hari lahir yang keduapuluhtua. semoga Allah memberkatimu :)

pemburu syurga said...

Kalau benar bagai dikata, hujan pun umpama kemarau, langit jadinya bumi, suria bertandang kala malam. Kalau benar bagai dikata, tuan hamba tamu pertama.

As said...

anak didikan sentiasa diingatan guru ku kira
bertanya khabar nan sepi dari berita
hanya kita yang leka dibuai kesibukan dunia
melupakan mereka yang banyak berjasa

pemburu syurga said...

benar sekali, as! oh teringat zaman anak-anak dulu.

As said...

haha
muhasabah diri sebenarnya
sebab salu tiba2 cekgu2 kol atau at least sms, lecturers pun sama. Call just to say hi..
boleh tengok di siniinsaf2..
:D