Tuesday 27 May 2008

KEDUT TUA

(hidup tak lama)

Kisah hidup
Terlukis
Pada kedut tua

Garis hitam
Tersimpan
Tangis tawa

Kedut tua
Makin banyak ia
Makin banyak cerita
Makin banyak rahsia

Hodoh ia
Sekarang
Dari tegang
Tiada cerita
Dahulu

Dahulu

27 Mei 2008 (7.45 pm)
King's College London

Sunday 25 May 2008

BUMI KRISTAL

(apresiasi buat warga Olomouc)

Sejenak di bumi Olomouc
Cukup mengkhabarkan
Keindahan taman syurga
Bumi itu adalah bonda
Kristal yang mempesona

Seperti kristal-kristal
Bucu hati mereka padu
Berkilau cahaya kejujuran
Tanpa calar kejahatan
Terpantul kemanusiaan

25 Mei 2008 (11.45 am)
King's College London

Thursday 22 May 2008

DI KOTA OLOMOUC

(terima kasih teman-teman lama di Olomouc, Czech Republic)

Terlalu lama
Dalam diam
Hilang

Hijau lumut
Pada batu-batu
Adalah kenangan
Subur dalam segan

Di kota Olomouc ini
Kutemu sisa-sisa
Sebuah perjuangan
Berteman setia

Seperti batu-batu
Senda gurau
Keras padu
Tak terusik

Renyai hujan yang malu
Menjadi mata-mata
Saksi
Persahabatan kami

23 Mei 2008 (6.34 am)
Olomouc City

Tuesday 20 May 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU, KEKANDA!

(dedikasi buat kekanda Fatonah yang bakal ditakhtakan pada 29 Mei 2008)

Kekanda
Lama sungguh tiada sua
Jarang pula mendakap berita
Rindu pun mendera

Hari ini
Ayahanda mengirim khabar
Kekanda yang muda
Bakal bertakhta

Di hari istimewa
Putih bersih persalinanmu
Harum wangi langkahmu
Senyum lama di wajahmu
Tempias syukur bonda
Aku turut terasa

Kekandaku
Lenyap sudah derita
Berganti sedulang bahagia
Hadiah dariku cuma doa
Semoga kekal bersama

Selamat pengantin baru, kekanda!

20 Mei 2008 (7.40 pm)
King's College London

PAHLAWAN BISU

(penyair itu mujahid)

Penyair adalah pahlawan bisu
Tiada suara
Tapi lantang

Diam pahlawan itu ilmu
Mata adalah saksi
Hati menjadi bukti
Sedang pena berperang

Jihad untuk agama
Bicara kalimah Tuhan
Mengukir pahala
Membenam jahanam

Tajam pena penyair
Kilaunya kelak berbayang
Bermadah pada Tuhan
Syurga pun terang

20 Mei 2008 (7.00 pm)
King's College London

Monday 19 May 2008

INDAH SENJA

(nikmat Tuhan)

Merah jingga langit manja melambai rindu
Memanggil pulang camar belum dewasa
Mengah berpaut pada tangga gunung
Gebu awan terpalit kicau tawa senda gurau
Memayung silau pasir menghampar bumi
Halus putihnya hilang bersama hangat petang
Desir gemalai pepohon terlentuk bahagia
Berhembus bayu senja melantun ombak kerdil
Pantai tersenyum ria gelora sudah tiada
Dalam dakapan suria yang beransur pulang

19 Mei 2008 (7.50 pm)
King's College London

Sunday 18 May 2008

KHAZANAH SYURGA

(isteri itu khazanah)

Langit sudah terkuak luas
Malaikat gegak berasak
Melepaskan sayap-sayap
Bercahaya suatu nikmat
Kurnia dari Tuhan

Hati yang memasungkan iman
Tenang disuluh kilau cinta
Zahirnya dari gerbang syurga
Yang padu dengan janji-janji
Tak mungkin sekali berdusta

Khazanah syurga
Adalah halus pekerti isteri
Memekatkan sayang dan rindu
Pada si suami berdarah jihad
Dalam guruh bertaufan semangat
Mendera ribut yang membunuh

Itulah kurnia dari Tuhan
Itulah khazanah syurga

19 Mei 2008 (6.30 am)
King's College London

BILA?

(diilhamkan idris, aku itu adalah semua yang masih solo)

Dari jauh
Lebar senyumnya
Ada makna
Makin dekat
Makin galak

Aku hanya tahu
Bersalam
Mulut berat
Untuk dituturkan;
Tahniah!

Bimbang
Kalau tutur itu
Berbalas halus;
Engkau
Bila lagi?

