(entri ini dimulakan dengan sebuah lagu zaman aku masih anak-anak dulu)
Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam
Datangnya siang
Oleh itu waktu senang
Jangan lupa daratan
Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa
Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali
Ujian adalah tarbiah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari Tuhan
Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa
Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali
Ujian adalah tarbiah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan adalah nikmat dari Tuhan
Tunggu Teduh Dulu, sebuah novel tulisan Faisal Tehrani. Novel ini aku kira sudah cukup lama menggeledah pasaran di Malaysia. Namun hari ini baru punya kesempatan untuk menyudahinya. Alhamdulillah, ada juga secubit nilai yang boleh diambil di balik ketebalannya.
Salsabila Fahim. Seorang wanita yang dilambung ombak uji, dipanah petir peri. Digambarkan seorang muslimah yang betul-betul muslimah dalam lemahnya sebagai wanita, Salsabila cekal menguruskan ladang betik di atas sekeping tanah pusaka. Bunyinya seperti novel kebanyakan bukan? Tunggu dulu, pada akhir-akhir novel ini ada sebutir mutiara.
"Tak boleh ada rasa keterikatan atau memiliki." Suatu falsafah yang padat dengan terjemah. Ya. Untuk menjadi kuat dan tidak hanyut dalam badai cubaan dengan air mata, rasa keterikatan dan memiliki itu harus dibuang jauh-jauh. Segala yang ada, rasa benci, marah, keluarga, kawan, kekasih, telefon mahal, kecemerlangan akademik. Itu semua bukan milik mutlak kita. Bukan. Semuanya datang dari Allah, melalui perancangan rapi dan akan kembali kepada Allah juga. Bezanya, cepat atau lambat. Bila rasa memiliki itu tiada, pasti hanya pada Allah disandarkan segala cubaan, dan dariNya jugalah kita percaya adanya kekuatan untuk melawan.
Membaca novel ini, teringat beberapa novel lain yang pernah menjadi teman tidur di Banting dulu.
Ranjau Sepanjang Jalan. Sebuah karya Shahnon Ahmad. Mengisahkan perjuangan sepasang suami isteri, Lahuma dan Leha membesarkan anak perempuan mereka yang tujuh, hanya dengan 14 relung tanah sawah. Sudah namanya orang kampung, anak-anak perempuan semuanya dikerah turun ke bendang, antaranya Jenab dan Kiah. Menggempur burung tiak, ketam yang tak sudah-sudah, banjir dan kemarau, ular tedung dan bermacam lagi cabaran, kesemua watak wajib menjadi kuat.
Di sinilah Lahuma dan Leha percaya yang takdir semuanya ketentuan Allah, tak boleh masuk campur dalam rencanaNya. Yang boleh dilakukan hanyalah usaha, usaha dan usaha. Hidup mati, rezeki semuanya ketentuan Allah. Inilah mutiaranya. Rasa tawakkal yang padu pada Tuhan setelah berusaha bersusah gelisah, pasti tiada kerisauan akan hasil yang dicapai. Walaupun rebah, hati tetap teguh dan kuat.
Langit Petang. Novel hasil tangan A. Samad Said, salah satu daripada tiga karya Pak Samad yang paling berjaya selain Salina dan Lantai T. Pinkie. Ceritanya tentang tiga sekawan yang berlainan latar. Pak Arif yang baru pencen, Hafiz pemuda penuh rahsia dan Zakiah, pelacur yang mahu bertaubat. Pun, aku tertarik dengan watak Hafiz. Yang mati mengejut, kemudiannya barulah teman rapatnya, Zakiah mengetahui hal sebenar.
Dari Hafiz, aku belajar yang dugaan tidak boleh dirintih atau disedih sebaliknya sesuatu mesti dilakukan supaya ketemu jalan keluar yang tidak tersangka-sangka. Juga, tidak semua manusia keliling, serapat mana pun, boleh dikongsikan jerih perih hidup bersama kita. Di penghujung novel ini, Hafiz diberitakan menghidap kanser yang akhirnya menjadi asbab untuknya mati awal. Namun sikapnya yang berahsia berjaya menyorokkan keperitan yang ditanggung daripada pengetahuan Pak Airf dan Zakiah. Bila kekuatan itu ada dan percaya yang semuanya akan kembali kepada Tuhan, tiadalah perlu dibesar-besarkan ujian yang kecil. Di sinilah mutiaranya.
Menariknya, ketiga-tiga novel ini ditulis oleh penulis yang berbeza. Namun falsafahnya sama, semuanya punya kaitan dengan Tuhan. Kerana hanya dari situlah segala macam dugaan berkunjung dan di situlah juga tempat untuk kita bernaung. Meminta pertolongan, menagih kekuatan. Kuat. Suatu kata yang mudah disebut, tapi sukar sekali menjadi kuat. Semoga tarbiyah yang dilalui oleh kita semua merapatkan jurang antara kita dengan Tuhan, sekaligus menghilangkan kegusaran akan hidup yang berbolak-balik dan terbinalah kekuatan untuk meredah bermacam kemungkinan. Menang atau kalah. Kita mesti kuat.
Membaca novel, bukan sekadar mahu belajar menulis atau kerana taksub dengan seseorang penulis. Matlamatnya wajar lebih sangat jauh dari itu. Seagung mana pun penulis, tapi kalau tidak mampu menyumbang kepada ketamadunan peribadi dan perilaku masyarakat, bersedialah untuk bersoal jawab dengan Tuhan nanti. Peringatan untuk diri sendiri.
London.
2 comments:
bagus penerangan abg waqi ni..
sangat bgus mesej yg ingin dsampaikn..=)
mantap lah review..
kalau sume book review camni..pergh..best =)
i love ur last para
kita ni pun sama2 penulis, moganya ada manfaat pada tulisan kita, supaya kelak bila disoal Tuhan, kita ada jawapannya..
Post a Comment