Thursday 7 May 2009

UNTUK DIA YANG BERGELAR ADIK

(balada jiwa seorang kekanda)

Adikku,
Pada saat-saat getir ini aku membelek lembaran-lembaran kenangan antara kita. Yang cukup tebal berhabuk. Terzahir gelaran-gelaran yang pernah diberi untukmu olehku. Juga untukku olehmu. Kadang aku senyum, kadang aku sayu.

Adikku,
Lama benar kurasa tiada bicara denganmu, dari hati ke hati. Mungkin sejak aku melangkah ke alam remaja, egoku pun bertambah seiring pertambahan kejayaanku. Dan aku sedar saat itu engkau mula menjauh. Atau aku yang sebenarnya begitu.

Adikku,
Dewasamu bukan ditatap oleh dua mata ini. Apa lagi bertanya apa masalah hidupmu.Engkau pun menyendiri, kutahu rasa rendah diri itu ada padamu. Kerana melihat aku dan yang lain agak berjaya, sedang engkau masih di situ.

Adikku,
Kini kita sama dewasa. Dan aku yang lebih tua, mula terasa beban-beban hidup yang akan kutempuh. Detik ini ingin sekali aku kongsi perit maung sepanjang keberadaanku di daerah ini. Tapi engkau tiada di depanku. Kalau pun ada, pasti aku sembunyikan kesakitan.

Adikku,
Biarlah ceritaku disimpan dulu. Ingin sekali aku lihat engkau bicara akan hidupmu kini. Agar boleh aku tongkatkan semangatmu yang lumpuh. Agar boleh aku lihat engkau lebih berjaya berbanding diriku sendiri.

Adikku,
Kelmarin genaplah usiamu menjejak angka tujuh belas. Engkau pun makinlah tahu untuk hidup. Moga engkau lebih kuat dari diriku. Moga kenangan-kenangan kita terus bersemadi untuk hidup di alam syurga.

Selamat Hari Lahir, Adinda Faezuddin!

8 Mei 2009 (5.00 am)
London.

3 comments:

As said...

yang akhir sentiasa rasa jauh

yang penting untuk dia tahu, dia mampu

p/s: mcm perlu dinyatakan..?

:)

May Allah bless ya', ameen

faith said...

kanda tahu semua
usah dipanjang sengketa lama
senda gurau zaman kanak2

p/s:bahagialah kalian semua

pemburu syurga said...

As, terima kasih ya=)

Kanda Fathiah,
doa2kan moga kenangan itu dihangatkan kembali=)