18 Mei 2008 (11.20 pm)
King's College London

Saturday 17 May 2008

KERANA HARI LAHIR

(setahun cuma sekali?)

Kerana namanya Hari Lahir
Ramai mahu berkenalan
Seperti tidak pernah bersua
Padahal dulu makan semeja

18 Mei 2008 (1.15 am)
King's College London

KALAU ESOK TIADA

(esok yang belum pasti)

Kalau esok tiada
Malam ini tak lena
Segenap benakku
Hanya ada mati

Kalau esok tiada
Malam ini tiada suka
Seluruh suaraku
Merintih redha

Kalau esok tiada
Ini malam terakhir
Di atas sejadah
Bertemu Tuhan

18 Mei 2008 (12.30 am)
King's College London

SEUTAS SEMANGAT

(jangan ia putus)

Seutas semangat
Kuat mengikat
Pada sedu sedan
Yang pekat

17 Mei 2008 (6.55 pm)
King's College London

KASIH KAIN PELIKAT

(rindu pada ayah)

Sehelai kain pelikat
Di pinggang kecil ayah
Hadiah istimewa
Dari seorang isteri

Ke sekolah petang
Kain itulah yang mengalas cekal
Ke surau
Kain itulah yang melembarkan pahala

Banyak bau kain pelikat itu
Menjadi hiduan kami
Dan puntung kaki laju terangkat
Bila bau itu mendekat

Lebih banyak kasih yang melekat
Di celah petak-petak
Yang kami tak nampak
Betapa ia hanya dilihat
Dengan hati yang merasa

Sehelai kain pelikat
Yang dibangga ayah
Sudah berbau rindu

17 Mei 2008 (6.50 pm)
King's College London

Friday 16 May 2008

MAAFKAN KAMI, CIKGU

(Selamat Hari Guru, Cikgu)

Maafkan kami cikgu
Kalau engkau jemu
Menatap wajah sama
Bertanya soalan serupa

Maafkan kami cikgu
Kalau lidahmu kelu
Menegur salah silap
Bimbang dibalas biadap

Maafkan kami cikgu
Kalau engkau malu
Akan pekerti kami
Yang meresahkan hati

Maafkan kami cikgu
Kalau hatimu rindu
Menunggu berita baru
Dari setiap muridmu

Maafkan kami cikgu
Kalau engkau bersendu
Kerana kami bisu
Walau di Hari Guru

16 Mei 2008 (7.30 am)
King's College London

GURU PERTAMA

(yang pertama itu ialah ibu ayah)

Guru pertama
Adalah yang mengajar berjalan betul
Supaya langkah tak tersadung

Dia memimpin
Untuk kita mula berjalan
Setiap langkah yang menapak
Tangannya kemas mendakap

Kadang ada jatuh
Bila mahu berlari anak
Dan dia yang menguatkan
Dipaksa diri merangkak

Itulah guru pertama
Yang mengajar berjalan betul
Sehingga hari ini
Kita mampu berlari

16 Mei 2008 (9.30 am)
King's College London

Thursday 15 May 2008

DEMI SEBUAH KEBEBASAN

(kenapa lelaki terkejar lelaki?)

Dunia dekat kiamatkah
Kalau hari ini
Lelaki sudah tak kenal wanita

Demi sebuah kebebasan
Mereka menagih laknatMu
Pelik
Bila bahagia di pintu neraka

Oh Tuhan
Selamatkan kami
Dari kepincangan maha dahsyat ini

15 Mei 2008 (11.20 pm)
King's College London

Wednesday 14 May 2008

TIDUR ANAK PALESTIN

(sempena memperingati 60 tahun Peristiwa Nakbah)

Tidur anak-anak Palestin
Lantai batu beratapkan awan hitam
Kadang selimut angin yang kencang
Menerbangkan lena berwajah segan
Meninggalkan serpih tulang si ayah
Dalam pelukan rindu yang tak sudah

Tidur mereka didodoi asap berapi
Makin mendayu makin hilang mimpi
Sekali sekala peluru hinggap menggigit
Sering dikuis tangan-tangan yang kecil
Untuk sekeping tilam yang menjadi abu
Mana mungkin berkelambu gebu

Saat terjaga haus pula menjengah
Mujur di sisi ada kencing adik semalam
Sedang perut sudah seminggu tak terisi
Syukur, itulah rezeki siang dan malam
Lapar mereka telah lama hilang
Dalam kenyang dunia yang curang

15 Mei 2008 (12.20 am)
King's College London

AKU INGIN

(tak tercapai tanganku)

