Tuesday 11 January 2011

MEMBINA MAHLIGAI SYURGA

Telah kita kutip mutiara cinta
Sebagai alas mimpi-mimpi hari esok
Telah kita cungkil permata kesabaran
Sebagai pintu kekuatan
Dan telah kita kait kejora rindu
Sebagai permaidani tempat bermain

Mahligai yang sedang dibina ini
Tidak bisa menjadi indah
Kalau disulami dendam amarah 
Kalau dibina di atas pasak-pasak benci
Kalau diintai nafsu tak bermata

Kita sungguh adalah satu
Yang setiapnya menyelongkar laut hati
Tersimpan wahyu dari Tuhan
Untuk kita cari

Inilah mahligai syurga
Yang bersenandung di dalamnya lagu-lagu tauhid
Yang gelak tangis disusuli puja puji pada Yang Kuasa
Yang di dalamnya ada kita

12 Januari 2011 (12.30 am)
Playford Road

Monday 10 January 2011

TAHAJUD YANG SEDANG MENANGIS

Gigil pada subuh ini
Menyuluh hati mencari tahajud
Merangkak dan berjalan
Kadang rebah ditolak mimpi

Mungkin saja hati itu telah mati
Disula dan direjam 
Oleh kerikil-kerikil nafsu

Oh hati
Nafasmu yang sakarat 
Sedang memaksa kakimu berlari
Menuju tahajud yang sedang sepi
Betapa sungguh
Telah lama ia begitu

Mujur Khaliq tahu hati itu tiada kudrat
Untuk mengintai air mata tahajud 
Lantas
Dialah yang menguatkan
Dialah yang merangkul erat
Dialah yang mempertemukan
Antara hati yang lumpuh
Dan tahajud yang sedang berair mata

11 Januari 2011 (5.30 am)
Playford Road

Sunday 9 January 2011

MA

Ma. Semalam ma telefon lagi. Entah kali ke berapa dikira dan dikira, ma gigih mahu menghampiri anaknya ini. Sedang si anak entah kali ke berapa pula lupa akan kasih ma yang setia, rindunya yang tiada dua.

Bila diasak dan diasak benak ini, fikir dan fikir, muhasabah dan muhasabah, cinta dan sayang ma ini sungguh amat unik. 

Ma tidak pernah bosan mengasihi dalam anaknya melupakan, ma tidak pernah marah dalam anaknya kegagalan, ma tidak pernah berhenti berdoa aku kira, dalam diam derhaka anaknya ini.

Terima kasih ma, kerana menjadi bukti bahawa wujud kasih manusia yang setia, yang dulunya aku tidak pernah percaya pada siapa-siapa walaupun bergelar sahabat. Terima kasih ma kerana masih sudi untuk menjadi ma kepada anak ini.

Anak ini mohon maaf ma, kalau kegagalan masa lalu sedikit mencubit rasa di hati ma, kalau masa depan pun masih kelam untuk ma mengadu rindu, kalau sering meninggalkan ma berteman sepi.

Selamat Hari Lahir, Ma!
Selamat Hari Bersara, Bonda Naimah! 

Playford Road
London