Monday 5 January 2009

TUMPAHNYA AIR MATA OLEH HUJAN DAN SALJI YANG TAK SERUPA

(berjarumkan gerimis, aku jahit luka)

Tadi pendek sahaja bicaraku padamu
Lama benar tiada suara dari tanah lahir
Sejak keberangkatan ayah bonda ke Tanah Suci
Kerana risau akan banjir yang mengujimu lagi
Antara rasa dan tanggungjawab yang kau pegang
Aku sedar kau sebenarnya tersepit di tengah

Di sini sejuk yang sangat, tadi baru bersalji
Katamu di sana tiada salji, yang ada hanya air hujan
Maka berjatuhanlah air mata dalam putih salji
Balasku di sini saljinya tiadalah lebat
gugur menjadi air, seperti air hujan juga

Maafkan aku kalau berdosa
Menjadikan salji sebagai air mata buatmu
Sungguh kalau mampu aku hulurkan hati
Untuk kau tafsir makna hujan dan salji padaku
Adalah sebenarnya sama

Puisi ini ditulis setelah PS menghubungi kekanda di kampung, khuatirkan keadaan yang meruncingkan rasa bagi anak-anak terawal keluarga Abdullah. PS ada memberitahu akan kota London yang baru sahaja bersalji nipis, dan balas kekanda di kampung tiada salji. Yang ada hanya air hujan, kemudian banjir. Besar rasa bersalah yang terbeban di pundak kerana bukan niat PS mahu menunjuk, jauh sekali melukakan hati mereka. Di akhir salji di sini, menjadi air juga ia sama sahaja seperti hujan di kampung.


5 Januari 2008 (2.50 pm)
Playford Road, London.

2 comments:

N I K said...

Di rumah sana banjir air..
Di rumah sini tak banjir, tapi kering sesuatu..

pemburu syurga said...

kering yang mendambakan hujan kut;)