Aku ingin
Menjadi pewaris nabi
Tapi kalau nabi melihatku
Bertambah sedihnya

Aku ingin
Menjadi pendamba syurga
Tapi kalau dinilai amalku
Terkatup pintunya

Aku ingin
Menjadi pejuang agama
Tapi kalau begini usahaku
Luluh harapannya

Aku ingin
Menjadi pemuja Tuhan
Tapi kalau bukan Dia di hati
Terbuanglah aku

14 Mei 2008 (7.50 pm)
King's College London

Tuesday 13 May 2008

AIR MATA TUHAN

Sudah dunia terkejar-kejar
Dan tak dapat apa yang dimahu
Kita kembali ke sejadah
Menangis sebanyaknya
Tapi tak pernah bertanya
Saat kita tinggalkan Tuhan
Adakah Tuhan turut menangis?

Maksiat susah mahu dijauhi
Sedang Tuhan memerhati
Kita tersedar bila puas
Mengeluh dosa yang tak sudah
Tapi tak pernah bertanya
Saat kita lupakan Tuhan
Adakah Tuhan turut menangis?

13 Mei 2008 (5.15 pm)
King's College London

Monday 12 May 2008

SUARA BUMI

(bumikah yang bersalah?)

Hoi manusia!
Ke sini kau
Aku mahu memberitahu

Kalau batu-batu besar menghempap
Kejutkan akalmu yang lelap

Kalau ribut yang kelam kabut
Tanyakan imanmu yang tercabut

Kalau gempa yang bertimpa-timpa
Selak kitab amalmu yang nestapa

Kalau banjir hadir tanpa silu
Tegur maksiatmu yang tiada malu

Kalau gunung termuntah api
Temukan butir redha yang menyepi

Jangan sekali kau salahkan aku
Kalau dosa itu adalah milikmu

12 Mei 2008 (7.20 pm)
King's College London

PEMBUNUH REDHA

(dengan apologi kepada mangsa rogol dan bunuh)

Satu jasad tanpa nyawa
Di celah-celah semak dosa
Ulat laknat terlompat-lompat
Bersama bau baru diperkosa

Kita masih sibuk menjejak
Pembunuh Nuryn, penculik Sharlinie
Redha yang mayatnya mereput
Sengaja pula dipandang sepi

Laporan siasatan siapa mahu peduli?
Kalau mahkamah hati pun terkunci
Langsung bisu si pendakwa raya
Tiada pula peguam bela

Pembunuh redha masih bebas
Sebab tiada yang mahu mengaku
Sedang kita yang menjadi sekutu
Siapa berani menyerah dahulu?

(bagi mengelak kekeliruan, ejaan sebenar ialah 'reda')

12 Mei 2008 (5.40 pm)
King's College London

Saturday 10 May 2008

IBUKU TIDAK PANDAI

(ma, aku rindu)

Ibuku tidak pandai
Menghantar mesej ringkas
Setiap yang dikirim
Bisu yang berbalas

Ibuku tidak pandai
Meneka mana Eropah
Cuma di benaknya
Mahu ke Mekah

Ibuku tidak pandai
Menghadap teknologi
Hari ini ia belajar
Esok diajar lagi

Ibuku tidak pandai
Memakai baju mahal
Ke mana jua pergi
Kurung tak ditinggal

Ibuku tidak pandai
Mengerah amarah
Tapi tajam jelingnya
Buat kami bersalah

Ibuku tidak pandai
Berbicara syahdu
Hanya tutur mata
Meluahkan rindu

11 Mei 2008 (8.00 am)
King's College London

CINTA YANG TERASING

(apresiasi buat bonda Naimah sempena Hari Ibu 11 Mei 2008)

Cinta yang terasing
Adalah cinta yang terpulau sendiri
Ibarat ada dalam tiada
Ia diam di situ
Sepi

Dan hari ini
Kita kembali tercari
Sebuah cinta yang berdebu alpa
Hidupnya segan matinya enggan
Sebab suramnya dalam cahaya

Cinta yang sering kita pinggirkan
Kini memaut rindu yang dalam
Rindu yang menghanyutkan kita
Kembali ke pangkuan sepi

Temukan cinta itu
Kita bersihkan debunya
Kita suburkan kembali
Sebuah cinta yang terasing
Untuk dibawa ke negeri abadi

Pada Ahad yang menjadi saksi
Kita pasakkan cinta itu
Di daerah hati yang subur
Kita baja dengan rindu
Melenyapkan sepinya yang lama

