Wednesday 30 September 2009

SELAMAT HARI KELAHIRAN

Selamat Hari Lahir buat kekanda tersayang, Fathiah aka Kak Yah pada 27 September lalu. Semoga peningkatan umur mencambahkan kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup Kak Yah. Adinda doakan kekanda dimurahkan rezeki yang berkat oleh Tuhan Pemberi Rezeki.

Tuesday 15 September 2009

HARUSKAH AKU BERDOSA

Ya Tuhan, telah aku tinggalkan kesepian dan kerinduan menemaniMu. Aku jadi lupa Tuhan. Betapa sesungguhnya Engkau sentiasa merindui tangisan hambaMu. Hanya bila benar-benar jiwa tersepit baharulah aku merapatiMu. Hanya bila selambak dosa sedang membusuk baharulah Engkau aku dambakan.

Namun Tuhan, aku juga tahu malu. Malu kerana hanya datang kepadaMu untuk menangis, tidak pernah datang untuk berterima kasih. Haruskah diri ini berdosa hanya untuk disesali, semata-mata mahu kembali menyemai benih rindu padaMu? Oh betapa jiwa seorang hamba tetaplah hamba. Maafkan hamba, ayuhai Kekasih!

Saturday 12 September 2009

MENCARI DUNIA DI CELAH BULAN SERIBU

Seribu bulan
Sedang tersungkur
Menghadap wajahmu
Dan wajahku

Pernahkah kau memanggil ia
Atau ingin menuduhku
Yang mempersila
Bersesak gerombolan
Menyesakkan nafasmu
Menyesatkan mataku

Kau pelik
Melihatku masih ralit
Dan aku hairan
Melihatmu tetap asyik
Seperti bulan yang seribu itu
Tidak ada di depanmu
Tidak wujud di hatiku

Siapa harus dipersalahkan
Bila seribu bulan datang
Tapi kita masih mencari dunia
Di celahannya?

13 September 2009 (12.00 am)
Rantau Panjang

Tuesday 1 September 2009

SEORANG LELAKI YANG MENJADI PEREMPUAN

Alhamdulillah. Setelah lama ditunggu dan didoa oleh ayah, ma dan adik-beradik lain akhirnya lahirlah baka sulung legasi FAnDIN. Baka yang ketika dalam kandungan ini sepertinya seorang lelaki mengejutkan datuk dan neneknya apabila nyata kelahirannya bakal meneruskan tradisi tipikal perempuan yang menghayun buaian. Namun, jangan disangka dia tidak mampu menggegar dunia! Nor Atyliana Qairina lahir pada 5 Julai, maka nombor kad MyKidnya pun mudah diingat 090705-03-****. Dua bulan lena kami terganggu kerana dia masih belum menjadi manusia yang sempurna sifatnya, bangun di tengah malam dan tidur di siang hari. Kini dia sudah bergelar orang Kuala Lumpur, sukar dibayangkan bagaimana nanti komunikasi antara dia dan neneknya. Dan kami pun menjadi tua dengan sendirinya, gara-gara lahirnya Atyliana;)

Selamat Datang, Atyliana!
Tahniah Kak Nah dan Abang Padil!

Perbatasan Malaysia