(ma, aku rindu)
Ibuku tidak pandai
Menghantar mesej ringkas
Setiap yang dikirim
Bisu yang berbalas
Ibuku tidak pandai
Meneka mana Eropah
Cuma di benaknya
Mahu ke Mekah
Ibuku tidak pandai
Menghadap teknologi
Hari ini ia belajar
Esok diajar lagi
Ibuku tidak pandai
Memakai baju mahal
Ke mana jua pergi
Kurung tak ditinggal
Ibuku tidak pandai
Mengerah amarah
Tapi tajam jelingnya
Buat kami bersalah
Ibuku tidak pandai
Berbicara syahdu
Hanya tutur mata
Meluahkan rindu
11 Mei 2008 (8.00 am)
King's College London
2 comments:
ibu ibu kita,
tidak pernah mahu rasa kaya kemodenan,
tapi mereka sentiasa kaya jiwa,
lebih kaya dari segalanya..
kasihnya ibu seperti lorong menghala ke syurga.
Post a Comment