10 Mei 2008 (7.00 pm)
King's College London

Friday 9 May 2008

PUTIH

(lahir dengan putih, matilah dengan putih)

Putih lampin di tubuh kecil
Belajar bernyawa sendiri
Payah
Sekali-sekala ada tangisan
Menyambut senyum saudara

Putih jiwa yang lahir bersama
Yang putih akan tetap begitu
Payah
Dikotakan janji dengan Tuhan
Sebab putih itu terlalu kosong

Putih kafan di tubuh layu
Nyawa pun sudah tiada
Payah
Jiwa yang mati bersama
Kembali putih seputihnya

10 Mei 2008 (6.30 am)
King's College London

TERLALU MENCINTAI

(sampaikan salam cintaMu padaku, Tuhan)

Kerana terlalu mencintai

Tuhan tak tahu benci

Kerana terlalu mencintai

Tuhan tak reti marah

Kerana terlalu mencintai

9 Mei 2008 (7.50 pm)
King's College London

Thursday 8 May 2008

TANGIS SEORANG HAMBA

(ya Tuhan, aku tangiskan rasa gundah ini padaMu)

Malam gelap tiada seurat cahaya
Purnama murung di balik awan hitam
Menatap sayu titis-titis air mata
Seorang hamba yang bersendu duka

Di ruang yang paling daif
Hamba itu menangis dalam ketakutan
Bimbang hangat murka tuannya
Hadir ditiup dingin bayu malam

Kerana ia seorang hamba
Jerihnya langsung tak boleh dibicara
Penat lelah enggan duduk nestapa
Lantas mana ia mahu kenal amarah?

Di depan tuannya
Ia seorang hamba yang gagah
Sebab seorang hamba diupah
Bukan untuk disembah

Dalam tawa seorang hamba
Ada ngilu subur melata
Dalam senyumnya
Ada bahagia yang berdusta

Derita yang dirasa
Tak terdaya lagi disimpan lama
Dan awan hitam menjadi saksi
Panjang tangisnya di malam itu

Disangka pilunya sendiri
Sebab malam itu purnama bisu
Sedang tuannya dekat di situ
Setia menadah titis-titis air mata
Dari seorang yang bergelar hamba

8 Mei 2008 (8.40 pm)
King's College London

Tuesday 6 May 2008

NOKHTAH

(ayat kehidupan ada nokhtahnya)

Ayat-ayat kehidupan
Kata orang indah nian
Banyak tanda koma
Sugul terkesima
Banyak tanda soal
Gelisah benak dangkal
Hilang tanda seru
Tersentak keliru
Nokhtah sudah terang
Berhentilah sekarang.

6 Mei 2008 (7.20 pm)
King's College London

Monday 5 May 2008

PILIHAN RAYA

(siapa pilihan kita?)

Sebuah pilihan raya
Di parlimen dunia
Setiap rakyat punya kuasa
Mengundi kerajaan syurga atau neraka

Kerajaan syurga
Calonnya seorang
Suaranya pula jarang
Yang banyak manifesto usang
Rakyat sengaja terlepas pandang
Mujur ada yang berfikir matang
Setia mati dalam berjuang

Kerajaan neraka
Calonnya banyak tak terkira
Suaranya lantang di mana-mana
Sampai ke ceruk hati yang lara
Kempennya lama membuta gila
Semua cara habis diguna
Halal haram belakang kira

Pilihan raya dunia
Tiada yang dipaksa mengundi
Tiada yang tidak mengundi
Tiada yang merosakkan undi
Sebab semua dapat tempias

Sayang
Majoriti berjuta
Undi kerajaan neraka
Calonnya kini berkuasa
Mentadbir segenap bucu dunia
Sehingga semua merasa
Hangat api neraka

5 Mei 2008 (11.00 am)
King's College London

Sunday 4 May 2008

NAFAS HAMBA

(tiada yang mengerti kecuali Tuhan yang memberi)

Detik nafas mahu berkelana
Ditemani pekat darah yang setia
Butir-butir gerimis pilu mengikut jua

Aduhai Tuhan
Payahnya bernafas dalam jiwa hamba
Semua mahu bergerak bersama

Menjelajahi liku-liku
Mencair titis-titis darah pekat
Sedikit mahu mengeras merah
Tapi banyak sudah lemah
Menjernih menjadi gerimis pilu

Gerimis ikut gelisah
Jernihnya masih sukar diterka
Sedang nafas kian basah dalam sendu
Sendirian ia meratap kehilangan
Kerana gerimis tidak memahami
Perit berjalan tanpa setitis darah

