Thursday, 22 January 2009

MAAFKANLAH, AKU JUGA MANUSIA

Setahun dua hidup ini banyak sungguh dugaan yang wajib dirasa. Dugaan yang benar-benar membuatkan jiwa tersepit, antara mahu meminta tolong atau diri yang menderita. Acap kali rasa terseksa, tapi aku kuatkan juga hati untuk menelan semua. Sudah sangat tebal rasa malu yang ditanggung, kerana seperti mengemis pula. Tapi aku tiada pilihan, selain menyusahkan.

Seharusnya anak inilah yang meringankan beban ayah bonda, tapi sebaliknya yang berlaku. Maafkanlah ayah kalau cubaan ini terpaksa dirasai juga olehmu. Maafkanlah ma kalau beban ini menyesak lenamu sehari-hari. Maafkanlah kakak-kakak, abang dan adik-adik kerana aku sudah tidak layak menjadi teladan kepada kalian. Kerana aku juga manusia. Upayaku amat terbatas, tidak boleh menjadi sempurna.

Kepada kawan-kawan. Yang tidak jemu memberi sokongan. Maafkanlah kerana terlalu banyak menyusahkan kalian. Sangat banyak pengorbanan yang telah kalian lakukan. Amat mustahil untukku balas semuanya. Kadang-kadang aku pun malu mahu berbicara tentang masalah-masalah ini, bimbang kalau-kalau mengganggu hidup kalian. Takut juga kalian rasa terbeban. Tapi aku juga manusia. Yang tak mampu menanggungnya sendiri.

Juga kepada Tuhan, Pengurnia Dugaan. Maafkanlah aku kalau banyak kesilapan yang telah aku lakukan. Bukan aku tak ingin berubah. Setiap kali mahu, setiap kali itulah aku diuji. Oh, kadang-kadang terasa berat juga beban yang dipikul ini wahai Penyelesai Masalah. Bantulah aku menghadapi semua ini dengan tenang, seperti mana yang pernah aku lalui. Jangan sesekali langkahku terhenti, Tuhan.

Aku juga manusia. Mahu seperti orang lain mahu. Ingin punya waktu-waktu bahagia. Tapi aku hanya hamba. Tak boleh memaksa Pencipta.

Bumi London.

Wednesday, 21 January 2009

SULIT

(lapangkan sedikit kesulitan yang panjang, Tuhan)

Rimbun nan redup kasihMu
Kau tempat ku berpayung
Di manakah lagi dapat ku rebahkan
Rasa gundah ini

Nun Kau teguh di sana
Pengasih dan Penyayang
Pun ku masih terleka
Meneguk ihsanMu
Walau ku sedari

Oh nyamannya
Bila di pelukan rinduMu
Mengimbaulah sentosa

Bentangkan ku permaidani
Dari baldu berwarna putih
Moga tak ku terasakan
Cubaan yang ku galas ini
KepadaMu titianku
Hijrahkanlah diri ini

-Aris Ariwatan-

Ya Tuhan, lapangkanlah kesukaran, mudahkanlah kesulitan.


22 Januari 2009 (2.00 pm)
Playford Road, London.

Tuesday, 20 January 2009

KEHIDUPAN

Sebuah kehidupan yang sewajarnya panjang
Kenapa perlu menjadi singkat oleh kekufuran dajal?
Kerana setiap dari kita, aku dan engkau
Inginkan kehidupan yang diselimuti kebebasan
Barulah bersama kita mengeja kedamaian

Adakah kebebasan
Kalau hidup dalam sangkar peperangan?
Adakah kehidupan
Kalau mati ditatap tanpa perasaan?

Wahai setiap dari kita, aku dan engkau
Kedamaian tidak akan terbang turun dari langit
Selagi tanah menjadi sempadan kemanusiaan
Dan darah masih memasung seribu kehidupan

Lantas bila kita menyebut Gaza
Haruskah kebebasan itu menjadi diam
Atau kemanusiaan menyanyi sumbang
Atau kedamaian telah lama berpusara
Oleh aku dan engkau yang tiada rasa?

Saat kewafatan demi kewafatan berkumandang
Hati demi hati tidak ikut melaungkan
Tinggallah penyesalan demi penyesalan
Ia tak akan berkesudahan

Oh sungguh, ini bukan kehidupan!

Puisi ini ditulis agar setiap dari kita merobohkan dinding-dinding geografi yang telah menceraikan kemanusiaan satu demi satu. Kematian hanya dirasai oleh orang yang kehilangan, bukan oleh umat manusia yang berkurang. Punya hati, rasalah!


19 Januari 2009 (1.00 pm)
King's College London.

Monday, 19 January 2009

BERTANYA, DITANYA

(tanyakan pada imanku)

Ah! Move on!
Aku bertanya pada diri
Gilakah budak ini
Oh Tuhan, cacat otaknya
Mungkinkah sebenarnya esok
Aku yang ditanya
Otakmu sihat
Tapi untuk apa?

Erk! Erk!
Aku bertanya pada diri
Tololkah budak ini
Oh Tuhan, buta matanya
Mungkinkah sebenarnya esok
Aku yang ditanya
Matamu celik
Tapi untuk apa?

Puisi ini ditulis setelah melihat kekuatan beberapa orang kurang upaya, yang jerih hidup mereka ditunjangi oleh semangat yang jitu. Ya Tuhan, kelak nanti aku lebih banyak ditanya tentang apa yang dibuat oleh nikmatMu yang serba-serbi. Ingatkan aku agar lebih tahu bersyukur.

19 Januari 2009 (8.00 pm)
Playford Road, London.

TUTUR HATI KEKANDA

Tulisan ini adalah hasil tangan kekanda sulung keluarga PS, Fathiah (Kak Yah). Banyak benar pengorbanan yang telah dilakukannya untuk adik-adik yang lapan orang lagi. Bukan mudah menjadi anak sulung, lagi pula lahir dalam keluarga yang agak besar. Semoga setiap pengorbanan yang dihadiahkan kepada kami mengiringi kebahagiaan demi kebahagiaan dalam hidupmu, Kak Yah. Sungguh setiap dari kami pasti merindui saat-saat sekeluarga makan bersama walau tak seberapa.

salam untuk waqi

salam untuk adik yang satu
aku tahu sukarnya hidupmu
aku sedar sesaknya fikiranmu
aku kagum akan kekuatanmu
aku kaget fikirkan ketakupayaanku
aku tak berdaya membantu dari segi itu
aku juga merangkak sepertimu
aku pohon kefahamanmu
aku pinta teruskan ketabahanmu
aku doakan yang terbaik buatmu
aku faham benar susahnya kamu
aku arif benar senangnya kamu
aku harapkan yang bahagia sahaja untukmu
aku rindu kamu

-moga dalam lindunganNya selalu-
http://www.fathifaith.blogspot.com

19 Januari 2009 (3.40 pm)
Playford Road, London.