Saturday, 22 June 2019

MEMOIR LONDON (3)

Antara kenangan yang paling kuat dan selalu bermain-main dalam renungan saya adalah ketika pertama kali berpuasa dan beraya di London. Masih ingat seawal tiba di London, ibu bekalkan pelbagai makanan tradisi seperti serunding, barangkali bimbang anaknya ini kelaparan di negeri orang. Serunding inilah yang menjadi juadah sahur (dan kadang berbuka) saya, buka puasa pula tidak menentu. Iya lah, duduk di asrama universiti nun jauh di puncak Denmark Hill, kedai halal pula tak banyak pilihan.

Paling saya ingat berdekatan asrama ada satu kedai fast food halal dan satu lagi kedai Vietnam yang hidangkan nasi goreng udang. Kedua-duanya selalu saja menjadi tempat singgahan saya samada sebelum bertolak ke universiti atau sebelum tiba kembali ke asrama, ada juga Nandos tapi saya kurang pasti halal atau tidak. Di dewan makan asrama saya memang tidak pernah jejakkan kaki, maklumlah tiada siapa yang saya kenal lagi pula waktu itu tidak tahu di sana ada atau tidak sediakan makanan halal untuk Muslim. Alahai naifnya saya.

Di asrama hanya seorang kawan rakyat Malaysia berbangsa Cina yang saya kenal, itu pun kerana kami berada di bawah tajaan yang sama. Awalnya selalu juga ke sana ke mari berdua, lama-kelamaan mungkin cara hidup yang agak berbeza maka lingkungan kawan-kawan juga berbeza, lalu kami buat hal masing-masing. Selain pengalaman masak udang dengan kunyit, hanya beberapa kali seingat saya singgah di bilik dobi asrama, biasanya hujung minggu sebab tak ramai orang. Saya pun ingat-ingat lupa selainnya macam mana saya basuh pakaian dulu.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu terutama waktu malam fire drill akan membangunkan kami. Saya? Memang tak pernah keluar dari bilik selama mana atau sekuat mana pun bunyinya, walhal ia betul-betul berada di kepala katil. Biasanya saya akan padamkan semua lampu, kunci pintu dan baring sahaja dalam selimut. Nak keluar bilik pun mungkin tak tahu ke mana nak dituju.

Berbalik hal puasa di London, awalnya agak memeritkan juga sebab tak biasa dan tak tahu nak makan apa. Rasanya tak pernah saya betul-betul bersedia di hadapan makanan menunggu azan Maghrib untuk berbuka, selalunya samada saya di dalam bas atau sedang berjalan kaki. Juadahnya pula hanya air mineral, atau kalau terlebih rajin saya akan singgah di kedai-kedai runcit untuk membeli sedikit roti buat alas perut.

Yang penting sahur saya tak pernah tinggal, memang dari kecil diajar begitu jadi agak sukar untuk puasa tanpa sahur. Saya akan masak nasi dan terus pecahkan telur dalam periuk yang sama tambah pula sos cili atau kicap, cukuplah tahan perut untuk sehari. Kalau kebetulan saya ke Sainsbury hari-hari sebelumnya adalah sikit makanan tambahan seperti tart telur, roti, coklat dan sebagainya. Hilanglah rupa sahur Melayu yang telah sebati dengan jiwa dan lidah saya.

RP (0700)
23 Jun 2019

Sunday, 24 February 2019

SETELAH LEBIH SETAHUN (DAN LAPAN)

Makin bertambah tahun, makin jarang blog ini dikemas kini. Nak kata terlampau sibuk, tak juga. 

Sehari dua ini saya teringatkan sahabat-sahabat yang pernah mewarnai hidup sewaktu melalui peritnya belajar di UK dulu. Dulu, kami gunakan term 'ikhwah', ya lah kan masing-masing tengah berkobar-kobar dengan amal dakwah. Saya lawati blog-blog mereka yang pernah menjadi singgahan harian saya. Kadang post mereka terlalu panjang, saya pun tak habis (malas) baca, terutama yang bercerita tentang teori-teori dakwah haha, tapi masih gatal tangan saya nak juga tinggalkan komen. Maka jadilah ruang komen itu medan kami bersembang.

Tapi hari ini, tidak lagi seperti dulu, ada yang telah menutup terus blognya, ada yang tidak dikemas kini bertahun-tahun lamanya, ada pula yang telah meninggalkan kami semua untuk bertemu Sang Kholiq. Pejam celik, hampir 6 tahun lamanya Allahyarham Iman Shafiq telah berangkat pergi. Terlalu banyak kenangan tercipta bersama Iman, kerana dialah anak usrah saya yang pertama, dan yang paling bersemangat dalam tugas dakwahnya. Lama juga seingat saya, saya mengambil masa untuk menerima hakikat takdir yang satu ini.

Gurau senda usik mengusik menjadi perencah persahabatan kami semua. Waktu itu, rumah kami 102 & 128 di Playford Road memang meriah habis. Bayangkan 2 rumah ini dihuni oleh lebih 20 orang, maka tak hairanlah kalau ada jiran yang kurang selesa dengan kewujudan kami di situ hehe. Rapatnya kami ketika itu sampaikan ada yang mencadangkan untuk tinggal dalam satu kawasan perumahan walaupun sudah berumah tangga nanti. Namun, waktu silih berganti, siang dan malam pun bergiliran, inikan pula manusia. Saya kira tempoh yang telah lama berlalu ini mematangkan kami semua, apatah lagi dengan jalan hidup sekarang yang berbeza-beza. 

Sesekali teringatkan mereka, sebak juga rasa di dada. Kadangkala hadir rasa ingin berjumpa, tapi mungkin kerana tempohnya sudah terlalu lama, saya pendamkan sahaja. Saya percaya, suatu hari nanti Tuhan akan pertemukan kami kembali tidak kira dalam keadaan apa sekali pun, dan siapa pun kami pada waktu itu nanti. Buat sahabat semua, di mana pun berada, kalian selalu ada dalam doa-doa saya. Sungguh pun usia menjarakkan, dan pengalaman menyedarkan kita. 


Bahagia semuanya ya!

RP (1000) 
25 Februari 2019