Bertahanlah wahai nafas hamba
Walau gerimis yang menemani jalanmu
Tapi kau beruntung ia masih setia
Untuk dibawa ke mana-mana
Nanti warnanya jua merah
Seperti pekatnya darah

4 April 2008 (2.40 pm)
King's College London

Saturday 3 May 2008

KENTUT

(kentutlah kuat-kuat)

Sakit perut
Anak syaitan

Angin syurga
Gegak galak

Kumpul lagi
Dan lagi

Derau kencang
Kentut dosa

Hapus bara
Neraka gila

3 April 2008 (1.oo am)
King's College London

Friday 2 May 2008

TAK SEMPAT

(selamat tinggal nikmat)

Senja tadi
Azab menyinggah
Memujuk tinggal bersamanya

Malam ini
Aku mengemas
Tak sempat sudah
Mengucap selamat tinggal
Kepada nikmat

3 Mei 2008 (2.30 am)
King's College London

PENAT II

(ya Allah, dulu banyak rehat kini tahu penat)

Pada siapa mahu aku tangiskan kepenatan ini?
Tolong, Tuhan!
Diam

Pada siapa mahu aku tangiskan kepenatan dahsyat ini?
Tolong, Tuhan!
Senyap

Pada siapa mahu aku tangiskan kepenatan celaka ini?
Tolong, Tuhan!
Bisu

Tuhan, aku mahu menangis akan secubit kepenatan ini
Pada siapa?
Tuhan

3 Mei 2008 (2.10 am)
King's College London

HILANG

(kembalikan)

Hilang rehat
Penat
Amat

Berkat
Malam pekat
Taat

Kuat
Sesat
Ikat ketat

3 Mei 2008 (2.00 am)
King's College London

UBAT TAUBAT

(jangan ia tercicir)

Hati yang sakit melarat
Bila kuman dosa menyendat
Memekat hitam darah laknat
Di mana terbuang ubat taubat?

2 Mei 2008 (8.40 am)
King's College London

Thursday 1 May 2008

PASAR MAUT

(ramai pengunjungnya)

Berpagi ke pasar maut
Ramai benar pelanggannya
Memekik melolong
Menempah bangkai maut

Ada yang beratur panjang
Sampai ke lorong-lorong rahim
Ada yang mengasak gelojoh
Menolak pelanggan-pelanggan tua

Penjualnya tenang bersahaja
Tersengih melihat gelagat mereka
Sebab dia sendiri yang tahu
Pelanggan mana yang lebih perlu
Dan siapa yang berkunjung tapi tak mahu

Bangkai-bangkai maut
Semua pelanggan dapat membeli
Tiada yang pulang berkecil hati
Cuma tinggal cebisnya yang tersisa
Direbut mereka yang tadinya malu

2 Mei 2008 (12.50 am)
King's College London

SEPUCUK SURAT DARI SYURGA

(lama tiada khabar darinya)

Sepucuk surat berhabuk
Terjumpa dalam runtuhan dosa
Dikirim seorang teman lama
Lama tiada sua
Lama tiada bicara

Ada tompok air mata yang masih basah
Bertanya khabar teman-teman lama
Yang dahulu mesra bersama
Tapi satu demi satu
Hilang tiada berita

Mengundang kami ke terataknya
Seolah ia baru berpindah
Sedang kami tahu helahnya
Mahu berkongsi cerita baru
Yang sengaja kami sembunyikan

Undangan darinya
Payah benar mahu kami penuhi
Hari ini ada kenduri maksiat
Esok pula bersama keluarga
Lusa rasanya bercuti di neraka

Tapi dalam surat ini
Tiada tarikh, tiada juga hari
Ah, tunggu sahajalah si ajal datang
Nanti boleh bersama ke sana
Dan harap kami ia masih merindu

1 Mei 2008 (4.35 pm)
King's College London

TAK CUKUP!

(aduhai manusia)

Tak cukup! Tak cukup!
Masa yang diberi di Mahsyar
Ribuan tahun itu terasa belum cukup
Untuk direnangi lautan keringat
Mahu sejukkan badan lama-lama
Dalam keringat dosa dunia

Tak cukup! Tak cukup!
Dengan bertimbun bara digalas
Sudah banyak diberi, mahu cari sendiri
Sedang muka sudah mencium tanah
Mahu hangatkan badan seenaknya
Dalam panas neraka gila

Tak cukup! Tak cukup!
Aduhai kempunan sungguh
Mencari dosa yang belum cukup
Nantilah engkau manusia
Biar Tuhan cukupkan sengsara
Di akhirat sana

1 Mei 2008 (11.35 am)
King's College London