Sunday 21 February 2010

KASIH IBU SAYANG AYAH

Mungkin sudah setahun atau lebih. Telah tidak aku tulis tentang keluarga. Kenapa ya. Makin bertambah hari makin pula rindu itu hilang. Jangan, Ya Tuhan. Engkau membiarkan aku lupa akan asalku dari ibu ayah. Yang setia menemani dari dulu sampai sekarang, sampai bila-bila pun. Sampai syurga aku mahu mereka bersama. Duduk, berbicara, bergurau kejar-mengejar, berlari-lari anak, makan bersama, berpimpin tangan. Semua aku mahu.

Seringkali aku terlintas. Kenapa degil benar anak yang seorang ini. Kenapa hati ini tersangat keras. Dari merasa saljunya kasih dan cinta ibu ayah. Dari merasa diri sebenarnya seorang anak. Bukan ibu. Bukan ayah kepada mereka.

Oh betapa aku merindui saat-saat aku menjadi bongsu. Kalaulah ingatan ini mampu aku tuliskan semula satu demi satu, pastilah akan aku buat semuanya. Sebab dengan kenangan itu kasihnya anak terbina. Dan sekarang anak ini berada jauh dari hangatnya pelukan ibu ayah. Kenangan pun makinlah hilang, sedang yang baru sudah lama tidak terbina.

Kembalikan kasih ini pada tempatnya Ya Allah. Pulangkan rindu ibu ayah kepadaku.

London.

Tuesday 16 February 2010

MERINDUIMU

Telah berlalulah ceritera zulmat
Dalam riak wajah yang tenang
Kau suluh cahaya dariNya

Ya Nabi Allah
Rindu yang sangat ini
Dan air mata yang mengalir ini
Adalah demi kasihnya seorang umat
Pada tutur yang benar
Yang tidak kesampaian

Hati ini rindu
Jiwa ini rindu
Jasad ini rindu
Pada senyummu yang tidak kesempatan
Untuk aku merasainya

Sesaat pun aku hilang
Dalam dunia yang making menghangat
Jangan sekali kau berpaling
Untuk hidup dalam mimpiku
Agar aku tahu aku punya nabi
Agar aku tahu aku disayangi

Ya Rasulullah
Bilakan lagi rinduku berbalas
Dalam keresahan iman

London.

Monday 15 February 2010

SYUKURLAH TUHAN MASIH BERSAMA

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Betapa Tuhan sahaja yang mengetahui dan memahami perit maung derita yang telah dan sedang hati ini lalui. Dan Dia jua yang memberi sedikit ketenangan dalam kepayahan. Aku bersyukur Tuhan kerana Engkau masih bersama dan tidak sekali-kali meninggalkan walau sesaat cuma. Terima kasih, Tuhan!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

London.

Monday 1 February 2010

JALAN MATI

(hati silalah mati agar tak terasa langkah sudah terhenti)

Lama sangat sudah aku bertahan. Dulu mula-mula aku mahu bermula kulihat sinar harapan yang gemilang. Makinlah aku yakin untuk menapak lantas tidak lagi aku berpaling ke belakang. Dan langkah demi langkah kususuri dengan hati-hati.

Sepanjang jalan itu aku masih ingat detik-detik kecewa. Kadang nampak seperti bahagia tapi rupanya tak seindah disangka. Siapalah aku untuk melawan takdir Tuhan, apa lagi mahu meramal itu dan ini. Aku ini hanya hamba.

Dalam langkah perlahan itu ada jua tempat singgahnya, berhenti meredakan penat. Di setiapnya aku berkongsi pengalaman, selepasnya aku pun bersemangat. Ada juga aku tersilap, tapi segera mengatur langkah ke depan.

Sampailah satu saat aku betul-betul berputus asa. Aku nekad waktu itu untuk berhenti, selama-lamanya. Belum pun lama tekad digantung kedengaran pula melodi pujukan, menyeru namaku supaya jangan ada berhenti melekat di hati.

Langkah pun disambung. Dalam semak, kadang lecak. Aku redah semua. Hinggalah aku puas melangkah dan gembira walaupun lambat sampai. Di tengah-tengah aku berhenti aku terpana. Oleh satu langkah seingatku, entah betul entahkan tidak.

Ketika itulah langkahku mati. Akukah yang tersilap menapak atau pengalamankah yang gagal mengingatkan atau jalan itu sudah mati? Entah. Mungkin sahaja Tuhan punya rancangan yang lebih bagus. Entah bilakan lagi jejak ini akan bersambung.

London.