Tuesday 4 March 2008

MATI

(bila ajal bertamu, aku wajib bersua)

Aku renung sedalam mungkin
Aku teliti wajahnya yang sayu
Aku telusuri rasa ia tika itu

Dari situ
Perlahan air mata gugur
Bersama hiba yang terbeban
Semua dilepaskan hingga kosong jiwa

Dia pergi
Mengingatkan aku tentang suatu kehidupan
Yang akan aku ikut jejaknya nanti
Hanya membilang detik yang sekejap
Mungkin hari ini
Mungkin esok

Lama telah aku lenyapkan semua itu
Kerna dulu ia cukup kuat untuk aku paut
Kerna dulu aku punya teman yang mengingatkan
Kerna dulu aku tahu Tuhan yang dekat
Kini semua tiada

Terus aku gelisah
Mencari arah hidup yang baru
Tanpa panduan Tuhan

Mengenal ia
Cukup menjadi penyegar ingatanku
Akan hidup ini yang tiada siapa tahu hujungnya
Hari ini ia telah sampai ke situ
Nanti aku pula bertamu di alam yang baru itu

Alam hidup itu untuk semua
Tapi hanya sikit yang sedar akan wujudnya ia
Kerna hati kian terhijab dek pesona dunia
Dan hatiku jua begitu
Hitam kelam

Tuhanku
Tiap nafasku adalah untukMu
Tiap gerakku adalah untukMu
Hidupku adalah keranaMu
Matiku adalah keranaMu
Ingatkan aku tentangnya, Tuhan

12.20 am (5 Mac 2008)
King's College London

1 comment:

Anonymous said...

Salam

Alhamdulillah, terkesan dengan ayat ini;

'bila ajal bertamu, aku wajib bersua'

Teruskan menulis sahabatku.

Rindu kerana lama tidak bersua muka.
Rindu kerana lama tidak berbual bersama.

Wassalam,
Uniten,
MALAYSIA